Vaccination
  • Menjelaskan Keraguan Anda Terhadap Vaksinasi
  • Masalah Cirit-Birit
  • Adakah Anak Anda Dilindungi Daripada HPV?
  • Perlawanan Kami Dengan Pertussis
  • Vaksin Pilihan Tidak Kurang Penting
  • Mencegah Pneumokokus!
  • Bolehkah Penyakit Asma Dikawal?
  • Pertusis Pada Orang Dewasa
  • Dapatkan Kuasa Menentang Penyakit Pneumokokal
  • Imunisasi - Menghentikan Penularan Penyakit
  • Vaksin: Sahabat Atau Seteru?
  • Bantu Urus Cirit-Birit Bayi Anda
  • Hindari Jangkitan Pneumokokus
  • Penjagaan Untuk Cacar Air
  • Vaksin Melindungi Anak Anda Daripada Penyakit Pneumokokus
  • Perlindungan Lebih Baik, Suntikan Berkurangan
  • Punca Kekurangan Pendengaran
  • Sistem Imun Sihat, Anak Juga Sihat
  • Lindungi Daripada Penyakit Pneumokokus
  • Elakkan Cacar Air
  • Lindungilah Hati Anak Anda
  • Suntikan Berkurangan, Perlindungan Setanding
  • Cirit-Birit Di Kalangan Kanak-Kanak
  • Ketakutan Serangan Rotavirus Deena & Amzar
  • Suntikan Minima Untuk Perlindungan Sepenuhnya
  • Menerima Suntikan Vaksinasi Atau Tidak?
  • Perlindungan untuk hidup
  • Vaksin pilihan
  • Bahaya penyakit pneumokokus
  • Musuh yang boleh membawa maut
  • Perlindungan seumur hidup


  • Penjagaan Anak
  • Vaksinasi
  • Penjagaan Kecederaan
           


Menjelaskan Keraguan Anda Terhadap Vaksinasi

Adakah vaksinasi bahaya? Haruskah anak anda mendapatkan vaksinasi?

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik & Kardialogi Pediatrik

 

Menjelaskan Keraguan Anda Terhadap Vaksinasi

Penyakit yang boleh dicegah seperti pneumonia, meningitis dan cirit-birit mengakibatkan dua pertiga kematian kanak-kanak di seluruh dunia pada tahun 2010. Semua kematian ini boleh dielakkan dengan vaksinasi, namun ramai ibu bapa masih mempunyai keraguan untuk anak-anak mereka menerima vaksinasi.

Kebimbangan mereka termasuk kemungkinan anak-anak mereka akan mengalami tindak balas yang kurang baik, kesan sampingan, ataupun jatuh sakit akibat vaksin tersebut. Terdapat banyak kontroversi mengenai vaksinasi dengan banyak tuduhan yang bukan-bukan untuk mengelirukan ibu bapa.

Bagaimanakah vaksin berfungsi

Badan anak anda menghasilkan sel-sel dan antibodi secara semula jadi untuk membantu melindunginya terhadap virus dan bakteria. Namun, mekanisme perlindungan ini boleh menjadi lemah. Vaksin mengandungi sejumlah kecil atau sebahagian daripada virus atau bakteria yang lemah atau mati; vaksinasi berfungsi dengan merangsang untuk melawan virus dan bakteria ini, lalu mengukuhkan imuniti dengan menyediakan sel-sel pertahanan untuk mengenali virus atau bakteria yang tertentu supaya mereka boleh melawan virus atau bakteria ini dengan lebih baik pada masa akan datang.

Manfaat vaksinasi

Vaksinasi telah terbukti dapat mengawal dan menghapuskan penyakit. Ia juga melindungi mereka yang bersentuhan dengan orang yang telah divaksin dengan mencegah penyebaran penyakit. Vaksinasi dapat mengelakkan trauma mental dan fizikal akibat sesuatu penyakit dan menahan komplikasinya.

Isu ini harus dipandang dan pastikan anak anda menerima vaksin yang termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) serta vaksin lain yang disyorkan pada umur yang sesuai.

Kisah-kisah kejayaan

Oleh sebab adanya vaksin, penyakit menular sebelum ini hampir dapat dibasmikan. Penyakit-penyakit termasuk:
Penyakit Cacar: Telah dibasmikan sepenuhnya di seluruh dunia pada 1979.
Polio: Pada tahun 1978, sebanyak 120 kes telah direkodkan, tetapi menjelang tahun 1992, angka tersebut jatuh kepada hanya 4 kes yang dibawa masuk dari negara-negara lain. Tiada kes polio berlaku sejak tahun 2010.
Difteria: Pada tahun 1976, sebanyak 250 kes telah direkodkan, tetapi menjelang tahun 2007, tiada kes difteria telah dilaporkan.
Pertusis: Jumlah kes jatuh lebih daripada 90% dari tahun 1975 hingga 2008. Namun, penyusutan dalam imuniti dan keperluan untuk vaksin pertusis bagi orang dewasa telah membawa kepada kemunculannya semula.

Salah tanggapan tentang vaksinasi dan vaksin

  1. Vaksin menyebabkan kesan sampingan, penyakit, kematian atau kesan sampingan jangka panjang
    Vaksin adalah selamat untuk digunakan. Sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami sedikit kesan selepas divaksin, seperti sakit lengan atau demam ringan, tetapi kesan buruknya sangat jarang berlaku. Satu pengawasan berterusan yang dijalankan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat menunjukkan sedikit atau tiada bukti bahawa kematian yang dilaporkan kepada ‘Vaccine Adverse Event Reporting System’ (VAERS) adalah disebabkan oleh vaksin.*
  2. Memberikan anak anda pelbagai vaksin untuk penyakit yang berbeza serentak boleh membebankan sistem pertahanannya
    Vaksin gabungan tidak akan membebankan sistem pertahanan kanak-kanak. Kajian telah menunjukkan bahawa sistem pertahanan kanak-kanak dapat mengendalikan lebih banyak antigen daripada apa yang terkandung dalam vaksin gabungan. Ia penting memandangkan anak anda terdedah kepada bakteria dan virus setiap hari.
  3. Sesetengah penyakit sudah pun lenyap, jadi anak saya tidak perlu mendapatkan vaksinasi terhadapnya
    Sesetengah penyakit adalah jarang berlaku di negara kita disebabkan vaksinasi wajib yang berkesan. Namun, ahli keluarga atau rakan-rakan yang melancong ke negaranegara di mana penyakit ini masih wujud tanpa disedari mungkin membawa penyakit ini pulang.Vaksinasi untuk anak anda akan membantu mencegahnya daripada dijangkiti penyakit ini. Vaksinasi deman cacar telah dihentikan setelah penyakit cacar telah dihapuskan.

Kontroversi Vaksin: Adakah ini benar?

  • Vaksin MMR (campak, beguk, rubella) menyebabkan autism dan penyakit usus
    Hubung kait antara MMR dan autism adalah tidak berasas!

    Pada tahun 1998, penyelidik dari British, Dr Andrew Wakefield menerbitkan satu kertas kerja dalam jurnal perubatan The Lancet, yang mendakwa hubung kait antara vaksin MMR dengan autisme dan penyakit usus. Kertas kerja ini telah diragui oleh ramai pakar kerana ia adalah berdasarkan satu kajian siri kes yang kecil dan tidak mempunyai kumpulan kawalan yang mengaitkan tiga keadaan sepunya, dan hanya bergantung kepada daya ingatan dan kepercayaan ibu bapa. Brian Deer, seorang wartawan kemudiannya menunjukkan bukti bahawa Wakefield memalsukan sejarah perubatan pesakit untuk menyokong dakwaannya tentang penemuan suatu sindrom baru.

    Sejak itu, The Lancet telah menarik balik artikel tersebut, namun artikel ini telah menyebabkan wabak campak yang berlaku di UK yang menyebabkan banyak kematian.
  • Vaksin Polio menyebabkan lumpuh
    Laporan tentang vaksin polio menyebabkan kelumpuhan poliomielitis akibat vaksin (VAPP) telah berterusan selama bertahun-tahun, namun di sebalik gembar-gembur itu, ia sebenarnya sangat jarang berlaku. NIP Malaysia menukar dari ubat vaksin polio melalui mulut kepada suntikan vaksin polio (IPV – inactivated polio vaccine) yang tidak menyebabkan VAPP.
  • Vaksin Polio dan ketidaksuburan
    Dakwaan yang tidak berasas ini berasal dari negara-negara Afrika untuk mencegah penggunaan vaksin polio secara oral (OPV) dalam kalangan masyarakat Islam Afrika. Dakwaan ini telah membawa kesan negatif terhadap usaha untuk mengurangkan polio di negara-negara Afrika, Pakistan, dan Afghanistan – iaitu negara-negara yang masih tersebarnya polio.

Vaksinasi merupakan cara pencegahan primer yang bebas gangguan dan berkos rendah untuk kanak-kanak. Berbanding dengan risiko vaksinasi, komplikasi akibat penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin adalah lebih teruk. Lakukan sekarang jika anak-anak anda masih belum menerima pemvaksinan. Jangan abaikan suntikan penggalak kerana ia penting untuk melindungi anak anda dengan berkesan.

* Pengawasan berterusan CDC antara 1990 and 1992


Vaksin Pilihan Tidak Kurang Penting

Memahami sebab vaksin pilihan sama penting dengan vaksin wajib

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik & Kardiologi Pediatrik

 

Vaksin Pilihan Tidak Kurang Penting

Vaksinasi memainkan peranan penting dalam kesihatan dan perkembangan bayi dan kanak-kanak kecil di seluruh dunia. Meskipun badan si manja anda dapat mengeluarkan sel dan antibodi yang mampu menentang virus dan bakteria, tanpa bantuan vaksin, ia tidak dapat melindungi diri sendiri daripada jenis patogen tertentu. Antaranya termasuk hepatitis, batuk kokol, tetanus (kancing gigi), meningitis, dan juga campak dan cacar air.

Vaksin diperbuat daripada sejumlah kecil virus, bakteria atau sebahagian daripadanya yang telah dibunuh atau dilemahkan. Ia mencegah penyakit, kehilangan upaya, dan juga kematian dengan merangsang sistem imun si manja anda apabila ia dimasukkan ke dalam badannya.

Vaksin wajib

Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan jadual immunisasi atau pelalian sejak tahun 1950-an, dengan mewajibkan vaksin tertentu untuk mencegah penyakit utama yang meyerang kanak-kanak. Vaksin wajib ini diberikan secara percuma oleh kerajaan, manakala vaksin pilihan pula boleh didapati di hospital dan klinik swasta di seluruh Malaysia.


Penyakit

Vaksin

Usia

Tuberkulosis atau batuk kering (TB) - jangkit dan membawa maut, boleh mengakibatkan kerosakan paru-paru, radang selaput otak atau penyakit tulang.

Vaksin BCG

Semasa lahir Umur 7 tahun jika tiada parut BCG

Hepatitis B - jangkitan virus yang boleh menyebabkan jaundis dan kanser hati.

Siri 3 suntikan vaksin Hepatitis B

Semasa lahir; usia 1 & 5 bulan

Difteria - menyebabkan sekatan saluran udara dan boleh menyebabkan kerosakan jantung dan otak.

Vaksin DTP

Usia 2, 3 & 5 bulan; suntikan penggalak pertama pada usia 18 bulan; penggalak ke-2 pada usia 6-7 tahun

 

Pertusis (batuk kokol) - batuk teruk, berpanjangan yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru dan otak.

Tetanus (kancing gigi) - kekejangan otot teruk yang boleh membawa maut.

Poliomielitis (Polio) - kelemahan otot kekal; yang boleh menyebabkan lumpuh, terutama sekali kaki.

Vaksin polio - diberi melalui mulut atau diambil bersama DTP

Campak - sangat mudah berjangkit, ditandakan oleh demam. Batuk, hidung berair dan ruam.

Vaksin MMR

Pada usia 12-15 bulan; 7 tahun

Beguk - sangat mudah berjangkit, menyebabkan bengkak kelenjar belakang rahang.

Rubela (campak Jerman) - boleh diturunkan daripada wanita hamil kepada bayi mereka.

Hemofilus influenzae B (Hib) - keradangan membran selaput otak dan saraf tunjang (meningitis), pneumonia, bronkitis, bakteremia, jangkitan telinga, dan epiglotitis.

Vaksin Hib

Pada usia 2, 3 & 5 bulan; diberikan dengan DTP


Apakah vaksin pilihan?

Jadual vaksin wajib yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan memastikan si manja anda dilindungi daripada penyakit tersebut di atas yang boleh membawa maut. Bagaimanapun, si manja anda juga boleh mendapat perlindungan daripada penyakit lain menerusi pelbagai vaksin pilihan, termasuk:

Vaksin pilihan

Melindungi daripada...

Disebabkan oleh

Bilangan suntikan

Bila untuk diberikan

Varisela

Cacar air

Virus Varisela

2 dos

Selepas 1 tahun

Vaksin Pneumokokal

Penyakit pneumokokal invasif

Streptococcus pneumoniae

1-4 bergantung pada usia

Selepas 2 bulan dan sehingga 9 tahun

Meningcoccal A, C, Y, W-135

Meningitis

Neisseria meningitidis

Setiap 3-5 tahun

Selepas usia 2 tahun

Taun

Taun

Vibrio cholerae

2-3 dos melalui mulut

Dari 2 tahun

Demam kepialu

Demam kepialu

Salmonella typhy

Setiap 3 tahun

2 tahun ke atas

Hepatitis A

Hepatitis A

Hepatitis A virus

Dua

2 tahun ke atas

Influenza

Influenza

Virus Influenza

Setiap tahun

6 bulan ke atas

Rotavirus

Gastroenteritis disebabkan rotavirus

Rotavirus

2-3 dos

Dari 6 minggu

Ensefalitis Jepun

Ensefalitis Jepun

Flavivirus yang dibawa oleh nyamuk culex

2-3 dos

Selepas 18 bulan, 3 dos


Ramai ibu bapa tidak pasti sama ada vaksin pilihan ini perlu, memandangkan vaksin awal zaman kanak-kanak sudah diberikan. Bagaimanapun, vaksin pilihan sama penting dan telah dilaporkan selamat dan berkesan untuk mengelakkan penderitaan yang tidak perlu dan risiko komplikasi daripada penyakit yang nampak tidak mengancam nyawa. Sebagai contoh, pneumokokus boleh mengakibatkan meningitis, iaitu radang selaput otat dan saraf tunjang. Dalam kes teruk, meningitis boleh menyebabkan kerosakan otak atau kematian di kalangan bayi dan kanak-kanak bawah umur 2 tahun!

Dapatkan keterangan lanjut mengenai vaksinasi pilihan yang perlu dan penting ini daripada pakar pediatrik anak anda. Ingatlah, pencegahan adalah lebih baik daripada pengubatan. Nyawa si manja anda tidak ternilai harganya! Ambil langkah yang betul hari ini.


Perlawanan Kami Dengan Pertussis

Seorang ibu menceritakan pengalaman keluarganya dalam melawan Pertussis, dan bagaimana kehidupan mereka berubah sejak dijangkiti penyakit yang merbahaya ini.

 

Perjuangan yang teguh Puan Sheila Prasannan dan keluarganya terhadap penyakit Pertussis (juga dikenali sebagai 'batuk kokol') adalah satu pengalaman yang harus dikongsi bersama dengan semua. Penyakit sistem pernafasan yang berjangkit ini adalah disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis dan telah menjangkiti seluruh ahli keluarga dalam jangka masa beberapa hari, menerusi transmisi yang tidak sengaja dari ibu kepada bayi dan seterusnya kepada ahli keluarga yang lain.

Perlawanan Kami Dengan Pertussis
Mrs Sheila Prasannan with baby Krishen

Pertussis adalah sukar dikesan kerana gejala awalnya menyerupai gejala selesema atau bronkitis. Di samping itu, pertussis berlaku lebih lazim di kalangan kanak-kanak kerana gejalanya kurang didiagnos di kalangan orang dewasa. Oleh sebab itu, penyakit tersebut sering tidak dapat dikesan, tersilap diagnosis atau tidak dirawati di kalangan kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak. Ini adalah sesungguhnya apa yang dialami oleh Puan Sheila dan bayinya apabila dijangkiti dan tersilap diagnosis pada awalnya.

Adakah ia hanya batuk yang biasa?

Pada 12hb Julai 2011, Puan Sheila melahirkan anak keduanya, Krishen di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Dua minggu selepas keluar dari hospital, beliau menghidapi batuk dan bersin yang serderhana, dan keadaan ini beransur-ansur menjadi lebih kerap. Oleh sebab beliau bimbang bahawa beliau akan menjangkiti batuk itu kepada bayinya semasa penyusuan susu ibu, beliau mendapatkan pemeriksaan di klinik. "Saya telah dimaklumkan oleh doktor bahawa saya mungkin diserang asma walaupun saya tidak mempunyai tanda-tanda asma selama 15 tahun. Doktor tersebut juga menjamin bahawa ia adalah selamat untuk menyusu susu ibu kepada anak saya, walaupun keraguan saya mengenai perkara ini masih berterusan", kata Puan Sheila. Beliau kemudian dirawat untuk asma dan diberi antibiotik.

Namun, batuk Puan Sheila menjadi lebih teruk dalam beberapa hari kemudian dan diikuti dengan muntah. Ada kalanya, bunyi "whoop" boleh kedengaran semasa beliau menyedut nafas pada akhir setiap batukan. Beberapa klinik yang sekali lagi dikunjungi oleh Puan Sheila memaklumkannya bahawa ia hanya batuk yang serdehana dan akan hilang sama sekali. Malah ada yang berkesimpulan bahawa ia adalah keracunan makanan.

Kerisauan Puan Sheila yang paling ditakuti telah disahkan apabila bayinya turut mula batuk dan muntah. Batuk anaknya menjadi lebih kerap dalam satu minggu sehingga dia batuk setiap beberapa minit dan tercungap-cungap untuk bernafas. "Saya membawa anak saya kepada pakar pediatrik yang memberitahu saya bahawa ia adalah hanya batuk yang biasa dan saya tidak perlu terlalu bimbang akannya. Anak saya juga diberi ubat antibiotik. Malangnya, batuk anak saya tidak menjadi lebih baik. Batuk saya sendiri pada masa itu telah menjadi semakin teruk dan saya muntah hampir setiap 5 minit. Pernafasan saya juga menjadi sangat sukar kerana asma saya telah kembali", tambah Puan Sheila.

Ia adalah pertussis!

Disebabkan keadaan kesihatan yang semakin buruk, Puan Sheila dan bayi Krishen telah dihantar dan dimasukkan ke hospital yang berdekatan untuk pemerhatian selanjutnya. Doktor yang mengendali kesnya telah bertindak cepat dan mengesyaki bahawa kedua-dua ibu dan anak telah dijangkiti "batuk kokol" dan mereka diberi antibiotik yang digunakan khas untuk merawat jangkitan sistem pernafasan yang disebabkan oleh bakteria.

"Doktor tersebut menjelaskan bahawa batuk kokol adalah satu penyakit kanak-kanak yang sangat serius and ia kurang lazim berlaku di kalangan orang dewasa. Di samping demam, bersin, muntah, and hidung berair, keterukan batuk itu boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak menjadi kebiruan atau mengalami pendarahan pada bahagian putih mata semasa batuk yang teruk. Komplikasi yang mengancam nyawa seperti sawan, kepatahan tulang rusuk, kejejasan otak dan peparu, pneumonia dan juga maut boleh berlaku dalam kes-kes yang sangat teruk. Dia juga menjelaskan bahawa anak saya senang dijangkiti kerana dia tidak divaksinasikan terhadap pertussis. Saya juga berasa amat terkejut bahawa pertussis turut boleh menjejaskan orang dewasa", kata Puan Sheila.

Semasa berada di hospital, anak Puan Sheila, Naga yang berumur 1½ tahun, serta suami dan ibunya telah dijangkiti batuk yang serdehana. Walau bagaimanapun, ketiga-tiganya pulih kerana mereka telah diberi antibiotik yang sama seperti Puan Sheila and Krishen dengan serta-merta.

Bagaimana kehidupan telah berubah selepas itu

Selepas kedua-dua ibu dan bayi telah keluar dari hospital, Puan Sheila meneruskan usahanya untuk mengetahui lebih maklumat tentang 'batuk kokol' daripada pelbagai sumber dan laman web dan beliau terjumpa satu artikel mengenai 'Pertussis di Kalangan Orang Dewasa' yang diterbit oleh Positive Parenting di The Star Online.

'Saya berasa amat berterima kasih kepada PP yang telah menerbitkan artikel ini kerana tidak banyak sumber online di Malaysia yang memberi maklumat yang terperinci tentang batuk kokol. Melalui artikel ini, saya juga berjaya berhubung dengan penulis artikel, iaitu Datuk Dr Zulkifli, untuk mendapatkan pandangan sekunder dan mempelajari lebih banyak mengenai penyakit ini. Oleh sebab Pertussis adalah mudah berjangkit, Dr Zulkifli menasihatkan kami untuk kuarantin diri hari untuk memerhatikan sama ada penyakit ini berterusan. Beliau telah menjadi pembimbing kita sejak itu," tambah lagi Puan Sheila.

Puan Sheila menggambarkan penyakit yang berjangkit ini sebagai satu mimpi ngeri dan masih belum memulih sepenuhnya daripada gejala-gejala pertussis. Jika terdapat maklumat yang lebih meluas mengenai batuk kokok, doktor-doktor sebelum ini mungkin telah dapat mengesan gejala-gejala pertussis lebih awal lagi dan memberikan kami ubat yang betul dan vaksinasi yang diperlukan untuk berlawan dengan jangkitan ini.

"Sesungguhnya saya menasihatkan bahawa ibubapa yang lain mendapatkan suntikan perlindungan pertussis untuk diri sendiri dan anak mereka secepat mungkin kerana ia adalah lebih baik untuk membayar lebih sekarang daripada terpaksa menanggung akibatnya kemudian," nasihat Puan Sheila. Kedua-dua anaknya telah divaksinasikan dengan vaksin DTaP (Diptheria-Tetanusacellular pertussis) yang disyorkan untuk imunisasi kanak-kanak dan mereka kini berada di peringkat pemulihan.

Bawa keluarga anda untuk divaksinasi

"Terdapat vaksinasi untuk kedua-dua kanak-kanak dan orang dewasa untuk melindungi daripada pertussis. Di Malaysia, bayi akan diberi vaksin DTaP pada umur 2, 3, 5, dan 18 bulan. Kanakkanak menerima vaksin Difteria dan Tetanus (DT) pada umur 7 tahun (tetapi bukan vaksin pertussis). Namun, oleh sebab kesan perlindungan vaksin akan hilang selepas 4 hingga 12 tahun, kanak-kanak, remaja dan orang dewasa perlu mendapatkan semula vaksin terhadap penyakit itu. Ia adalah dinasihatkan bahawa mereka disuntik dengan vaksin Tdap yang digunakan sebagai suntikan perlindungan untuk mengukuhkan imuniti," nasihat Dr. Zulkifli Ismail.

Jika anda mengandung dan ingin mendapatkan vaksinasi terhadap batuk kokol, ia adalah dinasihatkan supaya anda tunggu sehingga trimester kedua atau ketiga sebelum mendapatkan vaksinasi. Dalam apa-apa jua keadaan, dapatkan nasihat daripada doktor atau pakar pediatrik untuk mengetahui masa yang optimum untuk mendapatkan vaksinasi.


Adakah Anak Anda Dilindungi Daripada HPV?

Ketahui apakah itu HPV dan bagaimanakah anda boleh mencegah anak anda daripada jangkitan yang "senyap" ini.

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik & Kardiologi Pediatrik

 

Human Papillomavirus (lebih biasa dikenali sebagai HPV) merupakan salah satu jangkitan virus melalui hubungan seks yang menjangkiti lelaki, perempuan dan kanak-kanak secara meluas. Di antara lebih daripada 130 jenis HPV, terdapat 40 jenis yang boleh menjangkiti bukan sahaja kawasan kemaluan lelaki dan perempuan, tetapi juga mulut, kulit dan tekak. Jangan keliru antara Human Papillomavirus dengan virus Herpes atau Human Immunodeficiency Virus (HIV) kerana virus-virus ini yang juga dijangkiti melalui hubungan seks mengakibatkan gejala-gejala dan masalah kesihatan yang berlainan.

Adakah Anak Anda Dilindungi Daripada HPV?

Walaupun tidak terdapat data untuk kejadian atau prevalensi jangkitan HPV di Malaysia, terdapat beberapa data mengenai berlainan jenis HPV di kalangan pesakit kanser pangkal rahim dalam negara ini. Di antara pesakit-pesakit ini, 73% daripada mereka mempunyai HPV jenis 16 dan 65.2% dengan HPV jenis 18. Penyakit kanser pangkal rahim adalah dikaitkan dengan HPV jenis 16, 18 dan 31.

Walaupun banyak maklumat tentang HPV memberi fokus kepada perempuan kerana risiko mereka yang meningkat untuk menghidapi kanser pangkal rahim, namun jangkitan HPV juga boleh menyebabkan banyak masalah kesihatan kepada lelaki. Seseorang lelaki yang dijangkiti HPV mempunyai risiko yang meningkat untuk menghidapi kanser kemaluan, walaupun kanser jenis ini adalah kurang lazim. HPV juga boleh menyebabkan ketuat kemaluan di kalangan lelaki, sama seperti wanita. Sehingga kini, tiada ubat untuk merawat HPV sepenuhnya. Namun, vaksinasi adalah tersedia untuk mencegah penyakit yang berkaitan dengan HPV.

Berjaga-jaga dengan ini!

Kebanyakan orang dewasa dan kanak-kanak yang dijangkiti HPV tidak sedar bahawa mereka telah dijangkiti kerana ia tidak menunjukkan sebarang gejala atau masalah kesihatan yang terjadi daripadanya. Jika anda atau anak anda dijangkiti, tandatanda dan gejala-gejala mungkin mengambil beberapa minggu, bulan ataupun tahun sebelum ia kelihatan. Secara amnya dan hampir 90% daripada kes-kes ini, sistem imun badan akan menyingkirkan HPV dalam masa 1-2 tahun.

Namun, ada kalanya jangkitan gagal disingkirkan dan ini boleh menyebabkan beberapa keabnormalan selular seperti:

  • Kanser pangkal rahim - di antara sebahagian kecil wanita, HPV kekal di dalam sel-sel serviks dan menyebabkan perubahan di dalam struktur sel. Dalam kes-kes seperti ini, keabnormalan serviks boleh berkembang menjadi kanser. Terdapat 15 jenis HPV yang menyebabkan kanser yang boleh membawa kepada kanser pangkal rahim; beberapa jenis yang paling lazim adalah HPV jenis 16, 18, 45 dan 31. HPV jenis 16 dan 18 bersama-sama menyumbang kepada 70% daripada kanser pangkal rahim di dunia.
  • Recurrent Respiratory Papillomatosis (RRP) - ialah satu keadaan di mana ketuat tumbuh di dalam tekak. Pertumbuhan ini kadang-kadang boleh menyekat saluran pernafasan, mengakibatkan suara serak atau kesukaran untuk bernafas. Ketuat kemaluan - biasanya muncul sebagai benjolan kecil atau kumpulan lebam pada kawasan kemaluan. Mereka boleh muncul dalam bentuk dan saiz yang berbeza. Ketuat ini lazimnya dikaitkan dengan HPV jenis 6 dan HPV jenis 11. Ketuat boleh muncul dalam beberapa minggu atau bulan selepas hubungan seksual dengan pasangan yang dijangkiti - walaupun pasangan yang dijangkiti tidak mempunyai tandatanda ketuat kemaluan. Jika ketuat ini tidak dirawati, mereka mungkin hilang, kekal tidak berubah, atau meningkat dalam saiz atau jumlah.
  • Kanser lain yang berkaitan dengan HPV seperti kanser vulva, faraj, zakar, dubur dan tekak.

Dapatkan vaksinasi untuk anak anda!

Terdapat beberapa cara di mana anda boleh mengurangkan risiko anak anda daripada dijangkiti HPV dan kesan-kesan kesihatan. Vaksin yang selamat dan efektif tersedia ada untuk melindungi kedua-dua lelaki dan perempuan daripada beberapa jenis HPV yang lazim dan masalah kesihatan yang boleh disebabkan oleh virus tersebut. Vaksin ini adalah diberi dalam tiga kali suntikan. Adalah penting untuk anak anda mendapatkan kesemua tiga dos untuk menerima perlindungan yang terbaik. Vaksin adalah paling efektif jika diberi pada usia 11 atau 12 tahun, iaitu sebelum hubungan seksual yang pertama.

  • Kanak-kanak perempuan dan wanita: Terdapat two jenis vaksin untuk melindungi perempuan daripada kanser pangkal rahim kerana kanser jenis ini menyebabkan lebih daripada 1,500 kes setiap tahun di Malaysia. Salah satu vaksin ini juga melindungi daripada kebanyakan ketuat kemaluan dan kanser dubur, faraj, dan vulva. Vaksin ini adalah disyorkan untuk kanakkanak perempuan berusia 11 dan 12 tahun, dan wanita dari 13 hingga 26 tahun yang tidak pernah menerima suntikan tersebut semasa muda. Vaksin ini juga boleh diberi kepada kanak-kanak perempuan bermula dari usia 9 tahun. Ia adalah disyorkan untuk mendapatkan vaksin daripada jenama yang sama untuk ketiga-tiga suntikan, jika boleh.
  • Kanak-kanak lelaki dan lelaki dewasa: Vaksin yang sama boleh digunakan untuk mencegah kebanyakan ketuat anokemaluan dan kanser. Ia boleh diberikan kepada orang lelaki yang berusia 9 hingga 26 tahun. Kanser pangkal rahim boleh dirawat dengan sepenuhnya jika ia dikesan dan dirawat awal. Ia adalah disyorkan bahawa perempuan mendapatkan rutin pemeriksaan Pap smear dan disusuli jika perlu supaya sebarang masalah boleh dikesan sebelum kanser terbentuk. Ingatlah bahawa pencegahan adalah sentiasa lebih baik daripada merawat.

Kanser pangkal rahim boleh dirawat dengan sepenuhnya jika ia dikesan dan dirawat awal. Ia adalah disyorkan bahawa perempuan mendapatkan rutin pemeriksaan Pap smear dan disusuli jika perlu supaya sebarang masalah boleh dikesan sebelum kanser terbentuk. Ingatlah bahawa pencegahan adalah sentiasa lebih baik daripada merawat.

Bagaimana ia berjangkit

  • Biasanya berjangkit melalui sentuhan pada bahagian kemaluan, paling kerapnya adalah semasa aktiviti seksual melalui dubur dan faraj - virus ini boleh berjangkit dari sentuhan tangan-ke-kemaluan, tangan-ke-dubur dan mulut-ke-kemaluan melalui liang kecil pada permukaan kulit semasa hubungan seks.
  • Penderaan seksual di kalangan kanak-kanak juga boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak menjangkiti ketuat kemaluan.
  • Transmisi bukan seksual yang lain seperti transmisi virus dari ibu ke bayi menerusi salur kelahiran semasa bersalin - dalam kes ini, bayi boleh mendapat Juvenile-Onset Recurrent Respiratory Papillomatosis (JORRP) yang boleh menghalang saluran pernafasan dan mengakibatkan kesukaran untuk bernafas. Bayi-bayi ini mungkin memerlukan pembedahan untuk melegakan halangan tersebut. Sesetengah kanakkanak mungkin memerlukan sebanyak 10 kali pembedahan setiap tahun. Kira-kira 1-3% kanak-kanak mati akibat keadaan ini.

Perhatian: Dalam usaha pencegahan kanser pangkal rahim, Kementerian Kesihatan Malaysia kini memberikan imunisasi HPV percuma untuk semua kanak-kanak perempuan Tingkatan 1 dan berumur 13 tahun di semua sekolah dan klinik kesihatan kerajaan. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Kementerian Kesihatan Malaysia pada talian: 1800-88-1478 (HPV).


Masalah Cirit-Birit

Pelajari cara-cara untuk mengatasi masalah cirit-birit anak anda dengan berkesan.

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik & Kardiologi Pediatrik

 

Ramai bayi dan kanak-kanak akan mengalami masalah cirit-birit pada suatu peringkat umur. Ia biasanya bukanlah satu penyakit yang serius dan boleh dirawat di rumah. Punca cirit-birit akut yang paling lazim ialah gastroenteritis virus, di mana perut dan usus mengalami keradangan disebabkan oleh sejenis virus yang dipanggil Rotavirus.

The Diarrhoea Dilemma

Menurut satu kaji selidik yang dijalankan di seluruh negara baru-baru ini, virus ini merupakan punca utama serangan cirit-birit yang teruk yang menyebabkan lebih daripada 2686 kes cirit-birit di kalangan kanak-kanak di Malaysia.

Malah, dua orang bayi yang berumur 2 dan 10 bulan, telah meninggal dunia daripada jangkitan Rotavirus yang berlaku di Perak pada awal bulan Februari tahun ini.

Virus ini boleh menyebabkan kematian jika gejalagejalanya tidak diurus dengan baik. Ketahui cara-cara untuk mengenali dan merawat gejala-gejala ini sebelum berlakunya sebarang komplikasi yang selanjutnya.

Pengesanan awal

Ia adalah biasa kanak-kanak yang dijangkiti cirit-birit mengalami peningkatan dalam kekerapan membuang air besar, iaitu dua kali lebih kerap daripada biasa dalam sehari. Ini mungkin diikuti dengan kekejangan, sakit perut dan pergerakan usus yang tidak terkawal. Jika cirit-birit berlarutan melebihi dua hari, anak anda berisiko untuk mengalami dehidrasi, yang boleh membahayakan kanakkanak yang mempunyai sistem imun yang lemah. Berikut adalah tanda-tanda lazim cirit-birit yang menunjukkan dehidrasi dan perlu diambil ke doctor:

  • Kelesuan atau meragam
  • Demam tinggi
  • Lampin tidak basah untuk 3 jam atau lebih (bagi bayi)
  • Tiada air mata apabila menangis
  • Mata cengkung
  • Fontanel yang cengkung (bahagian lembut pada kepala bayi)

Dapatkan nasihat perubatan dengan segera jika anda perhatikan kehadiran darah dalam najis.

Pencegahan!

Jangkitan Rotavirus sangat mudah berjangkit. Kanakkanak boleh menyebarkan virus tersebut apabila mereka terlupa untuk membasuh tangan sebelum makan atau selepas menggunakan tandas. Rotavirus boleh bertahan selama beberapa hari pada permukaan yang keras dan kering, dan ia boleh hidup selama berjam-jam di tangan manusia. Walaupun tidak terdapat rawatan yang spesifik untuk rotavirus, berikut adalah beberapa cadangan untuk mencegah jangkitan virus di rumah.

  • Amalkan kebersihan diri yang baik. Pastikan anda dan anak anda membasuh tangan dengan baik dan kerap, terutamanya selepas menggunakan tandas dan sebelum makan.
  • Pastikan bahawa anda menghidangkan makanan yang dimasak dengan betul dan hidangkan makanan sejerus selepas memasak.
  • Mencuci buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar dengan sebersih-bersihnya.
  • Lebih berhati-hati apabila anda membeli makanan dari gerai penjaja di tepi jalan.
  • Melatih anak anda supaya mengelakkan daripada minum air terus dari paip.

Vaksinasi - keputusan yang bijak

Oleh kerana peningkatan sanitasi tidak mengurangkan prevalensi penyakit rotavirus dan kadar kemasukan hospital kekal tinggi meskipun dengan penggunaan cecair rehidrasi oral, intervensi kesihatan awam yang paling berkesan ialah vaksinasi. Vaksin rotavirus boleh didapati sebagai vaksin pilihan di Malaysia. Vaksin adalah diberi secara oral, dalam 2 atau 3 dos bergantung kepada pengeluar vaksin. Vaksinasi hanya boleh diberikan kepada bayi yang berumur kurang daripada enam bulan.

Kadang-kadang, kejahilan adalah kebahagiaan, tetapi ia pasti bukanlah satu penyelesaian untuk mengatasi masalah rotavirus. Mencegah kejahilan merupakan langkah pertama untuk mengatasi masalah ini dan ia sepatutnya berlaku bukan hanya apabila orang yang kita sayangi dijangkiti rotavirus, sebaliknya ia harus menjadi satu proses yang berterusan untuk membantu meningkatkan kadar keseluruhan kelangsungan hidup kanak-kanak daripada penyakit cirit-birit.

Dapatkan rawatan

Proses perjuangan untuk mengatasi cirit-birit mungkin tidak selesa dan tidak menyenangkan, tetapi lazimnya ia tidak menjadi masalah bagi kanak-kanak yang sihat. Namun, jika anda tidak cukup teliti untuk menggantikan cecair badan yang hilang, anda mungkin akan merumitkan suatu situasi yang sepatutnya mudah sekali. Berikut adalah beberapa cara untuk memastikan anak anda sihat semasa cirit-birit:

  1. Menyusu bayi
    • Bagi bayi, susu ibu kekal sebagai pilihan yang terbaik. Ia adalah sumber pemakanan yang bersih dan mengandungi faktor antimikrobial yang boleh membantu meningkatkan sistem imun bayi anda. Jika anda sedang menyusu, terus berbuat demikian.
  2. Kekalkan hidrasi badan
    • Banyakkan minum air dalam jumlah yang sedikit tetapi secara kerap
    • Pastikan minuman anda sejuk dan menghirup cecair secara kerap dan bukannya meneguk satu gelas air sekaligus.
    • Beri anak anda Air Garam Rehidrasi (ORS) untuk menggantikan cecair dengan cepat jika anak anda boleh mengambilnya. Tanyakan doktor anda tentang jenis, jumlah dan tempoh yang harus diberi.
  3. Elakkan makanan berminyak
    • Apabila anda mengalami cirit-birit untuk jangka masa yang singkat, anda boleh menjaga diet anda dan pastikan ia hambar.
  4. Akhir sekali, banyakkan berehat.


Mencegah Pneumokokus!

Lindungi anak anda daripada bahaya penyakit pneumokokal

Oleh Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Pediatrik dan Neonatologi

 

Badan anda mempunyai sistem pertahanan semula jadi terhadap organisma berbahaya seperti bakteria dan virus. Apabila kuman ini menyerang badan anda, sistem imun anda akan menghasilkan antibodi yang membantu memusnahkannya. Selepas itu apabila anda terdedah kepada jangkitan yang sama, badan anda mengenali puncanya secara automatik dan menghasilkan antibodi yang sama untuk memusnahkannya!

Imunisasi bertindak dengan cara yang sama. Suntikan vaksin mengandungi kandungan virus atau bakteria yang kecil tetapi selamat yang telah dibunuh atau dilemahkan. Ini membantu badan anda belajar mengesan dan menumpaskan jangkitan jika anda diserang sekali lagi. Bagaimanapun, kemungkinan mengalami jangkitan selepas imunisasi adalah amat rendah, dan jika anda dijangkiti juga, jangkitan tersebut biasanya ringan.

Mencegah Pneumokokus!

Penyakit pneumokokal

Penyakit pneumokokal disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae, yang lebih dikenali sebagai pneumokokus. Kuman ini menyerang beberapa bahagian badan, menyebabkan penyakit serius di kalangan kanak-kanak dan dewasa. Pada amnya terdapat dua jenis penyakit pneumokokal, iaitu penyakit invasif dan penyakit tidak invasif.

Penyakit invasif adalah lebih serius dan menyerang organ utama atau darah dan termasuk:

  • Pneumonia – Dialami apabila pneumokokus menyerang paru-paru.
  • Bakteremia – Dialami apabila bakteria merebak dan menjangkiti darah.
  • Meningitis – Keadaan yang sangat serius apabila selaput otak dan saraf tunjang di-jangkiti.

Bakteremia dan meningitis adalah dua penyakit berbahaya yang boleh meragut nyawa dalam masa beberapa jam sahaja, dan bayi dan anak kecil tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini!

Sebaliknya penyakit bukan invasif berlaku di luar organ utama dan darah.Ini termasuk:

  • Otitis media – Jangkitan telinga tengah.
  • Sinusitis – Radang sinus.

Penyakit ini tidak begitu teruk berbanding bakteremia dan meningitis; namun begitu, ia masih boleh menyebabkan komplikasi jika tidak dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

Cegah menerusi imunisasi

Terdapat lebih 90 jenis pneumokokus yang diketahui, dengan 13 jenis yang menyebabkan 80-92% daripada penyakit invasif di kalangan kanak-kanak kecil di seluruh dunia. Imunisasi pneumokokus adalah cara terbaik untuk mencegah penyakit penumokokal invasif.

Vaksin konjugat pneumokokus(PCV), melindungi bayi dan anak kecil daripada penyakit pneumokokal. Kanak-kanak kecil yang berusia di bawah dua tahun menghadapi risiko paling tinggi dijangkiti pneumokokus. Risiko meningkat terutamanya jika anak dijaga di pusat jagaan harian atau pusat asuhan memandangkan jangkitan boleh disebarkan daripada seorang kanak-kanak kepada yang lain menerusi titisan air daripada bersin atau batuk. Manfaat tambahan vaksin ialah ia membasmi bakteria daripada nasofarinks (di belakang tekak dan hidung) justeru mencegah penyebarannya kepada kanak-kanak dan dewasa lain. Ini dikenali sebagai manfaat tidak langsung vaksin, juga dinamakan pelalian kelompok.

Mengimbangi risiko

Imunisasi adalah kaedah utama untuk mencegah pelbagai penyakit, demi menghindari kesakitan, kehilangan upaya dan mengelakkan kematian. Sesetengah ibu bapa bimbang terhadap kesan sampingan yang mungkin disebabkan oleh proses imunisasi tetapi pada hakikatnya imunisasi adalah pertahanan terbaik menentang penyakit, dan manfaatnya jauh mengatasi risiko.

Kesan sampingan yang biasa dialami daripada imunisasi hanyalah kemerahan atau bengkak ditempat suntikan yang akan hilang secara beransur-ansur. Dalam kes yang jarang berlaku, ada yang mungkin mengalami kesan alahan, tetapi ia boleh dirawat dengan berkesan jika diberi perhatian segera.

Manfaat imunisasi tidak boleh dilihat dengan serta-merta; tetapi dengan imunisasi, anda hampir pasti bahawa anak anda tidak akan diserang penyakit pneumokokal, atau terpaksa dirawat di unit rawatan rapi kerana meningitis. Walaupun imunisasi tidak 100% berkesan bagi semua kanak-kanak, adalah jauh lebih baik untuk mendapatkan vaksin daripada tidak mendapatkannya. Ia merupakan perlindungan terbaik menentang penyakit yang boleh membawa maut atau kehilangan upaya.

Bolehkah Penyakit Asma Dikawal?

Sediakan pelan tindakan yang boleh bantu menguruskan penyakit asma anak anda.

Oleh Dr Norzila Mohamed Zainudin, Pakar Perunding Kanan Pediatrik dan Respiratori

 

Bolehkah Penyakit Asma Dikawal?

Asma telah, selama beberapa tahun, menjadi masalah kesihatan yang amat ketara dan malangnya telah berterusan sedemikian. Asma, penyakit paling lazim didiagnos dalam kanak-kanak turut merupakan penyakit bronkial yang paling kronik. Gejala-gejala asma boleh mengganggu kebolehan kanak-kanak yang menghidapi asma untuk menikmati zaman kanak-kanak mereka. Secara amnya, serangan asma berlaku apabila seseorang itu mengalami serangan kesesakan nafas yang berulang dan berdehit akibat bengkak tiub bronkiol yang menyebabkan laluan udara sempit dan mengurangkan aliran udara yang masuk dan keluar dari paru-paru.

Jauhi pencetus-pencetusnya!

Faktor-faktor utama penyebab asma masih belum diketahui. Ia mungkin kombinasi faktor yang diwarisi secara genetik dan faktor persekitaran, atau salah satu daripada kedua-dua faktor ini yang bertindak secara berasingan. Apa yang pasti adalah serangan asma boleh berpunca daripada banyak pencetus. Pencetus-pencetus ini perlu dielakkan kerana boleh mengakibatkan reaksi alahan dan membawa kepada serangan asma.

 

Perengsa Asma!

Awasi bahaya-bahaya yang sering diabaikan kerana mereka boleh meninggalkan anda tercungap-cungap.

  • Asap tembakau
  • Jangkitan saluran pernafasan atas akibat virus
  • Debu rumah, hama katil atau bulu, air kencing atau air liur haiwan peliharaan
  • Wap, gas atau debu
  • Debunga dan kulat
  • Perubahan cuaca terutama sekali cuaca sejuk
  • Bahan pencuci
  • Reaksi alahan terhadap sesetengah makanan

Pelan tindakan

Walaupun asma tidak boleh disembuhkan, namun gejala asma anak anda masih boleh dikawal dengan perancangan dan pengurusan yang betul.

Satu pelan tindakan yang disediakan dengan kerjasama doktor anak anda boleh membantu anda dan anak anda mengurus serta mencegah serangan asma. Objektif pelan tindakan ini adalah untuk memaklumi ahli keluarga atau penjaga anak anda tentang apa yang perlu dielakkan bagi mencegah serangan asma, atau apa yang perlu dilakukan semasa serangan asma.

Pelan tindakan yang khusus untuk anak anda perlu mempunyai semua maklumat relevan dan penting jika berlaku kecemasan asma. Sebagai permulaan, berikut adalah satu senarai maklumat penting yang perlu disertakan dalam pelan tindakan anda:

  • Semua pencetus gejala asma anak anda dan bagaimana untuk menjauhinya.
  • Gejala asma yang biasa dialami anak anda seperti kesesakan nafas, batuk, berdehit dan sesak dada, serta apa yang perlu dilakukan jika ia berlaku.
  • Nama dan dos ubat asma harian anak anda yang perlu diambil walaupun tiada gejala asma.
  • Nama dan dos ubat pelega yang diambil anak anda apabila muncul gejala asma dan ubat penyelamat apabila mengalami serangan asma.
  • Semua nombor telefon dan lokasi perkhidmatan kecemasan dan juga nombor-nombor telefon ahli keluarga yang boleh dihubungi semasa kecemasan.
  • Beberapa arahan tentang bila perlu menghubungi doktor, siapa yang perlu dihubungi jika tidak dapat menghubungi doktor dan senarai lokasi di mana rawatan kecemasan asma boleh diperolehi dengan mudah.

Anak anda juga perlu mempunyai pengetahuan mencukupi tentang penyakit kronik ini dan ubatan yang terlibat untuk mengurus dan mencegah serangan asmanya. Duduk bersama anak anda dan terangkan kepadanya (bergantung kepada usia dan tahap pemahamannya) tentang asma dan kesannya. Latih dia untuk memantau dan mematuhi jadual ubat hariannya serta cara menggunakan ubat sedut dengan betul.

Semua kanak-kanak yang menggunakan terapi ubat sedut perlu menggunakan alat corong atau spacer yang tidak memerlukan kordinasi pernafasan, untuk pengambilan ubat yang lebih berkesan. Kanak-kanak kecil memerlukan alat corong dengan topeng muka (face mask) manakala kanak-kanak yang lebih besar pula boleh menggunakan alat corong dengan satu alat mulut (mouth piece). Terangkan kepada anak anda bahawa untuk menggunakan ubat sedut dengan alat corong secara betul, dia perlu:

  1. Goncangkan ubat sedut sebelum membuka penutupnya. Kemudian, sumbatkannya ke dalam alat corong.
  2. Kemudian, tekan ubat sedut untuk melepaskan kabus ke dalam alat corong dengan perlahan, dan tarik nafas sambil menekan ubat sedut bagi membolehkan kabus memasuki paru-parunya. Kemudian, dia perlu bernafas secara normal sebanyak 5-8 kali.
  3. Jika anak anda perlukan satu lagi dos sedutan, maka dia perlu tunggu seminit sebelum mengulangi teknik di atas.
  4. Ingatkannya bahawa ubat sedut dan alat corong mesti dijaga bersih dan kering (dicuci sekali seminggu).

Langkah-langkah ini perlu disertakan dalam pelan tindakan asma anak anda dan diedarkan kepada mereka yang menjaga anak anda, seperti guru atau penjaga.

Satu pelan tindakan asma yang mengenalpasti pencetus-pencetus dan pengesanan awal serangan asma boleh membantu mengurangkan risiko serangan asma anak anda. Rawatan awal menggunakan bronchodilator (ubat sedut) boleh mengurangkan keparahan dan kekerapan serangan asma. Jadi mulakan pelan tindakan asma anda dari sekarang!

Pertusis Pada Orang Dewasa

Orang dewasa juga boleh mendapat pertusis, dan boleh menjangkiti orang lain.

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik & Kardiologi Pediatrik

 

Pertusis, atau batuk kokol, merupakan penyakit yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis. Penyakit berjangkit ini boleh menjejaskan kanak-kanak dan juga orang dewasa. Tetapi oleh kerana gejala klasik pertusis sukar dilihat pada orang dewasa yang dijangkiti, maka penyakit ini sering tidak dikesan dan tidak dirawat dengan betul bagi remaja dan orang dewasa.

Pertusis Pada Orang Dewasa

Akibatnya, ramai mungkin tidak sedar mereka dijangkiti pertusis dan menyebar kepada populasi yang mudah dijangkiti - bayi dan kanak-kanak kecil yang masih belum diberi vaksin lengkap terhadap pertusis. Kajian telah membuktikan bahawa ibu bapa baru, terutama sekali si ibu, merupakan sumber utama jangkitan untuk lebih 50% kes pertusis.

Bayi dan kanak-kanak kecil boleh mengalami komplikasi kesihatan yang teruk jika dijangkiti pertusis. Ia berpotensi membawa maut jika dijangkiti kanak-kanak berusia kurang daripada 2 tahun.

Perlindungan daripada pertusis

Imunisasi adalah satu-satunya cara untuk melindungi daripada pertusis. Insiden pertusis dan kematian akibat pertusis telah banyak berkurangan semenjak kemunculan vaksin pertusis pada tahun 1940an. Namun demikian, ia masih berlaku di beberapa tempat tertentu di dunia.

Punca utamanya adalah, tidak seperti vaksin lain (seperti vaksin cacar air) yang memberi imuniti sepanjang hayat, kesan perlindungan vaksin pertusis hanya bertahan selama 4 hingga 12 tahun. Walaupun telah lengkap imunisasi zaman kanak-kanak, mereka akan kehilangan imuniti terhadap penyakit ini apabila mencecah zaman remaja.

Satu suntikan penggalak pertusis diperlukan untuk memperolehi semula imuniti. Memastikan remaja dan orang dewasa menerima dos penggalak pertusis secara berkala bukan sahaja penting untuk melindungi diri mereka, malah untuk mencegah mereka daripada menyebarkan penyakit ini kepada bayi serta anak kecil.

Memperluaskan perlindungan

Di bawah Jadual Imunisasi Kebangsaan Malaysia, vaksin pertusis diberi dengan kombinasi difteria dan toksoid tetanus (DTP) kepada bayi berusia 2, 3 dan 5 bulan, bersama satu dos penggalak pada usia 18 bulan untuk menguatkan imuniti.

Pada usia 7 tahun, kanak-kanak akan menerima vaksinasi difteria dan tetanus (DT) atau "vaksin dua serangkai", dan bukannya vaksin pertusis. Kita perlu dapatkan vaksin pertusis pada usia ini juga kerana vaksin pertusis hanya memberi pelindungan jangka pendek dan kanak-kanak akan kehilangan imuniti terhadap penyakit ini semasa membesar. Oleh demikian, kanak-kanak dinasihatkan mendapat vaksin Tdap dan bukannya vaksin DT pada usia 7 tahun ke atas bagi meningkatkan imuniti mereka terhadap pertusis.

Begitu juga apabila mencapai usia 15 tahun, kanak-kanak hanya akan menerima imunisasi untuk tetanus. Mereka perlu divaksin semula untuk perlindungan berterusan daripada pertusis.

Fakta & Data
  • Pada tahun 2004, terdapat 25,000 kes pertusis di Amerika Syarikat. Daripada jumlah ini, lebih 8,000 adalah remaja dan lebih 7,000 merupakan orang dewasa.
  • Pada tahun 2008, pertusis telah menyebabkan lebih kurang 195,000 kematian bayi di negara-negara membangun.
  • Di Malaysia, kes pertusis yang tidak membawa maut jarang berlaku tetapi telah meningkat daripada 8 kes pada 2005 kepada 39 kes dalam 2009.

Cadangan

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mencadangkan:

  • Remaja berusia 11-18 tahun perlu menerima Tdap sebagai ganti penggalak Td (tetanus difteria). Remaja yang telah menerima vaksin Td disarankan menerima satu dos Tdap.
  • Orang dewasa berusia 19-64 tahun patut menerima Tdap sebagai pengganti satu suntikan penggalak Td.
  • Orang dewasa, seperti ibu bapa, datuk nenek, penjaga kanak-kanak dan ahli kesihatan profesional yang berkontak rapat dengan bayi di bawah usia 12 bulan patut menerima Tdap.
  • Tdap boleh digunakan untuk menggantikan vaksin toksoid tetanus yang diberi jika kita terlibat dalam kecederaan untuk mencegah penyakit tetanus (kancing gigi).

Tambahan lagi, mereka yang sedang mengembara ke luar negara turut dinasihatkan mengambil suntikan penggalak pertusis bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit ini semasa di luar negara dan membawanya pulang. Sementara ini, hanya satu dose penggalak Tdap adalah disarankan.

Vaksin Pertusis di Malaysia
  • DTaP - Digunakan untuk imunisasi rutin zaman kanak-kanak, ia mengandungi vaksin aselular pertusis (aP) dan bukannya sel penuh pertusis (wP) dalam vaksin DTP. Keduadua vaksin ini mempunyai keberkesanan yang sama, tetapi DTaP mengandungi lebih kurang antigen pertusis dan kesan sampingan yang sedikit sahaja (seperti bengkak, sakit di tempat suntikan, demam).
  • Tdap - Digunakan sebagai suntikan penggalak untuk remaja dan orang dewasa, ia mengandungi komponen yang sama dengan vaksin DTaP, tetapi dengan antigen difteria dan pertusis yang dikurangkan.

Dapatkan Kuasa Menentang Penyakit Pneumokokal!

Lindungi anak anda daripada penyakit yang boleh membawa maut.

Oleh Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Pediatrik dan Neonatologi

 

Kegemparan yang ditimbulkan oleh wabak influenza A (H1N1) pada 2009 semakin reda. Meskipun tiada kes besar-besaran dilaporkan dalam beberapa bulan kebelakangan, ini tidak bermakna influenza sudah berkubur dan kita bebas daripada ancamannya. Influenza bukan sekadar “flu” atau selesema biasa, sebaliknya ia adalah penyakit sistem pernafasan yang sangat serius. Ia bukan sahaja boleh mengakibatkan pesakit dimasukkan ke hospital, tetapi juga boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan betul.

Dapatkan Kuasa Menentang Penyakit
Pneumokokal!

Bolehkah influenza menyebabkan pneumonia?

Influenza melemahkan sistem imun kita, menyebabkan kita mudah dijangkiti penyakit lain yang boleh membawa kepada komplikasi serius. Pneumonia biasanya berpunca daripada Bacterium Streptococcus pneumoniae, yang kerap menyerang peparu seperti penyakit H1N1.

Pneumokokus (bakteria yang menyebabkan penyakit pneumokokal) juga boleh menyebabkan jangkitan telinga, meningitis dan juga jangkitan saluran darah. Penyakit ini serius dan amat membimbangkan. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). Satu daripada 20 orang yang mendapat pneumonia mati akibat jangkitan, dua daripada 10 orang yang mendapat jangkitan saluran darah akan mati dan tiga daripada 10 orang yang dijangkiti meningitis akan mati. Risiko kematian disebabkan pneumonia atau influenza adalah lebih tinggi di kalangan orang yang menghidap sakit jantung, diabetes, atau mempunyai sistem imun yang lemah seperti pesakit AIDS, rawatan steroid atau gangguan imunodefisiensi kongenital.

Lebih banyak kes influenza, lebih lagi kes pneumonia

Influenza mudah berjangkit dan mudah merebak daripada seseorang kepada seseorang yang lain, terutamanya melalui titisan yang dikeluarkan oleh orang yang dijangkiti apabila dia batuk, bersin atau bercakap dan juga apabila seseorang itu menyentuh permukaan atau objek yang dicemari bakteria. Dengan peningkatan kes influenza di seluruh dunia, kes pneumonia dan penyakit pneumokokal turut meningkat. Jangkitan influenza membuka pintu masuk kepada virus dan bakteria berbahaya ke dalam badan anda.

Komplikasi daripada influenza

RRisiko pesakit influenza, kemasukan ke hospital dan kematian akibat kes berkaitan influenza adalah lebih tinggi di kalangan kanak-kanak kecil, orang tua – khususnya mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas, dan juga individu yang mengalami masalah kesihatan seperti menghidap asma atau penyakit peparu. Komplikasi yang boleh ditimbulkan oleh influenza termasuk jangkitan bahagian telinga tengah, masalah neurologi, radang jantung dan juga penyakit pulmonari seperti bronkitis. Pendek kata, kelemahan sistem imun boleh mengundang banyak penyakit, yang boleh membawa maut atau kesan buruk.

 

Kematian akibat jangkitan pernafasan

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan pernafasan akut menyebabkan lebih 3.9 juta kematian dan adalah punca utama kematian di kalangan kanak-kanak bawah umur 5 tahun. Selain penyakit pneumokokal, influenza meningkatkan risiko penyakit pernafasan lain seperti jangkitan virus pada bahagian atas dan bawah sistem pernafasan, dan bronkitis, yang berpunca daripada virus respiratori sinsitium (RSV) dan virus parainfluenza (PIV).

Pencegahan bermula dengan ANDA

Semua kes jangkitan pneumokokus boleh dirawat secara berkesan dengan antibiotik seperti penisilin. Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bakteria telah menjadi semakin kebal kepada antibiotik hingga menyukarkan penyakit ini dirawat. Justeru itu, cara terbaik dan paling berkesan untuk menghindarkan penyakit pneumokokal ialah dengan mencegahnya terlebih dahulu, iaitu menerusi suntikan vaksin.

Walaupun semua orang memang boleh dijangkiti penyakit pneumokokal, tetapi risikonya lebih tinggi di kalangan kumpulan tertentu, malah sesetengahnya menjadi semakin teruk. Oleh itu, adalah penting bagi kumpulan individu berikut mendapatkan suntikan vaksin:

  • Orang dewasa berusia 65 tahun dan ke atas.
  • Kanak-kanak berusia 2 hingga 24 bulan, terutama mereka yang mengalami masalah perubatan yang kronik seperti menghidap penyakit diabetes, peparu (kecuali asma), jantung, buah pinggang atau hati.
  • Mereka yang menghidap kanser atau mendapat jangkitan HIV, yang melemahkan sistem imun.
  • Mereka yang mengalami kegagalan fungsi limfa atau menghidap penyakit sel sabit.

Terdapat dua jenis vaksin untuk menentang penyakit pneumokokal: vaksin polisakarida dan vaksin konjugat. Vaksin konjugat pneumokokal disyorkan untuk kanak-kanak berusia 2-24 bulan, kerana mereka termasuk dalam kumpulan berisiko paling tinggi dan vaksin polisakarida tidak berkesan untuk melindungi kumpulan ini. Vaksin polisakarida hanya berkesan untuk kumpulan lain yang dinyatakan di atas.

Timbangkan risikonya

Suntikan vaksin adalah cara paling utama untuk mencegah banyak penyakit, dengan demikian menghindarkan kesakitan, kehilangan upaya dan kematian. Sesetengah ibu bapa mungkin meraguinya kerana khuatir akan kesan sampingan yang boleh dialami. Namun demikian, suntikan vaksin adalah antara cara yang paling selamat, kerana manfaatnya adalah melebihi risiko. Kesan sampingan paling biasa didapati daripada suntikan vaksin ialah kemerahan atau bengkak di tempat yang disuntik. Kesan sampingan ini hanya sementara dan akan hilang tidak lama kemudian. Dalam kes yang sangat jarang terjadi, tindak balas alahan mungkin berlaku dan ini boleh dirawat dengan berkesan jika diberi perhatian segera.

Manfaat vaksin tidak boleh dilihat dengan sertamerta. Ia membantu melindungi diri anda dan orang di sekeliling anda. Sungguh pun bukan semua kanak-kanak mendapat kesan 100% daripada vaksin, suntikan ini memberi perlindungan 88% daripada bakteria pneumokokus yang menyebabkan pneumonia. Ia adalah benteng pertahanan paling baik untuk melindungi kita daripada penyakit yang boleh membunuh atau menyebabkan kehilangan upaya berjuta-juta kanak-kanak dan orang dewasa.

 

Imunisasi – Menghentikan Penularan Penyakit

Mencegah penyakit sebelum ia menjadi wabak!

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik & Kardiologi, Dato’ Dr Musa Mohd. Nordin, Pakar Perunding Pediatrik & Neonatologi

 

Sebagai ibu bapa, kita tidak mahu melihat anak kita jatuh sakit, walaupun kesakitan ringan. Bayangkan jika kita berupaya melindungi mereka daripada antara penyakit paling berbahaya di dunia? Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, imunisasi memainkan peranan penting mencegah penyakit, memastikan anak anda menjalani kehidupan yang selamat, sihat dan ceria pada zaman kanak-kanak.

Immunisations –
Stopping Disease Outbreaks

Pada 1950-an, seramai 20,000 rakyat Amerika menghidap polio setiap tahun. Setelah vaksin polio diperkenalkan, kes polio tidak dilaporkan. Difteria, salah satu penyakit zaman kanak-kanak berbahaya sehingga 1920-an, telah menyebabkan lebih 10,000 kematian setiap tahun. Selepas imunisasi dimulakan pada 1930-an dan 40-an, penyakit mula lenyap sehinggalah ke hari ini. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengunjurkan bahawa sehingga 552,000 penyakit berkaitan cirit-birit, rotavirus gastroenteritis (338,000) dan pneumokokus (841,000) boleh dicegah menerusi imunisasi. Penyakit cacar telah dibasmikan melalui imunisasi seluruh dunia.

Mengurangkan Risiko Pada Zaman Kanak-Kanak

Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Program Imunisasi Kebangsaan pada awal 1950an dan Program Imunisasi Perluasan pada 1989. Kes penyakit yang boleh dicegah vaksin telah berkurangan dengan ketara sejak program diperkenalkan. Dari 1979 hingga 2007, kes difteria yang dilaporkan telah berkurangan dari 250 ke 2, tetanus dari 76 ke 14, demam campak dari 5,463 ke 1,206, dan polio dari 39 ke sifar. Untuk memastikan kejayaan berterusan, ibu bapa perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengikut jadual dengan teliti.

Vaccines Schedule

Prevention is Better

Penyakit yang diterangkan di atas adalah antara beberapa penyakit yang boleh dicegah menerusi imunisasi. Dalam soal menjaga kesihatan, mencegah sudah tentu lebih baik daripada mengubat. Vaksin bukan sahaja membantu mencegah penyakit, tetapi juga memainkan peranan mengawal banyak penyakit berjangkit yang dulu berleluasa di seluruh dunia.

 

 

Bantu Urus Cirit-birit Bayi Anda

Ketahui cara anda boleh mencegah bayi anda daripada mendapat cirit-birit.

Oleh Dato’ Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik

Cirit-birit bertanggungjawab untuk 1.5 juta kematian kanakkanak di serata dunia setiap tahun, menjadikannya punca kedua utama kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun. Ia menyebabkan badan kehilangan banyak air dan garam, yang sangat penting untuk fungsi badan. Kematian akibat cirit-birit biasanya berlaku akibat komplikasi daripada dehidrasi dan kehilangan cecair yang teruk.

Bantu Urus Cirit-birit Bayi Anda

Pertambahan dalam kecairan, kekerapan dan pergerakan usus, boleh menandakan bayi anda sedang mengalami cirit-birit. Bayi yang diberi susu ibu sering mempunyai pergerakan usus yang cepat manakala sesetengah bayi pula mungkin berbeza akibat perubahan diet. Namun demikian, najis yang sangat cair dan berair biasanya merupakan petanda bayi anda sedang mengalami cirit-birit dan anda perlu segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Bahaya Cirit-Birit

Di kalangan bayi, cirit-birit biasanya akan datang bersama gejala seperti sakit perut, muntah, hilang selera makan, keletihan dan kurang aktif daripada biasa dan juga kurang berminat untuk menyusu. Kehilangan air dan garam yang banyak semasa cirit-birit biasanya akan menyebabkan dehidrasi. Dehidrasi yang teruk akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius serta boleh membawa maut jika tidak diurus dengan betul. Ketahui lebih lanjut tentang artikel “Kehilangan Air” dalam isu ini yang berkenaan dehidrasi.

Rotavirus – Penyebab Lazim

Apabila dijangkiti rotavirus, bayi akan mengalami demam dan muntah secara tiba-tiba, diikuti dengan cirit-birit. Rotavirus merupakan virus berbentuk roda, yang boleh mengakibatkan gastroenteritis – punca cirit-birit yang paling lazim dalam kanakkanak berusia kurang daripada lima tahun.

Rotavirus sangat berjangkit dan mudah jangkit menerusi sentuhan orang-ke-orang melalui saluran mulut dan najis. Ia boleh dipindahkan menerusi sentuhan najis pada permukaan, lalu mencemari tangan, perabot dan objek seperti barang mainan. Tempoh inkubasi virus ini adalah sangat singkat – 1 hingga 3 hari – dan kanak-kanak sering mengeluarkan virus ini sebelum mula menunjukkan sebarang gejala. Walau bagaimanapun, rotavirus boleh hidup kurang daripada seminggu di udara, hingga berminggu-minggu pada permukaan, dan berminggu-minggu di dalam air. Tambahan lagi, ia tidak mudah dibunuh menggunakan sabun biasa.

Terdapat juga beberapa jenis virus dan bakteria lain yang boleh mengakibatkan cirit-birit di kalangan kanak-kanak. Di sini terdapat beberapa yang lebih lazim:

Virus/ Bakteria Kaedah Pemindahan Kadar Kelangsungan Hidup
Escherichia coli Pengambilan makanan tercemar – susu mentah atau daging yang tidak dimasak betul; sentuhan orangke- orang melalui saluran mulut dan najis. Tempoh inkubasi 3-8 hari, boleh bertahan selama berbulan-bulan dalam sesetengah kawasan lembap dan berair.
Vibrio cholerae Melalui saluran mulut dan najis, berlaku seiring dengan kebersihan yang tidak baik menerusi bekalan air/makanan yang tercemar. Tempoh inkubasi daripada dua jam hingga lima hari dan berada di dalam najis selama 7-14 hari selepas jangkitan.
Shigella Sentuhan langsung orang-ke-orang, pengambilan makanan/ air tercemar. Tempoh inkubasi 1-4 hari.

Cegah Cirit-birit Sebelum Berlaku

Sebagai ibu bapa, ada beberapa cara yang boleh anda ambil untuk mencegah bayi anda daripada mengalami cirit-birit.

  1. Penyusuan badan eksklusif selama enam bulan pertama bayi
    • Susu badan adalah sumber pemakanan bayi yang terbersih. Ia menyingkirkan risiko bayi daripada terambil makanan tercemar yang boleh mengakibatkan cirit-birit. Susu badan juga merupakan sumber cecair dan makanan yang terbaik jika bayi anda sedang mengalami cirit-birit kerana mampu mencegah dehidrasi dan malnutrisi.
    • Susu badan turut mengandungi faktor antimikrobial yang akan membantu meningkatkan sistem imun bayi anda, membawa kepada pemulihan yang cepat semasa sakit.
  2. Amalkan kebersihan yang baik
    • Dalam kebanyakan kes, pemindahan virus penyebab cirit-birit boleh dikurangkan menerusi penjagaan kebersihan yang baik dan betul. Sentiasa basuh tangan anda dan semua peralatan menyusu. Sterilkan peralatan menyusu dengan air panas sebelum digunakan.
    • Basuh tangan anda dengan kerap terutama sekali selepas menggunakan tandas dan setiap kali menukar lampin bayi. Pastikan persekitaran bayi sentiasa bersih dan bebas debu, termasuk cadar dan barang mainan kerana bayi cenderung memasukkan barang ke dalam mulut mereka.
    • Bersih dan disinfek semua objek yang telah tercemar. Buanglah jika perlu, terutama sekali tilam yang telah dicemari najis.
  3. Perbaiki amalan pemberian makanan pelengkap
    • Makanan pelengkap biasanya akan diberi sebagai tambahan kepada susu badan apabila bayi anda berusia enam bulan ke atas. Ini adalah suatu peralihan yang penting dan melibatkan pengendalian makanan yang betul bagi mengelakkan pencemaran. Pastikan makanan dan susu sentiasa segar, dimasak dengan betul dan tidak dibiarkan pada suhu bilik melebihi satu jam.
  4. Perlindungan imunisasi
    • Di Malaysia, vaksinasi untuk rotavirus merupakan vaksin pilihan untuk bayi di bawah usia enam bulan. Vaksin ini diambil secara oral, samada dalam 2 atau 3 dos, dan akan membantu bayi menghadapi jangkitan virus ini dengan kesan yang tidak teruk. Dapatkan nasihat pakar pediatrik anak anda bagi mengetahui lebih lanjut tentang vaksin ini.

Cirit-birit adalah penyakit yang mudah dicegah. Anda hanya perlu membekal dan mengekalkan kebersihan yang baik serta memastikan anak anda terlindung menerusi kaedah lain seperti penyusuan badan secara eksklusif dan vaksinasi.

 

Penjagaan Untuk Cacar Air

Walaupun cacar air dianggap ‘normal’ semasa anak masih kecil, ia merupakan suatu pengalaman yang mencemaskan. Bantu si manja anda melegakan ketidakselesaannya.

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik

The Story Behind The Gut

Cacar air, yang berpunca daripada virus varicella-zoster, kerap dikatakan penyakit biasa zaman kanak-kanak. Gejala biasa meliputi ruam kulit yang gatal, kemerahan dan lama-kelamaan menjadi lepuh nipis, diiringi demam, sakit kepala, sakit tekak dan sakit perut. Penyakit ini selalunya berlarutan selama 5 hingga 10 hari.

Virus cacar air boleh tersebar dengan mudah dari seorang ke seorang melalui udara, air liur atau sentuhan terus dengan individu yang dijangkiti. Justeru, bersedialah untuk menghadapi kemungkinan bahawa anak anda akan mendapat cacar air pada zaman kanak-kanaknya. Jika keliru tentang langkah-langkah penjagaan cacar air, terutamanya untuk kanak-kanak, inilah peluang untuk anda memahaminya.

Kurangkan Kegatalan

Walaupun anda tidak boleh menghilangkan sama sekali kegatalan yang dirasai, anda boleh mengurangkan kerengsaan agar si manja merasa lebih selesa.

• Mandikan anak anda dengan air suam atau air sejuk setiap 3 hingga 4 jam.
• Gunakan sabun mandi yang lembut supaya tidak merengsakan kulitnya yang sensitif.
• Sapu losyen kalamin, yang dapat membantu melegakan ruam gatal.
• Pakaikan pakaian yang ringan yang kurang merengsakan kulit.

Doktor boleh memberi preskripsi antihistamina untuk melegakan kulit gatal yang teruk.

Mengelakkan Parut

Apabila anak anda menggaru tubuhnya, bakteria pada tangan dan di bawah kukunya boleh menjangkiti lepuh kulit yang pecah, menyebabkan jangkitan kulit yang boleh meninggalkan kesan parut. Pujuk anak anda supaya tidak menggaru tubuhnya. Petua lain termasuk:

• Pastikan kuku anak anda sentiasa pendek supaya kulitnya tidak luka apabila digaru.
• Ketika tidur, pakaikan sarung tangan kain lembut untuk mengelakkan si manja daripada menggaru dirinya secara tidak sengaja.
• Selepas mandi, tekap badannya dengan tuala lembut, bukan mengesat, untuk mengelakkan lepuh daripada pecah.

Makan dengan Betul

Anak anda mungkin tidak berselera makan dalam beberapa hari pertama selepas dijangkiti cacar air. Lepuh dalam mulut dan tekaknya mungkin menyukarkan si manja untuk makan. Jadi, anda perlu:

• Pastikan anak anda mendapat cecair secukupnya (seperti air kosong atau jus buah-buahan) untuk mengekalkan hidrasinya.
• Berikan diet yang seimbang bagi membantu anak anda pulih daripada penyakit.
• Berikan makanan lembut, sejuk dan tawar supaya mudah dikunyah.
• Ubat anti-virus seperti acylovir, jika diberi awal dalam penyakit, akan kurangkan ketenatan dan ruam.

Mencegah Cacar Air

Walaupun cacar air biasanya tidak teruk, ketidakselesaan anak anda boleh mendatangkan tekanan. Penyakit ini juga mungkin boleh menjadi lebih teruk. Oleh itu, untuk mengelakkan segala kesusahan akibat cacar air, ibu bapa boleh mengambil beberapa langkah untuk mencegah penyakit ini.

Beri susu ibu
Ibu yang pernah dijangkiti cacar air lebih imun kepada penyakit ini dan boleh memberikan keimunan kepada bayi yang baru lahir melalui antibodi dalam susu badannya. Justeru, ibu digalakkan untuk menyusukan bayi mereka sekurang-kurangnya beberapa bulan pertama selepas kelahiran.

Vaksinasi
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), vaksin cacar air adalah cara terbaik untuk mencegah penyakit ini. Ia memberikan perlindungan yang menyeluruh kepada lebih kurang 80-90 peratus kanak-kanak yang telah diberi imunisasi. Jangkitan cacar air apabila remaja atau dewasa akan akibatkan lebih komplikasi lagi.

Empat Penyakit-dalam-Satu

Kini, terdapat vaksin empat serangkai MMRV (campak, beguk, rubela & varisela) baru, yang menggabungkan vaksin wajib untuk menentang campak, beguk dan rubela (MMR) dengan vaksin cacar air. Ibu bapa boleh memilih untuk memberi anak mereka perlindungan tambahan daripada cacar air tanpa perlu menambah bilangan suntikan untuk anak mereka. Bincang dengan doktor jika anda ingin memilih vaksin ini.

 

Hindari Jangkitan Pneumokokus

Jangkitan pneumokokus boleh menjadikan kes H1N1 lebih rumit. Ketahui bagaimana anda boleh mencegah jangkitannya.

Oleh Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi

Flu Gateway For Pneumococcal Infection

Wabak influenza A(H1N1), yang pertama kali dikesan pada pertengahan April 2009, boleh dikatakan reda buat seketika. Namun, kemunculan semula penyakit pada awal tahun ini mungkin menandakan permulaan gelombang kedua wabak H1N1. Sungguhpun situasi semasa tidak seburuk 2009, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan terus mengambil langkah untuk mencegah jangkitan dan komplikasi daripada penyakit ini.

Pneumokokus – Merumitkan Rawatan Influenza A(H1N1)

Meskipun kebanyakan kes H1N1 agak ringan dan ramai antara mereka yang dijangkiti penyakit ini biasanya sembuh, terdapat juga kes yang teruk dengan komplikasi yang boleh menatijahkan maut. Perangkaan daripada Pusat Kawalan Penyakit (CDC) menunjukkan bahawa kes influenza yang lebih teruk menjadi bertambah buruk disebabkan jangkitan bakteria sekunder, khususnya Streptococcus pneumoniae.

Pemantauan bakteria oleh CDC mendapati kes penyakit pneumokokus invasif (IPD) meningkat lebih daripada yang dijangkakan, seiring dengan peningkatan kes kemasukan hospital yang dikaitkan dengan influenza.

Komplikasi yang paling kerap berlaku adalah pneumonia, iaitu jangkitan peparu. Malah, dalam setiap wabak influenza yang berlaku di seluruh dunia baru-baru ini, pneumonia yang berpunca daripada jangkitan bakteria sekunder sering didapati menjadi punca penyakit dan kematian. Ini adalah kerana influenza memudahkan individu mendapat pneumonia dengan melemahkan daya ketahanan peparu, membolehkan bakteria seperti Streptococcus pneumoniae menyusup masuk dan menjangkiti tisu peparu. Bakteria ini juga boleh memasuki darah dan bendalir di sekeliling otak, menyebabkan bakteremia dan meningitis.

Influenza dan Kanak-kanak

Agak sukar untuk mengesan influenza di kalangan kanak-kanak kecil kerana mereka kerapkali tidak menunjukkan gejala influenza biasa seperti demam, sakit tekak dan kesukaran bernafas. Justeru, sebagai ibu bapa, anda harus mengambil perhatian sebarang perubahan yang menandakan influenza di kalangan kanak-kanak. Segera bawa anak anda berjumpa doktor jika mereka menunjukkan gejala berikut kerana mereka mungkin telah dijangkiti virus influenza A(H1N1):

• Deman, batuk dan selsema.
• Letih, lesu, tiada selera makan, cirit-birit dan/atau muntah.
• Sukar bernafas.
• Kulit/bibirnya kebiru-biruan.
• Mengalami sawan.
• Kurang tindak balas dan sukar bangun daripada tidur.
• Dehidrasi (jika bayi, lampin tidak basah selama 12 jam).

Sesetengah kanak-kanak, terutama sekali yang berumur bawah 2 tahun dan mempunyai sistem imun yang lemah atau mengalami masalah peparu, jantung, hati, darah, otak, otot, tulang atau gangguan metabolisme, lebih berisiko dijangkiti influenza yang teruk dan mendapat jangkitan bakteria sekunder.

Mencegah Komplikasi daripada Penyakit Pneumokokus

Penyakit pneumokokus adalah salah satu punca utama kematian yang boleh dicegah dengan imunisasi.

Untuk mencegah penyakit Influenza, CDC mengesyorkan supaya orang ramai mendapatkan vaksin influenza bermusim setiap tahun sebagai langkah pertahanan pertama menentang influenza bermusim. Vaksin untuk melindungi daripada influenza H1N1 kini boleh didapati dan kanak-kanak berusia antara 6 bulan dan 10 tahun diberi keutamaan, kerana mereka lebih mudah mendapat jangkitan ini.

Di samping itu, vaksin pneumokokus juga disyorkan oleh CDC untuk mengurangkan penyakit dan kematian akibat jangkitan pneumokokus sekunder, terutama sekali di kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Vaksin konjugat pneumokokal (PCV) untuk kanak-kanak memberi perlindungan daripada 7 jenis serotip pneumokokus manakala Vaksin Konjugat Protein D Hemofilus Influenzae Tidak Berjenis (PHiD-CV) yang baru melindungi daripada 10 jenis serotip pneumokokus.

Dapatkan Perlindungan Vaksin Hari Ini

Penyakit influenza merupakan jangkitan tahunan dan tahun 2009- 10 merupakan wabak influenza A(H1N1) yang masih belum lagi reda. Ianya akan terus menjadi bahagian penting dalam kehidupan manusia. Seperti kebanyakan penyakit, kanak-kanak kecil adalah kumpulan berisiko tinggi. Ibu bapa hendaklah memainkan peranan mereka dengan memastikan anak mereka mendapat perlindungan yang sewajarnya. Lindungi anak anda dengan vaksin Influenza sebelum terlambat. Dapatkan juga vaksin untuk mencegah daripada penyakit pneumokokus dan juga jangkitan bakteria lain kerana ia adalah salah satu komplikasi yang timbul daripada influenza A(H1N1).

 

Vaksin Melindungi Anak Anda Daripada Penyakit Pneumokokus

Penyakit pneumokokus tidak boleh dipandang ringan. Jangkitan ini boleh membawa maut.

Oleh Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik & Neonatalogi.

 

Penyakit pneumokokus adalah punca utama penyakit serius di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di seluruh dunia. Penyakit ini berpunca daripada jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae, juga dikenali sebagai pneumokokus. Lebih ramai kanak-kanak di seluruh dunia meninggal dunia akibat jangkitan pneumokokus berbanding penyakit lain yang digabungkan, khususnya AIDS, malaria dan campak.

Hati-Hati, Jaga Diri

Penyakit pneumokokus amat mudah berjangkit. S. pneumoniae, yang biasanya terdapat di belakang tekak kanak-kanak dan orang dewasa yang sihat, boleh disebar daripada seseorang kepada orang lain menerusi titis pernafasan yang tersembur keluar semasa batuk atau bersin.

Umumnya, jangkitan boleh dirawat dengan penisilin tetapi kajian semasa menunjukkan semakin banyak jenis pneumokokus yang kebal kepada penisilin dan sesetengah antibiotik lain yang biasa digunakan. Ini merumitkan rawatan dan boleh menyebabkan pesakit memerlukan rawatan alternatif yang lebih mahal.

Vaksinasi, Pertahanan Terbaik Untuk Anda

Cara terbaik untuk melindungi keluarga anda daripada penyakit pneumokokus adalah dengan immunisasi. Bayi dan anak-anak yang kurang daripada dua tahun adalah kumpulan risiko tinggi.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 1 juta kanak-kanak di seluruh dunia mati setiap tahun akibat penyakit pneumokokus. Hasil kajian mengenai penyakit ini di Malaysia menunjukkan radang peparu pneumokokal kerap berlaku dan mengakibatkan kematian yang tinggi di kalangan kanak-kanak berusia di bawah dua tahun.

Vaksin pneumokokal konjugat (PCV) terbukti selamat dan berkesan mengurangkan serangan penyakit pneumokokus invasif (meningitis, bakteremia, pneumonia) dan otitis media di kalangan kanak-kanak kecil. Di Malaysia, sejak tahun 2005, vaksin pneumokokal konjugat pediatrik 7-valen telah ada untuk S. pneumoniae boleh menyerang banyak bahagian badan, menyebabkan pelbagai masalah. Mereka yang dijangkiti bakteria ini boleh mendapat penyakit berbahaya yang mengancam nyawa seperti meningitis (radang lapisan otak) invasif, pneumonia (radang peparu), bakteremia (jangkitan darah) dan otitis media akut (radang bahagian tengah telinga).

Komplikasi dan Kesukaran Rawatan

Jangkitan pneumokokus boleh manifestasi daripada satu hingga tiga hari dan boleh membawa komplikasi yang teruk. Jika lewat dirawat, penyakit pneumokokal boleh menyebabkan kehilangan pendengaran, kelumpuhan, kerosakan otak dan juga maut. perlindungan daripada jangkitan pneumokokus. Kini terdapat vaksin konjugat 10-valen, Vaksin Konjugat Protein D Hemofilus influenza Tidak Berjenis (PHiD-CV) yang boleh melindungi daripada 10 jenis pneumokokal dengan memberi perlindungan tambahan kepada 3 jenis pneumokokal iaitu serotip 1, 5 dan 7F dan otitis media Hemofilus influenza tidak berjenis.

Selain itu, mereka yang inginkan vaksin untuk anggota keluarga lebih tua dan kanak-kanak berusia 2 tahun ke atas yang terdedah kepada risiko penyakit ini boleh meminta vaksin polisakarida pneumokokal 23-valen (PPV23) daripada doktor keluarga masing-masing. Vaksin konjugat 7-valen, 10-valen dan PPV23 kini boleh didapati di semua hospital dan klinik swasta.

Hubungan antara Jangkitan Pneumokokus dan Kematian dalam Wabak Flu H1N1 Baru-Baru ini
Jangkitan pneumokokus baru-baru ini telah dikenal pasti sebagai komplikasi utama dalam kes jangkitan virus influenza H1N1 yang teruk dan membawa maut. Influenza A menyebabkan individu kerap mengalami pneumonia bakteria sekunder, penyebab umum penyakit dan kematian dalam wabak flu abad ke-20.

Individu yang mempunyai imuniti yang lemah atau terganggu, khususnya warga emas dan kanak-kanak kecil mudah mengalami jangkitan bakteria sekunder dan komplikasi teruk daripada influenza.

Vaksin Kini Lebih Mudah Didapati!
Penurunan harga vaksin pneumokokal kini membolehkan ibu bapa memberi perlindungan yang anak mereka perlukan terhadap penyakit pneumokokus. Ambillah peluang ini untuk memberi perlindungan tambahan yang dapat menyelamatkan nyawa si manja anda dengan harga yang lebih murah.

Perlindungan Lebih Baik, Suntikan Berkurangan

Vaksin gabungan memberi kesan yang sama dengan vaksin tunggal, dan mengurangkan kerumitan.

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik.

 

Kebanyakan kanak-kanak benci suntikan kerana ia menyakitkan dan membawa trauma kepada si manja yang masih kecil. Ia juga menimbulkan masalah kerana anda terpaksa berdepan dengan kerenah si manja yang menangis kerana ketakutan dan kesakitan.

Di bawah Program Imunisasi Malaysia, ia mengandungi bayi daripada sepuluh jenis penyakit dan sejumlah lapan suntikan (tidak termasuk suntikan penggalak) setelah mencapai usia satu tahun. Kealpaan ibu bapa yang menyebabkan si manja tidak menerima mana-mana satu daripada suntikan ini meninggikan risiko kepada kesihatannya, dan terdedah kepada penyakit yang boleh membawa maut. Dengan vaksin gabungan, bilangan suntikan dikurangkan dengan banyak.

Kementerian Kesihatan telah menggantikan vaksin oral polio hidup (OPV) dengan jenis suntikan tidak aktif (IPV), dan juga vaksin pertusis (batuk kokol sel penuh) dengan vaksin pertusis aselular. Semua ini diberikan dalam bentuk vaksin gabungan yang menambah baik Program Imunisasi Malaysia.

Apakah itu Vaksin Gabungan?
Vaksin gabungan menggabungkan dua atau lebih vaksin tunggal dalam satu suntikan. Cara praktikal ini melindungi kanak-kanak daripada banyak penyakit yang boleh dicegah, dalam masa seberapa singkat yang boleh dan mengurangkan masalah.

Mengapakah Saya Patut Beri Anak Saya Vaksin Gabungan?
Kanak-Kanak• Kurang suntikan.
• Kurang kesakitan, ketidakselesaan dan ketakutan.
• Memberikan perlindungan daripada pelbagai jenis penyakit.
Ibu Bapa• Kurang kunjungan ke klinik doktor (kurang mengambil cuti kerja).
• Kurang perbelanjaan keseluruhannya.
• Kurang masa menjaga kerenah anak selepas imunisasi.

Soalan Lazim Mengenai Vaksin Gabungan

Vaksin gabungan telah lama digunakan dalam Program Imunisasi Malaysia, tetapi ibu bapa masih tidak begitu pasti mengenai kaedah ini. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut.

Adakah vaksin gabungan berkesan?

Terdapat faktor untuk dipertimbangkan sebelum vaksin digabungkan, seperti tindak balas komponen vaksin terhadap satu sama lain dan kestabilan semua komponen dalam vaksin. Vaksin gabungan yang berjaya dihasilkan dan digunakan adalah selamat dan berkesan, serta mungkin lebih baik daripada vaksin tunggal untuk sejenis penyakit. Bukti menunjukkan vaksin gabungan mencetuskan tindak balas yang sama atau kurang di tempat suntikan diberikan serta seluruh badan bila dibandingkan dengan vaksin tunggal untuk satu jenis penyakit.

Bolehkah kanak-kanak tahan menerima dos antigen yang tinggi dalam satu suntikan vaksin gabungan?

Kebanyakan vaksin mengandungi satu bentuk antigen bahan dari bakteria atau virus yang menrangsang sistem imun individu, yang dilemahkan, yang akan mencetuskan tindak balas daripada sistem imun, tetapi tidak menyebabkan penyakit. Hasil kajian mendapati vaksin gabungan tidak terlalu membebankan kepada sistem imun kanak-kanak. Sistem imun mereka mampu mengendali lebih banyak kali ganda antigen berbanding dengan jumlah yang digunakan dalam vaksin gabungan.

Di mana saya boleh dapatkan vaksin gabungan?

Vaksin gabungan di bawah Program Imunisasi Malaysia boleh didapati di hospital atau klinik kerajaan dan swasta. Beberapa vaksin gabungan yang kini digunakan mengikut jadual ialah MMR (trivalen) dan DTaP-IPV-Hib (pentavalen). Vaksin gabungan tambahan (seperti tetravalen MMRV atau heksavalen DTaP-IPV-Hib- HepB) hanya didapati di pusat perubatan swasta. Vaksin heksavalen melindungi daripada difteria, tetanus (kancing gigi), pertusis (batuk kokol), Haemophilus influenzae b (menyebabkan meningitis), poliovirus dan hepatitis B dalam satu suntikan. Jika anda berminat untuk mendapatkan pelalian untuk anak anda menerusi vaksin gabungan ini, sila hubungi doktor anda.

Adakah vaksin gabungan lebih murah daripada vaksin individu?

Pada 1974, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan Program Lanjutan Pelalian (EPI) untuk membolehkan kanak-kanak berusia kurang satu tahun mendapat pelalian. Vaksin di bawah EPI adalah percuma di hospital kerajaan. Vaksin gabungan di bawah EPI Kebangsaan juga percuma di hospital kerajaan. Ibu bapa boleh memilih vaksin gabungan lain yang meliputi lebih banyak penyakit dengan kos tambahan di klinik swasta. Kombinasi ini termasuk vaksin MMRV dan DTP-Hep B-Hib-Polio. Ia tidak semestinya lebih murah tetapi menjimatkan masa ibu bapa dan mengurangkan suntikan dan kunjungan ke klinik doktor. Jika dikira secara keseluruhan, kosnya adalah kurang.

Punca Kekurangan Pendengaran

Jika tidak dirawat, otitis media boleh menyebabkan kecacatan pendengaran. Langkah boleh diambil untuk mencegahnya.

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Runding Pediatrik.

 

Keradangan telinga tengah dikenali sebagai otitis media. Ia biasanya berlaku akibat selesema, sakit tekak atau kesukaran bernafas. Ia boleh berpunca daripada bakteria atau virus.

Menurut laporan kumpulan Penilaian Teknologi Kesihatan Malaysia (MaHTAS), di bawah Program Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, sekurang-kurangnya 500,000 kes otitis media berlaku setiap tahun di kalangan kanak-kanak berusia kurang daripada dua tahun, dan 50% daripadanya adalah disebabkan pneumokokus. Dianggarkan bahawa 75% daripada kanak-kanak mengalami sekurangkurangnya satu kejadian otitis media sebelum mereka mencapai usia tiga tahun.

Otitis media boleh menyebabkan sakit yang teruk dan ia bermula dengan demam dan hidung berdengus berair. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa komplikasi serius, termasuk kehilangan pendengaran secara kekal disebabkan bendalir dalam telinga tengah untuk jangka masa yang lama.

Jenis Otitis Media

Otitis media boleh dibahagi kepada tiga jenis:

  1. Otitis Media Akut (AOM) – Bendalir, biasanya nanah, terdapat dalam telinga tengah. Si manja mungkin mengalami kesakitan, demam, kemerahan gegendang telinga, dan kerengsaan.
  2. Otitis Media dengan Efusi (OME) – Ini lebih biasa berlaku daripada AOM, dan kehadiran bendalir dalam telinga tengah hanya sementara. Bendalir tidak semestinya dijangkiti kuman.
  3. Otitis Media Bernanah Kronik – Ini berlaku apabila bendalir dalam telinga tengah berlarutan selama sekurang-kurangnya enam minggu, dan dianggap sebagai bentuk otitis media yang berpanjangan.

Punca

Bakteria seperti Streptococcus pneumoniae, Haemophilus influenzae dan Moraxella catarrhalis adalah punca utama otitis media. Haemophilus influenzae juga menyebabkan jenis jangkitan pneumokokus lain seperti sinusitis, meningitis, pneumonia, dan bakteremia.

Diklasifikasikan sebagai penyakit pneumokokal bukan invasif, otitis media kurang tenat tetapi lebih kerap berlaku berbanding meningitis, sejenis jangkitan pneumokokal invasif.

Adakah Anak Saya Menghidap Otitis Media?

Jika anak anda masih terlalu kecil dan belum boleh bercakap, cuba kesan tanda berikut untuk memastikan sama ada si manja mungkin mengalami otitis media:

  • Lebih kerap menangis tanpa sebab yang ketara.
  • Menyentap atau menarik sebelah telinga atau kedua-duate linga.
  • Sukar tidur.
  • Tidak responsif kepada bunyi lembut.
  • Nampak tidak dapat memberi tumpuan di sekolah.
  • Pening.
  • Hilang imbangan.

Langkah Pencegahan

Untuk mengelakkan si manja anda daripada mendapat jangkitan, langkah berikut boleh diambil:

  • Susukan bayi anda. Susu ibu mengandungi antibodi yang melindungi si manja anda daripada banyak penyakit dan jangkitan. Terus menyusukan si manja sehingga dua tahun atau lebih untuk membina imuniti awal.
  • Elakkan pendedahan kepada asap rokok. Kajian menunjukkan bahawa asap rokok boleh meningkatkan jangkitan bakteria pada saluran pernafasan dan membebankan sistem imun, meningkatkan kekerapan dan tahap tenat jangkitan telinga.
  • Jaga kebersihan. Semaikan tabiat menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan kerap untuk mencegah penyebaran kuman yang secara langsung atau tidak langsung boleh menyebabkan jangkitan telinga.
  • Dapatkan rawatan awal untuk selesema dan minta doktor anda lihat gegendang telinga anak.

Satu lagi cara yang berkesan untuk melindungi anak anda daripada otitis media ialah melalui imunisasi. Kajian menunjukkan bahawa kekerapan kanak-kanak mengalami otitis media dapat dikurangkan dengan ketara di kalangan mereka yang telah melengkapkan siri imunisasi (Rekod Epidemiologi Mingguan, 2007 – Pertubuhan Kesihatan Sedunia)

Vaksin haemophilus influenzae jenis b (Hib) – Menawarkan perlindungan daripada penyakit seperti pneumonia (radang peparu), meningitis (radang selaput otak) dan otitis media. Vaksin ini boleh didapati sebagai vaksin kombinasi yang melindungi daripada Hib, difteria, tetanus, dan pertusis (batuk kokol). Vaksin ini telah dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak tahun 2002 lagi.

Vaksin konjugat pneumokokal (PCV) – Melindungi si manja daripada jangkitan pneumokokus, termasuk otitis media, bakteremia (kuman dalam darah) dan sinusitis (“resdong”). PCV mengandungi 7 atau 10 jenis bakteria dalam bentuk tidak aktif, untuk melindungi si manja daripada jangkitan pneumokokal.

Bakteria jenis ini bertanggungjawab terhadap jangkitan pneumokokus teruk di kalangan kanak-kanak. PCV telah menurunkan bilangan kes penyakit pneumokokus teruk hingga hampir 80% di kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun di Amerika (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, CDC, Amerika), di mana vaksin ini diberikan secara rutin kepada semua kanakkanak. Buat masa ini, PCV adalah vaksin opsyenal di Malaysia, yang boleh didapati di hospital dan klinik swasta.

Vaksin konjugat 10-valen baru melindungi daripada 10 jenis bakteria pneumokokus yang berlainan dan disediakan di Malaysia sejak bulan Oktober 2009.

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai imunisasi dan vaksin, sila hubungi doktor anda.

Lindungi Daripada Penyakit Pneumokokus
Fahami penyakit ini dan jangkitan-jangkitannya, serta pelajari bagaimana anda boleh melindungi anak anda daripadanya.
Oleh Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Runding Pediatrik dan Neonatologi.


Sememangnya terdapat banyak ancaman ke atas kesihatan anak kita. Dan angka statistiknya telah menunjukkan bukti yang membimbangkan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih kurang sepuluh juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun meninggal dunia akibat pelbagai penyakit dan jangkitan.

Penyakit berjangkit merupakan penyumbang majoriti kepada angka ini. Di kalangan pelbagai agen berjangkit yang menyebabkan penyakit kepada tubuh anak kita, yang paling ketara adalah Streptococcus pneumoniae.

Bakterium yang turut dikenali sebagai pneumokokus ini merupakan punca penyakit pneumokokal. Ia adalah penyakit yang melibatkan banyak sistem organ. Jangkitan pneumokokal invasif termasuk meningitis (radang pada lapisan di sekeliling otak), pneumonia (radang paru-paru) dan bakteremia (jangkitan darah). Antara manifestasi bukan invasif yang lazim pula ialah otitis media (jangkitan telinga) dan sinusitis (jangkitan sinus).

Dalam isu ini, kita akan mengetahui lebih lanjut tentang meningitis, salah satu daripada kesan yang paling ketara akibat bakterium pneumokokus dan bagaimana anda boleh melindungi anak anda daripadanya.

Apakah Meningitis?

Meningitis ialah jangkitan meninges, iaitu lapisan nipis yang mengelilingi otak dan saraf tunjang. Masalah ini biasanya disebabkan oleh bakteria dan virus yang menjangkiti kulit, saluran gastrousus dan pernafasan. Kuman merbahaya ini kemudian bergerak ke meninges menerusi salur darah dan cecair serebrospina (cecair yang beredar di dalam dan sekeliling saraf tunjang), menyebabkan radang meninges.

Virus atau Bakteria?

Meningitis lazimnya disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria. Mengenal pasti samada meningitis disebabkan oleh virus atau bakteria adalah penting kerana ketenatan penyakit dan rawatan adalah berbeza dan bergantung kepada punca meningitis.

Meningitis virus berlaku dengan lebih kerap tetapi ia kurang serius berbanding dengan meningitis bakteria. Kebanyakan pesakit akan pulih dengan sendiri dalam masa lebih kurang dua minggu.

Meningitis bakteria boleh mengakibatkan padah yang lebih serius, seperti kerosakan otak, kehilangan pendengaran, buta dan mungkin, maut. Ia juga akan merebak dengan cepat, menyebabkan diagnosa dan rawatan awal sangat penting. Streptococcus pneumoniae dan Neisseria meningitidis merupakan penyebab utama meningitis bakteria pada masa kini.

Adakah Anak Anda Menghadapi Risiko?

Kebanyakan kes meningitis dialami oleh kanak-kanak kecil berusia kurang 5 tahun. Kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan siang dan kemudahan asuhan kanak-kanak lain juga menghadapi risiko meningitis yang lebih besar. Ini kerana meningitis mudah berjangkit dan disebarkan menerusi batuk, bersin atau berkongsi perkakas makan atau berus gigi.

Mengesan Meningitis di Peringkat Awal

Gejala awal meningitis boleh disalah anggap sebagai selesema biasa atau flu. Bukan itu sahaja, gejala ini mungkin sama dalam meningitis virus dan bakteria. Oleh kerana meningitis bakteria boleh mengakibatkan maut, anda tidak harus memandang ringan terhadapnya. Bawa anak anda berjumpalah doktor sertamerta jika dia menunjukkan sebarang tanda. Lebih cepat awal pengesanan, lebih tinggi peluang pemulihan tanpa sebarang kerumitan serius.

Gejala umum meningitis termasuk:

  • • Demam tinggi
  • • Sakit kepala
  • • Fotofobia (kepekaan mata kepada cahaya)
  • • Ketegangan leher
  • • Kekeliruan
  • • Muntah

Bayi yang menghidap meningitis tidak menunjukkan gejala di atas. Sebaliknya, mereka mungkin mengalami demam dan asyik meragam. Anda mungkin menghadapi masalah menenangkan si manja, walaupun anda mendukung dan memujuknya.

Apa Yang Patut Dilakukan

Jika anda mengesyaki bahawa anak anda menghidap meningitis, bawalah anak anda untuk bertemu doktor dengan sertamerta. Doktor kemungkinan besar akan menjalankan tusukan lumbar (cucukan spina) untuk mengumpulkan sampel cecair daripada tulang belakangnya. Cecair ini kemudian dianalisa untuk mengesan sebarang tanda radang, dan juga untuk menentukan virus atau bakteria yang menyebabkan jangkitan. Rawatan bergantung kepada punca meningitis.

Jika meningitis bakteria disahkan, doctor akan memulakan antibiotik intravena (IV) secepat mungkin. Anak anda akan diawasi untuk mengelakkan masalah serius seperti kerosakan otak.

Lindungi Anak Anda

Meningitis biasanya dikaitkan dengan jangkitan yang mudah berjangkit. Justeru, amalan penjagaan kebersihan yang baik dapat membantu mencegah meningitis. Cuba ambil langkah di bawah:

Ajar anak anda untuk kerap mencuci tangan, khususnya sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.

Jaga kesihatan si manja dengan memastikan dia mendapat rehat yang cukup, kekal dan mengambil pemakanan yang sihat dan seimbang.

Cegah anak anda daripada berkongsi perkakas makanan dengan kanak-kanak lain.

Pastikan semua mainan sentiasa bersih.

Beri Vaksin Kepada Anak Anda!

Cara terbaik melindungi anak anda daripada meningitis ialah menerusi pengimunan. Vaksin berkesan untuk merangsang badan menghasilkan antibodi menentang patogen yang menyebabkan meningitis.


  • Vaksin Haemophilus influenzae jenis b (Hib). Kajian menunjukkan virus Haemophilus influenzae jenis b (Hib) ialah punca utama meningitis di Malaysia. Sejak 2002, vaksin Hib diwajibkan bagi semua bayi di Malaysia.

  • Vaksin pneumokokal konjugat (PCV). PCV memberi perlindungan daripada 7 jenis bakteria pneumokokal. Jenis bakteria ini adalah punca kebanyakan jangkitan pneumokokus yang lebih ketara di kalangan kanak-kanak. Namun, vaksin ini telah menurunkan bilangannya sebanyak kira-kira 80% di kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah (daripada Center for Disease Control and Prevention). Buat masa ini, PCV ialah vaksin opsyenal di Malaysia dan boleh didapati daripada hospital atau klinik swasta.

  • Vaksin empat-valen meningokokal. Bakteria Neisseria meningitidis boleh mencetus wabak meningitis. Vaksin ini adalah vaksin jenis opsyenal di Malaysia. Ia diberi kepada semua yang menunaikan Haji atau umrah di Mekah.

Dengan adanya teknologi perubatan yang semakin canggih, kini kita telah mempunyai inovasi baru dalam penghasilan vaksin. Vaksin jenis 10-valen pneumokokal konjugat yang akan disediakan pada masa akan datang berpotensi untuk mencegah lebih daripada 18% penyakit pneumokokal yang lebih invasif berbanding vaksin 7-valen yang sedia ada di Asia. Ia menawarkan perlindungan daripada tiga jenis pneumokokal tambahan dan telah dicipta untuk melindungi kanak-kanak daripada penyakit pneumokokal invasif dan bukan invasif seperti otitis media. Vaksin ini akan didapati di Malaysia tidak beberapa lama lagi. Dengan inovasi canggih ini, pelbagai penyakit boleh dicegah secara serentak serta dengan bilangan suntikan yang berkurangan berbanding terpaksa menerima vaksin secara berasingan untuk penyakit berbeza.

Imunisasi boleh memainkan peranan penting untuk melindungi anak anda daripada meningitis. Pastikan anak anda menerima semua imunisasi piawai yang disyorkan untuk kanak-kanak di Malaysia. Jangan ragu-ragu untuk meminta nasihat doktor tentang vaksin tidak wajib di Malaysia.


Elakkan Cacar Air
Dengan adanya vaksin varisela, anak anda tidak
perlu menderita lagi daripada bintil-bintil merah yang gatal.

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik.

 

Cacar air atau Varisela adalah penyakit jangkitan yang kerap berlaku di kalangan kanak-kanak berusia antara 6 dan 10 tahun. Disebabkan oleh virus varicella-zoster, ia berjangkit kepada badan seseorang dan merebak di saluran pernafasan dan bahagian nodus limfa dalam tempoh 2-3 hari. Virus kemudiannya memasuki aliran darah dan ke hati, limpa dan organ-organ lain. Kebanyakan daripada kita membina imuniti sepanjang hayat terhadap cacar air selepas jangkitan pertama. Virus juga menjadi tidak aktif di kalangan urat saraf selama bertahun-tahun.

Gejala bermula 10 hingga 21 hari selepas pendedahan virus, bermula dengan demam, sakit kepala, sakit tekak, hilang selera makan dan keletihan. Bintil-bintil merah akan muncul pada keseluruhan badan. Kanak-kanak mengalami gejala yang lebih ringan dan mempunyai

kurang lepuh berbanding orang dewasa. Komplikasi biasa di kalangan kanakkanak adalah jangkitan sekunder dan parut pada kulit terlibat, manakala ensefalitis (keradangan otak) jarang berlaku.

Kayap
Kayap/herpes zoster adalah ruam lepuh yang menyakitkan dan berterusan selama 2-3 minggu. Ini berlaku apabila virus varisela yang tidak aktif kekal berhampiran saraf tunjang, diaktifkan semula lama selepas penyakit cacar air yang awal.

Kira-kira 10-20% orang yang telah menghidap cacar air mengalami kayap, biasanya di kalangan dewasa yang umur menjangkaui 50 tahun atau apabila keimunan badan berkurungan. Ia tidak berbahaya, tetapi mungkin sangat menyakitkan dan kerap menyebabkan sakit saraf yang berpanjangan selama beberapa bulan selepas ruam telah pulih.

Nasihat Rawatan Di Rumah:

  • Mandi dengan air suam.
  • Losyen calamine boleh melegakan ruam yang gatal.
  • Antihistamin yang dipreskripsi boleh meredakan kegatalan.
  • Pastikan anak anda mendapat cecair dan pemakanan yang mencukupi.
  • Berikan makanan yang sejuk, lembut dan tawar. Elakkan makanan berasid dan bergaram.
  • Berikan parasetamol, atau acetaminophen, sekiranya anak anda mengalami demam.
  • Potong kuku jari anak anda. Biarkan dia memakai sarung tangan sewaktu tidur untuk mengelaknya daripada menggaru kerana ia mengakibatkan jangkitan bakteria sekunder dan parut.
  • Jangan beri aspirin untuk meredakan kesakitan atau demam di kalangan kanak-kanak.

Lindungilah Keluarga Anda Yang Tersayang
Virus varisela sangat mudah berjangkit dan senang merebak melalui sentuhan langsung dengan seorang yang telah dijangkiti, melalui bersin atau batuk, atau apabila terkena bendalir daripada lepuh cacar air. Jangkitan secara tidak langsung adalah melalui sentuhan permukaan tercemar. Virus ini mudah berjangkit 2 hari sebelum ruam muncul sehingga semua lepuh telah kering.

Ramai kanak-kanak dijangkiti melalui sentuhan secara langsung dengan adik-beradiknya yang telah dijangkiti. Jauhkan anak anda yang dijangkiti daripada adik-beradiknya dan pastikan dia kerap mencuci tangannya agar jangkitan tidak merebak.

Acyclovir, suatu agen antivirus, hanya berkesan sekiranya diberikan pada peringkat awal jangkitan.

Cacar Air Di Kalangan Wanita Hamil dan Bayi yang Baru Lahir
Jangkitan cacar air pada peringkat awal kehamilan boleh mengakibatkan kecacatan lahir, kadar kelahiran yang rendah atau kecacatan anggota pada janin. Sekiranya ibu dijangkiti dalam tempoh 10 hari selepas melahirkan anak, bayi yang baru lahir boleh mengalami jangkitan yang boleh mengancam nyawanya. Ibu yang imun boleh melindungi bayinya daripada jangkitan dalam bulan bulan pertama bayi, kerana keimunannya boleh disalurkan kepada bayi melalui plasenta dan susu ibu. Oleh itu, menyusui anak dengan susu ibu amatlah penting!

Vaksin Varisela
Di Malaysia, vaksin varisela boleh didapati sejak tahun 1997. Ia mengandungi virus hidup varicella zoster yang telah dilemahkan. Vaksin diberikan melalui suntikan subkutan. Untuk kanak-kanak, dua dos vaksin varisela disarankan, dengan sekurang-kurangnya tiga bulan di antara dos pertama dan dos kedua.

Vaksin ini dilaporkan 95% lebih berkesan dalam mencegah jangkitan dari tahap sederhana hingga ke tahap serius. Sekalisekala, penerima vaksin masih boleh menghidap cacar air, tetapi pada bentuk penyakit yang sederhana, dengan mengalami lepuh dan gejala yang kurang.

Disarankan bagi:

  • Kanak-kanak sihat antara 12 bulan dan 12 tahun.
  • Orang yang berusia melebihi 12 tahun dan belum pernah menghidap cacar air.
  • Ahli keluarga yang tidak imun serta mempunyai sistem imun yang lemah.
  • Wanita yang tidak imun sebelum kehamilan ataupun selepasnya.
  • Mereka yang menerima vaksin hendaklah mengelak daripada kehamilan selama 2 bulan.
  • Sekiranya anda tidak imun dan berada berhampiran orang yang dijangkiti. Penyakit ini boleh dielak jika antibodi atau vaksin diberikan pada peringkat awal.

Vaksin MMR-V tetravalen boleh didapati tidak lama lagi di negara ini. Vaksin ini memberi perlindungan daripada empat penyakit – campak, beguk, rubela dan cacar air. Ia boleh mengurangkan suntikan yang diberi kepada si manja sambil memberi pencegahan kepada penyakit penyakit yang sama.

Bincang dengan doktor anda sekiranya anda mempunyai apa-apa pertanyaan berhubung dengan cacar air atau vaksin varisela.

 

Lindungilah Hati Anak Anda
Anak anda telah diberikan vaksin Hepatitis B, tetapi tahukah anda penyakit
hepatitis lain boleh memudaratkannya? Ketahuinya dan cara-cara untuk melindungi anak anda.

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik.

 

Hati merupakan suatu organ penting dalam badan anda. Ia membantu memproses nutrien, menyingkirkan toksin, melawan jangkitan, menyimpan tenaga, dan menghentikan pendarahan. Untuk membolehkan hati anda berfungsi dengan sempurna, anda perlu melindunginya daripada pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan kerosakan hati. Salah satunya ialah hepatitis.

Apakah Hepatitis?
Hepatitis adalah radang hati, biasanya disebabkan oleh jangkitan virus. Terdapat enam jenis virus hepatitis iaitu A, B, C, D, E dan G. Hepatitis A, B dan C adalah jenis yang paling biasa. Penyakit hepatitis berbeza dari segi ketenatan, cara penyebaran, ciri-ciri epidemik, dan langkah pencegahan. Hepatitis boleh menyebabkan hati membengkak dan hilang keupayaannya untuk berfungsi. Di samping itu, ia juga boleh membawa kepada sirosis (parut), kegagalan hati, malah juga barah hati.

 

Gejala-gejala Hepatitis:

  • Loya/muntah-muntah
  • Kurang selera makan
  • Lemah badan dan letih lesu
  • Demam
  • Sakit pada bahagian kanan atas abdomen
  • Mata dan kulit menjadi kuning (jaundis)
  • Cirit-birit
  • Air kencing yang gelap
  • Najis berwarna pucat

Hepatitis A
Hepatitis A adalah penyakit yang pulih dengan sendiri dalam beberapa minggu. Jarang sekali berlakunya kerosakan hati yang kekal di kalangan orang sihat. Virus Hepatitis A didapati dalam najis orang yang dijangkiti. Biasanya jangkitan berlaku apabila pesakit memakan makanan atau minuman yang dicemari najis tersebut. Makanan laut yang tidak dimasak dengan sempurna seperti kerang yang dicemari oleh najis atau kumbahan juga merupakan medium penyebaran Hepatitis A.

Hepatitis A di kalangan kanak-kanak bawah usia 6 tahun lazimnya tidak menunjukkan apa-apa gejala. Hanya 10% kanak-kanak yang dijangkiti menghidap jaundis. Sebaliknya, jangkitan menyebabkan penyakit klinikal di kalangan kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa, dengan kejadian jaundis dalam lebih daripada 70% kes.

Apakah Statistiknya?

Hepatitis A adalah meluas di Asia Tenggara. Di Malaysia, terdapat 497 kes pada tahun 2000, dan menurun kepada 107 kes pada tahun 2004. Ini menunjukkan bahawa sanitasi telah dipertingkatkan, dan juga sebab ramai orang tidak menghidap penyakit ini pada masa mereka kanak-kanak. Walau bagaimanapun, wujud risiko pendedahan terhadapnya semasa dewasa.

Hepatitis B
Hepatitis B boleh menyebabkan penyakit hati kronik dan berpotensi mengancam nyawa. Kecenderungan Hepatitis B berkembang menjadi suatu penyakit kronik bergantung kepada usia seseorang yang dijangkiti. Semakin muda usia seseorang, semakin tinggi risikonya. Jangkitan kronik berlaku dalam 90% daripada bayi yang dijangkiti sewaktu lahir, 30% daripada kanak-kanak pada usia 1-5 tahun dan 6% daripada orang yang dijangkiti selepas umur 5 tahun. Berita baiknya adalah vaksin Hepatitis B termasuk dalam Program Imunisasi Malaysia sejak tahun 1989.9.

Apakah Statistiknya?

Di Malaysia, kelaziman hepatitis B adalah paling tinggi di kalangan komuniti Cina. Dianggarkan bahawa terdapat hampir 1 juta pembawa virus Hepatitis B (HBV) (5.24% daripada jumlah penduduk). Kadar pembawa adalah paling tinggi di kalangan kaum Cina (5-7%), lebih rendah di kalangan kaum Melayu (2-3%) dan paling rendah di kalangan kaum India (<1%).


Pembandingan antara Hepatitis A & B
 
Hepatitis A
Hepatitis B
Tempoh pengeraman 15 hingga 50 hari 6 minggu hingga 6 bulan
Cara transmisi Laluan tinja oral Bendalir badan atau darah
Kumpulan berisiko
tinggi

Orang yang tinggal bersama orang yang dijangkiti

Orang yang melancong ke negara yang mungkin mempunyai jangkitan yang lebih tinggi (sanitasi yang kurang baik)

Kanak-kanak yang pergi ke pusat jagaan harian

Kakitangan di pusat penjagaan harian

Makan makanan tercemar yang tidak disediakan dengan sempurna

Bayi yang ibunya dijangkiti penyakit

Pesakit yang menerima transfusi darah yang tidak disaring

Pengguna dadah yang
berkongsi jarum

Orang yang melakukan persetubuhan dengan
pasangan yang dijangkiti

Orang yang tinggal bersama individu yang dijangkiti

Orang yang terdedah kepada peralatan tatu yang tidak disteril.

Pencegahan
Hepatitis A boleh dicegah melalui amalan kebersihan yang baik. Walau bagaimanapun, perlindungan terbaik untuk anak anda daripada Hepatitis A & B adalah melalui vaksin.

Vaksin Hepatitis A, didapati di Malaysia bagi mereka yang sudah menjangkau usia 1 tahun. Dua dos diberikan pada jarak 6 bulan diperlukan bagi keimunan penuh terhadap Hepatitis A. Tempoh perlindungan ialah 14-20 tahun bagi kanak-kanak dan sekurang-kurangnya 25 tahun bagi dewasa. Malah pernah dilaporkan bahawa vaksin tersebut adalah 85% lebih berkesan untuk perlindungan terhadap virus itu.

Vaksin Hepatitis B, vaksin pertama yang berkaitan secara tidak langsung kepada pencegahan barah hati, adalah vaksin mandatori di bawah Program Imunisasi Malaysia sejak tahun 1989. Keimunan penuh memerlukan pemberian tiga dos. Vaksin Hepatitis B ialah 90% berkesan dalam perlindungan terhadap virus, akibat kronik virusnya, dan barah hati. Perlindungannya berterusan sekurangkurangnya 20 tahun dan boleh jadi sepanjang hayat.

Perkembangan Vaksin bagi Hepatitis
Suatu gabungan vaksin bagi Hepatitis A dan B kini didapati untuk mereka berusia melebihi 16 tahun. Ia menggabungkan Hepatitis A tidak aktif dan rekombinan Hepatitis B. Vaksin ini perlu diberi dalam 3 dos. Di samping itu, vaksin Hepatitis B juga boleh digabungkan dalam vaksin primer Difteria, Pertusis (batuk kokol), Tetanus (kancing gigi), Haemophilus Influenzae jenis b (Hib) dan vaksin polio yang menjadikannya vaksin 6-dalam-1 yang didapati di klinik.

Teknologi hari ini telah mewujudkan perlindungan terhadap Hepatitis A & B dan juga mengurangkan suntikan sambil meningkatkan penyakit-penyakit yang dicegah. Lebih banyak lagi vaksin akan dihasilkan pada masa depan.

 

Suntikan Berkurangan, Perlindungan Setanding
Ibu bapa boleh memilih vaksin kombinasi untuk mengurangkan suntikan yang diberi kepada
anak mereka dengan tahap perlindungan yang setanding terhadap penyakit.

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik.

 

Tahukah anda bahawa berdasarkan Jadual Imunisasi Kebangsaan, si manja anda akan menerima sejumlah 16 dos vaksin apabila dia mencecah usia dua tahun? Dan sebahagian besar daripada dos akan diberikan melalui suntikan!

Vaksin kombinasi menggabungkan dua atau lebih vaksin dalam satu suntikan. Vaksin ini dapat mencegah beberapa penyakit sekaligus dengan bilangan suntikan yang berkurangan berbanding jika vaksin diberikan secara berasingan. Dengan adanya vaksin kombinasi, pelbagai masalah kini turut dapat dikurangkan.

Vaksin kombinasi bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah lama digunakan di Malaysia. Daripada semua vaksin wajib di bawah Program Imunisasi Malaysia, enam diberi secara kombinasi. Terdapat vaksin 2-dalam-1 (bivalen), 4-dalam-1 (tetravalen) dan5-dalam-1 (pentavalen) yang boleh didapati hari ini.

 
Vaksin terbaru ialah heksavalen atau vaksin 6-dalam-1 yang melindungi daripada bakteria tetanus, difteria, pertusis, hepatitis B, poliovirus and Haemophilus Influenzae jenis b, semuanya dalam satu suntikan.
 
 
Terkini

Vaksin Polio
Selaras dengan trend global semasa dalam pencegahan polio, vaksin kombinasi baru ini menggabungkan vaksin polio yang tidak diaktifkan (IPV) yang diberi menerusi suntikan.

Sebabnya:

  1. Vaksin polio oral (OPV) yang lama mungkin mencetus tindak balas imunologi yang sama seperti pendedahan semula jadi kepada virus polio. Virus ini boleh menyebabkan seseorang itu lumpuh.
  2. OPV akan dikeluarkan daripada program imunisasi kebangsaan kerana negara kita merupakan antara negara di mana polio liar telah dibasmi sepenuhnya.
  3. IPV tidak mempunyai kesan sampingan serius.
  4. IPV boleh digunakan oleh orang yang mempunyai sistem imun terjejas, penyakit autoimun, ketumbuhan malignan dan pemindahan organ.

Vaksin Pertusis
Vaksin baru Kementerian Kesihatan juga menggabungkan vaksin pertusis aselular (aP) dan bukannya komponen pertusis sel penuh (wP).

Sebabnya:

  1. Jenis aselular mengandung kurang antigen dan menyebabkan kesan sampingan yang berkurangan.
  2. Kedua-duanya mempunyai tahap keberkesanan yang serupa.

Selamat & Terjamin
Vaksin kombinasi adalah selamat dan berkesan seperti vaksin penyakit tunggal individu. Banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum vaksin boleh digabungkan, termasuk tiada interaksi memudaratkan di kalangan komponen vaksin, satu komponen tidak harus menjejaskan yang lain, adjuvan yang digunakan hendaklah menjamin kestabilan semua komponen dan tidak bertindak balas dengan vaksin, dan kombinasi tidak harus memberi lebih kesan sampingan berbanding vaksin komponen individu. Ibu bapa tidak harus bimbang tentang pemberian berbilang vaksin pada masa yang sama, kerana sel imun kanak-kanak didapati boleh menerima jumlah antigen beberapa kali lebih tinggi daripada yang didapati dalam vaksin antigen.

Berbincanglah dengan doktor anda jika anda berminat mengurangkan jumlah suntikan yang diberi kepada si manja anda, sambil memberinya perlindungan maksimum.

 

Cirit-Birit Di Kalangan Kanak-Kanak
Pemvaksinan boleh membantu bayi anda menentang punca cirit-birit

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik.

 

Cirit-birit boleh dikenal pasti daripada kekerapan membuang air besar dan najis cair yang berlarutan selama beberapa hari hingga seminggu. Ia boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria seperti Shigella, Escherichia coli, dan virus seperti Rotavirus, dan juga parasit. Punca cirit-birit yang bukan disebabkan jangkitan kuman termasuk intoleransi makanan, tindak balas terhadap ubat tertentu, penyakit usus, atau penyakit lain yang membabitkan fungsi usus.

Bayi lazimnya lebih kerap membuang air besar dan najisnya lembut, lebih-lebih lagi jika menyusu ibu. Bayi baru lahir boleh membuang air besar sehingga 10 kali sehari, manakala bayi berusia 4 bulan mungkin membuang air besar 3 kali sehari. Najis bayi yang baru mula mengambil makanan pejal lebih keras. Awasi kekerapan membuang air besar yang mungkin meningkat secara tiba-tiba atau perubahan pada rupa najisnya. Jika najis nampak lebih lembut dan cair daripada biasa, si manja mungkin mengalami cirit-birit. Bayi kecil yang membuang air besar lebih daripada sekali selepas setiap kali menyusu mungkin juga mengalami cirit-birit.

 

Ada kalanya, cirit-birit boleh disertakan dengan muntah, demam, hilang selera makan, sakit/kejang perut atau kembung perut.

Bagaimana menjaga bayi anda
  • Tukar lampin si manja anda selepas setiap kali dia membuang air besar.
  • Sapu gel petroleum atau krim pada punggung bayi untuk melegakan kesakitan.
  • Tambah minuman dan teruskan diet biasa bayi.
  • Jika umurnya lebih 6 bulan dan bayi anda mengalami ciritbirit selama lebih 24 jam, anda boleh memberi bijirin, bubur nasi, pisang lenyek, lobak merah lenyek, kentang lenyek, dan makanan berserat tinggi yang lain.
  • Minta makanan tambahan zink daripada doktor anda. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan makanan tambahan zink untuk kanak-kanak yang mengalami cirit-birit selama 10 hingga 14 hari, semasa dan selepas ciritbirit kerana ia mengurangkan tempoh dan tahap keterukan cirit-birit.
  • Jangan beri ubat untuk menghentikan cirit-birit melainkan diarahkan oleh doktor.

Cirit-birit Rotavirus
Rotavirus adalah punca cirit-birit yang kerap dikesan di kalangan kanak-kanak bawah umur 5 tahun. Di Malaysia, 49% daripada kanak-kanak yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Besar Sarawak akibat cirit-birit dilaporkan berpunca daripada rotavirus. Hospital-hospital lain merakamkan angka 20% – 30%.

Ibu bapa boleh memainkan peranan dalam usaha mengurangkan risiko cirit-birit dan jangkitan rotavirus di kalangan bayi mereka. Pemberian susu ibu secara eksklusif sehingga bayi berumur 6 bulan disyorkan kerana ini melenyapkan risiko si manja mengambil makanan tercemar. Susu ibu juga menguatkan sistem imun bayi. Ibu bapa juga boleh memainkan peranan mereka dengan menjaga kebersihan diri dan persekitaran rumah, dan memastikan kebersihan semasa mengendalikan makanan dan air minuman.

Vaksinasi
Vaksin rotavirus boleh didapati di Malaysia sebagai vaksin opsyenal untuk bayi berumur kurang daripada 6 bulan. Vaksin ini mencegah penyakit teruk dengan meniru jangkitan semula jadi. Vaksin diberi melalui mulut, dalam 2 atau 3 dos bergantung pada pengeluar vaksin. Ia diberikan selang 4 minggu kepada bayi berumur antara 6 dan 24 minggu. Vaksin ini boleh didapati di klinik doktor swasta di Malaysia. Anda tidak perlu menghadkan pemberian makanan atau susu sebelum atau selepas vaksinasi.

Lindungi bayi anda dengan vaksin.

 

Ketakutan Serangan Rotavirus Deena & Amzar

Perjuangan anak kecil menentang jangkitan yang meragut
nyawa 600,000 kanak-kanak setiap tahun

Oleh Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik

 

Hashim dan Ariza hampir kehilangan ikhtiar. Anak bongsu mereka, Deena Sofya, 3 tahun, diserang demam panas, muntah-muntah dan cirit-birit selama beberapa hari. Sudah berkali-kali mereka membawanya ke klinik tetapi demam Deena tidak juga kebah. Dia sentiasa lesu dan tidak bermaya. Tidak mahu makan dan memuntahkan apa sahaja yang cuba disuapkan oleh Hashim. Malah susu pun tidak dapat ditelannya. Tiada lagi tenaga dalam dirinya. Tubuh badannya yang kecil menjadi semakin lemah, menyebabkan ibu bapanya semakin terdesak.

 

“Kami cuba apa sahaja untuk menurunkan suhu badannya,” kata Hashim. “Kami menjaram badannya, malah cuba bagi dia aiskrim! Semuanya tidak berkesan, dan kami membawanya ke hospital dengan segera.”

Manakala tidak jauh dari situ, Farihan dan suaminya Anizam berasa bimbang kerana ada yang tidak kena dengan Amzar, anak lelaki mereka yang berumur setahun. Semenjak Farihan membawanya pulang dari pusat asuhan Jumaat yang lalu, anaknya mula bersikap pelik. Keesokannya pula, dia muntahmuntah. Pada Ahad itu, Farihan membawa Amzar ke klinik dan didiagnos dengan kembung perut lalu diberi ubat untuk angin dan mengelakkan muntah-muntah.

Hari Isnin berlalu dan disebabkan keadaan Amzar yang semakin pulih, dia dihantar semula ke pusat asuhan sambil Farihan meneruskan kerja sepenuh masanya sebagai pensyarah universiti. Namun, apabila menjemput anak sulungnya Fawza yang berumur 6 tahun dari tadika, Farihan mendapati Fawza mengalami simptom yang sama seperti Amzar: sakit perut diikuti muntah-muntah teruk apabila waktu malam.

“Saya pernah baca mengenai Rotavirus tetapi saya tidak mengaitkannya pada masa itu,” kata Farihan. “Keesokan hari, Amzar mula demam dan kembali muntahmuntah! Kami tahu mereka mesti dibawa ke hospital.”

DIAGNOSIS PENYAKIT
Sama seperti Deena, Amzar dan Fawza juga didiagnos dengan jangkitan Rotavirus. Akhirnya, ibubapa mereka tahu bahawa muntah-muntah dan cirit-birit tersebut adalah bukan yang biasa. Persoalan seterusnya “Apakah Rotavirus?”

Rotavirus adalah sejenis virus yang sangat mudah menjangkiti usus. Ia biasanya terdapat dalam najis kanak-kanak yang dijangkiti dan disebarkan menerusi sentuhan dengan najis yang dijangkiti.

Rotavirus boleh disebarkan dengan mudah dalam banyak cara: apabila kanakkanak tidak membasuh tangan mereka selepas menggunakan tandas atau sebelum makan, atau daripada orang dewasa yang mendapat jangkitan atau mengendalikan bayi yang dijangkiti. Oleh kerana Rotavirus boleh hidup selama berjam-jam pada tangan manusia dan berhari-hari pada permukaan keras dan kering, ia juga boleh disebarkan menerusi air dan makanan tercemar atau apabila kanak-kanak menyentuh objek dan permukaan tercemar, dan kemudian menyentuh mulut mereka.

 
Mengenal pasti jangkitan Rotavirus

Rotavirus menyebabkan demam, loya dan muntah, diikuti sakit perut dan cirit-birit selama 3 hingga 8 hari. Cirit-birit boleh menjadi teruk hingga boleh menyebabkan penyahidratan. Tanda-tanda penyahidratan termasuk rasa dahaga, rengsa, lesu, mata cengkung, mulut dan lidah kering, kulit kering dan bagi bayi, lampinnya tidak basah selama beberapa jam.

 

SEMASA DI HOSPITAL
Lima hari Deena terbaring di hospital. Cecair intravena dimasukkan setelah kehilangan terlalu banyak cecair akibat muntah dan cirit-birit. Kedua-dua ibu bapanya benar-benar merasa lega apabila keadaannya beransur pulih. Jika Deena berusia lebih muda, sudah tentu penyahidratan itu boleh meragut nyawanya. Di kalangan kanak-kanak berusia 6 hingga 24 bulan, penyahidratan yang teruk boleh mengakibatkan kejutan, kegagalan buah pinggang, kerosakan otak dan juga maut.

Bagi Amzar yang berumur setahun, risiko penyahidratan adalah ketara. “Fawza yang lebih tua sembuh lebih cepat dari jangkitan Rotavirus. Dengan Amzar, saya dapati kulitnya semakin berkedut. Dia juga terlalu lemah. Namun, dengan cecair intravena, keadaannya semakin baik. Lima hari kemudian, dia boleh makan bubur semula!” kata Farihan dengan senyuman.

 
 
 
 

Suntikan Minima Untuk Perlindungan Sepenuhnya

Vaksin kombinasi dapat memberikan anak anda perlindungan sepenuhnya
serta mengurangkan ketidakselesaannya, malah memudahkan anda.

Oleh Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik

 

Sebagai ibubapa, kita membuat keputusan setiap hari bagi anak anak kita. Dari alat permainan ke keselamatan, pemakanan ke vaksin, kita membuat keputusan supaya anak-anak kita akan selalu sihat dan sejahtera.

Menurut satu tinjauan antarabangsa yang dijalankan oleh Ipsos Belgium, sebuah syarikat tinjauan utama di Belgium, vaksinasi merupakan salah satu keputusan yang mudah bagi ibubapa: 42% ibu Malaysia berasa yakin bahawa mereka dapat membuat pilihan vaksinasi yang wajar. Kebanyakan ibu berpendapat bahawa vaksinasi adalah satu keperluan (79%) dan juga pelaburan dalam kesihatan anak-anak mereka (75%).

 

Sungguhpun keperluan dan keberkesanan vaksin dalam melindungi anak anda dari penyakit merbahaya tidak boleh dipertikaikan, 36% ibu Malaysia masih bimbang apabila memikirkan kesakitan yang anak mereka bakal rasai.

Kebimbangan ibu ini memang perkara biasa dan ia boleh dikurangkan dengan mengguna vaksin kombinasi: satu vaksin yang memberi imunisasi kepada penyakit-penyakit merbahaya yang disenaraikan dalam jadual imunisasi wajib seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Persatuan Pediatrik Malaysia.

Vaksin kombinasi yang mencegah penyakit-penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertusis (batuk kokol), dan/atau polio memang lama ada. Vaksin kombinasi baru memasukkan Hib (Haemophilus influenzae jenis b) dan hepatitis B menjadikan vaksin kombinasi 5-dalam-1 dan 6-dalam-1.

Difteria
Difteria ialah satu jangkitan bakteria yang serius di mana ia menjejaskan saluran pernafasan dan kadangkala, kulit. Ia boleh menyebabkan lumpuh, kegagalan jantung dan masalah pernafasan yang tenat. Jangkitan bakteria ini boleh menyebabkan komplikasi yang serius malah kematian sekiranya ia menjangkiti kanak-kanak kecil dan orang tua.

Tetanus
Juga dikenali sebagai 'kancing gigi', bakteria tetanus memasuki badan melalui kulit yang cedera seperti terbakar, patah atau luka. Apabila bakteria memasuki luka, ia mengeluarkan toksin yang boleh menjejaskan sistem saraf dan memberi kesakitan yang amat sangat, sakit kepala, kaku dan kekejangan. Kekejangan yang teruk boleh berlaku sehingga menyebabkan keretakan pada tulang belakang. 10% daripada kes tetanus membawa kepada maut.

Pertussis
Dikenali sebagai batuk kokol, jangkitan bakteria yang mudah berjangkit ini akan menyebabkan batuk teruk yang berpanjangan serta kesukaran bernafas. Pertussis juga boleh membawa kepada jangkitan bahagian dalam telinga, bronkitis, pneumonia, sawan dan kerosakan otak. Ia adalah sangat merbahaya sekiranya dijangkiti oleh bayi berumur 6 bulan ke bawah – 1 dalam setiap 200 bayi yang dijangkiti berakhir dengan kematian.

Hib
Sejenis bakteria yang dikenali sebagai Haemophilus influenzae jenis b, Hib akan menyebabkan jangkitan telinga dan saluran pernafasan dan merupakan faktor utama meningitis di kalangan kanak kanak berumur 2 tahun ke bawah. Hib adalah penyakit berbahaya – hingga 10% bayi yang dijangkiti akan mati dan 30% pula menderita komplikasi yang serius seperti cacat mental, palsi serebrum, pekak, epilepsi dan buta.

Polio
Polio ialah satu jangkitan virus yang menyebabkan pelbagai kesan – dari kesakitan sederhana ke ketidakupayaan kekal hingga kematian. Dalam kes-kes serius, jangkitan polio akan menyebabkan kelumpuhan otot-otot yang mengawal pernafasan dan berjalan. Anggota badan yang dijangkiti polio boleh menjadi cacat. Sebelum vaksin digunakan secara meluas, polio telah menyebabkan ramai kanakkanak dan orang dewasa menjadi cacat. Polio telah dihapuskan di Malaysia tetapi ada kes kes dari negara jiran yang boleh dibawa masuk.

Hepatitis B
Hepatitis B ialah jangkitan virus yang mengakibatkan radang hati. Ia berjangkit dari ibu yang dijangkiti kepada bayinya atau sentuhan dengan darah pembawa Hepatitis B. Bayi yang dijangkiti ketika lahir biasanya menjadi pembawa Hepatitis B. Walaupun mereka kelihatan sihat selama beberapa tahun seterusnya, masih terdapat simptomsimptom yang akhirnya menyebabkan kerosakan hati seperti kanser hati. Sehingga kini tiada rawatan khusus untuk Hepatitis B.

Terdapat vaksin kombinasi lain seperti MMR (untuk beguk, campak dan rubella), dan MMRV (campuran varisela atau cacar air) yang akan dibincang dalam isu-isu akan datang. Vaksin kombinasi mengurangkan suntikan yang diberi kepada anak sambil memberi perlindungan yang sama.

Menerima Suntikan Vaksinasi Atau Tidak?

Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik & Neonatologi dan
Ahli Jawatankuasa Pengurusan Positive Parenting, menjawab persoalan anda.

 

“Saya dengar bahawa sesetengah vaksin seperti vaksin polio boleh menyebabkan penyakit tersebut dan bukan mencegahnya. Adakah lebih selamat jika anak saya tidak menerima vaksinasi itu?”

Kanak-kanak telah mendapat lebih banyak kebaikan daripada vaksinasi berbanding dengan program pencegahan penyakit lain yang terdapat dalam sejarah perubatan. Kerana vaksinasi begitu berkesan dan sudah hampir membasmi kebanyakan penyakit yang serius, ada ibubapa yang mula bertanya dan memikir semula jika ia benar-benar bermanfaat.

Adakah vaksin masih diperlukan? Adakah kebaikannya masih melebihi segala risiko yang dibawanya? Jawapan kepada kedua-dua soalan ini ialah YA.

 

Dahulu, sebelum terdapatnya vaksin:
  • Beribu-ribu kanak-kanak telah menjadi lumpuh setiap tahun akibat polio.
  • Rubella pula menjadi punca kecacatan kelahiran pada bayi baru lahir dan akhirnya menyebabkan kecacatan mental.
  • Difteria merupakan punca utama kematian kanak-kanak sekolah.
  • Kuman Haemophilus influenzae jenis b(Hib) merupakan punca utama penyakit meningitis (jangkitan pada selaput otak) yang telah menyebabkan kecederaan otak yang kekal.
  • Batuk kokol yang juga dikenali sebagai ‘penyakit batuk 100 hari’ pula telah membunuh ramai kanak-kanak, terutama yang berumur di bawah 1 tahun.
 

Vaksin Batuk Kokol
Penjelasan terbaik ialah dengan menggunakan contoh vaksin yang mempunyai paling banyak kesan sampingan, iaitu vaksin pertusis atau batuk kokol.

Vaksin pertusis yang lama telah dikaitkan dengan kesan sampingan dan ini telah mengakibatkan sesetengah ibu bapa enggan memberikan vaksin tersebut kepada anak mereka. Oleh kerana publisiti negatif tentang vaksin ini, negara Jepun telah berhenti menggunakannya pada tahun 1975. Berikutan dengan ini, terdapat 13,000 kes batuk kokol serta 113 kematian. Sebelum tahun 1975, hanya terdapat 400 kes dan tiada seorang pun kanak-kanak yang mati akibat vaksin pertusis!

Kebaikan vaksin sememangnya mengatasi risiko kesan sampingan yang kecil. Kini, ibu bapa tidak perlu runsing memikirkan vaksin yang perlu diberikan kepada anak-anak mereka. Sekarang terdapat vaksin pertusis yang baru (pertusis tanpa sel) yang kurang mempunyai kesan sampingan dan boleh diberikan kepada semua kanak-kanak.

Vaksin Polio
Mengenai polio pula, terdapat dua jenis vaksin. Yang pertama adalah vaksin poliovirus yang hidup tetapi lemah. Ia dititiskan ke dalam mulut kanak-kanak (vaksin polio oral atau OPV). Jenis kedua ialah vaksin poliovirus yang telah mati dan diberikan dalam bentuk suntikan (vaksin polio tidak aktif atau IPV). Imunisasi lazim secara ‘OPV’ telah dilakukan di Malaysia sejak tahun 1972. Program ini amat berkesan dan kini tiada sebarang kes polio di Malaysia sejak 1985.

OPV telah dipilih kerana ia berkesan, senang diberi, murah dan melindungi kita seumur hidup. Walaupun demikian, OPV dikaitkan dengan kesan sampingan yang jarang sekali berlaku, tetapi serius. Lebih kurang 1 dalam sejuta kanak-kanak yang diberikan dos pertama mungkin mendapat penyakit polio dan menjadi lumpuh. Ia dikenali sebagai Kelumpuhan Poliomielitis Akibat Vaksin.

IPV turut memberikan manfaat yang sama dengan OPV, tetapi tanpa menyebabkan VAPP. Berikutan kemajuan dalam teknologi serta cara pengeluaran vaksin, IPV kini boleh diberikan dalam suntikan yang sama dengan vaksin-vaksin lain yang lazim diberikan. Kini satu vaksin gabungan IPV dengan difteria, pertusis, tetanus dan Hib (vaksin 5 dalam 1) dan hepatitis B (vaksin 6 dalam 1) dapat diberikan dengan satu suntikan sahaja.

Perlindungan Untuk Hidup

Vaksin cara terbaik melindungi anak daripada jangkitan dan penyakit yang boleh membawa maut.

– Prof Dr Zulkifli Ismail, Consultant Paediatrician

 

Sebelum zaman perubatan moden, wabak penyakit sentiasa berlaku dan sering mengakibatkan maut. Manusia hidup dalam keadaan kotor di mana kuman mudah merebak. Tiada sesiapa yang tahu mencegah, mahupun mengubati penyakit tersebut.

Hari ini, kita beruntung kerana ada vaksin, iaitu penemuan saintifik yang telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa. Namun, sebilangan ibu bapa menaruh syak dan kecurigaan, dan akibatnya anak mereka yang terpaksa menggadai nyawa.

PERTAHANAN MENENTANG PENYAKIT

Badan anak direkabentuk untuk menghasilkan sel dan antibodi yang mampu melawan virus dan bakteria. Serangan virus atau bakteria akan menyebabkan pembentukan ‘ingatan’ pertahanan yang rumit yang memberi si anak kemampuan untuk melawan serangan daripada kuman yang sama pada masa hadapan.

Walau bagaimanapun, ada beberapa jenis kuman yang badan tidak boleh melawan tanpa bantuan vaksin. Kuman ini termasuk bacteria yang menyebabkan tuberkulosis (TB), difteria, batuk kokol, tetanus dan meningitis, dan juga virus yang menyebabkan hepatitis, polio, demam campak, beguk, rubella dan cacar air.

Tanpa vaksin, kuman tersebut boleh merosakkan badan si anak dan menyebabkan kecacatan atau maut.

PASTIKAN ANAK DAPAT VAKSIN

Kini ada enam jenis vaksin yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi melindungi anak daripada jangkitan dan penyakit yang sering berlaku.

Si anak akan terima vaksin pertama setelah dilahirkan, dan sepatutnya terus menerima semua dos vaksin mengikuti jadualmasa yang disyorkan (rujuk kepada jadual).

Selain daripada vaksin wajib, vaksin pilihan juga ada untuk perlindungan daripada penyakit-penyakit lain seperti cacar air, Hepatitis A dan Japanese Encephalitis (JE).

 

 

Mengapa Tidak?

Ada sebilangan ibu bapa yang tidak membawa anak untuk menerima vaksin. Ada yang berpegang kepada anggapan salah, dan ada juga yang memberi alasan. Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) mengkaji beberapa daripada sebab yang sering dikatakan oleh ibu bapa.

Sebab #1: “Penyakit-penyakit itu tidak muncul lagi.”
Kenyataan: Bakteria dan virus telah hidup bersama manusia semenjak zaman dahulu lagi. Sesetengah kuman yang hidup dalam keadaan kotor masih wujud di Malaysia. Anak anda masih menghadapi risiko dijangkiti penyakit berjangkit daripada orang lain dan persekitarannya.

Sebab #2: “Vaksin tidak selamat.”
Kenyataan: Kes-kes kesan buruk berkaitan dengan vaksin jarang sekali berlaku. Vaksin mungkin menyebabkan reaksi sederhana atau kesan sampingan kepada sebilangan kanak-kanak. Namun begitu, jangkitan boleh membawa akibat yang lebih merbahaya kepada anak, tambahannya pula mahal untuk diubati. Kebaikan vaksin berkali ganda melebihi risiko dan kesusahan sementara yang mungkin timbul.

Sebab #3: “Kenapa perlu vaksin? Doktor boleh beri rawatan.”
Kenyataan: Pada waktu ini, tiada rawatan berkesan atau khusus bagi kebanyakan penyakit. Tiada ubat yang berjaya melawan penyakit yang disebabkan oleh virus. Apabila kerumitan berlaku, tidak banyak dapat dibuat kecuali memberi si anak rawatan sokongan yang mungkin menyusahkan dan mahal. Ubat antibiotik dapat melawan jangkitan bakteria, tetapi perlu diberi berpanjangan. Adakalanya, rawatan tidak dapat mengelakkan kerumitan serius (seperti kerosakan jantung atau otak, atau kelumpuhan otot) daripada berlaku. Ataupun rawatan mungkin terlambat.

Sebab #4: “Anak saya kerap ada selsema.”

Kenyataan: Selsema tanpa demam atau gejala lain tidak menjadi masalah untuk anak diberi suntikan vaksin. Jika anak demam, maka lebih baik jika imunisasinya ditangguh. Vaksin polio oral juga patut ditangguhkan jika anak ada cirit-birit.

Sebab #5: “Saya tidak ada masa!”

Kenyataan: Apa yang diperlukan hanyalah satu lawatan ke klinik/hospital setiap bulan atau setiap dua bulan. Majikan dan rakan sekerja pasti faham jika anda perlu mengambil waktu cuti. Nyawa anak bukan untuk petaruhan.

Vaksin Pilihan

Terhimpit antara mahu melindungi anak anda daripada ancaman penyakit dan bimbang
terhadap kesan sampingan dan perbelanjaan? Berikut adalah apa yang perlu
anda tahu mengenai vaksin pilihan.

Oleh Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Neonatologi

 

Terdapat pelbagai jenis penyakit yang berbahaya. Berita baiknya ialah anda mampu melindungi anak anda dengan memberikan suntikan vaksin kepada mereka – satu senarai vaksin mandatori yang telah disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Persatuan Pediatrik Malaysia dapat memastikan hal ini. Tetapi ia bukan setakat ini sahaja. Tahukah anda bahawa terdapat vaksin pilihan yang boleh anda pertimbangkan. Anda mungkin tertanya-tanya mengapa anda memerlukan vaksin pilihan ini walaupun anak anda sudah menerima suntikan vaksin ketika masih kecil. Di sini terdapat jawapan untuk soalan yang sering ditanya oleh ibu bapa:

“Mengapa saya perlu mempertimbangkan suntikan vaksin pilihan?”

Vaksin pilihan telah dibuktikan selamat dan satu kaedah yang efektif untuk melindungi anak anda daripada penderitaan dan risiko komplikasi dari penyakit yang nampak seperti tidak berbahaya.

“Apakah pilihan yang saya ada?”

 

“Adakah terdapat sebarang kesan sampingan?”

Risiko terdapat di mana-mana walaupun dalam rutin seharian. Kita tetap makan sarapan pagi walaupun 200 orang mati setiap tahun kerana tercekik makanan di kerongkong. Begitu juga dengan vaksin, malah vaksin mempunyai lebih banyak kebaikan berbanding risiko yang akan dihadapi. Kesan sampingan, jika ada, hanya setakat kesan sampingan yang biasa seperti sakit dan bengkak di kawasan suntikan. Kesan sampingan sistemik jarang berlaku dan jika ada, hanya menyebabkan demam.

“Adakah suntikan vaksin mempunyai had maksimum yang boleh diterima anak saya?”

Sistem imun bayi mempunyai keupayaan yang besar untuk memberi tindak balas terhadap pelbagai vaksin dan kuman yang berada di persekitaran. Bukti saintifik semasa tidak menyokong tanggapan bahawa penerimaan vaksin yang pelbagai akan menyebabkan kelemahan kepada sistem imun badan.

“Tetapi bukankah vaksin pilihan agak mahal?”

Kesemua vaksin di dalam jadual imunisasi negara adalah berkos rendah. Sebagai contoh: setiap ringgit yang kita belanjakan untuk vaksin Hib (Haemophilus influenzae b), kita telah berjimat sebanyak RM3. Ini berlaku disebabkan penggunaan vaksin ini secara meluas, menyebabkan penurunan harga vaksin ini. Semakin baru sesuatu vaksin, semakin mahal harga vaksin tersebut.

“Vaksin pilihan ini memang amat berkesan. Tetapi mengapa vaksin ini tidak disenaraikan di dalam senarai vaksin mandatori?”

Kebanyakan vaksin yang baru seperti Hepatitis B, MMR (campak, beguk & rubella) dan Hib, apabila diperkenalkan di dalam negara kita, telah pun diberikan oleh sektor kesihatan swasta. Keberkesanan dan keselamatannya telahpun terbukti dan penggunaan yang meluas menurunkan harganya. Ini membolehkan vaksin-vaksin tersebut dimasukkan ke dalam jadual imunisasi di Kementerian Kesihatan setelah mendapat pemerhatian dari ‘Penilaian Teknologi Kesihatan’.

Bahaya Penyakit Pneumokokus

Jangkitan yang serius disebabkan oleh penyakit pneumokokus yang
merbahaya dapat dielakkan melalui imunisasi.

Oleh Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik & Neonatologi

 

Pada tahun 2005, satu kajian kuantitatif yang di jalankan di kalangan ibu-ibu di Pulau Pinang dan Lembah Klang membuktikan sebanyak 96 peratus responden tidak mengetahui tentang penyakit pneumokokus yang merbahaya (PnD) dan sebanyak 91 peratus ibu tidak menyedari tentang kewujudan bakteria pneumokokus.

Keadaan ini amat mencemaskan terutamanya apabila kuman ini dapat menyebabkan penyakit-penyakit yang berbahaya. PnD amat mudah berjangkit di kalangan kanak-kanak dan merebak melalui titisan-titisan yang disalurkan ke dalam udara melalui bersin atau batuk.

 

Apakah kemudaratan PnD?
Bakterium pneumokokus iaitu kuman yang menyebabkan PnD, boleh mengakibatkan penyakit-penyakit seperti berikut:

  • Meningitis: Jangkitan pada selaput otak atau saraf tunjang yang mungkin menyebabkan kehilangan deria pendengaran, kelumpuhan, kerosakan otak dan malah kematian. Kanak-kanak terlibat mungkin mengalami demam, sakit kepala, pening, muntah, cirit-birit dan ketegangan leher. Kini, salah satu punca utama meningitis di Malaysia adalah kuman pneumokokus.
  • Pneumonia: Jangkitan pneumokokus diparu-paru dengan tanda-tanda seperti batuk, kahak yang berlebihan, demam dan rasa seram sejuk. 1/3 daripada jangkitan sistem pernafasan akut (ARI) dan 2/3 daripada kematian akibat ARI adalah disebabkan oleh pneumokokus.
  • Bacteremia: Jangkitan yang berlaku apabila bakteria pneumokokus memasuki saluran darah. Tanda-tanda termasuklah demam, keresahan dan kadar pernafasan yang pantas. Setiap tahun, sebanyak 30 daripada 100,000 orang kanak-kanak yang berumur di bawah 5 tahun mengalami masalah bacteremia pneumokokus.
  • Otitis Media: Jangkitan telinga tengah mengakibatkan kesakitan di telinga dan gegendang telinga yang bengkak. Pada setiap tahun, 1/2 juta kes jangkitan telinga dilaporkan diMalaysia, yang mana 50% daripada jumlah ini disebabkan oleh pneumokokus..

Mencegah PnD
Kanak-kanak yang berisiko untuk mendapat PnD adalah kanak-kanak yang berumur di bawah 2 tahun, mempunyai sistem imun yang lemah dan mereka yang ditempatkan di pusat jagaan harian. Memastikan kebersihan yang baik sama ada di rumah mahu pun di pusat jagaan harian dapat mengelakkan penyebaran PnD. Jangan sesekali menghantar anak anda yang tidak sihat ke pusat jagaan harian ataupun ke sekolah. Namun begitu, cara terbaik untuk mencegah PnD adalah dengan
mendapatkan suntikan imunisasi. Vaksin pneumokokus telah terbukti sangat berkesan dan selamat. Suntikan vaksin pneumokokus kepada anak anda, juga akan melindungi individu yang berdekatan dengan anak anda (seperti kanak-kanak lain dan orang tua yang riskio tinggi) sekaligus mengurangkan risiko PnD merebak didalam masyarakat.

Lindungi anak anda dan kanak-kanak lain dengan mendapatkan suntikan vaksinasi untuk pneumokokus. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai PnD, rujuk pakar pediatrik anda atau hubungi “Mencegah PnD” di talian 1-800-882-339.


TAHUKAH ANDA?
  • Setiap tahun, seramai satu juta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun mati disebabkan oleh PnD (WHO)
  • Setiap minit, PnD membunuh seorang kanak-kanak.(WHO)
  • Kementerian Kesihatan Malaysia menganggarkan bakteremia pneumokokus berlaku dalam 30 daripada 100,000 orang kanak-kanak berumur di bawah 5 tahun, yang mana sekurangkurangnya terdapat 750 kes dan 20 kematian setiap tahun* PP

MUSUH YANG BOLEH MEMBAWA MAUT

 

Tubuh badan anak-anak kita ibarat medan peperangan. Sejak dalam kandungan lagi, mereka sudah diancam oleh musuh-musuh berbentuk virus dan bakteria yang tidak dapat dilihat. Keadaan tersebut menyebabkan sistem imun mereka sentiasa sibuk mencari dan memusnahkan organisma-organisma mikro ini sebelum mereka membiak dan menyebabkan penyakit serius yang boleh mengancam nyawa.


Ada kalanya sistem pertahanan anak kita mungkin mengalah buat sementara kepada musuh-musuh ini. Bagaimanapun, sistem imun mereka akan mempertingkatkan aktivitinya dalam usaha mematahkan serangan tersebut. Keberkesanan sistem imun menewaskan jangkitan ini meninggalkan daya ingatan atau ‘memori’ kompleks – yang dipanggil kekebalan atau perlindungan imun – yang boleh mencegah jangkitan kuman yang serupa pada masa hadapan. Malangnya, organisma-organisma yang menyerang anak-anak kita ini tidak sama, dan bukan semuanya boleh ditumpaskan oleh sistem imun mereka. Ada kuman yang lebih kuat dan tidak dapat ditandingi.

MENCEGAH SERANGAN

Penyakit-penyakit yang biasa menjangkiti kanak kanak termasuk hepatitis B, polio, campak, beguk dan rubela. Mereka berpunca daripada jangkitan virus. Batuk kering, pertusis (batuk kokol), difteria dan tetanus pula berpunca daripada bakteria.

Kesemuanya serius kerana mereka merupakan penyakit-penyakit yang boleh menyebabkan kesan kurang upaya jangka panjang atau kematian di kalangan bayi dan anak-anak kecil. Tambahan lagi, tiada rawatan yang berkesan atau rawatan khusus untuk penyakit-penyakit ini.

Sehingga kini, ubat berkesan untuk menentang penyakit-penyakit tersebut yang berpunca daripada virus amat berkekurangan. Sekiranya komplikasi timbul, hanya rawatan sokongan yang boleh diberi dan rawatan ini mungkin tidak selesa dan memerlukan kos yang tinggi (seperti rawatan mesin bantuan pernafasan, ubat antivirus, ubat gamma globulin dan ubat anti-sawan).

Penyakit-penyakit yang berpunca daripada jangkitan bakteria boleh dirawat dengan antibiotik tetapi ada penykit yang mungkin memerlukan jangkamasa rawatan yang lama (misalnya, 6 bulan untuk merawat batuk kering). Dalam kes pertusis pula, pesakit selalunya tidak menerima rawatan pada peringkat awal yang perlu untuk mengurangkan tahap serius dan tempoh jangkitan. Ada kalanya, rawatan tidak dapat mencegah komplikasi atau masalah serius akibat penyakit (seperti kerosakan jantung atau otak akibat difteria; atau lumpuh otot akibat tetanus).

Jangan salah sangka penyakit-penyakit serius seperti ini tidak boleh menjangkiti anak-anak anda atau adalah mudah dirawat. Sebagai ibu bapa, adalah tanggungjawab kita untuk mengambil langkah-langkah untuk mencegah jangkitan penyakit-penyakit ini.

Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan supaya ‘menanam cacar’ dan memastikan pelalian dilakukan. Langkah ini adalah alternatif yang lebih bijak, kurang menyakitkan dan lebih murah berbanding dengan rawatan penyakit.

Vaksin adalah selamat dan berkesan, walaupun sebilangan kecil kanak-kanak mungkin mengalami tindak balas atau reaksi yang tidak membahayakan. Kebanyakan vaksin diberikan melalui suntikan, tetapi ada juga yang diberi melalui mulut.

Vaksin yang diberikan mengandungi organisma mikro yang dilemahkan atau dibunuh, atau sebahagian daripada lapisan luarnya yang terdiri daripada protein. Pelalian ini membolehkan tubuh badan anak anda menghasilkan antibodi yang boleh melindunginya daripada jangkitan jika dia diserang virus atau bakteria itu sekali lagi. Setiap penyakit mempunyai vaksin tersendiri (sila lihat Jadual 2). Walaupun undang-undang tidak mewajibkan ibu bapa memvaksinkan anak-anak, kita seharusnya mengambil iktibar daripada program imunisasi/pelalian kerajaan yang menggalakkan penanaman cacar.

Banyak vaksin memerlukan dos disuntik berulangkali untuk mencapai kekebalan atau perlindungan imun yang berkesan. Justeru itu, ibu bapa dinasihatkan supaya mematuhi jadual pelalian yang ditetapkan (sila lihat Jadual 1). Berulangalik ke klinik atau hospital untuk menanam cacar memang menyusahkan, lebih-lebih lagi jika anak anda sudah cerdik dan takut atau meronta-ronta apabila disuntik. Berikut adalah beberapa petua yang dapat membantu anda menjadikan pengalaman tersebut lebih mudah bagi anak anda dan juga anda sendiri.

MEMBANTU ANAK ANDA SEMASA SUNTIKAN

Jangan sekali-kali cuba menipu anak anda. Beritahu dia awal-awal lagi bahawa dia akan disuntik supaya dia bersedia. Bagaimanapun, anda tidak perlu memberitahunya seminggu sebelum itu, kerana ini boleh menyebabkan dia takut dan resah sepanjang minggu. Beritahu dia pada hari suntikan yang dijadualkan, atau di luar pejabat doktor. Beritahu anak anda bahawa suntikan vaksin yang pertama telah diberi apabila dia dilahirkan.

Kanak-kanak biasanya bersikap lebih baik jika mereka tahu apa yang akan berlaku. Beritahu anak anda apa yang akan dilakukan oleh doktor apabila suntikan diberi. Jangan memperdayakan mereka dengan mengatakan suntikan tidak sakit. Sebaliknya, beritahu keadaan sebenar, bahawa suntikan hanya sakit sedikit, tetapi mereka mesti berani menghadapinya untuk menjaga kesihatan.

Anda boleh membantu doktor semasa suntikan diberi. Cuba alihkan perhatian anak anda dengan bercakap dengannya, menyanyi bersama atau mengira nombor. Sebelum dia menyedari suntikan dilakukan, segalanya sudah selesai. Puji keberaniannya atau pujuk dia jika dia merasa sakit.

PETUNJUK UNTUK IBU BAPA

Berbincang dengan ibu-bapa lain yang mempunyai pengalaman membawa anak untuk disuntik vaksin. Ibu-bapa anda, rakan-rakan atau jiran-jiran mungkin boleh memberikan nasihat yang praktikal
dan terbukti berkesan mengenai apa yang mungkin berlaku dan bagaimana untuk menanganinya.

Jadikan tugas membawa anak ke klinik atau hospital untuk mendapatkan vaksin sebagai satu rutin atau tugas tetap. Letakkan jadual pelalian di dapur atau di tempat yang jelas, dan beritahu suami/isteri anda atau orang lain mengenainya. Mereka mungkin boleh mengingatkan anda jika anda terlupa. Beritahu majikan lebih awal tentang tarikh anda perlu menguruskan suntikan vaksin anak anda. Ambil cuti jika perlu. Jika jadual tugas anda tidak membenarkan anda mengambil cuti, minta bantuan suami/isteri atau saudara mara membawa anak anda ke klinik atau hospital untuk suntikan tersebut.

Jangan terlalu bimbang jika anda terlewat sedikit daripada jadual pelalian yang ditetapkan. Ia tidak mengganggu tahap perlindungan imun anak anda atau menyebabkan anak anda terpaksa mengulangi program pelalian dengan dos pertama. Tanam cacar adalah perlindungan terbaik yang dapat anda berikan kepada anak-anak tersayang. Jangan sekali-kali mengabaikannya.

 

 

Perlindungan Seumur Hidup

Mengapa membiarkan bayi anda terdedah kepada risiko penyakit berbahaya
sedangkan ia mampu dicegah?

Oleh Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik

 

 

Vaksinasi, atau imunisasi dapat mencegah penyakit, kecacatan dan kematian di kalangan kanak-kanak kecil. Vaksin terdiri daripada sedikit virus atau bakteria yang telah mati atau dilemahkan. Ia disuntik ke dalam badan bayi dan akan meningkatkan sistem imun bayi anda. Oleh itu, bayi anda mempunyai ketahanan kepada penyakit yang disebabkan oleh virus atau bakteria itu.

Adakah bayi anda dilindungi daripada 10 penyakit yang boleh membawa maut?

Kementerian Kesihatan Malaysia dan Persatuan Pediatrik Malaysia amat menggalakkan bayi anda menerima vaksin yang lengkap seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah:

 
1. Tuberkulosis
Deskripsi: Berjangkit dan boleh membawa maut; boleh menyebabkan kerosakkan paru-paru, meningitis TB, jangkitan pada tulang dan sendi
Boleh dicegah oleh: Vaksin BCG
Bila: Semasa dilahirkan
   
2. Hepatitis B
Deskripsi: Jangkitan virus yang boleh menyebabkan jondis dan kanser hati
Boleh dicegah oleh: Tiga siri suntikan vaksin Hepatitis B
Bila: Semasa dilahirkan; semasa berumur 1 & 5 bulan
   
3. Difteria
Deskripsi: Difteria boleh menghalang saluran pernafasan dan menyebabkan kerosakan jantung dan otak
   
4. Pertusis (Batuk kokol)
Deskripsi: Batuk yang teruk dan berpanjangan; boleh menyebabkan jangkitan paru-paru dan otak
   
5. Tetanus (Kancing gigi)
Deskripsi: Kekejangan otot yang teruk yang boleh membawa maut bronkitis, bakteremia, jangkitan telinga dan epiglottis
Boleh dicegah oleh: Vaksin HIB
Bila: Semasa berumur 2, 3 & 5 bulan
   
6. Polio
Deskripsi: Otot lemah yang berkekalan; boleh menyebabkan hilang kekuatan terutamanya di bahagian kaki Boleh dicegah oleh: Vaksin polio melalui mulut atau suntikan dengan DTP
Bila: Semasa berumur 2, 3 & 5 bulan; booster (dos tambahan) yang pertama ketika berumur 18 bulan; booster yang kedua ketika berumur 6 hingga 7 tahun
   
7. Hemofilus Influenzae B (HIB)
Deskripsi: Radang selaput di sekitar otak dan korda spina (meningitis) dan boleh menyebabkan radang paru-paru, bronkitis, bakteremia, jangkitan telinga dan epiglottis
Boleh dicegah oleh: Vaksin HIB
Bila: Semasa berumur 2, 3 & 5 bulan
   

8.

Demam Campak
Deskripsi: Mudah berjangkit; simptom seperti demam, batuk, hidung berair dan ruam
   
9. Beguk
Deskripsi: Sangat mudah berjangkit; bengkak pada kelenjar di belakang rahang; demam, sakit ketika menguyah; boleh menyebabkan radang testikel, ovari, otak dan pankreas
   
10. Rubela (Campak Jerman)
Deskripsi: Simptom sama seperti demam campak; mungkin menjangkiti janin ketika ibu mengandung. Bahaya ialah kepada bayi yang dilahirkan dengan sindrom rubela kongenital.
 
Demam Campak, Beguk dan Rubela boleh dicegah oleh: Vaksin MMR
Bila: Semasa 12 hingga 15 bulan; 7 tahun
 
Vaksin Lain
Suntikan vaksinasi untuk mencegah cacar air, Hepatitis A, penyakit pneumokokus dan Ensefalitis Jepun (JE) bukan suntikan mandatori tetapi amatlah digalakkan. Dapatkan suntikan ini untuk bayi anda di hospital/klinik kerajaan atau swasta. Jika kurang pasti, rujuk doktor anda untuk maklumat lanjut.
 

Home About Positive Parenting Experts Corporate Sponsor Secretariat Contact Us

COPYRIGHT © VersaComm SDN BHD, ALL RIGHT RESERVED. Web Design By Big O Solutions.

Terms Of Use   |   Privacy Policy