Learning & Development
  • Memilih Pusat Asuhan Harian Kanak-kanak yang Sesuai
  • Kebaikan Membuat Kerja-kerja Rumah
  • Menjalankan Urusan Di Luar Bersama Anak
  • Memupuk Kreativiti Dan Ekspresi Diri Dalam Kanak-kanak
  • Ini Bukan Saya Punya..Ini KITA Punya!
  • Ingin Tahu - Penggalak Pembelajaran
  • Bemain Untuk Kanak-kanak Istimewa
  • Memahami Kecerdasan
  • Memupuk Pemikiran Kreatif
  • Penggunaan Komputer
  • Si Manja Mula Belajar
  • Galakkan Pembelajaran!
  • Pendidikan Prasekolah Berkualiti
  • Bagaimana Anak Anda Belajar
  • Bantu Anak Anda Belajar Dengan Lebih Baik
  • Membawa Pembelajaran Dalam Kehidupan
  • Membaca bersama anak anda
  • Tanamkan minat cinta muzik dalam diri anak anda
  • Membantu anak anda belajar dengan lebih baik


  • Pembelajaran
  • Perkembangan
  • Psikologi
           


Memilih Pusat Asuhan Harian Kanak-kanak yang Sesuai

Tip-tip yang boleh menbantu anda membuat pilihan dengan betul

Oleh Puan Shamsinah, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM)

 

Terdapat tiga perkara penting yang anda perlu pertimbangkan:

  • seorang pengasuh yang akan menjaga dan membimbing anak anda,
  • suasana persekitaran yang selamat untuk anak anda membesar dengan sihat
  • aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk membantu perkembangan mental, fizikal, sosial dan emosi anak anda.
Choosing the Right Day Care

Tidak kira dimana anda hantar anak anda, anda bertanggungjawab untuk memeriksa kemudahan yang disediakan dan memastikan bahawa pusat asuhan harian bertanggungjawab atas keselamatan serta kesihatan anak anda. Anda juga perlu memastikan kebersihan, amalan, dan cara/dasar pengasuhan kanak-kanak setaraf dengan permintaan anda.

Faktor- faktor lain yang perlu dipertimbangkan termasuklah bilangan kanak-kanak di dalam pusat asuhan harian dan sama ada anak anda mendapat tumpuan individu daripada pengasuh. Senarai semak dibawah menyatakan faktorfaktor yang boleh dipertimbangkan untuk memilih pusat asuhan harian yang betul bagi si manja anda.

Fakta: Terdapat beberapa jenis pusat asuhan harian kanakkanak di Malaysia iaitu jenis pusat asuhan didalam rumah yang boleh mengasuh kurang daripada 10 orang dan jenis asuhan institusi yang boleh mengasuh lebih daripada 10 orang.


Tanggapan pertama

  • Adakah pusat asuhan harian itu berlesen atau berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat?
  • Adakah suasana dalam pusat asuhan harian mesra dan positif?
  • Adakah pusat asuhan harian pernah melanggar sebarang undang-undang?
  • Bolehkah anda melawat anak anda di pusat asuhan harian sepanjang waktu bukanya?
  • Adakah pelawat disaring (kad pengenalan diperiksa)?
  • Perlukah anda menulis surat (jika memerlukan orang lain) untuk menjemput anak anda?
  • Apakah akan berlaku jika anda lewat menjemput anak anda?
  • Adakah pusat itu mempunyai satu pelan untuk menghubungi ahli keluarga sewaktu kecemasan?

Siapa yang akan mengasuh anak saya?

  • Adakah pusat tersebut mempunyai pengasuh yang mencukupi untuk memberi tumpuan kepada semua kanakkanak yang dijaga? Apakah nisbah kanak-kanak kepada pengasuh?
    Bayi, 3:1
    Umur dibawah 2 tahun, 5:1
    Anak berumur 3-4 tahun, 10:1
  • Apakah kelayakan (latihan dan pengalaman)pengasuh dalam pusat pengasuh harian itu? Adakah pengasuh menghadiri dan lulus Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak (Mandatori bagi JKM)?
  • Adakah pengasuh dilatih dalam CPR dan pertolongan kecemasan?
  • Bagaimanakah pengasuh berinteraksi dengan kanak-kanak (mesra, penyayang dan pengasih)?

Adakah anak saya sihat dan selamat?

  • Adakah permainan, alatan dan perabot selamat dan sesuai dengan umur kanak-kanak yang diasuh?
  • Adakah tempat ini menggalakkan kreativiti dan sikap berdikari mengikut umur kanak-kanak yang diasuh?
  • Adakah pusat asuhan harian selamat (punca elektrik ditutup, bekalan pembersihan dan ubat-ubatan di kunci) untuk anak anda?
  • Adakah pengasuh (dan kanak-kanak) mencuci tangan selalu (sebelum makan dan selepas menggunakan tandas)?
  • Bagaimanakah bimbingan dan disiplin dikendalikan? Apakah akan berlaku jika kanak-kanak memukul, menggigit atau membuli?
  • Adakah tempat bermain di luar selamat?
  • Apakah peraturan yang diikuti apabila seorang kanak-kanak jatuh sakit?
  • Bagaimanakah waktu rehat dikendalikan?
  • Adakah TV atau permainan computer digunakan?
  • Adakah jadual untuk aktiviti dalaman dan di luar serta aktiviti individu dan berkumpulan disediakan?
  • Adakah aktiviti yang disediakan holistik dan merangkumi aspek fizikal, bahasa, cognitif, dan perkembangan emosi dan sosial?
  • Jika anak saya tidak mahu tidur petang, apakah aktiviti yang akan disediakan untuk anak saya?

Apakah makanan yang diberikan kepada anak saya?

  • Adakah menu makanan dipaparkan di pusat asuhan? Adakah makanan yang disediakan seperti yang tertera pada menu sewaktu anda melawat?
  • Adakah pusat asuhan harian menyediakan makanan dan snek ataupun makanan perlu disediakan oleh ibubapa?
  • Adakah snek/makanan yang disediakan oleh pusat asuhan harian berkhasiat dan seimbang?
  • Bagaimanakah diet bagi kanak-kanak yang mempunyai alahan, sekatan budaya dan agama serta diet yang istimewa disediakan?

Senarai ini merupakan satu panduan asas untuk membantu anda memilih pusat asuhan harian yang paling sesuai untuk anak anda. Tandakan faktor-faktor yang paling penting pada senarai semak bagi anda dan anak anda, serta tujukan apa yang ditanda kepada pengasuh apabila anda melawat pusat asuhan harian yang dipilih.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan yang anda ingin bincangkan, pastikan anda catatkan persoalan tersebut. Ini membolehkan anda membuat perbandingan sebelum anda membuat keputusan untuk memilih pusat asuhan harian yang sesuai untuk anak anda.

Akhir sekali, ingatlah bahawa pusat asuhan harian bukanlah pengganti anda dalam proses pembesaran dan perkembangan anak anda, anda seharusnya mengetahui apakah yang sedang berlaku dengan anak anda dan mengambil sebarang langkah yang diperlukan untuk memastikan keselamatan anak anda.


Kebaikan Membuat Kerja-kerja Rumah

Kerja rumah adalah sangat penting untuk kanak-kanak mempelajari kemahiran asas dalam hidup dan membina rasa tanggungjawab dalam diri. Bacalah untuk mengetahui mengapa dan bagaimana anda harus mendidik anak-anak anda untuk menjalankan kerja-kerja rumah.

Oleh Dr Yen Teck Hoe, Pakar Perunding Psikiatri

 

Mengajar anak-anak anda untuk membuat kerja rumah bukan sahaja akan meringankan beban anda, tetapi ia juga mengajar mereka mengenai kemahiran hidup yang penting dan, pengajaran hidup yang berharga dan seterusnya memudahkan peralihan mereka kepada kedewasaan nanti.

Kebaikan Membuat Kerja-kerja Rumah

Mengapa kerja rumah itu sangat penting?

  • Mengajar kanak-kanak tentang tanggungjawab dan pengurusan masa. Kerja-kerja rumah boleh memberi kesedaran kepada kanakkanak bahawa terdapat kerjakerja yang harus dilakukan untuk mengekalkan keselesaan rumah; pengurusan masa dapat membentuk tabiat yang berguna dan sikap yang baik terhadap kerja mereka pada masa hadapan.
  • Mengajar kanak-kanak tentang kebersihan dan menghormati harta benda (sama ada harta benda sendiri atau harta benda orang lain).
  • Salah satu cara terbaik untuk membina kecekapan dalam diri mereka. Mereka akan berasa bangga dengan diri mereka apabila dapat menyiapkan sesuatu kerja rumah dan berjaya melakukannya dengan baik.

Kesukaran yang dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa adalah untuk membuat anak-anak melakukan kerjakerja rumah. Kanak-kanak akan cuba mengelak daripada melakukan sebarang jenis tugas atau kerja yang diberikan kepada mereka dengan cara melawan, atau membuat kecoh dan bergaduh. Kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk untuk melayan kerenah anak-anak yang degil dan akhirnya mereka sendiri yang akan melakukan kerja-kerja itu dan bukannya anak-anak mereka.

Anda perlu ingat bahawa dalam jangka masa panjang, melakukan kerja rumah untuk anak anda akan memberikan pengajaran yang salah, iaitu sekiranya mereka merungut, mereka akan dikecualikan daripada melakukan apaapa kerja.

Libatkan anak-anak dalam melakukan kerja rumah

Berikut adalah beberapa tip yang praktikal yang boleh anda gunakan untuk mengajar anak-anak anda tentang kerja rumah, serta cara untuk menggalakkan mereka untuk menyiapkan kerja rumah tanpa membuat kekecohan.

  1. Mulakan daripada awal. Memberi anak anda tanggungjawab domestik dari kecil akan mengajar mereka tentang kebersihan dan melatih mereka untuk menjadikan kerja rumah sebagai rutin. Sebaik sahaja mereka boleh berjalan, anak anda sepatutnya mampu membantu anda dengan kerja rumah seperti menyimpan alat mainan mereka atau memasukkan kain kotor ke dalam bakul.
  2. Senaraikan kerja rumah yang perlu dilakukan di rumah secara tetap dan bahagikan kerja-kerja kepada setiap anak-anak anda. Cuba membahagikan kerja rumah dengan sama rata (dari kerja yang ringan kepada yang berat) untuk mengelakkan pertengkaran.
  3. Pastikan kerja rumah adalah realistik dan anda menunjukkan cara untuk melakukannya. Anak-anak tidak dilahirkan dengan pengetahuan bagaimana untuk mengemaskan katil atau membasuh pinggan mangkuk. Terangkan dan tunjukkan apa yang anda harapkan daripada mereka. Jika anda biasa meletakkan cawan pada rak bawah kabinet dapur, maka pastikan anak anda tahu dan melakukan perkara yang sama.
  4. Tetapkan jangkaan yang munasabah. Jangan mengharapkan kesempurnaan daripada anak anda dan elakkan kritikan. Jika cadar katil mereka adalah berkedut-kedut atau sipi pusat, janganlah menyusul di belakang dan membuat semula, kecuali dalam situasi tertentu di mana anda mesti melakukannya.
  5. Berikan ganjaran jika anak melakukan kerja rumah dan denda mereka jika sebaliknya. Anda boleh memberikan elaun jika kerja rumah telah disiapkan, dan denda jika kerja tidak dilakukan. Elakkan dari memarahi anak jika sesuatu kerja rumah itu tidak disiapkan. Pastikan bahawa hukuman akibat tidak melakukan kerja rumah adalah cukup berat supaya ia dapat menggalakkan anak anda untuk berganding bahu pada minggu akan datang.
  6. Pastikan ia menyeronokkan. Jadikan kerja rumah harian itu sebagai satu permainan.
  7. Puji dan ucapkan terima kasih. Jangan lupa ucapan terima kasih, pelukan dan pujian untuk anak anda. Kanak-kanak pada semua peringkat umur suka dipuji dan lebih cenderung untuk membantu apabila usaha mereka diiktiraf dan dihargai. Sekalikala, anda boleh berkata, "Saya benar-benar menghargai kerana anda mengemaskan katil anda setiap hari," atau "Ia memang bagus untuk melihat bilik anda begitu kemas."

Akhir sekali, pastikan anda bersikap tegas apabila ia berkaitan dengan kerja rumah. Anda boleh menetapkan peraturan mudah seperti kerja rumah mesti dilakukan sebelum mereka bermain atau sebelum mereka menonton rancangan kegemaran mereka. Jangan terlalu mengikut perasaan dengan menengking dan menjerit. Pastikan anda bertenang, tetapi ulangi peraturan tersebut apabila anak anda mula melampaui batasnya.

Dengan mengawal emosi anda dengan baik, anak anda akan sedar bahawa dia tidak dapat mempengaruhi anda dengan merungut dan mengadu. Dia juga akan menyedari bahawa anda memang benar-benar maksudkan apa yang anda katakan dan dia akan menjalankan kerja rumahnya supaya dia dapat bermain.


Menjalankan Urusan Di Luar Bersamasama Anak-anak Anda

Belajar helah-helah mudah bagaimana untuk menjalankan urusan di luar dengan anak-anak anda yang lebih mudah dan menyeronokkan.

Oleh Dr Yen Teck Hoe, Pakar Perunding Psikiatri

 

Menjalankan Urusan Di Luar Bersamasama Anak-anak Anda

Membawa anak-anak semasa menjalankan urusan di luar seperti pergi ke bank, membayar bil, membeli-belah dan sebagainya mungkin nampak susah atau ada kalanya memeningkan, terutama sekali apabila anda menjalankan urusan tertentu yang mungkin tidak diminati oleh anak-anak anda.

Bagaimanapun, dengan persediaan yang betul, anda boleh melakukannya tanpa sebarang masalah. Anda boleh belajar cara yang berkesan untuk mengaturkan hari anda dan menjalankan urusan bersama anak-anak sambil menangani hal-ehwal peribadi.


Di rumah, sebelum anda keluar

  • Buat jadual urusan yang perlu diselesaikan. Ketahui apa yang anda ingini dan di mana anda boleh mendapatkannya.
  • Atur semula keutamaan dan gabungkan urusan di kawasan yang sama bagi mengurangkan masa perjalanan. Ini akan mengurangkan jumlah masa yang anda habiskan memandu dari satu lokasi ke lokasi lain untuk menjalankan urusan.
  • Masukkan semua barang yang mungkin anda perlukan untuk anak-anak ke dalam beg dan bawa bersama. Jangan lupa untuk membawa makanan snek yang sihat, beg lampin jika anda membawa anak kecil, bekalan penjagaan kebersihan dan pakaian untuk persalinan.
  • Cuba selesaikan sesetengah daripada urusan anda menerusi Internet. Sebagai contoh, anda boleh membeli produk tertentu dari laman web kedai atau membayar bil telefon dalam talian tanpa perlu ke kedai telekom.
  • Akhir sekali, anda perlu berkomunikasi dengan anak-anak dan terangkan rancangan anda kepada mereka, termasuk berapa lama masa yang akan diambil untuk menjalankan urusan anda dan apa yang anda akan lakukan apabila pulang ke rumah. Jika mereka faham, mereka pasti yang memberi kerjasama.

Semasa keluar

  • Sentiasa positif apabila menjalankan urusan bersama anak-anak. Ini akan membuat anak-anak anda juga bersikap positif, dan mungkin mempengaruhi mereka untuk berkelakuan baik dan mengikut arahan anda. Anak-anak anda juga mungkin menunjukkan mood yang baik sepanjang masa anda menjalankan urusan anda.
  • Ingatkan anak-anak anda supaya menjaga tingkah laku. Beritahu mereka apa yang anda harapkan dan tawarkan ganjaran jika mereka berkelakuan baik.
  • Lekakan anak-anak dengan mainan dibawa dari rumah. Tiada cara untuk meramalkan sama ada anda perlu beratur panjang di bank atau di kedai farmasi. Jadi, bila anda membawa anak-anak bersama, bawa beg kecil berisi barangan atau mainan kecil seperti boneka jejari, pad kertas dan beberapa batang krayon untuk melekakan anak-anak kecil dengan aktiviti mereka sendiri. Mereka juga boleh membantu memilih warna pek tisu yang anda beli, bermain ba cak sementara anda berjalan antara lorong rak untuk mencari dan memilih barang keperluan.
  • Beri peranan kepada anak-anak apabila membeli-belah. Anda boleh cuba menyuruh mereka menjumlahkan kos barang yang anda beli sambil anda mencari dan memilih barang lain. Atau menyuruh mereka memegang beg sementara anda mengisinya, atau mengira berapa biji epal yang anda isi ke dalamnya - anda boleh melakukan apa sahaja untuk melekakan mereka.
  • Paling penting sekali, beri pujian apabila anak-anak anda berkelakuan baik. Kerjasama mereka, walau sekecil mana sekalipun, amat penting apabila anda menjalankan urusan di luar. Pujian seperti "Wah… pandainya adik kira harga atau kira epal" membuat anak-anak kecil berminat untuk terus memberi kerjasama.

Pulang ke rumah

  • Kaji semula dengan anakanak anda apa yang telah anda semua lakukan semasa keluar dan beri mereka petua untuk membaiki keadaan apabila anda membawa mereka bersama pada masa hadapan.
  • Beri ganjaran kepada anakanak anda apabila segala urusan selesai. Ini akan mendorong mereka terus berkelakuan baik dan mungkin menguja anak-anak apabila anda membawa mereka untuk urusan lain. Anda boleh membelikan pelekat atau memilih hadiah untuk mereka, atau membawa mereka makan manisan, tetapi jangan membelikan barang-barang mahal supaya anda mampu mengulanginya apabila anda membawa mereka pada lain masa.
  • Akhir sekali, anda sendiri patut mendapat pujian - anda berjaya menjalankan satu lagi urusan tanpa sebarang masalah!

Petua-petua yang berguna ini mudah dan tidak akan menambah masa pemergian atau beban anda. Menyelitkan sedikit keseronokan pasti akan menceriakan hari anda bersama anak-anak. Malah, ia akan menjadikan seluruh proses lebih menyenangkan untuk anda!

Memupuk Kreativiti Dan Ekspresi Diri Dalam Kanak-kanak

Ekspresi diri memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak.

Oleh Dr M Swamenathan, Pakar Perunding Psikiatri

 

Ekspresi diri adalah aspek perkembangan kanak-kanak yang sangat penting. Anak anda sepatutnya boleh meluahkan perasaan, emosi, fikiran dan kreativitinya dengan bebas dan selamat. Menyediakan persekitaran yang dipenuhi rasa hormat, kasih sayang dan belas kasihan merupakan cara terbaik untuk membantu anak anda mengekspresi dirinya, kerana tanpa ini, adalah amat sukar untuk anak anda meluahkan perasaannya.

Secara amnya, terdapat tiga jenis ekspresi diri: Ekspresi Seni, Ekspresi Bermain, dan Ekspresi Membina.

Memupuk Kreativiti Dan Ekspresi Diri Dalam Kanak-kanak

Serlahkan bakat seni anak anda!

Ekspresi seni merupakan salah satu cara terbaik untuk mengekspresi diri. Berikan anak anda pensil warna dan kertas, dan anda akan kagum dengan hasil lukisan atau mewarnanya. Mengecat, melukis, mewarna dan menulis merupakan bentuk-bentuk luahan yang kukuh untuk pelbagai emosi yang anak anda rasai atau alami di dalam aktiviti hariannya.

Membenarkan anak anda mengecat atau melukis secara bebas boleh membantu membuka mindanya. Ini adalah komponen penting dalam perkembangan seorang kanak-kanak, dan kanak-kanak sering membentuk fikiran dan idea menerusi lukisan mereka, walaupun hanya melukis objek atau bentuk-bentuk yang tidak berkaitan! Jenis ekspresi diri ini adalah yang paling penting dalam mengembangkan kemahiran komunikasi dan emosi, serta kesedaran psikologi.

Bermain, bentuk ekspresi yang penting!

Ekspresi bermain merupakan satu lagi cara untuk membantu anak anda mengekspresi diri. Dengan membenarkannya bermain dengan kanak-kanak lain menerusi sukan dan aktiviti lain yang menyeronokkan, anda boleh mengajarnya tentang kerjasama, kemahiran hubungan dan juga menghormati orang lain. Tambahan lagi, anda juga boleh menyediakan batasan dan peraturan sebagai panduan. Ini membantu kanak-kanak untuk bermain dan bersuka-ria secara bertanggungjawab tanpa menganggu waktu bermain dan juga perkembangan mereka.

Pastikan anak anda tidak menonton televisyen terlalu lama kerana ia merupakan perantaraan sehala dan tidak akan membantu menggalakkan sebarang pemikiran kreatif atau kritikal. Sebaliknya, cubalah untuk bermain permainan papan dengan anak anda secara sekeluarga ataupun permainan interaktif lain yang akan meningkatkan kreativiti dan kemahiran fikiran anak anda.

Batu asas ke arah perkembangan

Cara terakhir untuk menggalakkan ekspresi diri adalah menerusi ‘Ekspresi Membina’ yang melibatkan pembinaan objek. Apa sahaja yang memerlukan pembinaan seperti rumah anak patung atau robot dan kereta model adalah baik untuk menggalakkan kemajuan dan kreativiti semulajadi anak anda. Dengan mengikuti arahan cara pemasangan, dia akan belajar dan lebih sedar tentang peranan garis panduan. Ini akan turut membantu anak anda menghasilkan sesuatu menggunakan kreativitinya. Kanak-kanak perlu belajar mematuhi garis panduan, peraturan dan arahan, serta digabungkan dengan kreativiti.

Galakkan anak anda untuk mengekspresi diri!

Anda tidak perlu membeli barang mainan dan bahan seni yang mahal untuk membantu anak anda mengekspresi diri. Permainan papan boleh membantu perkembangan anak anda dan anda boleh membantu meningkatkan kemahiran ini dengan meminta atau memberi komen dan soalan semasa bermain. Cuba rangsang idea-idea kreatif dengan menggalakkan anak anda mencipta cara-cara baru dan berbeza untuk menggunakan barang mainan atau peralatan lain.

Jangan cuba menyekat; pastikan anak anda sentiasa bermain dengan permainan yang selamat. Yang paling penting, buka minda anda untuk idea-idea baru dan asli, serta galakkan anak anda untuk menggunakan kemahiran atau kreativiti mereka! Anak anda akan menggunakan kemahiran yang dipelajari semasa perkembangan zaman awal kanak-kanak mereka untuk menghadapi banyak situasi kehidupan sebenar di masa akan datang.

Ini Bukan Saya Punya… Ini KITA Punya!

Mengajar si manja anda untuk berkongsi memang mencabar, tetapi tiada yang mustahil jika dilakukan dengan betul.

Oleh Dr Yen Teck Hoe, Pakar Perunding Psikiatri

 

Meminta si manja anda untuk berkongsi mainannya mungkin sukar sebagaimana memintanya makan sayur. Tidak kira apa yang anda kata, dia tetap tidak akan menukar keputusannya. Keadaan menjadi lebih teruk jika anda memaksanya melepaskan mainan, menyebabkan dia mula buat perangai sebagai tanda bantahan. Semua kanakkanak tidak suka berkongsi sesuatu yang disayangi mereka, sebab itulah sedikit pujukan diperlukan untuk memintanya berkongsi barangan miliknya.

Ini Bukan Saya Punya… Ini KITA Punya!

Jangan paksa dia!

Si kecil anda yang berusia 2 tahun mengadu kepada anda sambil menangis kerana abangnya, yang berusia empat tahun, enggan berkongsi mainan kereta api dengannya. Anda minta anak sulung anda mengalah, tetapi dia mengabaikan kata anda. Jadi anda merampas kereta api daripadanya, menjerit atau menghukumnya untuk menunjukkan anda tidak setuju dengan kelakuannya dan memberikan kereta api kepada adiknya. Anak sulung anda mungkin tiada pilihan untuk mengalah tetapi paksaan tidak akan memupuk sifat suka memberi di dalam diri anak anda. Malah ini mungkin menyebabkannya langsung tidak suka berkongsi dengan adik-beradik atau rakan taulannya.

Sebenarnya anda berlaku tidak adil kerana meminta anak anda yang lebih tua untuk berkongsi dengan adik mereka, kerana adik sentiasa mahukan apa yang dimainkan oleh abang dan kakaknya. Walaupun anak anda yang berusia 2 tahun mahu bermain kereta api, tiada sebab abang harus memberikan mainannya kepada adik. Mengajar adikberadik menghormati hak milik satu sama lain adalah sama penting dengan sifat suka memberi dan berkongsi yang cuba anda terapkan.

Biar mereka selesaikan sendiri

Jika anak anda sedang merebut mainan, jangan masuk campur mahupun cuba selesaikan masalah. Ini sering membawa kepada situasi yang menguntungkan satu pihak dan membuatkan salah seorang daripada anak anda terasa sedih. Tambahan lagi, anak anda akan bergantung kepada anda untuk menyelesaikan masalah mereka. Jika keadaan tidak lagi terkawal, atasi masalah dengan menyalahkan keduadua pihak dan jangan salahkan hanya satu. Galakkan anak anda mencari penyelesaian sendiri sambil memegang mainan untuk mereka. Terangkan dengan jelas bahawa melainkan mereka membuat keputusan untuk bermain dengan baik bersama, mereka tidak akan mendapat balik mainan itu.

Segala-galanya memerlukan masa…

Anda tidak boleh membuat sesuatu perubahan dalam jangka masa yang singkat, namun begitu, ada langkah yang perlu anda ambil untuk membantu anak anda belajar cara berkongsi dan bersifat murah hati.

  • Jadi suri teladan. Kanak-kanak bijak memerhati dan sering mencontohi apa yang anda lakukan. Kalau boleh, cari peluang berkongsi dengan rakan anda atau ahli keluarga lain, sambil menerangkan proses dengan jelas.
  • Ajar anak anda berkongsi dengan berkongsi dengannya. Cuba main permainan ‘minta dan pulangkan’ bersama anak anda. Jika anak anda mempunyai mainan kesayangan, anda boleh minta baik-baik daripadanya untuk memegang mainan itu selama seminit. Apabila si manja memberikannya kepada anda, pegang atau main dengan mainan kesayangannya dan kemudian pulangkan. Pastikan anda hanya memegang mainan untuk beberapa saat sebelum memulangkannya. Lakukannya beberapa kali supaya dia boleh melihat bahawa walaupun dia memberikan mainan buat seketika, dia tidak kehilangannya, dan ini akan membuatkannya lebih sanggup untuk berkongsi mainan dengan orang lain pada masa depan.
  • Beri pujian bila mereka berkelakuan baik! Iktiraf dan beri pujian apabila anak anda melakukan sesuatu yang baik atau berkongsi dengan seorang rakan. Jika anda berkata, “Saya suka tengok awak berkongsi mainan dengan Ali”, ini akan membuatkan anak anda ingin mendapatkan perhatian daripada ibunya dan mungkin mahu melakukan perkara yang sama sekali lagi.

Berkongsi bukan perkara yang mudah dilakukan oleh si manja anda, tetapi dengan bimbingan anda dan sedikit kesabaran, anda boleh menanam semangat suka memberi dan kesanggupan berkongsi. Segala-galanya memerlukan masa dan latihan, tetapi belajar berkongsi tidak mustahil jika anda melakukannya dengan cara yang betul!

Minta, jangan rebut!

Anda tidak harus merampas mainan daripada tangan kanak-kanak. Ini bukan sahaja membuatkannya enggan melepaskan mainan pada masa depan, tindakan ini juga mengajarnya menjadi lebih kasar. Jika anda mengambil barangan daripada anak anda dengan kekerasan, mereka akan melakukan perkara yang sama apabila mereka mahukan sesuatu pada masa depan.

 

Bermain Untuk Kanak-kanak Istimewa

Bagi kanak-kanak dengan keperluan istimewa, bermain bukan sahaja menyeronokkan malah terapeutik.

Oleh Cik Woo Pei Jun, Pakar Psikologi Pekembangan

 

Bermain adalah penting untuk kanakkanak, tetapi ia lebih penting bagi kanak-kanak dengan keperluan istimewa, iaitu untuk merangsang perkembangan dan pembelajaran mereka.

Bermain Untuk Kanak-kanak Istimewa

Sebenarnya, bermain merupakan salah satu bentuk terapi yang digunakan oleh pakar tertentu untuk berinteraksi dengan kanakkanak serta membantu mereka meluahkan perasaan dan emosi. Terapi ini juga digunakan dalam program intervensi yang berkesan seperti intervensi awal, terapi pertuturan, terapi pengurusan ibu bapa, intervensi keluarga kepada kanak-kanak yang mengalami rangkaian gangguan tingkah laku dan fizikal yang meluas seperti gangguan bahasa, gangguan kelakuan, Gangguan Hiperaktiviti dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD), autisme dan serebral palsi.

Pelbagai bahan mainan (seperti barang permainan, bahan seni) dan kaedah mainan digunakan dalam terapi bermain yang disediakan dan dipandu oleh ahli profesional terlatih. Di rumah, ibubapa digalakkan untuk menggunakan permainan sebagai medium membina perhubungan ibubapa-anak positif, dan menyokong anak dalam perkembangan penggunaan kosa kata dan kemahiran komunikasi, sosial dan penyelesaian masalah.

Mengapa Bermain?

ADHD – Kanak-kanak ADHD mempunyai daya tumpuan singkat, bersikap hiperaktif dan luar jangkaan. Gejala ini menyukarkan kanak-kanak memberi tumpuan dan menghabiskan sesuatu tugasan. Mereka sering mengalami kesukaran dalam menumpukan perhatian di dalam kelas dan bersosial dengan kanak-kanak lain yang sama usia.

Penglibatan dalam permainan dan aktiviti yang sesuai dapat membantu kanak-kanak ADHD mengembangkan penumpuan yang lebih baik, meningkatkan keyakinan diri dan belajar bersosial serta berinteraksi secara betul dengan kanak-kanak lain. Waktu bermain juga merupakan peluang untuk memumpuk perhubungan yang erat dan positif antara ibu bapa dengan anak; yang biasanya tegang disebabkan oleh simptom ADHD.

Autisme – Kanak-kanak autistik mempunyai kesukaran berinteraksi dengan kanak-kanak lain secara biasa. Mereka lebih gemar bermain sendiri, menjadi obses dengan objek dan berada dalam dunia sendiri. Mereka juga kurang berkemampuan membaca ekspresi emosi dan isyarat sosial, menyebabkan perkembangan komunikasi-sosial mereka terjejas.

Permainan yang menumpukan pada minat kanak-kanak serta menggalakkan interaksi boleh membantu memperbaiki kemahiran komunikasi dan antara peribadi mereka.

Serebral palsi – Ia adalah suatu keadaan semulajadi yang menjejaskan ton otot, pergerakan dan kemahiran motor, mengakibatkan kekakuan, kesukaran bergerak dan pergerakan tidak sengaja. Kanak-kanak serebral palsi akan mengalami suatu tahap ketidakbolehan fizikal tertentu. Mereka mengalami kesukaran melaksanakan tugasan mudah seperti berdiri tanpa bergerak atau memegang objek.

Walaupun mereka mungkin tidak bersedia untuk bermain, namun mereka perlu bermain untuk mengembangkan kemahiran motor kasar dan halus serta perkembangan deria mereka.

Jenis mainan dan alatan sesuai bagi kanak-kanak istimewa

Suitable play and toys for children with special needs

 

 

Ingin Tahu – Penggalak Pembelajaran

Anak anda bukannya ingin menyibuk apabila banyak bertanya. Mereka sememangnya dilahirkan dengan sifat ingin tahu.

Oleh Dr Yen Teck Hoe, Pakar Perunding Psikiatri

 

Kanak-kanak sememangnya berminat untuk belajar dalam tahun perkembangan mereka. Mereka ingin tahu tentang semua yang berlaku di sekeliling mereka. Apa sahaja yang mereka lihat, dengar dan bau adalah seperti misteri yang menanti untuk disingkap. Keingintahuan adalah keinginan semulajadi untuk belajar, menjelajah, membuat penemuan dan memahami banyak perkara.

Ingin Tahu – Penggalak Pembelajaran

Anakku, Milikilah Sifat Ingin Tahu

Seorang kanak-kanak yang memiliki sifat ingin tahu akan terus menjelajah dan belajar, mungkin sehingga zaman dewasanya. Oleh itu, menyokong kebolehan semulajadi anak anda untuk bersikap ingin tahu akan membantunya menjadi pelajar sepanjang hayat. Anak anda berpeluang untuk mengembangkan kreativitinya dan belajar menyelesaikan masalah secara sendiri.

Sebagai ibu bapa, anda boleh memberi peluang dan persekitaran untuk membantu memupuk sifat ingin tahu anak anda:

  • Kerap mendedahkan mereka kepada pengetahuan dan pengalaman baru menerusi membaca, aktiviti luar dan bermain pelbagai permainan.
  • Galakkan mereka untuk bertanya jika mempunyai sebarang soalan, dan bantu mereka mencari jawapannya. Anda ingin pelajar kecil anda tidak merasa takut untuk bertanya atau menguji idea baru.

Cara Menggalakkan Sifat Ingin Tahu dan Pembelajaran Anak Anda

Alam semulajadi
Bawanya berjalan di taman atau hutan. Alam semulajadi merupakan salah satu sekolah terbaik. Ia penuh dengan bahan mengajar semulajadi (contohnya tumbuh-tumbuhan, serangga) yang akan menggalakkan minda yang bersifat ingin tahu serta gemar menjelajah.

Muzium, zoo dan akuarium
Kunjungi tempat ini bersama. Artifak dan makhluk, hidup atau mati, akan membangkitkan sifat ingin tahu dan imaginasi kanak-kanak. Ia merupakan cara yang lebih menarik untuk belajar tentang sejarah dan sains kehidupan.

Permainan
Biarkan anak anda main permainan yang memberi peluang untuk mereka bertanya soalan. Sebagai contoh, pilih satu objek dan galakkan dia bertanya soalan yang boleh membantu meneka objek tersebut.


Daripada Kekaguman kepada Kekecewaan

Apabila cuba menggalakkan kebolehan semulajadi anak anda untuk berfikir dan bertanya soalan, ada kalanya anda mungkin akan mendapati soalan yang ditanya agak menjengkelkan, terutama sekali apabila anda sibuk. Anda juga mungkin tidak akan rasa selesa menjawab soalan tertentu atau kecewa kerana tidak tahu jawapannya.

Walaupun demikian, berhati-hatilah supaya tidak terlalu cepat mengetepikan semangat ingin tahu dengan meminta anak anda berhenti bertanya atau tidak menghiraukan soalannya. Respon seperti ‘jangan ganggu’ atau ‘jangan tanya’ boleh menenggelamkan semangatnya dengan mudah. Ini akan turut menjejaskan proses pembelajaran zaman awal kanak-kanak yang kritikal.

Mungkin ada sebab di sebalik soalan yang ditanya, seperti ingin mendapatkan perhatian anda atau tidak puas hati dengan jawapan yang diberi. Tidak kira apa sebabnya, anda boleh mencuba cara berikut untuk mengendalikan situasi berbeza.

  1. Jika anak anda sering menanya soalan yang sama, cuba tanya jika dia tahu akan jawapannya. Dia mungkin akan menjawab soalannya sendiri dan berhenti menanya. Kadang-kala dia hanya mahukan perhatian atau persetujuan anda.
  2. Jika anda sibuk, beritahunya anda akan menjawab soalannya kemudian. Tidak menghiraukan anak anda atau soalannya hanya akan membiarkan anak anda mencari jawapannya sendiri. Jawapannya mungkin salah atau mengelirukan.
  3. Jika anda tidak tahu jawapannya, berterus-terang atau beritahunya anda akan mencari jawapannya dan akan berkongsi dengannya. Jelaskan dengan baik supaya dia akan berhenti bertanya soalan yang sama.
  4. Apabila berhadapan dengan soalan sukar, minta sedikit masa untuk berfikir tentangnya. Ini membolehkan anda merancang respon terbaik yang bersesuaian dengan usia anak anda. Jangan menipu kerana dia mungkin tidak akan mempercayai anda lagi jika didapati tertipu.
  5. Anda juga boleh menggalakkan anak anda untuk mencari jawapannya sendiri dengan mengunjungi perpustakaan, atau mendapatkan bantuan ahli keluarga lain atau guru sekolah.

 

 

Memupuk Pemikiran Kreatif

Adakah menonton program pendidikan seperti Sesame Street
dapat membantu menjadikan anak anda lebih kreatif?

Profesor Madya Dr Teoh Hsien-Jin, Pakar Psikologi Klinikal.

 

Kanak-kanak dilahirkan dengan potensi untuk menjadi kreatif. Mereka berhak diberi peluang untuk mengasah bakat dan kreativiti mereka, dan menggunakan sepenuhnya potensi mereka. Sebagai ibu bapa, kita boleh memainkan peranan penting untuk menggalakkan mereka. Meskipun kreativiti tidak boleh diajar, kita boleh menyediakan persekitaran yang menggalakkan kreativiti anak-anak kita.

Manfaat Kreativiti

Kreativiti memberi manfaat kepada kanak-kanak dalam banyak cara. Mereka lebih banyak menggunakan imaginasi mereka, bersedia untuk mencuba perkara yang berlainan, dan berani memperlihatkan ekspresi diri dan berfikiran terbuka. Di samping itu, mereka dapat membina ketabahan, keyakinan diri, keupayaan untuk berdikari, toleransi terhadap kekaburan, dan mungkin juga, suka berjenaka.

Cara-cara Ibu Bapa untuk Menggalakkan Kreativiti

  • Biarkan mereka bermain dan meluahkan idea. Bermain adalah sebahagian penting daripada pembelajaran yang membantu memupuk kemahiran pemikiran kreatif kanakkanak. Ia membolehkan mereka menghayati kreativiti menerusi lima deria mereka – penglihatan, pendengaran, rasa, bau, dan sentuhan. Ibu bapa boleh merangsang imaginasi dan menggalakkan kreativiti si manja melalui lakonan dan imaginasi.
  • Sediakan persekitaran yang menggalakkan kreativiti. Ini boleh dilakukan dengan memastikan anak-anak merasa selesa untuk memperlihatkan idea mereka tanpa rasa takut ia akan ditolak, dan memastikan keselamatan mereka terjamin supaya mereka boleh meneroka dunia di sekeliling tanpa gangguan.
  • Tanya soalan yang membina dan jangan bataskan soalan mereka. Ibu bapa juga perlu fleksibel menerima jawapan atau respons daripada anak-anak mereka. Walaupun salah, mereka tidak perlu dimarah. Sebaliknya, gunakan kesempatan itu untuk mengajar anak mencari jawapan yang betul. Menyelesaikan masalah adalah komponen penting pemikiran kreatif.
  • Rangsang pemikiran kreatif dengan aktiviti yang sesuai dengan usia. Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bersama anak-anak, termasuk aktiviti seni, muzik, sukan dan memasak. Aktiviti lain seperti membaca buku dan menonton program pendidikan dan multimedia juga boleh membantu memupuk kreativiti kanak-kanak.


Potensi Kreativiti yang Merosot…?

Sekolah dan rumah adalah dua tempat paling penting yang boleh membantu, sama ada untuk menggalakkan atau membantutkan kreativiti kanak-kanak. Namun, sering kali, orang dewasa secara tidak disedari membantutkan kreativiti kanak-kanak dengan amalan biasa seperti berikut:

  • Buat penilaian – Penilaian ibu bapa atau guru kerap mengelirukan kanak-kanak. Sebagai contoh, apabila ibu bapa mengkritik lukisan anak atau memuji semata-mata untuk memberi galakan, si anak akan mula menghasilkan lukisan sebagai percubaan untuk menggembirakan ibu bapa. Lukisannya bukan lagi merupakan ekspresi kreativiti. Ia menjadi alat untuk mendapatkan pujian. Sebaliknya, teguran negatif yang terlalu kerap boleh menyebabkannya berhenti melukis sekaligus.
  • Enggan lepaskan – Ada ibu bapa yang terlalu mengawal, menekan, atau mengongkong anak-anak mereka, hingga tidak memberi ruang kepada anak-anak untuk memupuk kreativiti atau ruang untuk mereka menyelesaikan persoalan dan/atau masalah mereka sendiri.
  • Teladan yang tidak memberangsangkan – Orang dewasa adalah teladan kepada kanak-kanak. Jika ibu bapa sendiri tidak menunjukkan minat dalam idea objek atau inovatif dan pengalaman baru, kanak-kanak tidak dapat meneroka dunia yang penuh idea dan pemikiran kreatif dari awal lagi. Maka, kehidupan mereka turut sebegitu sahaja.

Penggunaan Komputer

Adakah komputer membawa pengaruh yang negatif kepada kanak-kanak? Ketahui jawapannya dan pelajari kesan penggunaan komputer ke atas anak anda.

Oleh Dr Goh Chee Leong, Pakar Psikologi.

 

Anda sedang melihat senarai beberapa video resepi kek cawan di laman web kegemaran anda. Sebaik sahaja anda mencatat resepi tersebut ke atas kertas, si manja anda terus memanjat riba anda untuk bermain dengan komputer. Jelasnya dia berminat melihat apa yang tertera di skrin komputer atau cara anda menaip menggunakan papan kekunci.

Terdapat ramai ibu bapa yang tidak menggalakkan anak mereka meneroka atau bermain dengan komputer dengan anggapan komputer mungkin boleh membawa pengaruh negatif ke atas perkembangan mereka. Adakah terdapat bukti kukuh untuk mengesahkannya? Bolehkah komputer menjejaskan perkembangan kanak-kanak?

Di sini terdapat beberapa mitos tentang penggunaan komputer oleh kanak-kanak:

Mitos # 1: Anak saya masih terlalu kecil untuk menggunakan komputer

Ini tidak benar. Kajian menunjukkan kadar pembelajaran kanak-kanak adalah paling cepat pada usia satu hingga enam tahun. Pada usia ini, mereka menyerap kebanyakan daripada apa yang mereka lihat atau belajar. Namun, kebanyakan kajian juga mengesyorkan bahawa umur tiga hingga empat tahun merupakan usia terbaik untuk mengajar si manja menggunakan komputer. Mereka telahpun membentuk pemikiran logikal dan tahap kebijaksanaan tertentu pada usia ini.

Mitos # 2: Buku sahaja sudah memadai sebagai sumber pembelajaran

Memang tidak salah untuk menyediakan semua buku di dunia ini kepada si manja. Tetapi, anda perlu tahu terdapat pelbagai gaya pembelajaran yang berbeza dalam pembelajaran. Selain daripada membaca, ‘bermain’ juga merupakan suatu aktiviti yang boleh membantu si manja membentuk kemahiran intelektual yang penting. Menerusi cara yang sama, penggunaan komputer akan membantunya membentuk satu atau lebih banyak lagi kemahiran sedemikian.

Mitos # 3: Saya bimbang anak saya akan ketagih dan kurang bergaul

Ini tidak akan berlaku jika kita memainkan peranan kita dalam membantu anak-anak kita mencari keseimbangan antara masa yang dihabiskan dengan komputer dan aktiviti-aktiviti lain. Sebagai contoh, kita boleh menetapkan peraturan dan syarat seperti menetapkan penggunaan komputer dengan had masa atau menghadkan penggunaan komputer untuk tujuan memanfaatkan pembelajaran anak anda.

Kebaikan Penggunaan Komputer Awal oleh Kanakkanak

Pertingkatkan kemahiran pembelajaran – Kajian menunjukkan penggunaan komputer membantu • merangsang minda yang berkembang, memperbaiki pengenalan huruf, kemahiran dan komunikasi lisan serta kemahiran berkonsep. Ia turut membantu si manja menyesuaikan diri dan belajar lebih cepat.

Merangsang kreativiti – Peluang untuk membentuk kreativiti menerusi penggunaan komputer tiada batasan. Program yang membolehkan anak anda menggubah lagu, menyelesaikan masalah logik kompleks dan pelbagai lagi membantu membuka ‘jendela peluang’ untuk imaginasi dan kreativiti.

Meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah – Mereka yang menggunakan komputer sudah biasa mencari punca masalah dan menyelesaikan masalah secara logik. Ini akan membantu si manja memiliki proses pemikiran yang logikal dan juga memperbaiki kemahiran menyelesaikan masalahnya.


Bagaimana Anda Boleh Memulakannya
  • Galakkan si manja untuk bertanya dan bersabarlah apabila mengajarnya cara menggunakan komputer.
  • Perhatikan aktiviti dan kemajuan anak anda.
  • Mulakan dengan mengajar mereka mencari maklumat yang menarik minat mereka. Contohnya, jika mereka ingin belajar tentang dinosaur, ajar mereka bagaimana untuk mendapatkan maklumat tentang dinosaur menggunakan enjin pencarian yang mudah.
  • Cari program atau perisian komputer yang boleh memanfaatkan anak anda.
  • Pastikan bilik komputer dalam keadaan teratur dan tunjukkan tabiat menggunakan komputer yang baik supaya boleh diikuti oleh anak anda.

Si Manja Mula Belajar

Kanak-kanak akan mula menjelajah dunia pada peringkat awal dalam hidup mereka. Secara intuitif, mereka akan tahu untuk mengambil objek yang paling kecil atau membuat pemerhatian dan menukarnya kepada suatu pengalaman yang bermakna.

Kanak-kanak kecil akan melalui suatu fasa di mana mereka akan banyak bertanya. Mereka ingin mengetahui ‘siapa, apa, mana, bila, bagaimana dan mengapa’. Contohnya, bagaimana ayam berketak atau mengapa langit berwarna biru?

 

Pertanyaan yang tidak berhenti-henti ini mungkin akan menjengkelkan tetapi mereka melakukannya kerana ingin belajar. Ini adalah sebahagian penting di dalam proses pembelajaran mereka.

Prasekolah yang biasanya bermula apabila kanak-kanak berusia 4 tahun berperanan membantu untuk terus memperkukuh dan menghalusi perkembangan awal dan pengalaman pembelajaran mereka. Sebagai contoh, dengan mewarna dan melukis, kanak-kanak akan belajar menguasai otot otot jari dan koordinasi tangan-mata mereka. Menerusi bermain bersama kanak-kanak lain dan mematuhi peraturan-peraturan bilik darjah pula, mereka belajar tentang kemahiran sosial. Dan sudah tentunya terdapat pelbagai pengajaran lain untuk perkembangan pemikiran, komunikasi dan kemahiran penyelesaian masalah.

Semua ini akan dicapai dengan keseronokan tetapi di dalam persekitaran prasekolah yang berstruktur. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak ruang bagi ibu bapa untuk mengoptimum kemajuan anak-anak mereka dengan terus mengajar, mementor dan melatih mereka di rumah dengan cara yang bebas tekanan, menyeronokkan dan bersesuaian dengan usia mereka.

Dimensi Pembelajaran Awal

Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak di prasekolah adalah penting untuk menyediakan asas yang baik, bukan sahaja untuk persekolahan formal malah untuk pembelajaran sepanjang hayat.

Kemahiran Fizikal
Prasekolah membantu kanak-kanak menguasai kemahiran motor halus dan motor kasar. Kemahiran motor halus membabitkan pergerakan kecil seperti mencapai sesuatu dengan ibu jari dan jari telunjuk. Aktiviti yang mengasah kemahiran motor halus membabitkan aktiviti memotong, menampal dan melukis. Kemahiran motor kasar pula diasah dengan aktiviti yang membabitkan pergerakan lebih besar seperti berlari, melontar, memanjat dan menari.

Kemahiran Intelektual
Terdapat banyak peluang untuk si manja membina kemahiran seperti mengira, mengukur, menyisih, memadan, memerhati dan membentuk hipotesis. Kemahiran membaca dan menulis berputik apabila si manja melihat buku, membaca dengan kuat dan menulis nota.

Kemahiran Sosio-emosi
Prasekolah membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dalam komuniti dan belajar menghormati diri sendiri dan juga orang lain. Mereka bukan sahaja akan belajar berkongsi mainan, tetapi juga perbualan dan snek. Mereka diajar untuk mengambil giliran, melibatkan orang lain dalam permainan dan belajar ‘tatatertib’ bermain apabila berdepan dengan situasi baru. Di samping itu, mereka juga akan belajar mengawal perasaan dan mengelak daripada emosi yang kurang elok. Prasekolah juga merupakan masa bagi kanak-kanak mempelajari nilai-nilai moral untuk membentuk perwatakan yang baik.

Tahukah anda?

Bermain adalah sebahagian penting proses pembelajaran bagi kanak-kanak. Ini membolehkan mereka menggunakan kemahiran dan belajar tentang konsep baru dengan menyentuh, merasa, mendengar, bercakap dan menghidu. Cara terbaik untuk menggalakkan si manja prasekolah belajar ialah dengan menggabungkan permainan dengan unsur akademik.

Pelajaran Dalam Pembelajaran

Cara terbaik untuk si manja belajar ialah dalam persekitaran rumah yang menggalakkan penerokaan, pemikiran kreatif dan kebebasan. Ciri-ciri ini membolehkan kanak-kanak untuk menyiasat dan melakukan tugas yang mencabar daya fikir. Ini merupakan rahsia pencapaian dalam sekolah dan untuk seterusnya.

Proses mempelajari tentang cara sesuatu benda berfungsi adalah perjalanan yang perlu dilalui oleh si manja sendiri. Kehadiran orang dewasa sekadar untuk menggalakkan, mencabar dan membantu perkembangan mereka.

Manfaat Proses Pembelajaran Awal

  • Minat untuk menimba pengetahuan disemai melalui keyakinan dan kebebasan dalam pembelajaran.
  • Sifat ingin tahu dalam diri si manja menggalakkan penerokaan dan penghargaan pengetahuan.
  • Sikap yang betul untuk bertanya soalan, menyelesaikan masalah dan berkongsi idea. Pembelajaran menjadi pengalaman yang menyeronokkan.

Bagaimana Anda Boleh Membantu Sebagai Ibu Bapa
Kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran pembelajaran yang baik di rumah membolehkan mereka maju dalam prasekolah. Berikut adalah tip-tip untuk anda.

Berkongsi minat anda sendiri untuk belajar
Anda merupakan guru pertama anak anda. Jika anda mahu dia belajar, anda perlu terlebih dahulu mengambil inisiatif untuk belajar dan dia akan mengikut jejak anda.

Beri sokongan dan penerimaan
Bila anda menggalak dan mengalu-alukan ideanya, si manja akan merasa cukup selesa untuk menyuarakan idea tanpa takut membuat kesilapan. Jika dia membuat kesilapan sekalipun, anda tidak perlu memarahinya atau memberi jawapan yang betul dengan serta-merta. Sebaliknya, gunakan peluang itu untuk mengajarnya mencari jawapan. Ini menggalakkan pembelajaran secara lebih berdikari pada masa hadapan.

Sediakan peluang pembelajaran
Pengalaman pembelajaran boleh didapati daripada buku, alat permainan dan barang lain yang terdapat dalam rumah. Bersiar-siar dan berbual-bual juga akan menambah perspektif dan pemahaman si manja. Berhati-hati agar anda tidak keterlaluan. Pastikan segalanya berada dalam tahap yang sesuai untuk usia mereka.

Senarai semak apa yang anda
boleh lakukan sebagai ibu bapa
  • Tanya soalan yang baik dan jangan bataskan soalannya.
  • Tunjukkan bagaimana kita boleh belajar daripada perkara yang mudah dan kesilapan kecil.
  • Galakkan si manja berdikari.
  • Beri pilihan kepada si manja.
  • Beri perhatian kepada persekitaran sekelilingnya.
  • Jadikan waktu membaca sebagai rutin tetap.

Sihat untuk Belajar

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa langkah oleh pihak Kerajaan untuk mengubah sistem pendidikan negara kita. Daripada hanya menitikberatkan kemahiran ingatan untuk lulus peperiksaan, kita inginkan anak-anak kita berkembang secara lebih sempurna. Kita mahukan mereka mempunyai pemikiran yang baik, kreatif dan berkebolehan untuk menyelesaikan masalah di samping mempunyai tubuh, minda dan jiwa yang sihat.

Sebagai ibu bapa, kita semua boleh membantu dengan menanam serta menggalakkan minat membaca dan belajar anak-anak kita daripada usia yang muda dan sepanjang zaman kanak-kanak mereka.

Pada masa yang sama juga, adalah penting bagi kita untuk menjaga mereka dengan sebaik mungkin supaya mereka dapat terus belajar dengan gangguan minimum. Kekurangan nutrien, anemia, jangkitan, kecederaan, masalah psikologi dan kesukaran pembelajaran yang belum ditangani akan menghalang perkembangan mereka. Berita baiknya, kuasa untuk mencegah situasi negatif ini adalah di tangan anda dengan mengetahui lebih lanjut dalam keluaran Positive Parenting kali ini.

Galakkan Pembelajaran!

Rumah adalah tempat paling baik untuk
memulakan pembelajaran anak anda. Beberapa
contoh berikut dapat membantu anda.

Oleh Dr Goh Chee Leong, Pakar Psikologi Kognitif/ Pembangunan

 

Ibu bapa adalah antara guru yang paling sesuai untuk mendidik anak-anak. Dan tempat terbaik untuk kanak-kanak belajar ialah rumah mereka sendiri. Bantu anak anda membina kemahiran, sama ada kemahiran menulis, membaca, mempelajari bahasa baru atau sekadar membiasakan diri dengan tabiat pembelajaran baru, dengan melakukan perkara mudah berikut:

1. Berbual, Menyanyi Dan Menari Dengan Anak Anda
Kanak-kanak gemar melakukan aktiviti fizikal dan mereka pasti gembira jika dapat melakukan perkara yang menyeronokkan bersama anda. Belajar lagu baru dan ajar anak anda menyanyikannya. Galakkan seisi keluarga menyertai sesi permainan yang menyeronokkan untuk memberi lebih motivasi kepada anak anda.


2. Baca Kepada Anak Anda
Bacakan buku cerita atau buku fakta yang menarik kepada anak-anak. Mereka akan membesar menjadi kanak-kanak yang lebih baik daripada rakan sebaya mereka. Membaca adalah satu daripada cara paling cepat untuk kanak-kanak membina kemahiran pembelajaran dan tiada sesiapa yang lebih baik daripada ibu bapa untuk melakukan tugas ini. Jadikan tabiat membaca kepada anakanak satu amalan harian. Masa yang baik untuk membaca ialah sebelum menidurkan anak anak. Pastikan anda membaca dengan suara dan wajah yang ceria agar apa yang anda bacakan menjadi lebih menarik bagi anak anda. Bila anak anda sudah mula belajar membaca, baca buku kegemarannya bersama.

3. Hadkan Masa Menonton Televisyen
TV adalah jalan keluar yang mudah bagi ibu bapa yang tidak mempunyai masa untuk melayan anak anak. Jadi, hadkan masa anak anda menonton TV. Sebaliknya, gunakan masa itu untuk melakukan perkara yang digemari bersama. Kanak-kanak perlu mendengar dan bercakap dengan orang dewasa untuk belajar. Mereka tidak boleh belajar hanya dengan menonton televisyen.

4. Amalkan Sikap Positif Terhadap Pembelajaran
Tunjukkan semangat dan sikap positif apabila anak anda pulang dari sekolah dan menceritakan perkara baru yang dipelajari. Ikuti perkembangannya di sekolah dan ambil pendekatan proaktif untuk memantau kemajuan anak anda di sekolah. Tunjukkan minat dan jika boleh, cuba bantu pembelajarannya dengan penglibatan secara peribadi.

5. Beri Anak Anda Pujian Yang Sangat Diperlukannya
Kanak-kanak suka dipuji. Jadi, jika anak anda berkelakuan baik atau memperlihatkan prestasi yang cemerlang, tunjukkan kegembiraan dan berilah pujian. Ini bukan sahaja akan menaikkan semangat anak anda tetapi juga menunjukkan bahawa anda prihatin dan menghargainya. Satu lagi cara yang baik untuk melakukannya ialah dengan melekatkan lukisan anak anda pada pintu peti sejuk.

6. Galakkan Anak Anda Menggunakan Bahan Pembelajaran
Alat pembelajaran seperti kamus dan ensiklopedia amat berguna apabila anak anda berminat untuk meluaskan perbendaharaan kata atau menambah pengetahuan. Galakkan anak-anak merujuk kepada kamus dan ensiklopedia bila mereka memerlukan penjelasan mengenai perkataan yang menimbulkan kemusykilan.

7. Bawa Mereka Keluar Berjalan!
Ke perpustakaan, muzium, pameran atau taman permainan. Mendedahkan anak anda kepada tempat ini dapat membantu menggalakkan mereka belajar dan memberi motivasi kepada anak anda untuk lebih tekun belajar. Selain itu, ia juga menyeronokkan untuk seisi keluarga!

Pendidikan Prasekolah Berkualiti

Asas Masa Depan Kanak-Kanak Kita
Apa yang dikatakan penjagaan & pendidikan awal
kanak-kanak berkualiti dan bagaimana anda
boleh membantu anak anda memanfaatkan sepenuhnya?

Oleh Winnie Yong, Positive Parenting

 

“Mak… B-O-L-A ialah bola!” Jamie kata dengan bangga menunjukkan kepandaiannya kepada anda. Anda melihat contengan pada buku anak anda. Tiada satu pun huruf yang boleh dibaca, namun anda tetap memberikan pelukan. Anak anda nampak seronok walaupun baru dua bulan ke tadika. Lebih penting lagi, dia berminat belajar membaca dan menulis. Ini terbukti daripada buku kerja sekolah yang dibawa pulang setiap hari. “Dia pandai. Dia seharusnya dapat membaca dan menulis dengan baik tidak lama lagi,” kata suara hati anda.

Persoalan yang sama bermain dalam fikiran beribu-ribu ibubapa Malaysia yang menghantar anak mereka ke prasekolah setiap tahun. Seperti anda, mereka juga tahu kepentingan pendidikan.


Mereka juga tidak sabar melihat kemajuan anak mereka. Tetapi prasekolah bukan sahaja untuk belajar membaca dan menulis. Ia adalah untuk memperlengkap anak anda dengan Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) yang akan membina asas yang kukuh untuk pembelajaran sepanjang hayat... dan ini sudah tentu tidak terbatas kepada A-B-C dan 1-2-3.

 
Permulaan Yang Baik

ECCE adalah satu konsep bimbingan yang menjamin ‘permulaan yang kukuh’. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa enam tahun pertama hayat kanak-kanak adalah sangat penting. Bakat, pemikiran dan sikap yang akan menjadi asas pendekatan mereka terhadap gaya hidup mereka apabila dewasa terbentuk sepanjang tempoh ini. Baik atau buruknya kecenderungan ini banyak bergantung kepada persekitaran dan pengalaman mereka setiap hari. ECCE yang berkualiti memastikan kanak-kanak mendapat pengalaman dan rangsangan yang betul untuk mengoptimumkan pembangunan. Manfaat ECCE berkualiti diakui seluruh dunia.

“Kanak-kanak yang mendapat ECCE menunjukkan kemahiran komunikasi yang lebih baik, kognisi (proses mental untuk mentafsir, mempelajari dan memahami sesuatu) lebih baik, dapat berinteraksi dengan orang lain secara positif dan mempunyai lebih kekuatan emosi daripada kanak-kanak lain yang tidak mendapat ECCE,” kata Datin Radziah. ”Kemahiran ini akan membantu anak anda menyesuaikan diri apabila memasuki alam persekolahan dan seterusnya berjaya dalam kehidupan.”

Datin Radziah M Daud
Presiden, Persatuan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan Malaysia

 
Kurikulum Yang Sesuai Untuk Kanak-kanak

Apabila negara bertambah maju dan makmur, keperluan modal insan berkualiti turut meningkat. Memang itulah yang menjadi matlamat sistem pendidikan kita: untuk melahirkan individu yang bijak berfikir, bersifat ingin tahu, mampu mencipta inovasi dan menyelesaikan masalah, serta sentiasa mencari idea-idea baru; individu berkemahiran dan ada daya ketahanan, cintakan tanah air dan disemai nilai-nilai moral tinggi. Keperluan modal insan ini menjadikan ECCE amat penting sebagai asas kukuh yang mesti dibina sejak kecil.

Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK) dirumus dan diperkenalkan pada 2003 sebagai garis panduan untuk membantu prasekolah merancangkan aktiviti dan pengalaman yang mengoptimumkan segala aspek perkembangan kanak-kanak.

“Akta pendidikan 1996 mewajibkan semua prasekolah – kerajaan atau swasta – mematuhi KPK. Oleh kerana KPK adalah fleksibel, prasekolah swasta boleh menggabungkannya dengan mudah dalam kaedah mereka sendiri,” kata Jayawathi.

Jayawathi Perera
Presiden, Persatuan Tadika Malaysia

 

Menurut Presiden Persatuan Pendidik Profesional Awal Kanak-Kanak Malaysia (MAPECE), Profesor Dr Chiam Heng Keng, Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK) memastikan prasekolah menumpu kepada kanakkanak, bukan kehendak ibubapa atau guru. “Kurikulum ini disesuaikan untuk kanak-kanak, bukan sebaliknya. Ia sesuai untuk perkembangan kanak-kanak dan menggalakkan pembelajaran menerusi permainan. Ini penting semasa zaman kanak-kanak.”

“KPK adalah berasaskan kemahiran, bukan kandungan,” katanya. “Contohnya, tumpuan diberikan kepada pembangunan kemahiran komunikasi, mengira, berfikir, membuat pertimbangan, mendapat dan menggunakan maklumat, bercampur-gaul dengan kawan-kawan dan sebagainya. Kerja rumah dan peperiksaan tidak digalakkan.”

Banyak Pilihan
Terdapat begitu banyak prasekolah di Malaysia sekarang hingga menyukarkan ibubapa untuk membuat pilihan. Menurut Dato’ Alimuddin, keadaan ini amat jauh berbeza daripada zaman 1950-an sewaktu prasekolah baru muncul. “Pada zaman itu, prasekolah ditubuhkan oleh sektor swasta, kebanyakannya untuk keluarga kaya di kawasan bandar. Kerajaan menubuhkan tadika prasekolah awam pertama pada tahun 1970-an dengan matlamat merapatkan jurang pendidikan antara kanak kanak bandar dan luar bandar. Tadika prasekolah KEMAS dibuka pada 1971, tadika Perpaduan pada 1976 dan tadika Kementerian Pelajaran pada 1992,” katanya. “KPK dilaksanakan menerusi tadika prasekolah kerajaan dan swasta yang mendaftar dengan Kementerian Pelajaran. Ia dikuatkuasa dan dipantau oleh pegawai kami daripada Jabatan Pelajaran Negeri.”

“Ibubapa zaman ini sedar bahawa pendidikan prasekolah berkualiti adalah asas masa depan anakanak mereka. Permintaan semakin meningkat apabila lebih ramai ibubapa mendaftarkan anak anak mereka di prasekolah,” katanya. “Kerajaan memenuhi permintaan yang meningkat ini dengan menambah bilangan tadika awam dan kelas prasekolah.”

 
 
“Kanak-kanak yang mendapat asuhan dan pendidikan yang baik sejak kecil mempunyai kemahiran sosial dan kekuatan emosional. Mereka belajar bersikap positif, menghargai nilai dan berkelakuan baik, yang akan menjadikan mereka warga masyarakat yang berguna apabila dewasa.”
 
 

ECCE Adalah Tanggungjawab Anda Juga
Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) boleh disediakan bukan sahaja menerusi prasekolah tetapi juga di rumah. Anda boleh membina asas kukuh untuk masa depan anak anda dengan mewujudkan persekitaran yang sesuai dan memastikan anak anda mendapat pengalaman positif sepanjang masa – baik di rumah mahupun di tadika.

MEMAHAMI KONSEP
Anda perlu memahami terlebih dahulu konsep ECCE. Dengan membaca rencana ini, anda sudah mengambil langkah pertama. Bacalah seterusnya dan minta pendapat orang yang memahami dan mengamalkan ECCE.

PILIH TADIKA PRASEKOLAH BERKUALITI
Datin Radziah menasihatkan ibubapa supaya mencari tadika prasekolah yang menggunakan kurikulum yang sesuai. “Tadika kerajaan menggunakan KPK. Jadi, anda boleh mendapat kepastian kurikulumnya sesuai untuk perkembangan kanak-kanak. Tetapi anda tidak boleh mendapat kepastian penuh daripada prasekolah swasta, maka pilih tadika swasta yang berdaftar,” katanya. “Jika anda mengambil keputusan untuk mendaftarkan anak anda di tadika swasta, pastikan ia menggalakkan kanak-kanak belajar menerusi permainan dan aktiviti yang sesuai dengan usia dan peringkat perkembangan mereka. Kanak-kanak tidak seharusnya duduk di meja dan menulis sepanjang masa.”

Di bawah adalah beberapa perkara yang harus anda ingat bila memilih prasekolah:

  • Selamat dan mesra untuk kanak-kanak Keselamatan anak adalah keutamaan anda. Itulah sebabnya mengapa anda perlu menghantar anak ke prasekolah yang berdaftar kerana ia memenuhi keperluan keselamatan tempat, keselamatan kebakaran dan juga kebersihan. Sebagai tambahan, anda boleh perhatikan sama ada terdapat ciri-ciri keselamatan yang lain. Contohnya, pastikan kawasan luar prasekolah berpagar, tiada bucu-bucu tajam di meja, dan sinki dan tandas sesuai untuk kanak-kanak.
  • Bilangan kanak-kanak yang sesuai Memandangkan komunikasi terbuka juga penting dalam proses pembelajaran, kelas yang ideal ialah antara 12 hingga 15 kanak-kanak dengan seorang guru dan seorang pembantu.
  • Guru yang baik dan berkelayakan Seorang guru prasekolah yang bagus adalah baik hati, ceria dan menyukai kanak-kanak. Dia berminat untuk melibatkan diri dengan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak. Dia berpakaian yang memudahkannya berbongkok apabila bercakap dengan kanakkanak, berlari atau merangkak apabila bermain bersamanya. Dia perlulah mempunyai kelayakan akademik dan profesional, mempunyai pengetahuan mengenai Kurikulum Prasekolah Kebangsaan dan boleh menjelaskan bagaimana dia menggunakannya di dalam kelas.
  • Kanak-kanak yang gembira, mengerti & produktif Anda patut lihat kanak-kanak bekerjasama menyelesaikan projek, berkawan dan berseronok. Mereka lebih ekspresif, yakin dan berkomunikasi secara terbuka sesama mereka dan juga guru apabila berada di dalam kelas.

Tip-tip di atas adalah berdasarkan artikel Positive Parenting yang bertajuk ‘Bersedia Ke Prasekolah’ Artikel penuh boleh didapati di www.mypositiveparenting.org/articles/bm/preparepreschool-bm.htm

 
JANGAN MENDESAK, JANGAN MENEKAN

“ECCE masih baru di Malaysia dan banyak prasekolah masih terlalu akademik. Malah, ada prasekolah yang mengadakan peperiksaan!” kata Eveleen. “Ibubapa perlu faham bahawa kerja rumah yang bertimbun bukan bukti anak anda pandai belajar. Banyak kemahiran yang dipelajari olehnya tidak boleh dilihat pada kertas. Itulah sebabnya anda perlu memilih tadika yang baik dan boleh dipercayai agar anak anda belajar dengan cara yang betul.”

 

ULANGKAJI DI RUMAH
Tunjukkan minat terhadap anak anda. Berbual dengannya, dengar pandangannya, tanyakan apa yang dilakukan di kelas dan bincangkan kemajuannya dengan gurunya. Cari cara untuk anak anda mengulangkaji apa yang dipelajari dari tadika di rumah. Untuk idea yang berguna, sila ke laman web www.mypositiveparenting.org/articles/bm/v3-article13-bm.htm.

BIARKAN DIA BERMAIN!
“Satu kajian yang dijalankan baru-baru ini terhadap amalan pendidikan awal kanak-kanak di Finland menunjukkan bahawa sehingga usia tujuh tahun, semua pengalaman pembelajaran awal kanak kanak Finland adalah berasaskan mainan. Kajian itu juga menunjukkan bahawa menjelang usia dua belas tahun, kanakkanak Finland mengatasi kanak-kanak dari negara perindustrian lain dari segi bacaan, matematik dan sains!” kata Dr Chiam. Jadi, sebagai ibubapa, anda perlu memberi masa dan ruang untuk anak anda bermain dengan bebas tanpa halangan. Tetapkan masa bermain, lebih lebih lagi jika anda mempunyai jadual tugas yang ketat. Sebagai ibubapa, keselamatan anak-anak adalah perkara yang paling membimbangkan anda. Tetapi, dengan tidak membenarkannya bermain di luar tanpa halangan, anda sebenarnya menyekat aktiviti motor dan pergaulan sosial mereka. Jangan kurung anak-anak dalam rumah tetapi awasi mereka untuk memastikan keselamatan semasa bermain.

 

Usaha untuk memberikan ECCE yang berkualiti kepada kanak-kanak memastikan anda menangani keperluan perkembangan menyeluruh mereka – dari kemahiran berkomunikasi ke kemahiran kognitif, nilai-nilai moral hingga pembangunan sosio-emosional. Tahun-tahun pembentukan awal ini hanya datang sekali. Jadi, asuhlah anak anda dengan baik, luangkan masa untuk bersama mereka, dan berikan segala peluang untuk mereka belajar dan membangun mengikut rentak mereka sendiri menerusi permainan. Tumpukan pada aspek ini dan anda terjamin keupayaan membaca dan menulis akan muncul sendiri.

Bagaimana Anak Anda Belajar

Fahami gaya pembelajaran anak anda dan bantunya belajar dengan berkesan di rumah dan di tadika.

Oleh Woo Pei Jun, Pakar Psikologi

Setiap anak belajar dengan cara yang berbeza. Sebagai ibubapa, kita harus memahami bagaimana cara anak kita belajar, apa yang mengujanya, apa yang memberi dorongan kepadanya dan apa yang dia gemar lakukan?


Kita boleh menggunakan maklumat ini untuk membantu anak-anak kita belajar dengan lebih berkesan. Artikel ini menunjukkan caranya.

Adakah anak anda aktif? Adakah dia suka berlakon dan membuat persembahan, dansuka menunjuk kepada orang lain apa yang boleh dilakukannya? Adakah dia sukakan kepelbagaian dan gemar mencuba cabaran baru dengan sendiri?

Anak anda adalah jenis PENGHIBUR.

Dorong kanak-kanak ini dengan mengakui dan memuji kebolehannya, terutamanya kebolehan menghibur orang lain. Beri dia peluang menjadi tumpuan perhatian dan untuk menunjukkan aksinya.

Petua Pembelajaran

  • Beri arahan yang pendek dan jelas.
  • Aplikasikan pelajarannya dalam kehidupan sebenar.
  • Berikan dia ruang untuk bergerak dan jadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dengan menggunakan permainan dan objek.
  • Rehat setiap 15-20 minit semasa sesi pembelajaran.

Adakah anak anda mudah memberi tumpuan di kelas? Adakah dia gemar sesuatu yang rutin dan konsisten? Adakah dia lebih sukakan pelajaran yang dipersembahkan dengan cara teratur?

Anak anda adalah jenis PENERBIT.

Dorong kanak-kanak ini dengan mengakui dan memuji kebolehannya untuk melakukan sesuatu dengan kemas, tepat masa dan teratur. Tetapkan rutin dan jadual rancangan, dan sentiasa mematuhinya.

Petua Pembelajaran

  • Beri arahan dan penjelasan dengan cara yang teratur.
  • Tandakan maklumat penting dalam buku dan nota.
  • Jadualkan sesi pembelajaran dan jangan tukar jadual jika tidak perlu.

Adakah anak anda bersifat ingin tahu dan gemar mencuba dan meneroka perkara baru? Adakah dia menggunakan kreativitinya untuk menyelesaikan masalah, tidak kira berapa lama masa yang diambilnya?

Anak anda adalah jenis PENCIPTA.

Dorong kanak-kanak ini dengan mengakui dan memuji kebolehannya untuk menemui perkara baru dan menyelesaikan masalah dengan bijak.

Petua Pembelajaran

  • Bincang dan bertukar pendapat mengenai pelajaran yang sedang diajar.
  • Galakkan dia melukis dan membuat model, dan gunakan program komputer untuk mengajar.
  • Mintanya jelaskan apa yang telah dipelajari daripada menulisnya.


Adakah anak anda suka membebel walaupun bila disuruh diam? Adakah dia gemar menghabiskan masa dengan kawankawan dan bekerja secara berpasukan? Adakah dia peka terhadap perasaan orang lain?

Anak anda adalah jenis PENGHUBUNG.

Dorong kanak-kanak ini dengan menumpu kepada kesaksamaan, nilai nilai murni dan semangat berpasukan di tadika. Hargai kebaikan dan sifat bertimbang rasanya.

Petua Pembelajaran

  • Galakkan dia bermain secara berkumpulan dan berbincang mengenai pelajaran yang diajar.
  • Mintanya jelaskan apa yang telah dipelajari daripada menulisnya.
  • Bergilir-gilir membacakan dengan kuat kepada satu sama lain.

Adakah anak anda suka melamun atau mengusulkan idea baru? Adakah dia pendiam dan pemalu? Adakah dia cenderung kepada seni lukis dan kreativiti?

Anak anda adalah jenis PEMIKIR.

Dorong kanak-kanak ini dengan mengiktiraf kreativitinya dan memberinya peluang untuk mempamerkan karyanya.

Petua Pembelajaran

  • Galakkan dia menconteng atau melukis gambar sambil belajar.
  • Gunakan gambar, poster atau puisi untuk menjelaskan sesuatu subjek.
  • Sediakan masa tenang untuk dia bersendirian.

 

 
Bolehkah gaya pembelajaran berubah?

Gaya pembelajaran boleh berubah sepanjang masa kanak-kanak membesar, disebabkan pengaruh dan faktor persekitaran. Malah, seseorang kanak-kanak boleh mendapat kaedah pembelajaran baru bila dia membesar, dan gaya pembelajarannya akan turut berubah.

 

Bantu Anak Anda Belajar Dengan Lebih Baik

Cara untuk membantu anak anda belajar dengan lebih baik bukan terletak pada aktiviti atau
teknik pengajaran, tetapi dengan membantu membentuk perkembangan emosinya.

Oleh Woo Pei Jun, Pakar Psikologi

 

Artikel sebelum ini mengenai pelbagai gaya pembelajaran kanak-kanak tentu menyedarkan anda betapa uniknya anak anda. Memahami gaya pembelajaran anak anda membina asas cara untuk mengajarnya. Menyemai tabiat pembelajaran yang baik juga penting dalam proses membantu anak anda belajar dengan lebih baik dan cemerlang di tadika. Cara asuhan sepanjang tahun-tahun awal membentuk emosinya. Ini penting dalam keupayaannya untuk belajar.


Asuhan bukan sahaja tentang mendisiplin perangai anak anda tetapi juga mengajarnya cara mengawal emosinya. Para pakar telah mengenal pasti satu cara asuhan iaitu bimbingan emosi yang boleh membantu kanak-kanak membentuk ikatan kukuh dengan ibubapa mereka (sila rujuk kotak). Bimbingan emosi bermakna membantu pembangunan emosi kanak-kanak, mula-mula dengan membantu mereka memahami emosi mereka sendiri dan kedua, dengan ibu bapa bertindak balas terhadap emosi ini. Anda boleh melakukannya dengan cara berikut:

Berbual dengan anak anda
Tanya anak anda bagaimana perasaannya dan berikan perhatian sepenuhnya bila dia bercakap. Dengar dengan berempati. Beri galakan bila dia cuba mengenal pasti dan memberitahu anda perasaannya. Bantunya jika perlu.

Fahami perasaannya
Ketahui bagaimana perasaan anak anda dengan memerhatikan bahasa isyarat badannya, ekspresi wajahnya dan mendengar nada suaranya. Dengan kepekaan kepada komunikasi tidak verbal ini, anda dapat memberi sokongan dan simpati bila dia sedih, marah atau kecewa, dan bergembira bersama bila dia riang atau gembira.

Jawab pertanyaannya
Anak anda dalam usia prasekolah gemar bertanya. Cuba sedaya upaya untuk menjawabnya. Jangan bersikap acuh tak acuh atau menyuruhnya jangan mengganggu anda dengan soalannya. Anda membuatnya takut untuk bertanya dan hilang semangat untuk belajar. Jika anda tidak tahu jawapannya, luangkan masa untuk mencari jawapan bersamasamanya.

Bila anak anda membuat kesilapan
Pujuknya dengan memahami perasaannya selepas dia membuat kesilapan. Terangkan bahawa perasaan bersalah itu adalah normal. Bantu anak anda membetulkan kesilapannya. Dengan cara ini, anda memberikan penyelesaian kepada situasinya. Jangan memarahinya kerana ini hanya akan menjadikannya takut. Dia tidak akan belajar cara menyelesaikan masalah, mengulangi kesilapan sama dan menyebabkannya dimarahi lagi lalu menyangka dia tidak akan dapat melakukannya dengan betul.

Tetapkan batas
Meskipun semua perasaan – baik dan buruk – boleh diterima, bukan semua perangai boleh diterima. Sebagai contoh, dia marah dengan kawannya kerana menconteng bukunya tetapi itu tidak bermakna dia boleh memukul rakannya itu. Pastikan anak anda tahu apa yang diterima dan apa yang tidak patut dilakukan, dan bantunya mencari penyelesaian kepada masalahnya. Daripada tidak memukul kawannya, apa yang boleh dia lakukan?

 
Ikatan kukuh

Ikatan kasih merujuk kepada hubungan antara ibu bapa dan anak. Anak yang rapat dengan ibu bapanya akan mencari perlindungan daripada ibu bapanya, dan kurang takut bila ke tadika. Dia dapat berinteraksi dengan guru-gurunya, berkawan dengan kanak-kanak sebaya dan lebih mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Dia mempunyai kesungguhan untuk belajar, bersifat ingin tahu dan berani bertanya dan belajar daripada kesilapan. Dengan itu, dia lebih berkelakuan baik, kurang bermasalah dan dapat menyelesaikan pertikaian dengan lebih bijak. Bila dewasa, dia akan menjadi seorang yang bermaruah tinggi, yakin pada diri sendiri, mudah berkongsi perasaan dengan orang lain dan dapat mengekalkan hubungan dengan mereka.

 

Membawa Pembelajaran Dalam Kehidupan

Ingin mengajar anak anda tentang monyet? Lupakan buku bergambar.
Bawa anak anda ke zoo dan tunjukkan dia monyet yang sebenar!

Oleh Cik Woo Pei Jun, Ahli Psikologi Pembangunan

 

Anda menyediakan bekalan makanan tengah hari sementara si kecil pula sibuk memakai kasutnya. Anda berdua akan pergi ke taman hari ini dan ianya pasti menyeronokkan!

Ini adalah kerana anda ingin mengikuti pelajaran yang diajar di tadika dan gurunya baru selesai mengajar nama bunga bungaan. Anda ingin menguji pengetahuannya: berapa jenis bunga yang boleh dikenalpastinya? Yang menggembirakan anda (dan anak anda), dia berjaya menamakan kebanyakan bunga di taman tersebut! Ia pasti lebih menyeronokkan untuk melihat benda sebenar jika dibandingkan kad bergambar di tadika.

 
Ini adalah contoh mudah bagaimana anda dapat menjadikan pembelajaran sesuatu yan menyeronokkan untuk anak anda. Selain mengetahui apa yang dipelajari oleh anak anda di tadika, adalah penting untuk mengulangkajinya di rumah. Ia memberikan peluang kepada anak anda untuk mengaplikasi apa yang telah dipelajarinya di tadika.
 

"Perlukah anak saya mengulangkaji apa yang telah dipelajari di tadika? Tidak cukupkah perhatian yang diberikannya sewaktu di dalam kelas?"

Tidak. Pembelajaran bukan sahaja berlaku di dalam kelas. Dengan menggalakkan anak anda mengaplikasi tentang apa yang telah dipelajarinya, anda membantunya mendapat lebih banyak informasi dan memahami sesuatu subjek dengan lebih baik. Dia akan lebih terdorong untuk memberikan lebih perhatian di dalam kelas, kerana tahu dia harus ‘berlatih’ pelajarannya untuk ibubapanya kemudian.

 

CUBALAH INI!

• Mencari Harta Karun
Rancang satu pencarian harta karun untuk anak anda. Setiap petunjuk mempunyai satu soalan matematik yang mudah yang harus diselesaikan untuk mendapatkan petunjuk seterusnya. Sekiranya dia berjaya menyelesaikan semua petunjuk tersebut, dia akan mendapat hadiah. Manakala ganjaran anda adalah kegembiraan anda apabila mengetahui anak anda mahir menambah dan menolak.

• Penggunaan Komputer
Gunakan komputer sebagai alat bantu pembelajaran. Beli beberapa permainan komputer berunsur pendidikan atau kenalpasti laman-laman web pendidikan direka khas untuk kanak-kanak. Ciri-ciri interaktif dan animasi berwarna-warni akan menarik perhatian kanak-kanak. Beberapa laman web untuk mencuba ialah: www.britishcouncil.org/kids.htm, www.fatlion.com/science dan www.kids. discovery.com

• Hubungan Manusia
Sesetengah kanak-kanak belajar dan memperolehi informasi dengan lebih efektif apabila mereka berinteraksi dengan orang lain. Sebagai contoh, jika anak anda telah memberitahu kepada kelas bahawa dia ingin menjadi seorang doktor haiwan apabila besar nanti, mengapa tidak memperkenalkannya kepada anak anda? Peluang berinteraksi dengan doktor haiwan sebenar memberikan satu pendedahan serta peluang pembelajaran yang menarik.

• Jadikan Sebenar Yang Mungkin
Ketahui apa yang dipelajari oleh anak anda di tadika dan jadikan ia yang benar kepada anak anda. Jika gurunya telah mengajar tentang buah-buahan tempatan, anda boleh memberi kejutan kepadanya dengan menghidangkan buah-buahan sebagai snek atau pencuci mulut di rumah. Galakkan anak anda menerangkan tekstur, bentuk, warna dan rasa bagi setiap buahbuahan dan perbezaan antara buahbuahan tersebut.

 
TIADA ALASAN!

Tiada masa
Kebanyakan ibubapa mengatakan bahawa mereka ingin membantu anak mereka belajar tetapi tidak mempunyai masa. Yang menjadi isu bukanlah masa, tetapi keutamaan. Jika pelajaran dan perkembangan anak anda adalah penting untuk anda, anda pasti mempunyai masa.

Tiada idea
Sesetengah ibubapa bimbang tentang kekurangan kreativiti mereka dan kemampuan untuk menarik perhatian anakanak. Ini bukanlah satu masalah. Layari internet, baca buku dan bertukar pendapat dengan ibubapa yang lain. Terdapat beribu-beribu idea di luar sana. Anda hanya perlu mula mencari.

 

Membaca Bersama Anak Anda

Oleh Woo Pei Jun, Pakar Psikologi Perkembangan

Seperti yang anda tahu, membaca merupakan kemahiran yang penting untuk anak anda dalam tempoh pembesarannya. Selancar mana dia membaca akan membantunya menentukan cara berkomunikasi, memahami dan belajar.

Selain daripada menunggu sehingga anak anda menjejaki alam pra-sekolah, mulakanlah proses pembacaan kepadanya terlebih dahulu. Dia mungkin tidak dapat memahami pada peringkat awal, tetapi sekiranya anda meluangkan masa bersamanya bermain dengan huruf-huruf dan perkataan, dia akan membesar dengan minat membaca!

Adakah anda tahu?

Walaupun membaca dianggap sebagai aktiviti visual, sebenarnya kesemua deria anak anda terlibat ketika mempelajari kemahiran ini.

  • Ketika masih dalam kandungan, anak anda boleh mendengar suara anda dan akhirnya dia boleh belajar untuk mengaitkan perkataan yang disebut dengan tandatanda bertulis.

  • Latih anak anda mengenali huruf-huruf menggunakan jarinya dengan memberikan abjad yang terdapat dalam pelbagai tekstur, contohnya melekat kertas pasir atau kad keras di atas kertas lukisan; atau gunakan pelapik mainan berbentuk huruf.

  • Di bilik mandi dan dapur, bacakan label untuknya dan biarkan dia menghidu bau buah-buahan, bahan perasa dan alatan mandian.

  • Apabila anak anda semakin besar, minta pertolongannya untuk menyalin resipi, tunjukkan bahan-bahan yang diperlukan dan biarkannya merasa apabila perlu. Bantunya mencari maklumat di perpustakaan dan internet tentang asal-usul bahan-bahan masakan eksotik.

 

Aktiviti: Cakap seperti saya
Untuk umur: 1 tahun

Apa yang diperlukan: Buku atau carta abjad-abjad (anda boleh buat sendiri dengan menggunakan pen berwarna dan kertas)

Apa yang dilakukan: Namakan setiap huruf yang anda tunjukkan. Kemudian, pamerkan gambar atau objek yang bermula dengan huruf tersebut. Semakin dia membesar, galakkannya mengulangi percakapan anda dan membentuk ayat mudah menggunakan setiap huruf.

Aktiviti: Nyanyi bersama saya
Untuk umur: 2-6 tahun

Apa yang diperlukan: Puisi berirama kanakkanak/ Lagu kanak-kanak

Apa yang dilakukan: Bacakan puisi atau lagu secara kuat sambil bertepuk tangan mengikut rentak. Kemudian, jika boleh, ajak anak anda mengikutinya sekali. Lagu seperti “ABC” dan “1,2,3,4,5,Once I Caught A Fish Alive” juga boleh membantu anak anda untuk mengingati abjad dan asas mengira.

Aktiviti: Perkataan orang buta
Untuk umur:
6-8 tahun

Apa yang diperlukan: Keratan besar huruf-huruf besar (4 inci setiap satu) menggunakan kertas pasir kasar; tuala atau kain sebagai penutup mata

Apa yang dilakukan: Tutup mata anak menggunakan penutup mata (sekiranya dia selesa sedemikian) dan letak beberapa keratan huruf di hadapannya sambil mengeja perkataan yang dia tahu. Kira berapa lama masa yang diambil oleh anak anda untuk membaca perkataan tersebut dengan menggunakan jarinya. Tukar pusingan dengan anda atau pasangan anda mahupun ahli keluarga yang lain. Selepas 5 pusingan, tambahkan masa tersebut – pemenang boleh memilih ganjaran yang boleh dikongsi seisi keluarga!

Aktiviti: Baca resipi
Untuk umur: 9-12 tahun

Apa yang diperlukan: Resipi ringkas yang boleh disediakan oleh anak anda dengan pengawasan anda.

Apa yang dilakukan: Baca resepi bersama-sama. Untuk kanak-kanak yang lebih muda, anda perlu membaca beberapa langkah dan menjelaskannya satu persatu. Sekiranya anak anda sudah biasa menolong sejak kecil, anda tidak perlu membuat penjelasan tersebut. Tekankan kata kerja seperti ‘pecahkan’, ‘memukul’, ’mengacau’ dan seterusnya. Untuk kanak-kanak yang sudah besar dan cepat bosan, minta mereka membuat sebuah cerita berdasarkan apa yang mereka sedang lakukan. Sebagai contoh, semangkuk penuh tepung boleh menjadi lereng bukit berpasir di mana sebiji telur seekor burung gergasi ajaib telah terjatuh di atasnya, diikuti dengan hujan serbuk koko yang lebat. Luaskan imaginasi anda dan biarkan anak anda bermain dengan imaginasi tersebut.

Biarkan mereka lihat anda membaca

Kanak-kanak gemar untuk mengikuti jejak langkah ibu bapanya. Baca surat khabar setiap hari, dan sediakan bahan-bahan bacaan yang sesuai dibaca seisi keluarga pada hari minggu. Bincangkan tentang buku-buku yang dibaca oleh anak anda dan tanya mengapa dia menyukai buku tersebut. Dengan menunjukkan bahawa anda berdua mempunyai minat yang sama, secara tidak langsung memberitahunya yang anda turut mengambil berat tentang dirinya.

Tanamkan Minat Cinta Muzik Dalam Diri Anak Anda

Muzik adalah salah satu cara yang baik untuk membantu anak anda belajar dan mencurahkan perasaan kepada dunia.


Berapa ramaikah antara kita yang mampu melupakan lirik ’Rasa Sayang Eh’? Gurindam dan lagu yang dipelajari ketika berada di tadika amat sukar dilupakan. Itulah kehebatan muzik. Dan kerana itulah Barney & Friends, Sesame Street dan High 5 begitu popular di kalangan kanak-kanak: nada yang menarik dan lirik yang mudah diingati menjadikan muzik sebagai pendidikan yang terbaik! Di sini diterangkan bagaimana anda boleh membawa muzik menjadi sebahagian daripada hidup anak anda:

  • Muzik membantu perkembangan pertuturan anak anda.

    Dengan mengulangi beberapa lagu yang mudah, anda dapat membantu anak anda mempelajari asas pertuturan dan membina perbendaharaan kata. Lagu ABC, sebagai contoh, kelihatan mudah tetapi akan mengajar anak anda mengingati 26 abjad yang berbeza dengan mudah.

    Tip: Nyanyi lagu-lagu dengan nama haiwan, tumbuh-tumbuhan dan objek-objek lain dengan anak anda. Rakam nyanyian anak anda dan kemudian, dengarkan kembali rakaman itu.
  • Muzik menggalakkan pernyataan kendiri.

    Pada peringkat umur yang muda, di saat kanak-kanak tidak mampu untuk meluahkan perasaan mereka melalui kata-kata, muzik membenarkan mereka meneroka pelbagai perasaan.

    Tip: Nyanyi lagu-lagu yang menggambarkan pelbagai emosi seperti kebahagiaan, kesedihan, keresahan dan keinginan bersama pergerakan tangan. Anda juga boleh menggunakan boneka dan alat-alat permainan untuk meluahkan perasaan-perasaan ini.

  • Muzik membantu kanak-kanak mempelajari nombor.

    Kanak-kanak yang tahu muzik dan rentak lagu dapat mempelajari nombor dengan lebih baik dan cepat daripada kanak-kanak yang lain.

    Tip: Nyanyi lagu-lagu dengan nombor seperti ‘Sepuluh Budak Hitam’, dan iringi lagu itu dengan pergerakan tangan yang mencerminkan nombor-nombor tersebut.

  • Muzik meningkatkan kemahiran sosial.

    Kanak-kanak yang menyertai kumpulan muzik kanak-kanak atau menyanyi di tadika akan menggalakkan mereka untuk belajar bekerjasama dan bergembira bersama rakan-rakan sebaya. Ini juga dapat membantu mereka membina kemahiran sosial yang lebih baik.

    Tip: Galakkan anak anda untuk menyanyi dan bermain muzik bersama-sama. Galakkan mereka untuk menyertai acara nyanyian dan tarian yang memerlukan mereka berinteraksi.

  • Muzik membina keyakinan diri.

    Galakkan anak anda mengambil bahagian dalam muzik – sama ada dengan kehadiran penonton atau tidak. Ini akan meningkatkan keyakinan diri mereka dan menggalakkan mereka belajar serta menerima cabaran baru.

    Tip: Beri perhatian kepada anak anda apabila dia menyanyi atau bermain muzik. Puji anak anda, tepuk tangan sepanjang nyanyian dan bertepuk tangan dengan penuh minat apabila dia mengakhiri persembahannya.

JADIKAN MUZIK SEBAHAGIAN
DARIPADA KEHIDUPAN ANAK ANDA
  • Nyanyi lagu kegemaran anak anda bersama-sama. Tambahkan gerakan dan tarian untuk menjadikan lagu itu lebih menarik.

  • Mainkan lagu yang sama berulang kali. Kanak-kanak suka mendengar lagu kegemaran mereka berulang kali.

  • Perkenalkan alat-alat muzik yang mudah seperti gendang, penggoncang dan loceng untuk anak anda.

  • Kunjung kedai-kedai muzik bersama anak anda dan biar anak anda memilih satu CD muzik.

  • Dedahkan anak anda dengan pelbagai jenis muzik.

Membantu Anak Anda Belajar Dengan Lebih Baik

Kita semua memang mahu kanak-kanak membesar dengan
sempurna dan mencapai kejayaan dalam hidupnya.
Tetapi, sebelum kanak-kanak mencapai tahap tersebut, dia perlu belajar pelbagai perkara.


Masih ingatkah lagi waktu semasa si manja berada dalam zaman bayi? Lihat, kini dia telah berupaya berlari-lari merata rumah dan menceritakan kepada anda bahawa dia telah mula belajar membaca di tadika. Anda tentu berasa sangat bangga dengannya. Besar kemungkinan anda berharap dia akan menjadi seorang pakar jantung satu hari nanti.

Sebilangan pakar percaya bahawa proses pembelajaran bermula sebelum seseorang kanak-kanak dilahirkan.


Bercakap dengan bayi ketika dia masih berada dalam kandungan akan menambahkan lagi harapan ibu bapa serta mengeratkan pertalian ibu bapa dengan anak pada peringkat awal. Selepas dilahirkan, si manja belajar apabila mendapat pengalaman baru dan maklumat yang membentuk personaliti, kebolehan serta tindakannya.

Pembelajaran merupakan proses sepanjang hayat dan tempoh lima atau enam tahun pertama kehidupan kanak-kanak adalah sangat mustahak. Perkembangan mereka di tahun-tahun formatif ini akan membuka jalan untuk kejayaan akademik, kreatif dan sosial di masa hadapan.

BAGAIMANA KANAK-KANAK BELAJAR

Kebanyakan kanak-kanak lelaki tertarik hati dengan serangga dan katak, dan kerap kali menakutkan si ibu dengan membawa haiwan kecil tersebut ke dalam rumah. Kanak-kanak perempuan pula didapati gemar mencuba alat-alat solek dan pakaian si ibu. Pada masa yang sama, kanak-kanak yang berumur tiga tahun dan ke atas sentiasa menanya pelbagai soalan, seperti “Kenapa serangga ini mempunyai enam kaki? Kenapa kasut ibu begitu besar? Kenapa ayah tidak menggunakan alat solek seperti ibu? Kenapa, ibu, kenapa?”

Semua ini menguji kesabaran ibu bapa dari masa ke masa. Walau bagaimanapun, ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak mempunyai kemahuan untuk belajar dan ingin mengambil tahu tentang perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya sebanyak mungkin. Ianya adalah salah satu keinginan semulajadi kanak-kanak untuk belajar. Mereka cuba memahami tentang dunia sekeliling melalui bertanya soalan, bermain dengan serangga atau gincu bibir. Otak mereka sebenarnya menyerap dan mencerna maklumat yang diterima, yang kemudiannya akan ditambah ke dalam kesedaran mereka dan seterusnya meningkatkan intelek kanak-kanak.

 

Ini bukan segala-galanya. Kanakkanak kemudiannya akan belajar menggunakan pengetahuan mereka secara aktif. Mereka perlu memahami maklumat, membuat keputusan tentang kepentingan maklumat ini dan bagaimana menggunakannya di dalam sesuatu situasi atau dalam menyelesaikan masalah.

Pakar psikologi kanak-kanak menyatakan bahawa kanak-kanak sebenarnya banyak belajar menerusi bermain. Permainan simbolik seperti ‘masak-masak’ dan ‘jamuan teh’ membantu kanak-kanak ‘mengalami’ dan memahami kehidupan dewasa.


Permainan memilih bentuk dan teka-teki meningkatkan kemahiran meng-analisa. Sukan dan permainan ‘formal’ seperti ‘Ular dan Tangga’ dan dam, membantu kanak-kanak belajar mematuhi peraturan.

Selain itu, kanak-kanak juga belajar melalui melakukan kerja. Kerjakerja rumah yang bermakna turut
membentuk perkembangan mental dan mengajar si manja tentang tanggungjawab dan kebebasan. Dia akan berasa seronok, lebihlebih lagi jika digalakkan menganggap ‘kerja’ sebagai satu ‘permainan’. Dia boleh melakukan kerja-kerja mudah seperti menyediakan meja makan atau mengemaskan barang permainan, yang kelihatan seperti satu permainan kepada kanak-kanak atau ‘membantu orang dewasa’. Ia membuatkan si manja merasa berguna dan ‘dewasa’.

Jika kanak-kanak baru belajar sesuatu dan amat menggemarinya, dia akan mahu melakukan perkara tersebut berulang kali. Misalnya bermain dengan tekateki yang serupa sepanjang masa. Anda mungkin merasa pelik dan tidak tahu di manakah keseronokan bermain permainan yang sama lebih dari 20 kali sedangkan si manja telah tahu cara penyelesaiannya. Tetapi ini adalah cara kanak-kanak belajar dan menyempurnakan sesuatu kemahiran.

APA YANG SI MANJA PELAJARI

Apa yang kanak-kanak pelajari di rumah membantu menyediakannya untuk masuk ke tadika. Berikan si manja permulaan yang baik dengan memperkenalkannya kepada huruf dan abjad terlebih dahulu. Baca buku bersamanya sebelum tidur sejak dari kecil lagi supaya dia akan memupuk minat terhadap pengetahuan dan cerita dari buku-buku. Dengan berbekalkan pengetahuan ini, kanak-kanak akan lebih mudah menyesuaikan diri apabila berada di tadika.

 

Peringkat tadika menyediakan si manja untuk masuk ke sekolah rendah, dan mengajarnya membaca, menulis dan membuat matematik. Sebenarnya sebelum kanak-kanak belajar teknik-teknik ini, dia akan belajar beberapa kemahiran asas yang penting. Salah satunya adalah berfikir. Kemahiran berfikir yang baik bermakna keupayaan untuk memproses maklumat dengan lebih berkesan. Ini akan membantu dalam proses pembelajaran seseorang kanak-kanak


Klasifikasi adalah salah satu kemahiran berfikir yang si manja pelajari. Dia belajar untuk membahagikan benda-benda yang mempunyai ciri-ciri yang sama.

Dia juga belajar bagaimana untuk memahami konsep relatif (‘lebih banyak’ atau ‘lebih sedikit’) dan nombor. Di samping itu, dia juga belajar kemahiran memberi sebab dan pemerhatian.

Selepas si manja belajar kemahirankemahiran berfikir tersebut, dia akan mendapati bahawa penerangan yang diberi adalah sama penting dengan jawapannya. Sebagai contoh, apabila kita memberi kanak-kanak satu set gambar yang mengandungi tiga jenis buah dan sebuah buku, dia harus memberikan sebab kenapa dia membulatkan buku sebagai benda yang tidak serupa di dalam set itu. Sebab yang diberikan mungkin kerana buku tidak boleh dimakan sedangkan buah-buahan boleh. Walaupun penerangan yang diberikan oleh kanak-kanak sangat mudah, ia menunjukkan bagaimana kanak-kanak berusaha mendapatkan jawapan. Ini adalah satu aspek yang penting dalam proses pemikiran.

Selain kemahiran memikir, si manja juga akan belajar kemahiran mengira. Kemahiran ini akan membolehkannya mamahami konsep seperti ‘besar’, ‘kecil’, ‘lebih besar’, dan ‘lebih kecil’ dengan lebih jitu. Menggunakan alat yang terdapat dalam hidup seharian (seperti alat mainan dan makanan) dalam memperkenalkan konsep tambah dan kurang adalah satu cara yang berkesan untuk kanak-kanak belajar konsep matematik asas. Tidak perlu menggunakan alat mainan yang mahal- penutup botol yang lama atau kayu aiskrim boleh digunakan. Bahasa adalah satu lagi kemahiran yang penting. Belajar berbahasa meningkatkan kemahiran literasi kanak-kanak, membolehkannya membaca, menulis dan mengekspresikan kreativitinya dengan lebih baik pada masa hadapan. Penting bagi anda memberi perhatian kepada perkembangan kemahiran si manja berbahasa, kerana kelambatan atau kegagalan mungkin merupakan petanda bagi masalah pembelajaran (lihat rencana sampingan). Bercakaplah dengan kanak-kanak dengan suara komunikasi yang biasa. Jangan gunakan percakapan ‘bayi’ atau mengikut cara percakapannya. Kemahiran belajar yang disebutkan di atas mungkin kelihatan sangat susah, tetapi ia diajar dengan cara yang menyeronokkan di tadika. Ia juga adalah asas bagi pelajaran yang lebih sukar apabila kanak-kanak masuk ke peringkat sekolah rendah.

 

MEMBANTU SI MANJA BELAJAR

Anda merupakan guru yang pertama dan paling berpengaruh kepada si manja. Adalah sangat penting untuk memberi motivasi kepada kanak-kanak untuk belajar dari peringkat bayi lagi.

Memberi pujian adalah salah satu cara untuk memberi motivasi kepada si manja untuk belajar. Pujian patut diberikan atas setiap satu pencapaiannya.


Ini mungkin ketika kali pertama si manja meniarap, atau ketika kali pertama dia berupaya melukis bulatan. Pujian akan menggalakkan kemahuannya untuk belajar dan melakukan sesuatu dengan lebih baik.

Kadang-kadang kanak-kanak mungkin menghadapi kesukaran dalam mempelajari kemahiran baru. Di sini, anda perlu bersabar. Anda perlu tekun dalam membantunya. Kadangkala anda perlu melepaskan tangan dan membiarkan kanak-kanak berusaha sendiri sehingga dia mempelajarinya.

Si manja akan berasa belajar adalah menyeronokkan jika anda melibatkan diri bersamanya dalam proses tersebut. Contohnya, habiskan sekurang-kurangnya sejam sehari membaca atau berbincang tentang sesuatu perkara baru. Jika boleh, benarkan kanak-kanak membantu anda melakukan sesuatu. Dia boleh melakukan kerja-kerja rumah yang mudah manakala anda membuat yang lebih susah. Jika anda bekerja di meja, benarkan kanak-kanak duduk bersebelahan dan melukis. Dengan cara ini, kanak-kanak akan berfikir bahawa dia adalah sebahagian daripada kerja anda dan sebaliknya.

Apabila kanak-kanak sudah memasuki tadika, anda masih boleh membantu meningkatkan pelajaran serta prestasinya.

Pada peringkat tadika, si manja akan terdedah kepada pengalaman kemahiran sosial dan lebih berdikari. Pada ketika ini, dia tidak sabar-sabar menunjukkan kepada anda bahawa dia berupaya melakukan sesuatu tanpa bantuan anda. Terlalu memanjakannya tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kerana ini akan mengganggu si manja dari belajar berdikari.

Kanak-kanak mungkin memerlukan bantuan untuk membuat kerja rumah. Ini tidak bermakna anda perlu melakukannya, tetapi sebaliknya, menolong menyelesaikan kebuntuan. Bantu kanak-kanak membina kemahiran memberi sebab dan menyelesaikan masalah.

Sekiranya si manja menghadapi kerumitan ketika mempelajari sesuatu, anda tidak patut berasa marah. Jika dia berasa dirinya dipaksa untuk belajar, secara semulajadinya kanak-kanak akan tersinggung dan menolaknya. Kesulitan adalah perkara yang biasa dihadapi kanak-kanak di dalam proses pembelajarannnya. Sebilangan kanak-kanak akan belajar dengan lebih cepat berbanding yang lain. Elakkan membandingkan seseorang kanak-kanak dengan adik-beradiknya atau kawan-kawan yang lain.

Jika anda ingin tahu keadaan si manja di tadika, berbincanglah dengan gurunya. Pada masa yang sama, anda boleh berbincang tentang perkembangan si manja. Anda juga boleh mengetahui pencapaian akademik, perhubungannya dengan rakan sekelas dan bagaimana anak anda bergembira. Gurunya akan beritahu anda jika kanak-kanak tidak menunjukkan perkembangan yang normal. Anda dan gurunya bolehlah berbincang untuk menolong kanak-kanak dalam proses ini.

Kesemua ini adalah petua praktikal yang akan memberi motivasi kepada kanak-kanak untuk berjaya
dengan lebih cemerlang di tadika. Apa yang dia pelajari akan membantunya di zaman persekolahan kelak.

BAHASA DAN PEMBELAJARAN

Anda mungkin pernah mendengar tentang kanak-kanak yang mengalami dyslexia dan tidak boleh membaca dengan betul. Ada kanak-kanak yang menghadapi masalah belajar matematik akibat sejenis keadaan yang dipanggil dyscalculia. Ada juga kanak-kanak yang tidak boleh berlari, melompat atau memegang pensel dengan betul kerana dia mempunyai dyspraxia.

Kanak-kanak sebegini bukan lembab atau tidak pandai. Mereka mempunyai keadaan yang dikenali sebagai masalah pembelajaran. Masalah pembelajaran disebabkan oleh masalah di dalam cara otak kanak-kanak memproses maklumat. Masalah ini mungkin memberi kesan kepada kebolehan kanak-kanak belajar.

Salah satu petanda utama masalah pembelajaran ialah kelambatan di dalam perkembangan bahasa kanak-kanak.

Kanak-kanak belajar berbahasa sejak lahir. Bahasa adalah lebih luas dari setakat kebolehan membuat bunyi. Bahasa adalah sistem simbol yang digunakan oleh kanak-kanak untuk belajar, menerangkan tentang dirinya dan bertukar-tukar maklumat.

Anda boleh mencatatkan tahap perkembangan berbahasa anak anda sejak dia lahir. Apabila kanak-kanak berusia 6 bulan, dia patut boleh menyahut percakapan kita dan mengeluarkan bunyibunyian (cooing). Ia membantu kanak-kanak belajar peraturan dalam membuat perbualan. Dia sepatutnya boleh menoleh dan melihat anda apabila anda bercakap dengannya, tersenyum sebagai balasan dan bertukar giliran untuk ‘bercakap’ dengan anda.

Apabila menjangkau 1 tahun, dia patut tahu namanya dan boleh menyebut perkataan lengkap yang pertama. Pada usia 2 tahun, dia boleh mengucapkan 2 patah perkataan seperti “mama main”. Struktur berbahasanya menjadi semakin kompleks apabila memasuki tadika dan zaman persekolahan.

Jika anak anda tidak mencapai tahap ini, bawa dia berjumpa pakar pediatrik dengan segera. Perkembangan berbahasa yang lambat adalah salah satu petanda masalah pembelajaran.

Walaupun anak anda mungkin tidak mengalami masalah pembelajaran, dia mungkin mempunyai masalah lain seperti masalah pendengaran atau masalah perkembangan yang lain contohnya autisme. Semua keadaan ini akan memberi kesan kepada pembelajaran kanak-kanak.

Jika anda syak anak bermasalah pembelajaran, jangan tunggu sehingga kanak-kanak memasuki tadika ataupun sekolah rendah. Tahuntahun sebelumnya adalah sangat penting bagi pembelajaran kanak-kanak. Mengesan masalah pembelajaran dengan awal membolehkan anda mengambil langkah-langkah yang perlu bagi membantu kanak-kanak.

Walaupun tidak ada penawar untuk masalah pembelajaran, terdapat langkah-langkah pemulihan (seperti teknik pengajaran yang tertentu) bagi membantu kanak-kanak meneruskan pembelajaran secara normal. Yang penting sekali, kanak-kanak harus sedar masalah ini bukanlah salah mereka, dan ramai orang yang menghadapi masalah pembelajaran telah mencapai pelbagai kejayaan di bidang akademik dan sukan.

 

Home About Positive Parenting Experts Corporate Sponsor Secretariat Contact Us

COPYRIGHT © VersaComm SDN BHD, ALL RIGHT RESERVED. Web Design By Big O Solutions.

Terms Of Use   |   Privacy Policy