Tempoh pembangunan mental yang paling intensif dan sensitif
dalam zaman kanak-kanak ialah dari peringkat bayi hingga mencapai
usia 10 tahun. Pembangunan mental membabitkan dua matlamat utama.
Pertama, untuk memahami simbol (seperti warna, gambar, huruf
abjad dan nombor) dan kedua, untuk memahami jumlah (seperti
banyak, sedikit dan sebagainya). Pengetahuan asas ini akan membolehkan
mereka menimba kemahiran yang lebih rumit seperti bertutur,
membaca, mengira, melukis dan menghargai muzik.
Segala yang dilihat, didengar dan dilakukan membawa pengajaran
kepada kanak-kanak. Ini termasuk juga perkara kecil seperti
memasukkan mainan ke dalam mulut atau menyepahkan mainan di
merata tempat. Peranan kita dalam proses pembelajaran mereka
akan meningkat apabila mereka membesar.
Kemahiran bercakap dan menguasai bahasa dengan baik sangat
penting untuk berkomunikasi dengan orang lain. Ia juga merupakan
sebahagian daripada kemahiran yang dapat membantu mencegah salah
laku apabila mereka dewasa.
Proses membina kemahiran bertutur dan menguasai bahasa seharusnya
dimulakan dari usia sembilan bulan hingga anak-anak mencapai
usia 7 tahun. Selepas itu, proses pembelajaran bahasa menjadi
semakin rumit. Jadi, pastikan anda sentiasa berbual mesra dengan
anak-anak anda walaupun mereka mungkin belum dapat memahami
sepenuhnya apa yang anda perkatakan. Anda boleh bercerita, menyanyi
lagu kanakkanak dan berpantun seloka sambil menyelitkan unsur-unsur
pendidikan. Sebagai contoh, senikata lagu popular kanak-kanak
‘Pok Amai-Amai’ — yang berbunyi “Pok
amai-amai, belalang kupu-kupu; tepuk ramai-ramai, nanti malam
upah susu; susu lemak manis, santan kepala muda; adik jangan
nangis, emak banyak kerja” — mengajar anak-anak
tentang pantun dua kerat dan nasihat supaya adik jangan nangis
sebab ibu perlu menguruskan banyak kerja rumah.
Menyanyi sambil bertepuk tangan melatih anak-anak kecil menghargai
rentak muzik dan menguasai bahasa dengan baik. Kita boleh melatih
anak-anak yang lebih tua untuk mengulangi cerita, nyanyian atau
pantun kerana cara ini dapat membantu membina kemahiran mendengar
dan menguatkan daya ingatan mereka.
Dengan menggunakan alat bantuan membaca yang sesuai (seperti
buku), kita membantu anakanak kita memahami perkataan bertulis
yang juga melambangkan bahasa. Kita boleh mengajar anak-anak
kita membaca dengan mengenali huruf abjad dan bunyinya, mengeja
nama dan mengenali beberapa nombor dalam bentuk tulisan.
Kegiatan matematik boleh membantu anak-anak kita memahami bahawa
nombor melambangkan hitungan objek, dan mengajar mereka mengira
dan memahami konsep sedikit, banyak, kurang, lebih atau sama.
Melukis adalah salah satu cara yang paling menyeronokkan untuk
meniru objek dan menggambarkan idea. Dengan menconteng kertas
menggunakan pensil warna, mereka mula mencuba warna, bentuk
dan tekstur. Lama kelamaan, mereka akan menghargai kegiatan
seni lukis dan menggunakan pelbagai bahan untuk mewujudkan bentuk-bentuk
yang berlainan.
Selain kegiatan seni lukis, muzik juga dapat membantu pembangunan
kanak-kanak secara keseluruhan. Dengan menyanyi, bermain dan
bergerak mengikut rentak, kita membantu mereka menghargai muzik.
BELAJAR SECARA BERPERINGKAT
Pepatah ‘lain padang, lain belalang; lain orang, lain
ragam’ menggambarkan hakikat bahawa kanak-kanak mempunyai
keupayaan dan minat yang berlainan. Namun, pertumbuhan mental
mereka berlaku secara berperingkat.
Menjelang usia 2 tahun, kita akan mendapati anak-anak kita
berlagak seperti ‘pembantu kanan’. Mereka berminat
untuk melibatkan diri dalam semua kerja rumah yang kita lakukan,
kerana mereka menyangka semua yang kita lakukan adalah permainan.
Mereka mahu menolong kita mengemas mainan, menyapu atau mencuci
pinggan mangkuk sambil bermain air. Pujian patut diberikan setiap
kali mereka melakukan kerja dengan sempurna.
Rumah boleh dijadikan gedung ilmu untuk anakanak pra-sekolah.
Peluang pembelajaran terdapat dalam setiap aspek kehidupan di
rumah. Sambil melipat kain kita boleh mengajar anak kita mengenali
warna, jenis pakaian seperti seluar, baju, kain, stokin, sapu
tangan dan sebagainya. Sambil menguruskan kerja-kerja rumah
kita boleh menunjukkan pelbagai kegunaan sesuatu peralatan.
Sebagai contoh, selain untuk makan, sudu boleh digunakan untuk
menyeduk gula, membancuh minuman, mengumpil penutup tin susu
dan sebagainya.
Dalam usia 3 tahun, anak-anak bertukar menjadi seperti ‘rama-rama’
yang gemar bercampur-gaul dan cuba membuat kawan dengan orang
dewasa dan kanak-kanak sebaya. Mereka sudah boleh membuat ayat
menggunakan tiga atau empat patah perkataan, dan lebih petah
bercakap mengenai banyak perkara.
Oleh kerana mereka sudah pandai berinteraksi dengan kita, perbualan
dengan mereka menjadi lebih bermakna. Masa yang diluangkan bersama
mereka boleh kita gunakan untuk membaca buku cerita, menyanyi
dan menguji daya ingatan mereka dengan meminta mereka menyebut
perkataan-perkataan dalam pantun atau nyanyian yang sengaja
tidak disebutkan. Pada masa-masa yang sesuai, kita boleh membawa
mereka berjalan-jalan di taman untuk melihat tumbuhtumbuhan,
serangga, ranting kayu dan batu-batu yang bertaburan di atas
tanah. Sambil berjalanjalan, kita boleh bercerita mengenai segala
yang kita lihat dan menjawab pelbagai pertanyaan yang mungkin
diajukan oleh anakanak kita.
Menjelang hari jadi tahun keempat, anda sudah boleh melihat
semua bakat yang terpendam dalam diri anak-anak anda. Daripada
‘ramarama’, mereka bertukar menjadi ‘penyiasat’.
Bersedialah untuk menjawab pelbagai pertanyaan yang bukan sahaja
remeh tetapi ada kalanya meleret-leret. “Papa pergi mana?”
Setelah diberitahu papa pergi kerja, mereka menyambung pertanyaan
“Kenapa papa pergi kerja?” Kalau dijawab untuk mencari
duit, mereka akan sambung “Kenapa nak cari duit?”
Pertanyaan yang bertali-arus ini menguji kesabaran kita.
Tetapi di peringkat ini juga kita dapat melihat kemajuan yang
membanggakan. Mereka bukan sahaja mengetahui nama penuh mereka,
tetapi juga nama semua ahli keluarga, dan ramai saudara mara
lain.
Lebih penting lagi, mereka dapat menguasai keadaan. Kita boleh
membiarkan mereka membuat pilihan (seperti jenis buku dan rancangan
TV yang digemari), serta menentukan segala kegiatan seni dan
kraf yang diminati. Kita juga boleh berkongsi perasaan dengan
mereka.
Sebaik sahaja memasuki alam pra-sekolah, mereka sudah bersedia
untuk menghadapi cabaran mainan yang lebih rumit, membaca buku
ejaan dan menerima idea-idea yang lebih mencabar daya pemikiran
mereka. Kebanyakan kanak-kanak dalam usia prasekolah boleh bercakap
dengan jelas, kecuali perkataan-perkataan yang sukar disebut
bunyinya. Ada juga yang pandai mengarang cerita dan melawak.
Ragam dan keletahnya pasti mengkagumkan anda. Begitu banyak
yang dipelajari dan begitu banyak kemajuan yang dicapai dalam
masa yang begitu singkat. Walaupun anak anda sudah menjadi seorang
‘pakar’, dia masih memerlukan bimbingan dan bantuan
anda. Dia mahu anda memahami perasaannya dan mendengar ceritanya,
dan pada masa yang sama dia mahu bermain dengan kanak-kanak
lain yang sebaya dengannya. Oleh kerana dia baru belajar mengenal
erti buruk dan baik, anda perlu bersabar menghadapi sifat ‘loyar
buruk’ anak anda.
Menjelang kemasukannya ke sekolah rendah, dia sudah boleh berdikari.
Fikirannya lebih matang. Dia mahu anda berkongsi idea, perasaan
dan pengalamannya, mendengar ceritanya mengenai apa dilakukan
dan dipelajari di sekolah, mengenai kawan-kawan baru dan sebagainya.
Setelah menjadikan diri kita sebahagian daripada proses tumbesaran
mereka, kini tibalah masanya untuk mereka menjadikan kita sebahagian
daripada kehidupan mereka. Inilah ganjaran yang paling membahagiakan
kita sebagai ibu bapa yang membesarkan mereka. |