Sejujurnya, kita perlu. Menurut Dr Soo Thian Lian, Presiden
Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), kebanyakan para ibubapa
berfikiran sempit tentang kesihatan. Beliau berkata: “Mereka
fikir jika seorang kanak-kanak itu tidak sakit bermakna dia
sihat. Sebagai pakar kanak-kanak, kami memilih untuk mengambil
pendekatan yang lebih holistik tentang kanak-kanak dari sudut
kesihatan dan kesejahteraan.”
“Inilah sebabnya mengapa MPA sangat prihatin untuk melakukan
lebih dari sekadar merawat dan memulihkan kanak-kanak yang sakit.
Kami sangat bersungguh dalam mencapai optimisasi kesihatan dengan
mempromosi pencegahan kecederaan, gangguan kesihatan dan penyakit
yang boleh membawa kematian atau trauma yang berpotensi menjejaskan
kehidupan kanakkanak. Satu lagi langkah yang sama penting adalah
untuk menggalakkan perkembangan yang seimbang – dari segi
intelektual, sosial dan emosi.”
Untuk mencapai matlamat ini, MPA memperkenalkan Positive Parenting
pada tahun 2000. Dr Soo berkata: “Program ini bertujuan
untuk menyediakan informasi, pengetahuan dan nasihat dari pakar
kepada ibubapa untuk membantu mereka memberikan penjagaan optimum
kepada anak-anak mereka.”
Lima Tahun Pertama Kehidupan
“Kehamilan dan tahun-tahun pertama kehidupan adalah
antara fasa-fasa yang penting dalam kitaran kehidupan…
ketika asas-asas untuk kesihatan dan kesejahteraan masa depan
sedang dibina.” – The Child Health Promotion Programme,
Department of Health, UK
Seluruh zaman kanak-kanak adalah penting tetapi perhatian yang
lebih perlu diberikan kepada status kesihatan kanak-kanak dibawah
umur lima tahun. Menurut Ketua Jabatan Pediatrik, Hospital Kuala
Lumpur, Dr Hussain Imam Muhammad Ismail, fokus ini telah mendorong
Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjalankan kajian prospektif
secara menyeluruh ke atas insiden ngeri dan kematian dalam peringkat
umur ini pada tahun 2006. Beliau berkata: “Statistik yang
diperoleh menyediakan petunjuk yang penting ke atas status kesihatan
kanak-kanak di negara ini. Tambahan pula, memahami corak kematian
boleh membantu kita mencegahnya di mana yang mungkin.”
Kajian tersebut mendedahkan bahawa 14.9% daripada kanak-kanak
yang meninggal dunia telah mati mengejut (contohnya akibat lemas
atau terlibat dalam kemalangan kenderaan bermotor). Bakinya
58.5% ada menerima rawatan tetapi 25.1% tidak. Punca yang paling
biasa untuk kegagalan mendapatkan rawatan adalah sikap tidak
ambil kisah; para penjaga tidak menyedari bahawa kanak-kanak
tersebut mengalami penyakit yang serius.
“Ini jelas membuktikan betapa pentingnya untuk mendidik
ibubapa tentang kesihatan kanak-kanak, terutamanya di kalangan
golongan yang kurang bernasib baik. Terdapat pembahagian bandar-luar
bandar yang agak ketara. Walaupun dengan peningkatan perkhidmatan
kita, sebahagian besar dari populasi masih tidak mendapat manfaat
dari usaha ini. Kita perlu meningkatkan tahap kesihatan kanakkanak
dengan cara yang lebih membina dan sistematik,” tambah
Dr Hussain.
Kajian ke atas Kematian Bawah Lima Tahun di Malaysia
pada Tahun 2006
PENEMUAN PENTING :
- Kadar kematian di kalangan kanak-kanak bawah lima tahun
telah menurun dengan berterusan.

- Pada tahun 2006, kadar kematian bagi kanak-kanak dibawah
lima tahun, termasuk bayi baru lahir, adalah 7.2 bagi setiap
seribu kelahiran hidup.
- Kebanyakan kematian berlaku pada tahun pertama kehidupan.
- Secara keseluruhan, 5 penyebab utama kematian adalah:
- Ketidaksempurnaan pembentukan kongenital, kecacatan
dan
keabnormalan kromosom (25.1%)
- Sesetengah penyakit berjangkit dan parasitik (18.8%)
- Penyakit berkaitan sistem respiratori (13%)
- Penyakit berkaitan sistem saraf (8.2%)
- Kecederaan, keracunan dan penyebab luaran (7.5%)
|

7 Tunggak Kesihatan
Bekas Ketua Pakar Pediatrik, Profesor Datuk Dr Mohd Sham Kasim,
berasa gembira dengan penurunan progresif pada kadar kematian
tetapi berasa bahawa ada banyak lagi yang perlu dilakukan. “Pada
tahun 2004, Malaysia berada pada tahap perkembangan kedua terbaik
di dunia. Tetapi, kita tidak boleh berpuas hati dan mesti terus
melindungi anak-anak kita, menjaga mereka dengan aktif dan berusaha
untuk memelihara kesihatan mereka dengan memberi tumpuan kepada
beberapa aspek asas,” beliau berkata.
1. Kehidupan Bayi Baru Lahir
Bayi yang baru lahir sangat lemah dan risiko kematian mereka
adalah yang paling tinggi pada bulan pertama, di mana kebanyakannya
berpunca daripada kelahiran pra-matang, asfiksia kelahiran dan
jangkitan. Risiko kesihatan sebegini boleh dikurangkan dengan
penjagaan berkualiti ketika hamil, proses bersalin yang selamat
dan penjagaan bayi baru lahir dengan teliti yang merangkumi
perhatian ke atas pernafasan dan kehangatan, penjagan tali pusat
serta kulit yang bersih dan penyusuan susu ibu eksklusif untuk
mengelakkan malnutrisi.
Tip-tip
Permulaan Awal |
Pakar Obstetrik dan
Ginekologi Profesor Madya Dr Tan Ay Eeng berkata: “Kehidupan
seorang kanak-kanak bermula dalam rahim, maka penjagaan
perlulah bermula dari saat itu.”
Dapatkan kaunseling prenatal dan penjagaan antenatal
yang berkala untuk mengetahui apa yang perlu dijangka
sepanjang kehamilan dan menghadapinya dengan mudah.
- Ambil tambahan asid folik untuk mengurangkan risiko
kecacatan tiub saraf (seperti spina bifida) yang boleh
menjejaskan otak bayi dan perkembangan saraf tunjang.
- Amalkan cara hidup yang sihat sebelum dan semasa
kehamilan. Ianya boleh membawa kepada hasil kehamilan
yang lebih baik dan proses bersalin yang lebih cepat.
Rujuklah dengan doktor anda sebelum melakukan sebarang
senaman.
- Ambil kira umur anda. Rancanglah untuk melengkapkan
keluarga anda sebelum umur 35 tahun untuk mengelakkan
risiko tinggi komplikasi (seperti keguguran dan kematian
bayi dalam kandungan).
- Libatkan bapa bayi sebanyak yang mungkin. Dapatkan
pemeriksaan yang berkala dan pergilah bersamanya. Bincangkan
dengannya tentang perkembangan bayi anda berdua.
- Elakkan alkohol dan dadah. Berkenaan pengambilan
alkohol dan dadah oleh ibu mengandung, walau sedikit
sahaja sekalipun sudah dikira banyak untuk bayi.
|
2. Pemakanan Bayi
Di Malaysia,kajian seluruh negara pada 2006 menunjukkan bahawa
13.23% kanak-kanak adalah kurang berat, 5.36% terlebih berat
manakala 81% adalah normal. Kanak-kanak terbantut pula adalah
sebanyak 15.8%. Cara terbaik untuk mewujudkan asas nutrisi yang
kukuh adalah dengan menyusukan bayi dengan susu badan (tanpa
campuran makanan atau minuman lain) sepanjang 6 bulan pertamanya.
Susu ibu adalah makanan yang paling lengkap untuk bayi. Ia mengandungi
lipid yang diperlukan untuk perkembangan otak dan antibodi yang
melindungi bayi daripada cirit birit dan jangkitan sistem respiratori.
Kajian pada tahun 2006 tersebut juga mendedahkan bahawa kebanyakan
ibu, terutamanya di kawasan bandar, telah mencuba untuk menyusukan
bayi mereka dengan susu badan (94.7% pernah memberi susu badan).
Kami harus mempertingkatkan penyusuan ibu dalam masa sejam
selepas kelahiran (63.7% pada 2006 berbanding 41% pada 1996)
dan penyusuan ibu eksklusif pada 6 bulan pertama (19.3% pada
2006 berbanding 29% pada 1996). Penyusuan ibu perlu diteruskan
sepanjang fasa pemakanan tambahan. Para ibu harus mempelajari
fasa ini dengan baik, seperti yang dibuktikan oleh kajian pada
tahun 2006 yang menunjukkan bahawa hanya 41.5% bayi berumur
6-9 bulan telah menerima pemakanan tambahan pada waktu yang
sepatutnya. Pemakanan tambahan hanya patut dimulakan apabila
bayi mencapai usia 6 bulan.
Pemakanan
Bijak untuk Anak Anda |
Pakar pemakanan Profesor
Madya Dr Norimah A Karim menyatakan bahawa malpemakanan
boleh berlaku kepada kanak-kanak dari keluarga yang kaya
atau pun miskin. Sama ada mempunyai berat badan normal,
terlebih berat atau kurang berat badan, mereka berisiko
mengalami kekurangan pemakanan (seperti zat besi, kalsium,
iodin dan sebagainya). Ini boleh mengakibatkan masalah
kesihatan, malah menjejaskan prestasi mereka di sekolah.
Beliau berkata: “Malpemakanan terjadi akibat dari
ketidak seimbangan dan kekurangan kepelbagaian makanani
dalam diet kanak-kanak tersebut.” Beliau menasihati:
“Ibu tidak perlu membeli makanan yang termahal untuk
anak anda. Makanan yang diperlukan oleh anak seperti –
nasi, buah-buahan dan sayuran, daging, ikan dan ayam,
kekacang, susu dan hasil tenusu – biasanya mampu
dibeli oleh kebanyakan keluarga. Buatlah pilihan makanan
yang bijak dan betul untuk anak. Pupuklah tabiat pemakanan
sihat supaya dapat dipraktikkan sepanjang hayatnya.” |
3. Jangkitan
Jangan sesekali mengabaikan demam yang dialami bayi atau kanak-kanak.
Pastikan doktor anda mengesahkan puncanya dan memberikan rawatan
yang sepatutnya kerana ia mungkin menjadi lebih serius. Pertimbangkan
cadangan dan nasihat doktor, walaupun ianya mengaitkan prosedur
invasif (seperti pengambilan cecair tulang belakang sekiranya
disyaki menghidapi penyakit meningitis). Jangan menegaskan untuk
diberi antibiotik jika doktor anda tidak menyarankannya. Berhati-hati
dengan penyakit radang paru-paru, penyebab terbesar kematian
dibawah umur lima tahun; pengetahuan tentang faktor-faktor tinggi
risiko (seperti malnutrisi dan pencemaran udara dalam rumah)
adalah penting untuk pencegahan, disamping melakukan vaksinasi.
Penyakit berkaitan cirit birit adalah penyebab utama penyakit
dan kematian di kalangan kanak-kanak di negara membangun. Penyusuan
ibu eksklusif membantu mencegah ciritbirit di kalangan bayi.
4. Immunisasi
Kebanyakan bayi di Malaysia menerima imunisasi wajib yang telah
ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pastikan vaksin
(seperti untuk penyakit tuberkulosis, hepatitis B, campak, beguk,
rubella, polio dan pertussis) adalah antara disahkan selamat
atau hanya membawa risiko paling minimum, tidak seperti yang
anda telah dapati dari media (contohnya berkaitan MMR, polio
dan pertussis). Manfaat yang lebih besar juga boleh diperoleh
sekiranya para ibu mendapatkan imunisasi sebelum mencuba untuk
mendapatkan anak; ini biasanya membantu melindungi bayi yang
baru lahir dari sesetengah jangkitan neonatal (seperti Hepatitis
B dan tetanus neonatal). Ada juga peranan yang dimainkan oleh
vaksin opsyen lain bagi kanak-kanak (contohnya untuk menentang
pneumokokus, rotavirus atau cacar air) dan patut dipertimbangkan
untuk meningkatkan perlindungan. Tiada vaksin yang 100% berkesan.
5. Kesihatan Pergigian
Kanak-kanak perlu diajar supaya membersihkan gigi mereka sejak
usia muda tetapi ketika kecil mereka memerlukan bantuan dan
pengawasan. Diet yang baik, rendah gula dan kebersihan pergigian
akan merendahkan risiko gigi rosak. Pemeriksaan setiap tahun
adalah penting. Untuk masalah pergigian dan periodontal, rujuklah
dengan doktor gigi atau pakar periodontal.
6. Pencegahan Kecederaan
Kecederaan dan keracunan adalah punca nombor satu yang membawa
masuk kanak-kanak ke dalam hospital-hospital kerajaan dan penyebab
utama kematian di kalangan kanak-kanak di Malaysia. Kebanyakan
trauma adalah disebabkan patah, kecederaan intrakranial (dalam
tengkorak), melecur dan kakisan. Kemalangan motor dan jalan
raya memainkan peranan yang penting. Ramai juga kanak-kanak
yang meninggal dunia akibat lemas. Di antara kanak-kanak yang
berusia kurang setahun, pembunuhan dan trauma lain menyumbang
kepada 0.7% kematian pada 2004. Walaupun bilangannya kecil,
ianya masih tragik. Ibubapa perlu memberi lebih perhatian kepada
kecederaan pada kanak-kanak dan mendapatkan nasihat pakar pediatrik
tentang cara-cara mengelakkannya. Kanak-kanak juga memerlukan
pengawasan ketika melayari internet.
7. Perkembangan, Bermain Dan Belajar
Ibubapa perlulah mengetahui apa yang normal pada perkembangan
kanak-kanak dan mempelajari bagaimana caranya untuk merangsang
kanak-kanak pada usia yang berbeza. Kepentingan bermain dalam
perkembangan kanak-kanak tidak boleh diambil ringan. Bermain
perlu diselaraskan dengan belajar dan bukan menggantikannya
terus. Apabila ibubapa terlalu obses dengan pencapaian akademik,
anak-anak mereka akan berasa lebih tertekan. Kanak-kanak perlulah
digalakkan untuk memikirkan sebab, menganalisa, berbincang dan
menjadi lebih kreatif. Kesemua kebolehan ini akan mempertingkatkan
perkembangan pemikiran mereka. Sekadar menghafal untuk lulus
dalam peperiksaan sahaja tidak akan dapat membantu mereka pada
masa akan datang. Tiada apa yang dapat menggantikan senaman
yang kerap, udara yang segar dan interaksi sosial yang berterusan.
Penjagaan
Awal Kanak- Kanak akan Membentuk
Kanak-Kanak yang Baik Secara Menyeluruh |
Puan Norsheila Abdullah,
Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia percaya
bahawa asuhan tidak boleh diperoleh dari sumber luar.
Beliau berkata: “Atas sebab komitmen terhadap kerjaya,
ianya mungkin perlu bagi ibubapa untuk menghantar anak-anak
mereka ke pusat-pusat penjagaan tetapi mereka mestilah
selalu berhubung dengan pusatpusat tersebut untuk memastikan
anak-anak mereka mendapat penjagaan yang sebaiknya.”
Beliau mengingatkan ibubapa supaya memilih pusat penjagaan
yang berdaftar dan mempunyai kakitangan terlatih untuk
menjalankan program-program yang telah dibentuk mengikut
umur
kanak-kanak. |
Menjadi Ibubapa Yang Lebih Baik
Penjagaan kanak-kanak bermula dengan hubungan yang baik di
antara anak-anak dan ibubapa dan amalan asuhan yang baik akan
menyumbang kepada pembentukan fizikal, emosi dan sosial yang
optimal. Demikianlah ujar Pakar Pediatrik Datuk Dr Zulkifli
Ismail, mantan presiden MPA dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan
Positive Parenting.
Beliau menjelaskan: “Pendidikan asuhan mungkin agak asing
bagi kebanyakan ibubapa tetapi ianya perlu untuk membina pengetahuan
dan kemahiran untuk membesarkan anak-anak. Terdapat banyak cara
untuk ibubapa mempelajarinya. Mereka boleh mendapatkan maklumat
dari Positive Parenting dan program-program pakar yang lain.
Laman-laman web oleh organisasi perubatan dan kesihatan bersekutu
adalah sumber yang baik juga; kajian yang dijalankan di Amerika
Syarikat melaporkan bahawa 50% daripada para responden menggunakan
internet untuk mendapatkan informasi perubatan dan 30% lagi
untuk mengetahui tentang penyakit-penyakit akut tertentu atau
masalah kesihatan yang kronik.
“Satu lagi sumber untuk pendidikan asuhan adalah dengan
membincangkan perkara tersebut dengan doktor anak-anak mereka.
Bincangkan tentang masalah pencegahan. Ini bukan saja merangkumi
langkah-langkah pencegahan tetapi juga cara mengendalikan sebarang
masalah yang mungkin dihadapi kanak-kanak. Informasi perlu dikongsi
dengan kanak-kanak sekiranya mereka sudah boleh memahami apa
yang diperkatakan.”
Perkongsian tiga-penjuru (doktor, ibubapa dan anak) telah terbukti
berkesan dalam meningkatkan pencegahan dan hasil rawatan. Ini
adalah kesedaran yang telah mendorong lebih ramai pakar pediatrik
hari ini untuk bukan saja mendengar apa yang dikatakan ibubapa
tetapi juga cerita dari anak itu sendiri tentang apa yang dialaminya.
Datuk Dr Zulkifli mengingatkan semua ibubapa untuk menjadikan
anakanak sebagai keutamaan dalam kehidupan mereka. Beliau berkata:
“Ianya bukan tentang menjadualkan anak anda ke dalam rutin
harian tetapi sentiasa bersedia untuk memberikan kasih sayang
yang diperlukan oleh anak anda.” |