Breastfeeding
  • Pilihan Susu
  • Kekurangan Bekalan Susu Atau Kekurangan Keyakinan Diri?
  • Menyusukan Si Manja Anda
  • Susu Ibu - Menyimpan & Memberi
  • Pemerahan Susu Badan
  • Tip Penyusuan Badan Untuk Ibu Bekerja
  • Hubungan Emosi Dalam Penyusuan Ibu
  • Otak Lebih Pintar Dengan Susu Ibu
  • Penyusuan dan Ibu Bekerja
  • Masalah Penyusuan
  • Panduan Menyusukan Bayi Kembar Anda
  • Langkah-langkah Penyusuan Susu Ibu
  • Membuat Keputusan
  • Cara mengatasi masalah yang berkaitan dengan penyusuan ibu
  • Susu ibu: memberi bayi anda yang terbaik
  • Makanan sempurna bayi
  • Katakan ya kepada penyusuan susu ibu
  • Mitos penyusuan susu ibu
  • Hanya kami berdua


  • Penyusuan Ibu
  • Makanan Pelengkap
  • Kanak-kanak Bertatih & Prasekolah
  • Resipi
           


Pilihan Susu

Keputusan untuk menyusukan si manja atau menggantikan susu ibu dengan susu lain adalah sangat peribadi dan penting. Beberapa fakta berikut boleh membantu anda membuat pilihan yang betul untuk anda dan juga bayi anda.

Oleh Dr Gan Yoke Cheng, Pakar Perunding Pediatrik dan Laktasi

 

Pilihan Susu

Penyusuan ibu adalah pengalaman yang sungguh mengagumkan bagi ibu dan juga anak. Selain itu, susu ibu adalah sumber makanan yang paling baik dan utama bagi bayi kerana ia mengandungi kombinasi nutrien yang betul dan ideal, khususnya protein, lemak, vitamin, karbohidrat, kolesterol, asid dokosaheksanoik (DHA), taurina, antibodi/antimikrob, sel hidup dan sebagainya. Hasil penyelidikan membuktikan bahawa bayi yang diberi susu ibu adalah lebih sihat. Mereka kurang berkemungkinan mendapat penyakit berjangkit, seperti meningitis (jangkitan membran dalam otak), cirit-birit, jangkitan saluran pernafasan dan jangkitan saluran kencing.

sesetengah ibu memilih untuk tidak menyusukan bayi mereka atas pelbagai sebab. Ini termasuk kurang sokongan, maklumat salah, kurang pengetahuan, dan banyak sebab lain seperti kesenangan mendapatkan susu formula, botol susu dan puting getah, serta kemudahan pensterilan. Dalam keadaan seperti ini, kebanyakan ibu memilih susu formula atau susu daripada haiwan tenusu seperti lembu dan kambing. Sungguhpun susu formula atau susu tenusu mungkin bukan pilihan pemakanan yang terbaik untuk bayi, ia mengandungi beberapa nutrien dan vitamin yang diperolehi bayi daripada susu ibu.

Susu formula sebagai alternatif

Susu formula bayi adalah alternatif kepada susu ibu kerana ia menyerupai susu ibu dari segi kandungan nutrien. Namun, ia tidak sebaik susu ibu. Susu formula ini boleh didapati dalam bentuk susu tepung, cecair pekat atau formula sedia untuk digunakan, dan boleh dikategorikan ke dalam 2 jenis utama – formula berasaskan susu lembu dan formula berasaskan soya.

  • Formula berasaskan susu lembu pada asasnya diperbuat daripada susu lembu yang telah diubah untuk menyerupai susu ibu. Susu formula ini mengandungi imbangan nutrien yang betul dan mudah dihadam. Susu formula sesuai untuk sesetengah bayi, tetapi bayi yang alah kepada protein dalam susu lembu mungkin perlu mengambil susu formula jenis lain.
  • Formula berasaskan soya. Formula susu bayi berasaskan soya mungkin satu pilihan bagi bayi yang tidak toleran atau alah kepada formula berasaskan susu lembu atau laktosa, gula yang terdapat secara semula jadi dalam susu lembu.

Sungguhpun dari segi kandungan nutrien susu formula untuk bayi mempunyai beberapa persamaan dengan susu ibu, susu formula tidak dapat menandingi kekompleksan susu ibu. Di samping itu, ia mahal, menghasilkan lebih banyak gas dan menyebabkan bayi sembelit. Paling penting, susu formula bayi tidak mengandungi antibodi penting yang terdapat dalam susu ibu untuk menentang jangkitan dan penyakit.

Adakah susu tenusu penuh baik untuk si manja saya?

Bayi bawah umur satu tahun tidak sepatutnya diberi susu tenusu tetapi hendaklah diberi susu ibu atau susu formula bayi. Ini adalah kerana susu lembu dan susu kambing tidak mengandungi zat besi, serta vitamin C dan E yang secukupnya. Susu lembu juga mempunyai kandungan natrium, kalium dan klorida yang tinggi berbanding susu formula bayi.

Sebaik sahaja bayi berusia 1 atau 2 tahun, susu tenusu boleh diperkenalkan untuk membekalkan kalsium, protein dan karbohidrat. Bagaimanapun, tugas menghadamkan kandungan protein dan galian yang tinggi dalam susu lembu boleh membebankan ginjal bayi yang masih belum matang, manakala kekurangan kandungan zat besi dan vitamin C boleh menyebabkan sesetengah bayi mengalami anemia yang berpunca daripada kekurangan zat besi. Susu lembu penuh boleh diberikan selepas usia bayi mencecah 1 tahun dengan syarat si manja juga diberi makanan pejal.

Susu kambing pula dikatakan mempunyai kandungan kalsium yang tinggi dan lebih mudah dihadam daripada susu lembu disebabkan kandungan proteinnya. Bagaimanapun, Akademi Pediatrik Amerika tidak menggalakkan pemberian susu tenusu jenis ini kepada bayi kerana ia boleh menyebabkan alahan dan jangkitan yang boleh mengancam nyawa. Di samping itu, susu kambing tidak mengandungi segala nutrien, khususnya vitamin B-12 dan asid folik yang diperlukan oleh bayi untuk membesar.

Susu manusia adalah khusus untuk bayi manusia, sama seperti susu spesies mamalia lain adalah khusus untuk anak masing-masing. Bagaimanapun, bagi ibu yang tidak dapat menyusukan bayi atas pelbagai sebab, susu formula bayi boleh diberikan sebagai ganti untuk bayi yang sedang membesar, manakala susu lembu tidak digalakkan untuk kanak-kanak bawah umur satu tahun.

Semua ibu perlu mendapatkan maklumat yang tepat supaya mereka boleh membuat keputusan berasaskan pengetahuan, sama ada untuk menyusukan bayi masing-masing atau memberi susu dalam botol. Bincangkan perkara ini dengan pakar pediatrik/penyusuan sebelum ketibaan si manja anda. Ingatlah, susu ibu adalah pemakanan yang paling baik untuk bayi manusia.

Nota: Penulis menyumbang artikel ini kepada Pengasuhan Positif kerana ingin membekalkan maklumat berdasarkan bukti kepada ibu bapa. Namun demikian, oleh kerana sebuah syarikat makanan bayi merupakan salah satu penaja Pengasuhan Positif, maka penulis tidak akan menerima sebarang bentuk bayaran daripada Pengasuhan Positif untuk artikel ini kerana beliau merupakan Pakar Perunding Laktasi Diperakui Badan Antarabangsa yang mematuhi Kod Etika untuk tidak menerima sebarang bentuk sokongan daripada syarikat makanan bayi.

Kekurangan bekalan susu atau kekurangan keyakinan diri?

Bolehkah sesetengah makanan 'rawat' masalah bekalan susu badan rendah?

Oleh Dr Gan Yoke Cheng, Pakar Pediatrik & Perunding Laktasi?

 

Persepsi bekalan susu badan tidak mencukupi merupakan masalah penyusuan umum; ramai ibu menganggap mereka tidak menghasilkan susu yang mencukupi walaupun sebenarnya adalah disebaliknya. Ini disebabkan ramai ibu baru, kekurangan kesejahteraan emosi dan keyakinan diri untuk menyusui bayi mereka secara eksklusif. Malah ada tanggapan salah bahawa susu formula lebih 'hebat' walaupun pelabelan wajib pada semua produk susu formula - "Susu badan adalah nutrisi paling baik untuk bayi".

Low milk supply or lack
of self-confidence?

Secara amnya, ada beberapa cara yang menentukan jika ibu mempunyai bekalan susu mencukupi:

  • Kenaikan berat badan - Bayi mendapat kembali berat lahir selepas dua minggu. Berat lahir berganda pada 5-6 bulan, dan tiga kali ganda pada satu tahun. Bayi yang disusu susu badan lebih ramping iaitu kurang cenderung makan banyak dan tidak menjadi gempal seperti bayi diberi susu formula..
  • Lampin - Sekurang-kurangnya 4-6 kain lampin basah dalam masa 24 jam. Bayi akan membuang air besar yang lembut, kuning, dan berdadih.
  • Tanda lain - Bayi mempunyai warna kulit baik, cerah, mata terang dan mempunyai tempoh berjaga tertentu pada siang hari.

Bolehkah makanan membantu meningkatkan bekalan susu?

""Minum sup betik dan ikan ini untuk bekalan susu yang lebih!"

Ramai ahli keluarga dan rakan mencadangkan petua ini kepada ibu muda. Sejak dahulu lagi, ibu di seluruh dunia mengambil makanan tertentu atau herba untuk meningkatkan bekalan susu mereka. Sebahagian besar daripada zat tersebut tidak dinilai secara saintifik tetapi penggunaan tradisional mencadangkan keselamatan dan beberapa kemujaraban, seperti Fenugreek (Trigonella foenum-graecum), Milk thistle (Silybum marianum) dan Goat's rue (Galega officinalis).

Untuk ibu yang menyusu, mengambil makanan seimbang dan air yang mencukupi amat penting dalam memastikan bekalan susu mencukupi. Maka, anda boleh masukkan ikan dan betik dalam diet anda secara kerap.

Menghadapi masalah penyusuan

Ada kalanya, bayi mungkin menyusu lebih daripada biasa ataupun lebih cerewet. Ini menyebabkan ibu menganggap bekalan susu mereka berkurangan. Ada juga sebab lain bekalan susu berkurangan. Anda harus periksa jika anda sedang mengalami situasi berikut, terutamanya jika berat badan bayi tidak meningkat atau pergerakan usus yang tidak mencukupi.

  • Pelekapan yang tidak betul: Pelekapan payu dara yang tidak betul menyebabkan payu dara tidak cukup terangsang, menjejaskan penghasilan susu optimum.
  • Bentuk puting: Bentuk puting boleh mempengaruhi sama ada bayi boleh melekap dengan betul atau tidak. Puting yang leper atau tenggelam menyukarkan bayi untuk menyusu.
  • Puting sakit: Kesakitan puting merekah atau luka boleh mengganggu refleks pengaliran susu; anda juga mungkin cenderung untuk melewatkan penyusuan kerana rasa sakit dan tidak selesa.
  • Penyusuan yang tidak kerap: Menyusu bayi dengan secukupnya, lebih kurang 8 kali penyusuan (atau lebih) dalam masa 24 jam, boleh merangsang proses penyusuan.
  • Penggunaan susu formula sebagai suplemen: Ini boleh mengurangkan bekalan susu, kerana bayi yang kenyang selepas minum susu formula bayi tidak akan menyusu dengan kerap.
  • Stres: Kebanyakan ibu akan melalui stres, terutamanya mereka yang baru menjadi ibu. Ia mungkin sebab kekurangan penghasilan susu.
Tingkatkan bekalan susu anda

Jangan susah hati apabila menghadapi cabaran penyusuan badan. Cara lain untuk meningkatkan penghasilan susu adalah:

  • Makan, minum dan rehat secukupnya - Minum air, makan dan mengambil rehat yang secukupnya akan membantu memastikan bekalan susu yang mencukupi.
  • Kekeliruan puting - Elakkan penggunaan botol atau puting tiruan antara waktu penyusuan badan; ini boleh mengelirukan bayi anda hingga tidak boleh menyusu dengan betul atau puas. Sebaliknya, gunakan cawan, sudu atau picagari.

Jika masih tidak berjaya walaupun telah berusaha dan mencuba pelbagai cara, doktor anda mungkin akan memberi anda ubat domperidone. Ubat ini membantu merangsang penghasilan hormon prolaktin dan dengan demikian meningkatkan pengeluaran susu.

Walaupun semua langkah diatas telah diambil, masih ada kemungkinan anda akan mempunyai kekurangan bekalan susu. Jadi, berbincang dengan doktor atau pakar laktasi untuk membantu dengan keadaan anda. Walaupun kami menyarankan ibu menyusukan bayi susu badan secara eksklusif, campuran antara susu formula dan susu badan adalah lebih baik daripada tidak menyusu sama sekali. Jangan berputus asa atau murung; anda sentiasa boleh mencari penyelesaian yang terbaik untuk anda dan bayi anda.

Nota: Penulis menyumbang artikel ini kepada Pengasuhan Positif kerana ingin membekalkan maklumat berdasarkan bukti kepada ibu bapa. Namun demikian, oleh kerana sebuah syarikat makanan bayi merupakan salah satu penaja Pengasuhan Positif, maka penulis tidak akan menerima sebarang bentuk bayaran daripada Pengasuhan Positif untuk artikel ini kerana beliau merupakan Pakar Perunding Laktasi Diperakui Badan Antarabangsa yang mematuhi Kod Etika untuk tidak menerima sebarang bentuk sokongan daripada syarikat makanan bayi.

Menyusukan Si Manja Anda

Menghisap adalah naluri bayi. Namun cara hisapan yang betul juga adalah proses pembelajaran bagi bayi.

Oleh Dr Gan Yoke Cheng, Pakar Perunding Pediatrik dan Laktasi

 

Penyusuan ibu adalah proses semula jadi antara ibu dan bayi; namun ia adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari dan diamalkan oleh ibu dan bayi berulang-ulang kali untuk mengetahui dan memahami proses ini.

Menyusukan Si Manja Anda

Lahir dalam keadaan bersedia sepenuhnya

Bayi belajar menghisap semasa dalam kandungan ibu; justeru, bayi akan lahir dengan kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan pemakanan secukupnya. Dengan latihan dan kesabaran, bayi boleh menyelaraskan pergerakannya dengan baik untuk menghisap, menelan dan bernafas dengan cekap apabila menyusu ibu.

Dalam kes seperti bayi dilahirkan tidak cukup bulan, dilahirkan dengan kerencatan seperti sumbing, atau dilahirkan dengan masalah oral motor, keupayaan mereka untuk menyusu ibu dan untuk makan pepejal pada masa hadapan mungkin terjejas. Terdapat juga bayi normal yang menghadapi kesulitan kerana kecederaan semasa lahir, yang seterusnya menyebabkan kesakitan, dan sistem oral (mulut) ‘tertutup’ untuk menggelakkan kesakitan selanjutnya.

Bagaimana penyusuan ibu terjejas?

Bayi dengan masalah oral motor mungkin mengalami koordinasi hisap-telan-nafas yang lemah. Keupayaan bayi untuk menyusu turut dikurangkan jika sistem otot oralnya lemah dan pergerakan mulut yang terhad.

Beberapa tanda jelas yang menunjukkan bayi mengalami kesukaran menyusu termasuk kesukaran melekap mulut, susu yang meleleh daripada mulut atau hidungnya, kenaikan berat yang rendah dan kerap berbunyi ketika menyusu. Si ibu akan pula mengalami kesakitan dan kepedihan puting semasa menyusu, masalah duktus tersumbat atau mastitis dan menghasilkan bekalan susu yang rendah.

Selain itu, apa sahaja yang dimakan oleh si ibu boleh memberi kesan terhadap bayi. Maka, pastikan anda memberitahu kepada doktor tentang penyusuan anda. Ini akan mengelakkan kesan sampingan ubatan seperti menyebabkan bayi mengantuk, lalu menjejaskan koordinasi hisapannya. Faktor lain seperti mengasingkan ibu dan bayi (dalam kes kelahiran pramatang), akan menjurus kepada penggunaan awal susu botol. Walaupun biasa, faktor ini mudah diperbetulkan.

Minum atau tidak…?

Ada kalanya terdapat tanda kurang jelas yang menunjukkan bayi anda tidak minum susu dengan betul. Antara tanda yang mungkin menunjukkan bayi anda mengalami masalah oral motor adalah:

  • Lebih suka minum susu botol daripada puting ibu, atau enggan menyusu ibu.
  • Susu dari botol meleleh ke dagu bayi.
  • Menghabiskan botol susu terlalu cepat atau terlalu perlahan.
  • Badan menggeliat semasa menyusu ibu.
  • Batuk, tersedak atau bertukar warna semasa menyusu ibu atau menyusu botol.
  • Lidah berkertik.
  • Tidak dapat mengatup bibir dengan baik.

Bayi anda mungkin menunjukkan beberapa tanda di atas, tetapi ini tidak semestinya bermakna dia menghadapi masalah oral motor. Anda perlu mengamatinya secara lebih terperinci dan membawa bayi anda berjumpa pakar pediatrik untuk memastikan jika dia benar-benar mengalami komplikasi.

Apakah rawatan yang boleh didapati?

Sedikit kekurangan sekalipun dalam kemahiran oral motor bayi boleh menggagalkan atau merencatkan usaha anda untuk menyusukan si manja. Antara yang boleh anda lakukan:

  • Menyokong mulut bayi dengan meletakkan si manja pada kedudukan yang betul untuk penyusuan.
  • Menggunakan teknik kedudukan yang betul semasa bayi menghisap jari anda.
  • Meletakkan bayi pada kedudukan yang lebih berkesan untuk menghisap susu ibu.
  • Melakukan senaman fizikal untuk otot mulut dan otot muka bayi.

Oleh sebab sistem saraf bayi adalah fleksibel, perubahan berlaku dengan serta-merta. Setiap kanak-kanak adalah individu yang unik dan kerjasama dengan pakar profesional dapat membantu mengatasi masalah bayi anda dan dengan demikian menjamin kejayaan pemulihannya. Lebih penting lagi, JANGAN putus asa kerana menyusu adalah kemahiran yang perlu diperolehi dan mengambil masa. Berilah masa kepada bayi untuk menyesuaikan diri. Jika tiada sebarang perubahan, rujuk kepada pakar pediatrik atau perunding laktasi.

Kekeliruan Puting?

Penukaran antara botol dan payudara semasa beberapa minggu pertama kehidupan bayi boleh menyebabkan bayi enggan menyusu, atau memilih botol berbanding payudara. Walaupun kedua-dua puting dada dan botol nampak serupa, meminum daripada botol dan menghisap susu ibu sebenarnya memerlukan kemahiran menelan dan pergerakan mulut dan lidah yang berbeza. Ini mempengaruhi kemahiran oral motor – penyusuan ibu memerlukan hisapan dan pengepaman yang berterusan, dan susu dari botol boleh mengalir apabila puting botol diletakkan atas lidah.

Ibu harus elakkan penggunaan botol pada awal minggu untuk mengelakkan kekeliruan ini. Jika perlu, guna sudu atau jarum suntikan untuk menyusu bayi.

 


Nota: Penulis menyumbang artikel ini kepada Pengasuhan Positif kerana ingin membekalkan maklumat berdasarkan bukti kepada ibu bapa. Namun demikian, oleh kerana sebuah syarikat makanan bayi merupakan salah satu penaja Pengasuhan Positif, maka penulis tidak akan menerima sebarang bentuk bayaran daripada Pengasuhan Positif untuk artikel ini kerana beliau merupakan Pakar Perunding Laktasi Diperakui Badan Antarabangsa yang mematuhi Kod Etika untuk tidak menerima sebarang bentuk sokongan daripada syarikat makanan bayi.

Susu Ibu – Menyimpan & Memberi

Memastikan anak anda menerima khasiat terbaik susu ibu dengan teknik penyimpanan dan penyediaan yang betul.

Oleh Dr Balkees Abdul Majeed, Pakar Perunding Pediatrik dan Laktasi

 

Pada isu lalu, kami telah membincangkan isu pengeluaran susu ibu dan pelbagai kaedah melakukannya. Untuk bahagian akhir ini, kami akan membincangkan cara untuk menyimpan susu ibu yang anda hasilkan dan menyediakannya sebelum diberikan kepada bayi anda. Teknik penyimpanan dan penyediaan yang betul adalah penting untuk mengekalkan kebersihan dan khasiat pemakanan susu ibu.

Susu Ibu – Menyimpan
Bekas Simpanan

Secara asasnya, ada dua pilihan untuk anda menyimpan susu ibu:

Hard-sided Containers

Bekas sisi keras. Bekas yang biasanya diperbuat daripada plastik keras atau gelas ini adalah bagus untuk tujuan penyimpanan jangka panjang. Pilih yang mempunyai penutup kedap udara.


Plastic Bags

Beg plastic (direka khas untuk penyimpanan susu ibu). Bekas ini hanya boleh digunakan untuk penyimpanan jangka pendek kerana ia mudah tumpah, bocor atau tercemar berbanding bekas sisi keras. Ada juga komponen susu ibu yang mungkin diserap plastik.


  1. Basuh tangan anda sebelum memerah susu.
  2. Simpan dalam jumlah kecil (2-4 auns/60-120 mL) untuk mengelakkan pembaziran.
  3. Pertimbangkan untuk menyimpan jumlah yang lebih kecil (1-2 auns/30-60ml) untuk situasi di luar jangkaan. Sedikit susu ibu boleh menenangkan bayi sebelum disusukan ibunya sendiri.
  4. Anda boleh mencampurkan susu ibu yang dihasilkan dalam sehari untuk mendapatkan jumlah yang diingini dalam bekas simpanan. Sejukkan susu ibu yang baru dihasilkan sekurangkurangnya 1 jam dalam bahagian utama peti sejuk atau dalam bekas penyejuk dengan ais atau pek ais, kemudian tambahkan dengan susu ibu yang dihasilkan pada hari yang sama dan telah disejukkan.
  5. Jangan campurkan susu ibu yang suam dengan susu beku kerana ia akan mencairkan sedikit susu yang telah beku. Elakkan juga dari mencampur susu dari hari berlainan.
  6. Tinggalkan sedikit ruang di bahagian atas bekas simpanan kerana susu ibu mengembang ketika membeku.
  7. Kalau boleh, tandakan bekas simpanan dengan tarikhnya menggunakan label dan dakwat kalis air.

Tip Tambahan!

Tip #1: Susu ibu akan “terbahagi” ketika penyimpanan. Bahagian atas susu ibu (krim) akan kelihatan lebih pekat dan putih. Goncang bekas simpanan dengan lembut untuk mencampurkan bahagian yang terpisah TETAPI elakkan mengoncang dengan kuat.

Tip #2: Bergantung kepada diet ibu, warna susu ibu mungkin berlainan setiap hari (kebiruan, kekuningan atau keperangan). Susu ibu yang beku juga mungkin mempunyai bau yang berbeza dari yang segar dan tiada sebab untuk tidak menggunakannya selagi bayi mahu meminumnya.


Penyediaan untuk Bayi: Mencair atau Memanas Susu Ibu

  1. Gunakan susu yang paling lama dahulu.
  2. Bayi mungkin minum susu yang sejuk, pada suhu bilik atau yang dipanaskan.
  3. Cairkan susu dengan menyimpan di dalam peti sejuk pada malam sebelumnya sebelum menggunakan atau panaskan dengan meletakkan bekas simpanan di bawah air pili yang suam atau di dalam mangkuk. Jangan biarkan air di dalam mangkuk atau dari pili menyentuh bahagian mulut bekas simpanan.
  4. Susu ibu boleh disimpan dalam peti sejuk selama 24 jam setelah dicairkan.
  5. JANGAN guna ketuhar gelombang mikro atau haba terus ke atas susu ibu. Ini mungkin menimbulkan ketulan susu dan memusnahkan antibodi yang terkandung di dalamnya.
  6. Goncang sedikit bekas simpanan untuk mencampurkan krim semula dan menyebarkan haba dengan rata. Jangan kacau susu ibu.
  7. Baki susu dalam botol selepas diberikan kepada bayi perlu dibuang dan tidak boleh digunakan lagi.
  8. Seperti makanan lain, jangan beku kembali susu ibu yang cair sepenuhnya atau separa cair.

Panduan Penyimpanan Susu Ibu

Nota: Penulis menyumbang artikel ini kepada Pengasuhan Positif kerana ingin membekalkan maklumat berdasarkan bukti kepada ibu bapa. Namun demikian, oleh kerana sebuah syarikat makanan bayi merupakan salah satu penaja Pengasuhan Positif, maka penulis tidak akan menerima sebarang bentuk bayaran daripada Pengasuhan Positif untuk artikel ini kerana beliau merupakan Pakar Perunding Laktasi Diperakui Badan Antarabangsa yang mematuhi Kod Etika untuk tidak menerima sebarang bentuk sokongan daripada syarikat makanan bayi.

 

 

Pemerahan Susu Badan

Oleh Dr Balkees Abdul Majeed, Pakar Perunding Pediatrik dan Laktasi

Dalam penerbitan lalu, kami menerangkan bagaimana ibu baru boleh menyiapkan diri mereka untuk melaksanakan tugas penting menyusukan bayi, SEBELUM kembali bertugas sepenuh masa. Kali ini, kami akan memberi panduan, langkah demi langkah, cara meneruskan peranan penting itu apabila kembali bekerja. Ramai menyangka tugas memerah susu badan adalah rumit atau remeh, tetapi dengan motivasi dan teknik yang betul, ia mudah dilakukan.

Mudah tetapi Berkesan

Ikut petua ini untuk membantu menyenangkan pengalaman anda:

  • Cari tempat yang selesa, bersih dan terlindung untuk memerah susu badan.
  • Perah susu sekerap anda menyusukan bayi anda pada waktu siang, untuk mengekalkan tahap pengeluaran susu.
  • Susukan bayi anda apabila anda bersamanya (sebelum dan selepas waktu kerja), termasuk pada hari anda tidak bekerja, untuk memastikan bekalan susu secara konsisten.
  • Mula-mula, susu mungkin meleleh keluar. Lapik coli dapat membantu menyerap lelehan dan jika boleh, pakai baju bercorak.
  • Makan makanan berkhasiat, minum apabila rasa dahaga dan dapatkan rehat sebanyak yang mungkin.
  • Buat permulaan, walaupun hanya sedikit yang dapat diperah dan diberikan kepada si manja anda, ia lebih baik daripada tidak memberi si manja susu badan langsung. Berbangga dengan usaha anda!

Bagaimana untuk Memerah Susu

Dua cara untuk memerah susu badan adalah dengan tangan atau pam (menggunakan tangan, kuasa elektrik atau bateri). Tidak kira apa cara yang digunakan, adalah penting untuk mengambil langkah berikut sebelum anda mula:

  • Jaga kebersihan. Basuh tangan hingga bersih, basuh semua bekas, botol dan peralatan pam dengan air panas bersabun.
  • Bertenang. Perasaan tegang atau cemas boleh menghalang pengeluaran susu. Cuba dengar muzik, lihat gambar si manja, atau bayangkan anda menyusukan bayi anda.
  • Urut. Urut payu dara perlahan-lahan, ke arah areola (bahagian keliling puting), selama 1-2 minit, gentel puting dengan jari telunjuk dan ibu jari. Ini akan menggalakkan pengeluaran hormon yang merangsang payu dara untuk mengeluarkan susu.

Memerah dengan Tangan

  1. Letakkan ibu jari (di atas puting) dan jari telunjuk dan jari hantu (di bawah puting) kira-kira 1” hingga 1.5” dari puting, tidak semestinya di bahagian luar tepi areola. Gunakan ukuran ini sebagai panduan, kerana saiz payu dara dan areola berbeza dengan setiap wanita. Pastikan kedudukan tangan membentuk huruf “C” dan lapik jari pada kedudukan 6 dan 12 permukaan jam sejajar dengan puting. Pastikan kedudukan jari yang betul supaya takungan susu terletak di bawahnya. Ia boleh dirasai seperti kekacang kecil di bawah kulit.

    Expressing Breast Milk
  2. Menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, picit bahagian ini perlahan-lahan dan tidak sepatutnya menyakitkan. Anda mungkin mengambil masa satu atau dua minit sebelum dapat melihat titisan susu keluar. Jadi, jangan cepat putus asa. Sebaik sahaja susu mula mengalir keluar, anda akan dapat membiasakan diri dengan ritma semulajadinya.
  3. Lepaskan tekanan dan kemudian ulangi picitan secara terus menerus, untuk membina ritma. Elakkan jari daripada menggelongsor atas kulit. Susu seharusnya mula mengalir keluar. Jika tidak, cuba gerakkan jari-jari anda sedikit ke arah puting atau jauh dari puting. Atau cuba urut payu dara secara perlahan-lahan.
  4. Apabila pengaliran keluar susu semakin perlahan, perah payu dara sebelah lagi. Teruskan mengilir perahan payu dara sehingga pengaliran susu terhenti atau titisan menjadi tersangat perlahan.

Memerah dengan Pam

Kebanyakan pam bertindak menggunakan prinsip sama, iaitu mencipta vakum apabila serombong ditekapkan ke atas areola. Dalam kebanyakan model, kekuatan sedutan boleh diubahsuai. Bagaimanapun, sedutan lebih kuat tidak semestinya yang terbaik kerana ia boleh merosakkan puting. Jadi, cari kekuatan sedutan paling rendah tetapi berkesan untuk disesuaikan dengan keperluan anda. Biasanya, susu tidak akan mengalir keluar dengan serta-merta. Pastikan serombong pam tidak terlalu kecil apabila puting dimasukkan ke dalam bahagian serombong yang sempit, kerana ini boleh merosakkan puting.


Tangan atau Pam?

Dengan pilihan untuk memerah susu badan dengan tangan atau pam, anda boleh melakukan kedua-dua cara. Pam ‘menghisap’ payu dara sedangkan tangan ibarat ‘menyusu’ daripada payu dara. Kombinasi kedua-duanya adalah sama seperti anda menyusukan si manja.

Untuk bahagian terakhir artikel, cara untuk menyimpan perahan susu dan menyediakan untuk bayi akan diterbitkan dalam isu akan datang.


Nota: Penulis menyumbang artikel ini kepada Pengasuhan Positif kerana ingin membekalkan maklumat berdasarkan bukti kepada ibu bapa. Namun demikian, oleh kerana sebuah syarikat makanan bayi merupakan salah satu penaja Pengasuhan Positif, maka penulis tidak akan menerima sebarang bentuk bayaran daripada Pengasuhan Positif untuk artikel ini kerana beliau merupakan Pakar Perunding Laktasi Diperakui Badan Antarabangsa yang mematuhi Kod Etika untuk tidak menerima sebarang bentuk sokongan daripada syarikat makanan bayi.

Tip Penyusuan Badan Untuk Ibu Bekerja

Bagaimana untuk meneruskan penyusuan badan apabila kembali bekerja.

Oleh Dr Balkees Abdul Majeed, Pakar Perunding Pediatrik dan Laktasi

 

Wanita telah sentiasa bekerja, dalam sektor rasmi ataupun tidak rasmi. Jadi, bagaimanakah mereka boleh meneruskan penyusuan badan jika mereka kerja berjauhan atau tidak bersama bayi mereka?

Kebanyakan wanita akan kembali bekerja walaupun masih menyusu badan. Seseorang ibu itu perlu merancang dari awal jika ingin menyusu badan dan bekerja dengan jaya. Ibu perlu selesa dengan penyusuan badan dan yakin dengan bekalan susunya. Ini boleh dicapai dengan menyusu badan secara kerap dan eksklusif (tidak memberi cecair atau makanan lain beberapa minggu sebelum kembali bekerja). Memberi susu tiruan atau formula kepada bayi akan meyebabkan bayi kurang menyusu daripada payu dara, dan bekalan susu ibu berkurangan. Susu badan adalah penting untuk kesihatan ibu dan juga bayi. Artikel 3 siri ini akan membincangkan apa yang si ibu boleh lakukan SEBELUM kembali bekerja.

Sebelum Kembali Bekerja...

Bincangkan rancangan penyusuan badan bersama majikan sebelum kembali bekerja, termasuk apa yang anda perlukan serta bagaimana majikan boleh membantu. Cuti bersalin di Malaysia adalah sekurangnya 60 hari, jadi berunding dengan majikan agar anda boleh berada di rumah selama yang boleh setelah bayi anda lahir. Anda juga boleh berbincang tentang kemungkinan bekerja separuh masa semasa beberapa minggu pertama dan kebenaran untuk 2-3 waktu rehat fleksibel pada hari kerja anda.

Berjumpa penjaga bayi anda. Bincangkan rancangan anda dan cara anda ingin bayi anda disusui semasa anda di tempat kerja. Penjaga bayi perlu faham dan sokong komitmen anda untuk menyusu badan.

• Sesetengah ibu dapat menyusu badan semasa waktu rehat makan tengahari mereka. Adakah anda boleh ke tempat bayi anda atau bayi dibawa ke tempat kerja anda?

• Sesetengah ibu inginkan bayi diberi susu perahan semasa mereka di tempat kerja. Ajar penjaga bayi anda cara menyimpan dan mengendalikan susu badan yang betul. Arahan bertulis akan banyak membantu.

• Ramai ibu suka menyusu badan sebaik sahaja mereka bersama bayi mereka. Penjaga perlu tahu masa anda dijangkakan pulang supaya tidak akan menyusu bayi sejurus sebelum kepulangan anda.

Menyusu bayi semasa ketiadaan anda. Bayi tidak semestinya perlukan botol. Memperkenalkan botol semasa beberapa minggu pertama selepas lahir hanya akan mengganggu penyusuan badan dan menjejaskan pengeluaran bekalan susu yang baik. Terdapat cara lain: dengan cawan, sudu atau cawan penyuap. Jika anda perlukan bantuan dengan kaedah penyusuan ini, hubungi kaunselor penyusuan badan atau pakar pediatrik anda. Namun, jika anda merancang untuk menyusu susu perahan menggunakan botol, mulakan selepas usia 6 minggu bagi mengelakkan keengganan payu dara dan/atau kekeliruan puting. Pastikan anda menggunakan botol yang bebas bisfenol (BPA) kerana terdapat bukti menunjukkan kimia ini boleh mengganggu tumbesaran sihat dan fungsi tubuh bayi anda.

Simpan stok susu perahan. Mula simpan susu badan diperah 2 minggu sebelum kembali bekerja. Minta bantuan si bapa atau orang lain untuk memberi bayi susu perahan. Ini membolehkan bayi mengaitkan penyusuan badan secara langsung dengan ibunya dan susu perahan dengan orang lain.

Pam payu dara untuk tempat kerja. Jika anda merancang menggunakan pam payu dara untuk memerah susu di tempat kerja, pilih pam yang paling sesuai untuk keperluan anda. Berlatih mengepam untuk menyesuaikan diri dengan cara pam berfungsi, masa diambil untuk mengepam dan apa yang anda rasa semasa mengepam.

Perihal pakaian. Pakaian dua lapis atau yang boleh dibuka di hadapan adalah lebih mudah untuk penyusuan badan atau memerah susu. Pakaian bercorak yang boleh dibasuh boleh menyorokkan bahagian yang basah akibat kebocoran susu.

Sesi percubaan. Pilih satu hari untuk cuba melihat keadaan apabila anda kembali bekerja. Sediakan diri dan bayi anda untuk hari tersebut. Susui bayi anda, tinggalkan bersama penjaga, keluar sepanjang hari dan perah atau menyusu seperti mana yang akan anda lakukan apabila kembali bekerja.

Untuk isu yang akan datang, kita akan melihat tentang kebimbangan ibu menyusu badan yang bekerja SEMASA sedang bekerja, dan BAGAIMANA mereka boleh memerah, menyimpan dan menyahbeku susu untuk bayi.

Nota: Penulis menyumbang artikel ini kepada Pengasuhan Positif kerana ingin membekalkan maklumat berdasarkan bukti kepada ibu bapa. Namun demikian, oleh kerana sebuah syarikat makanan bayi merupakan salah satu penaja Pengasuhan Positif, maka penulis tidak akan menerima sebarang bentuk bayaran daripada Pengasuhan Positif untuk artikel ini kerana beliau merupakan Pakar Perunding Laktasi Diperakui Badan Antarabangsa yang mematuhi Kod Etika untuk tidak menerima sebarang bentuk sokongan daripada syarikat makanan bayi.

Hubungan Emosi Dalam Penyusuan Ibu

Kesannya bukan dari segi fizikal semata-mata.

Oleh Dr Balkees Abdul Majeed, Pakar Perunding Pediatrik & Laktasi.

 

Pemberian susu ibu adalah aktiviti fisiologi normal yang memberi banyak kebaikan kepada ibu, anak, keluarga, masyarakat dan juga alam sekitar, lebihlebih lagi kepada kesihatan ibu dan anak. Adakah anda sedar bahawa penyusuan ibu bukan sekadar untuk memenuhi keperluan pemakanan bayi anda? Susu ibu bukan sahaja diperlukan untuk tumbesaran fizikal si manja, tetapi juga membantu memupuk ikatan kasih sayang antara ibu dan anak, dan mengeratkan hubungan antara mereka.

Penyusuan ibu mengeratkan jalinan hubungan emosi dan psikologi antara ibu dan anak. Penghisapan puting payu dara memberi kesan kepada ibu dan anak. Perbuatan menyusu itu menenangkan bayi, seperti yang terbukti daripada keberkesanannya mengurangkan kadar denyutan jantung, metabolisme dan kesakitan ketika menyusu.

Kesan Ketenangan

Terdapat beberapa faktor yang memberi kesan ketenangan dan analgesik.

• Menghisap puting ibu merangsang sentuhan orofarinks dan mekanoreseptor bayi dan menumpukan perhatian pada mulut, dengan demikian mengurangkan pengaruh luar.

• Penghisapan dan penyerapan lemak daripada susu dalam usus merangsang pengeluaran hormon kolesistokinin yang mengaktifkan saraf yang mencetuskan rasa relaks dan melegakan kesakitan.

• Kemanisan rasa susu merangsang pengeluaran opioid dalam bahagian tengah otak bayi, yang bertindak ke atas saraf penerima yang mengurangkan persepsi kesakitan.

• Penyusuan ibu membabitkan sentuhan keibuan kulit-ke-kulit yang menstabilkan tahap glukosa darah, suhu badan dan kadar pernafasan, dan juga mengurangkan pengeluaran hormon tekanan dan menurunkan tekanan darah.

• Akhir sekali, penyusuan ibu membabitkan interaksi sosial yang intim antara ibu dan anak (jalinan hubungan), yang mungkin menambah pengeluaran hormon anti tekanan oksitosin.

Perasaan santai dan tenang memberi kesan secara sinergi dan walaupun kajian selama ini tertumpu kepada bayi yang baru lahir, pengalaman ibu menunjukkan bahawa mereka terus merasai ketenangan dan kesantaian selama mereka menyusukan bayi masing-masing.

Hubungan Emosi

Hubungan intim antara ibu dan anak merujuk kepada hubungan emosional yang kuat antara seorang ibu dan anaknya. Penyusuan ibu mengukuhkan hubungan antara ibu dan anak disebabkan sentuhan kulit ke kulit yang berlaku apabila ibu memegang erat dan merenung anaknya semasa menyusu. Ibu yang menyusukan bayinya menjadi lebih sensitif kepada keperluan anaknya dan belajar untuk menjadi lebih responsif.

Oksitosin dalam darah didapati meningkat apabila seorang wanita yang baru bersalin bersentuhan kulit ketika memegang bayinya; oksitosin meningkat dengan ketara selepas uri dikeluarkan. Selepas satu atau dua tempoh menyusu, oksitosin dalam darah meningkat dengan setiap penyusuan ibu. Tahap peningkatan ini mungkin dapat mengeratkan hubungan intim seorang ibu dengan anaknya selain membantu mengecutkan otot uterus bagi mengelakkan pendarahan. Penemuan ini membantu menjelaskan pengamatan yang dibuat oleh jururawat di Perancis pada abad ke-19, apabila mereka mendapati ibu yang menyusukan bayi mereka sekurangkurangnya 8 hari jarang memberikan anak mereka kepada orang lain.

Apabila seorang ibu menyusukan anaknya, sentuhan bibir bayi merangsang saraf deria dalam puting payu daranya, menyebabkan pengeluaran dua hormon penting dalam otak ibu, yang terbabit dalam penyusuan ibu, prolaktin dan oksitosin. Selain membantu dalam pengeluaran susu ibu, prolaktin (hormon keibuan) membantu ibu untuk merasa santai dan lebih menyayangi bayinya. Oksitosin (hormon kasih sayang) bertanggungjawab mengeluarkan susu dan juga mencetuskan perasaan gembira dalam diri ibu dan menceriakan moodnya.

Ibu perlu diberi galakan dan sokongan menerusi sentuhan awal kulit-ke-kulit dan penyusuan ibu sebaik sahaja melahirkan bayi. Ini penting bukan sahaja untuk kebaikan fizikal ibu dan anak, tetapi juga untuk mengukuhkan ikatan emosional yang terjalin daripada hubungan ini.

Otak Lebih Pintar Dengan Susu Ibu

Fahami bagaimana susu ibu membantu perkembangan otak.

Oleh Professor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan.

 

Beberapa tahun pertama hayat si manja adalah jangka waktu paling intensif dalam perkembangan otaknya. Perkembangan otak sangat penting untuk pertumbuhan kognitif, sosial dan emosi si manja. Ini penting kepada kelangsungan hidupnya.

Terdapat banyak cara ibu bapa boleh menyokong perkembangan ini. Satu daripada cara paling asas (dan penting) ialah memberikan segala nutrien yang perlu untuk perkembangan otak dan juga pertumbuhan si manja secara keseluruhannya.


Susu Ibu adalah yang Terbaik!

Kesan penyusuan ibu ke atas kepintaran kanak-kanak semakin diakui di seluruh dunia. Menurut World Alliance for Breastfeeding Action (WABA), susu ibu bukan sahaja penting untuk kesihatan, tetapi juga untuk meningkatkan perkembangan otak. Susu ibu mengandungi segala nutrien yang penting untuk perkembangan otak:



Bagaimana Otak Berfungsi
Otak kita merangkumi banyak bahagian yang menjalankan fungsi tertentu seperti menghubungkan penglihatan, perasaan, bahasa, dan pergerakan. Dalam setiap bahagian otak, terdapat berjuta-juta neuron (sel saraf), yang menghantar mesej kepada satu sama lain melalui sinaps. Hubungan ini membolehkan pelbagai bahagian berkomunikasi dan berfungsi bersama-sama.
  • Lemak – Susu ibu mempunyai kandungan asid lemak poli tak tepu yang lebih tinggi, khususnya DHA (asid dokosaheksanoik) dan AA (asid arakidonik), yang memainkan peranan penting dalam perkembangan otak (seperti sinaptogenesis, fungsi membran, dan mungkin juga pemielinan).
  • Kolesterol – Susu ibu juga mempunyai kandungan kolesterol yang lebih tinggi. Kolesterol penting untuk memudahkan pemielinan sistem saraf pusat, yang mempunyai kandungan lipid dan kolesterol tinggi.
  • Taurina – Taurina adalah asid amino yang banyak terdapat dalam susu ibu dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan tisu otak. Taurina juga penting untuk sintesis dan pelepasan pengutus neuro otak. Oleh sebab badan bayi sendiri tidak dapat menghasilkan taurina, adalah penting untuk memastikan si manja mendapat bekalan yang secukupnya daripada makanan yang diberikan.

Lebih Banyak Manfaat daripada Susu Ibu

  • Susu ibu melindungi bayi daripada penyakit yang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan, dan menjejaskan pembelajaran dan pendengaran.
  • Susu ibu memastikan interaksi lebih kerap dan mendedahkan bayi kepada bahasa, tingkah laku sosial positif, dan rangsangan penting.
  • Susu ibu membolehkan perkembangan visual dan aktiviti visual lebih baik, menambah kesediaan untuk membaca dan belajar.
  • “Makanan Otak Terbaik,” Menurut Hasil Penyelidikan

    Hasil penyelidikan telah menunjukkan pelbagai manfaat susu ibu ke atas perkembangan otak. Jadual 1 di bawah adalah antara yang penting:

    Jadual 1: Kajian ke atas pemberian susu ibu dan kepintaran kanak-kanak

    Sumber
    Hasil Penyelidikan
    Rodgers, 1978 Kanak-kanak yang diberi susu ibu lebih pintar, lebih pandai membaca dan mengira, dan lebih bijak bercakap.
    Horwood & Fergusson, 1998 IQ lebih tinggi, prestasi lebih tinggi dalam ujian biasa, diberi permarkahan tinggi oleh guru, pencapaian lebih tinggi di sekolah.
    Mortensen et al., 2002 Purata markah IQ sebanyak 104 jika menyusu ibu melebihi 9 bulan berbanding IQ 99.4 bagi bayi yang menyusu ibu kurang daripada 1 bulan.

    Beri yang Terbaik untuk Si Manja Anda

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan pemberian susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan penuh. Selepas itu, pemberian susu ibu diteruskan dengan tambahan makanan yang sesuai sehingga si manja berusia 2 tahun dan ke atas. Adalah penting untuk anda mempertimbangkan tempoh penyusuan ibu seperti disyorkan kerana ia boleh membawa manfaat kepada perkembangan otak si manja sepanjang waktu awal hayatnya. Untuk mendapatkan maklumat dan petua penyusuan ibu yang berkesan, sila ke www.mypositiveparenting.org.

Penyusuan dan Ibu Bekerja
Kaedah Untuk Mengecapinya!

 

Setiap ibu merupakan wanita yang bekerja, samada di luar atau di dalam rumah. Jarang orang lain sedar bahawa wanita mempunyai tanggungjawab produktif (bergaji dan tidak bergaji) dan reproduktif (beranak dan penyusuan ibu). Kedua-dua tanggungjawab ini merupakan aspek penting dalam kehidupan wanita dan boleh digabungkan.

Melahirkan dan menyusukan anak sendiri merupakan suatu pengalaman yang indah, berbaloi dan sememangnya boleh digabungkan dengan perkerjaan sepenuh masa. Jika ibu-ibu mempunyai pengetahuan, kemahiran, keyakinan, sokongan pakar kesihatan dan ahli keluarga untuk membuat keputusan yang terbaik untuk dia dan bayi, maka penyusuan menjadi suatu pengalaman yang memuaskan hati si ibu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar ibu-ibu mengamalkan penyusuan eksklusif buat 6 bulan yang pertama kehidupan bayi untuk mendapatkan kelebihan kesihatan dan perkembangan yang optimum. Penyusuan juga patut disambung, bersama-sama dengan pengenalan makanan pelengkap, sehingga umur 2 tahun.

Bagaimana untuk menggabungkan kerja dan penyusuan ibu?

Mula menyusu pada jam pertama selepas bersalin, dan setiap dua jam pada waktu siang dan sebelum pukul 12 malam, dan setiap 3 jam selepas pada tengah malam. Menyusu bayi anda sepuasnya pada satu payu dara, dan penyusuan seterusnya selepas 2-3 jam pada lagi satu payu dara. Pastikan posisi bayi adalah betul (bayi meniarap pada tepi dan mukanya menghadap payu dara) dan pautan hisapan yang baik (bayi menghisap pada puting dan kirakira 1 inci pada areola untuk mengelakkan kesakitan puting).

  • • Berlatih mencapai kesempurnaan. Mula berlatih memerah dan menyimpan susu ibu dua minggu sebelum kembali bekerja. Perah dan beku satu pek susu ibu sehari agar anda akan memiliki 14 pek susu ibu sebelum anda mula kerja. Jumlah susu biasanya agak sedikit pada peringkat permulaan tetapi akan semakin bertambah selepas beberapa percubaan.

  • • Menyambung memerah susu bila mula bekerja. Perah pada pukul 7 pagi, 9 pagi, 1 petang, 5 petang dan 8 malam agar mempunyai simpanan susu agar bayi mempunyai susu untuk hari berikutnya.

  • • Buat pilihan anda. Anda boleh memerah susu menggunakan tangan atau pam payu dara manual atau elektrik. Pam elektrik dengan kit pengepaman kembar mungkin lebih cepat, tetapi ia lebih mahal. Memerah dengan tangan pula adalah cara yang lebih murah dan kurang menyakitkan payu dara. Tidak kiralah apa jua cara dipilih, pastikan ianya selesa dan memudahkan anda.

  • • Beritahu majikan anda. Beritahu majikan anda tentang keperluan anda. Tempat kerja yang mesra ibu adalah penting bagi wanita yang mengamalkan penyusuan ibu. Ini termasuk tempat untuk memerah dan menyimpan susu ibu, waktu rehat untuk penyusuan ibu dan persekitaran yang membantu.

  • • Membuat persediaan. Anda mungkin memerlukan peti ais untuk menyimpan susu jika kerja anda memerlukan anda ke sana ke mari. Ada baiknya jika anda memakai pad menyusu jika tiada masa untuk memerah susu daripada membiarnya meleleh keluar dan membasahkan pakaian anda. Anda juga boleh menyilangkan tangan dan menggunakan penumbuk tangan untuk menekan pada puting dan payu dara untuk menghentikan pengaliran susu.

  • • Letakkan tarikh pada susu ibu yang disimpan dalam peti sejuk beku dan nyahbekukan beberapa paket pada malam sebelumnya untuk digunakan pada keesokan hari. Pastikan anda sentiasa mempunyai senarai untuk perkara-perkara yang perlu dilakukan.

  • • Pengurusan masa yang baik. Sememangnya penting untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, terutama sekali bersama bayi dan pasangan anda. Hubungan yang erat menjamin rumahtangga yang sihat. Maka, tentukan keutamaan anda dan jika perlu, sediakan satu jadual.

  • • Dapatkan sokongan yang anda perlukan. Minta ahli keluarga dan rakan-rakan untuk memberi bantuan tambahan semasa anda menyusu ibu. Bapa juga perlu memainkan peranan mereka dengan memberi sokongan emosi kepada ibu yang menyusu.


Masalah Penyusuan
Beberapa langkah mudah untuk meningkatkan bekalan susu ibu.

Oleh Dr Koe Swee Lee, Pakar Pediatrik & Laktasi.

 

Sebagai ibu yang baru menimang cahaya mata, anda semestinya menginginkan yang terbaik untuk si manja anda. Anda merasa bangga bila si manja mula menyusu dan menerima pemberian anda yang tidak terhingga nilai itu. Tetapi, apa yang akan berlaku jika anda tidak berupaya untuk menghasilkan susu yang secukupnya untuk si manja?

“Mengapa susu saya tidak mencukupi?”
Untuk menghasilkan susu ibu yang secukupnya, anda perlu bermula awal dengan menyusu bayi anda dalam jam pertama kehidupannya. Penyusuan pertama bukan sahaja akan memastikan bayi anda stabil dan selesa, ia juga memulakan penghasilan susu dan membina rutin penyusuan dan penghisapan. Apabila anda menyusu bayi anda, sensasi di payudara akan menghantar isyarat ke otak untuk melepaskan dua jenis hormon – prolaktin dan oksitosin. Prolaktin merangsang payudara untuk menghasilkan susu manakala oksitosin merangsang pengaliran susu. Maka, untuk menghasilkan lebih susu, lebih hormon penyusuan diperlukan. Dengan menyusu anak anda dengan lebih kerap, lebih hormon penyusuan akan dihasilkan.

 

“Tolong! Aliran susu saya semakin berkurangan!”
Untuk menjamin aliran susu anda sentiasa mencukupi, anda perlulah menyusukan anak anda secara kerap dan betul. Bermulalah dengan menyusukan anak anda setiap dua jam sebaik sahaja anda dihantar ke wad selepas bersalin. Setelah anda mula bekerja semula, anda dinasihatkan untuk menyambung amalan menyusukan anak anda. Jika perlu, perah susu anda di tempat kerja. Pemberian makanan tambahan seperti susu formula, air atau makanan dan minuman pada 6 bulan pertama kehidupan dan penggunaan puting akan mengurangkan penghisapan susu oleh anak anda, lalu mengganggu penghasilan susu anda.

“Bagaimana akan saya tahu jika saya menghasilkan susu ibu yang secukupnya?”
Anak anda mendapat susu yang cukup jika dia berasa berpuas hati selama kira-kira satu jam selepas penyusuan. Selain itu, berat badan anak anda juga akan meningkat sebanyak 20 gram sehari selepas minggu pertama hidupnya jika diberikan susu ibu yang secukupnya. Satu lagi cara untuk mengetahui jika anda menghasilkan susu yang cukup untuk anak anda adalah dengan memeriksa sisa buangannya. Anak anda akan membuang air kecil sebanyak 5 atau 6 kali sehari dan membuang air besar kira-kira 3 hingga 8 kali sehari pada bulan pertama hidupnya.

Nasihat Mesra
  • Penghasilan susu boleh terjejas disebabkan pengambilan makanan. Pastikan anda makan secara betul dengan:
    – Makanan secara seimbang berpandukan Panduan Piramid Pemakanan.
    – Banyakkan minum air sepanjang hari.
    – Ambil makanan tambahan (suplemen) hanya jika dinasihatkan oleh doktor.
    – Makan pelbagai jenis makanan yang kaya dengan nutrien.
  • Hadkan pengambilan teh dan kopi. Ia boleh menyebabkan bayi anda menjadi terlalu aktif. Minum secawan atau dua masih diterima tetapi pastikan ia tidak melebihi enam cawan sehari.
  • Terus menyusu walaupun anda tidak sihat. Ini mengelakkan saluran susu daripada tersumbat, mastitis (jangkitan payudara) dan bengkak yang bernanah.
  • Jangan ambil ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor.
  • Jangan merokok atau mendedahkan diri dan bayi dengan asap rokok. Ini boleh menjejaskan penghasilan susu.
  • Jika anda atau keluarga anda pernah mengalami asma atau alergi kulit dan hidung, cuba elakkan susu and produk susu. Ia mungkin mengakitbatkan ruam alergi pada bayi anda.

Panduan Menyusukan Bayi Kembar Anda
Masa menyusu merupakan saat paling bahagia bersama si manja kembar.
Petua berikut membolehkan anda memanfaatkan sepenuhnya masa berharga ini.

Oleh Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan.

 

Menyusu membawa banyak kebaikan untuk anda dan si manja. Ia adalah punca nutrien terbaik untuk anak anda. Selain itu, menyusu juga merupakan masa yang baik untuk mengeratkan kasih saying dengan si manja. Walau bagaimanapun, proses penyusuan boleh menjadi pengalaman yang mengecewakan dan memenatkan. Petua berikut dapat membantu anda menyusu anak kembar anda secara selesa dan berkesan.

Susukan Serentak.Cuba cadangan dalam ilustrasi di bawah untuk kedudukan yang selesa dan terbaik. Ubah kedudukan bayi setiap kali menyusu supaya kedua-dua payudara menghasilkan sama banyak susu. Ini juga mengurangkan kemungkinan duktus tersumbat.

Beli Pam Yang Baik. Mengepam merangsang pengeluaran susu, maka anda tidak perlu khuatir kekurangan susu. Anda boleh menyimpan lebihan susu untuk waktu penyusuan botol ketika anda tiada di sisi bayi. Gunakan pam untuk memerah susu daripada keduadua payudara pada masa yang sama. Sebaik-baiknya gunakan pam elektrik.

Kira Bilangan Penukaran Lampin. Kira berapa kali si manja anda membasahkan lampin dan perhatikan pembuangan air besarnya. Bayi seharusnya kencing sekurang-kurangnya sekali dalam 24 jam pertama selepas lahir, dua kali pada hari berikutnya, tiga kali pada hari ketiga, dan seterusnya. Selepas minggu pertama, anda seharusnya menukar lampin tujuh hingga lapan kali sehari bagi setiap bayi. Anda boleh menjangkakan si manja menyusu lapan hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam. Sediakan carta waktu penyusuan untuk membantu pemantauan anda.

Dapatkan Bantuan. Minta bantuan kawan, mentua atau suami. Mereka boleh membantu membawa bayi kepada anda untuk menyusu, menukarkan lampin dan sendawakan bayi selepas penyusuan untuk mengeluarkan angin. Anda juga boleh mendapatkan sokongan daripada ibu bapa lain yang mempunyai anak kembar dan belajar daripada pengalaman mereka.

Bertenang! Menyusukan bayi adalah keutamaan anda. Cari tempat yang senyap agar tidak terganggu. Renung, usap, dan dodoikan bayi kembar anda dan laluilah saat-saat bahagia ini bersama mereka. Jangan lupa untuk menjaga diri anda sendiri. Dapatkan rehat secukupnya, minum banyak air dan makan makanan yang berkhasiat. Jika anda lebih bertenaga semasa menyusu, anak anda juga merasa lebih selesa.

Kedudukan Terbaik Bila Menyusu Bayi Kembar.
     
     

Langkah-langkah Penyusuan Susu Ibu
Penyusuan susu ibu adalah berkenaan pemakanan permulaan
terbaik dan menjalin hubungan dengan bayi yang paling baik.

Panduan bergambar yang dimuatkan dapat membantu anda memulakannya. Terdapat
juga tip tentang cara untuk mengeratkan perhubungan dengan bayi.

 

1. Posisi penyusuan yang baik
Menyusu dalam posisi yang salah boleh menyakitkan anda dan juga mengecewakan bayi. Berikut adalah cara yang betul:

  • Sentuh bibir bayi dengan hujung puting sehingga dia membuka mulutnya.
  • Biarkan dia membuka luas mulutnya untuk memenuhi sebahagian besar areola (bahagian berwarna coklat).
  • Gerakan rahang dan bunyi tegukan memastikan yang bayi menyusu dalam posisi yang betul.
  • Bayi akan berhenti menyusu bila kenyang. Jika bayi masih menyusu walaupun susu sudah berhenti mengalir, masukkan hujung jari kelingking anda di hujung mulut bayi untuk menghentikan hisapan.
   

2. Refleks ‘let-down’ atau pancutan susu
Refleks ‘let-down’ adalah rasa berdenyut yang menandakan aliran hangat susu sebaik sahaja bayi telah berada pada posisi penyusuan yang betul. Jika anda tidak mengalami rasa ini, ia mungkin disebabkan oleh gangguan, tiada ruang untuk bersendirian, rasa malu atau cemas tentang penyusuan susu ibu, letih atau sakit.

   
3. Pilih posisi yang selesa
Dapatkan posisi yang membuat anda dan bayi rasa selesa. Tubuh bayi haruslah rapat ke tubuh anda dan mukanya bertemu dengan payudara anda. Mulutnya haruslah berhampiran dengan puting dan kepala, leher dan belakangnya perlulah dalam keadaan lurus. Belakang badan anda juga perlulah tegak, jangan membongkok. Gunakan bantal untuk bersandar, jika perlu.
   

Posisi dakapan
Ini merupakan posisi klasik dan menjadi kegemaran kebanyakan ibu. Ia membolehkan perut bayi dan perut anda bertemu supaya anda tidak perlu memusingkan kepalanya untuk menyusu.

  • Kepala bayi berehat di dalam dakapan anda.
  • Sokong belakang badan dan punggung bayi.
  • Lengan bayi perlu berada di bahagian sisinya.
   

Posisi ‘football hold’
Posisi ini sangat sesuai jika anda baru pulih daripada pembedahan ‘Cesarean’, memiliki payudara yang besar, menyusukan bayi pramatang atau bayi yang kecil saiznya atau menyusukan anak kembar pada waktu yang serentak.

  • Sokong kepala bayi dengan tangan.
  • Gunakan bantal untuk menyokong belakang badan bayi.
   

Posisi berbaring
Cuba posisi ini apabila anda dan bayi rasa letih. Jika anda baru pulih daripada pembedahan ‘Cesarean’, ini mungkin satu-satunya posisi yang boleh anda cuba pada beberapa hari pertama.

  • Sokong kepala anda dengan lengan.
  • Sokong bayi anda dengan lengan atas
   

4. Beralih payudara
Jika boleh, berikan bayi menyusu dari kedua-dua belah payudara setiap kali menyusu. Susukan bayi pada satu payudara sehingga dia berhenti menghisap. Angkat bayi, sendawakannya dan alihkannya ke payudara sebelah dan teruskan menyusu sehingga dia kenyang. Untuk penyusuan yang berikutnya, mulakan pada payudara yang terasa sarat dengan susu.

   

Sendawakan bayi
Sendawakan bayi setiap kali selesai penyusuan. Dia mungkin termuntah susu, jadi pastikan anda menyediakan tuala. Jika dia tidak sendawa selepas 30 saat, dia mungkin tidak perlu disendawakan.

  • Letakkan bayi di bahu anda.
  • Gosok atau tepuk perlahan belakang badannya.
Jalinan Hubungan Dengan Bayi

Anda boleh menjadikan setiap sesi penyusuan sebagai suatu pengalaman bermakna melalui suasana yang betul dan penuh perasaan bersama-sama dengan si manja. Lebih penting lagi adalah interaksi dengan si manja yang berkualiti semasa menyusukannya. Berikan sentuhan kasih sayang kepadanya agar si manja rasa dihargai dan selamat, lalu meningkatkan harga diri dan keyakinannya.

Membuat Keputusan
Apa yang Perlu Anda Tahu & Lakukan

 

Apabila anda sudah membuat keputusan untuk menyusukan bayi, dapatkanlah semua maklumat tentang penyusuan susu ibu. Bab ini membantu meleraikan salah tanggapan anda terhadap penyusuan susu ibu dan memberi panduan kepada anda dalam membuat pengurusan yang perlu dengan suami, ahli keluarga dan kumpulan penjagaan kesihatan.

Lapangkan minda
Penyusuan susu ibu melibatkan persediaan psikologi dan juga fizikal. Berikut adalah beberapa tip persediaan untuk menjayakan penyusuan susu ibu:

 
  • Amalkan sikap yang positif dan yakin bahawa anda boleh dan akan berjaya.
  • Rancang berapa lama anda mahu menyusukan bayi.
  • Berbincang dengan suami dan jika boleh, hadiri ceramah penyusuan susu ibu atau kelas antenatal di mana penyusuan diajar bersama dengan suami.
  • Libatkan diri anda dengan orang-orang yang menyokong penyusuan susu ibu. Jangan tawar hati dengan komen-komen negatif daripada mereka yang kurang memahami atau mempunyai tanggapan yang salah berkenaan penyusuan susu ibu.

Salah Faham Tentang Penyusuan Susu Ibu

1. “Saya tidak mahu payudara yang kendur!”
  Yang sebenarnya, penyusuan susu ibu membantu anda kembali kepada bentuk badan asal dengan lebih cepat. Wanita yang payudaranya kendur selepas bersalin menyalahkan penyusuan susu ibu sedangkan hakikatnya ia disebabkan oleh faktor usia yang meningkat dan graviti.
   
2. “Penyusuan susu ibu menyusahkan.”
  Penyusuan susu ibu sebenarnya memudahkan anda. Anda tidak perlu membawa peralatan, tidak perlu risau tentang bekalan susu, penyimpanan atau penyediaan susu. Tambahan lagi, penyusuan susu ibu boleh dilakukan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan ia tidak melibatkan kos!
   
3. “Penyusuan susu ibu mudah. Apa lagi yang hendak dipelajari?"
  Penyusuan susu ibu memang semulajadi dan mudah tetapi ia juga satu kemahiran yang perlu dipelajari. Dengan mempelajari sebanyak yang anda boleh, anda akan lebih bersedia dan tidak mudah mengalah apabila timbul masalah.
   
4. “Menyusukan bayi? Jangan haraplah. Tidakkah ia menyakitkan?”
  Hakikatnya, pada awalnya anda mungkin rasa bengkak sedikit. Akan tetapi, ia akan hilang selepas beberapa hari. Jika anda rasa sakit, ini mungkin disebabkan bayi tidak menghisap puting dengan betul.
   
5. “Tapi wanita yang berpayudara kecil tidak boleh menghasilkan susu yang mencukupi!”
  Wanita yang berpayudara kecil boleh menghasilkan susu yang mencukupi. Saiz payudara dipengaruhi oleh tisu lemak manakala penghasilan susu bergantung kepada saiz kelenjar mamari di dalam payudara. Kelenjar mamari adalah sama tanpa mengira saiz payudara.

Buat perancangan

Maklumkan kepada suami dan ahli keluarga tentang keputusan anda untuk menyusukan bayi:

  • Minta supaya bayi tidak diberikan air atau susu formula kecuali atas sebab perubatan.
  • Bayi tidak sepatutnya diberikan puting kosong kerana ini boleh menyebabkannya keliru puting dan tidak mahu menyusu dari payudara ibu.

Anda juga perlu memaklumkan kumpulan penjagaan kesihatan:

  • Pastikan mereka tahu yang anda mahu menyusukan bayi sejurus selepas selamat melahirkan bayi.
  • Minta supaya bayi sebilik dengan anda di hospital agar anda boleh berada bersamanya dan menyusukannya apabila dia lapar.

 

Cara Mengatasi Masalah Yang Berkaitan Dengan Penyusuan Ibu

Berikan yang terbaik untuk bayi anda...

Associate Professor Dr Poh Bee Koon, Nutritionist

Selepas melahirkan anak 5 hari yang lalu, Susan menghadapi masalah menghasilkan susu. Dia telah cuba memerah susu dengan menggunakan pam tetapi masih tidak berjaya. Susan berasa sedih kerana dia memang ingin menyusukan bayinya. Tambahan pula, ini adalah bayi pertama. Sekiranya anda menghadapi masalah penyusuan ibu, seperti Susan, jangan berputus asa. Doktor-doktor dan pakar pemakanan di seluruh dunia bersetuju bahawa susu ibu adalah paling baik untuk bayi. Susu ibu adalah makanan yang paling lengkap kerana ia membekalkan tenaga dan nutrien yang diperlukan oleh bayi bagi tumbesaran. Ia juga mengandungi antibodi yang dapat melindungi bayi daripada jangkitan seperti cirit-birit, batuk dan selsema.

Seperti ibu-ibu lain, anda juga boleh menghasilkan susu. Proses ini, dinamakan laktasi, bergantung kepada keperluan dan permintaan bayi.

 

Semasa bayi menghisap, puting anda akan dirangsang. Mesej akan dihantar kepada otak yang akan menghasilkan suatu hormon yang dikenali sebagai prolaktin. Hormon tersebut memulakan penghasilan susu dalam payudara anda. Semakin kerap bayi anda menghisap, semakin banyak hormon prolaktin yang dikeluarkan, dan lebih banyak hormon bererti lebih banyak susu yang terhasil. Apabila bayi menghisap, ini juga akan merangsangkan pengeluaran hormon oksitosin yang menyebabkan susu mengalir keluar (sila rujuk kepada rajah di sebelah).

Susu pertama yang anda hasilkan dikenali sebagai kolostrum. Ia berwarna kekuningan dan mengandungi kandungan lemak yang rendah. Susu kolostrum kaya dengan karbohidrat, protein dan antibodi yang boleh menolong mengekalkan kesihatan bayi.

 

Masalah-masalah Yang Berkaitan Dengan Penyusuan Ibu:

Masalah 1: “Payudara saya terlalu kecil untuk menghasilkan susu!”

Jangan risau, saiz tidak penting sekali. Walaupun anda mempunyai payudara yang kecil, anda masih boleh menghasilkan susu. Saiz bukan satu faktor yang menentukan proses penghasilan susu.

Masalah 2: “Susu saya mengalir dengan lambat sekali!”

Sekiranya anda rasa pengaliran susu anda terlalu lambat, ini mungkin disebabkan oleh refleks yang dikenali sebagai “let-down” refleks. Ini adalah refleks yang memastikan susu anda mengalir semasa bayi menghisap. Apa yang berlaku ialah apabila anda berasa letih atau bimbang, refleks ini akan terjejas. Ini mungkin menjelaskan mengapa pengaliran susu anda lambat. Oleh itu, sebelum anda menyusukan bayi, cuba bertenang dan berehat supaya anda tidak akan mempengaruhi refleks itu.

Masalah 3: “Puting saya rasa sakit!”

Semasa bayi anda menghisap dalam kedudukan yang salah, puting anda mungkin akan berasa sakit. Yang penting sekali ialah anda tahu kedudukan dan cara penyusuan yang betul. Keseluruhan puting dan bahagian sekelilingnya (areola) patut dimasukkan ke dalam mulut bayi. Selain daripada itu, anda juga boleh memperolehi ubat dari doktor untuk melegakan sakit anda. Jangan memakai coli sekiranya anda masih rasa sakit. Jika keadaan serius, minta nasihat dari doktor atau pakar.

Masalah 4: “Payudara saya bengkak!”

Payudara anda boleh menjadi bengkak disebabkan oleh terlalu banyak susu yang terkandung di dalamnya. Dalam hal ini, anda boleh memerah keluar sedikit susu terlebih dahulu.Cuba urut payudara anda dengan perlahan-lahan. Anda juga boleh menggunakan tuala untuk memanaskan payudara anda atau tambahkan kekerapan menyusukan bayi anda.

Masalah 5: Saluran susu anda tersekat.

Payudara anda mengandungi 15 hingga 20 saluran yang menghantar susu kepada puting. Jadi, jika salah satu saluran itu tersekat, ia boleh menyebabkan satu ketulan dan menjejaskan pengeluaran susu. Dalam situasi ini, apa yang anda perlu buat ialah:

  • Biarkan bayi anda menghisap pada payudara yang tersekat.

  • Sebelum penyusuan, urutkan bahagian yang tersekat dan panaskannya supaya saluran dapat mengalirkan susu.

  • Anda juga boleh memerah susu dengan menggunakan tangan atau pam.

Masalah 6: Anda mengalami mastitis.

Saluran susu yang tersekat boleh menyebabkan infeksi mastitis. Anda perlu berjumpa dengan doktor. Mastitis boleh dirawat dengan antibiotik. Biasanya, anda masih boleh menyusukan bayi. Ia tidak akan membawa kesan buruk kepada bayi. Walau bagaimanapun, payudara anda akan berasa sakit ketika menyusukan bayi.

Masalah 7: “Saya perlu bekerja!”

Mungkin anda rasa anda tidak akan dapat menyusukan bayi apabila bekerja semula. Sebenarnya, anda boleh memerah susu dan menyimpannya selama 3 hari dalam peti sejuk. Pengasuh bayi boleh memberikan susu yang telah diperah kepada bayi walaupun anda tidak berada di rumah.

Masalah 8: “Bayi saya tidak mahu menghisap susu!”

Anda harus bersabar jika bayi anda tidak mahu menghisap susu atau menangis dengan tidak hentihenti. Jangan berasa cemas dan menghentikan pemberian susu ibu kerana adalah normal bagi bayi anda mengalami fasa ini. Sekiranya ia berlaku kepada bayi anda, cuba cari punca kepada masalah itu dan cara mengatasinya.

Cuba tanya diri anda:

Adakah bayi sakit kebelakangan ini?
Sekiranya bayi sakit, dia akan hilang selera.

Adakah anda berasa terlalu letih atau bimbang?
Peringatan: keletihan dan kebimbangan boleh mempengaruhi refleks “letdown” anda. Dengan itu, cuba lebihkan rehat. Sebelum menyusukan bayi, anda boleh berbaring dan minum minuman panas.

Adakah bayi anda enggan menghisap susu pada waktu siang?
Kebanyakan bayi adalah lebih aktif pada waktu siang. Oleh itu, mereka tidak dapat menumpukan perhatian terhadap penyusuan. Jika demikian, cuba susukan bayi anda dalam keadaan yang lebih tenang dan sunyi. Satu lagi penjelasan ialah bayi anda mungkin berasa terlalu panas dan kurang selesa.

Adakah bayi anda menghisap sekejap sahaja dan seterusnya menangis?
Bayi anda perlu sendawa. Oleh itu, cuba menyusukan bayi anda dalam kedudukan yang betul dan selesa.

Adakah bayi menghisap untuk seketika dan seterusnya menangis?
Jangan berasa terlalu risau. Dia mungkin berasa kurang sabar dengan pengaliran susu anda. Apabila ini berlaku, bayi hanya boleh menangis. Mungkin anda boleh cuba menyusukan bayi anda semasa dia masih mengantuk dan tidak akan berasa kurang sabar.

Masalah 9: “Bagaimana saya tahu bayi mendapat susu yang mencukupi?”

Sekiranya anda tidak pasti, anda boleh membawa bayi kepada doktor untuk memeriksa berat badannya. Doktor akan menimbang berat badan bayi sebelum dan selepas penyusuan ibu untuk memastikan berapa auns yang dihisap. Jika anda masih berasa ragu-ragu, rujuklah kepada garis panduan ini:

  • Dalam satu hari, bayi anda akan kencing sebanyak 6 hingga 8 kali. Warna air kencing seharusnya kuning muda.

  • Bayi anda juga akan membuang air besar sekurang-kurangnya dua kali sehari. Najis bayi yang diberi susu ibu biasanya kelihatan kekuningan.

  • Setelah 2 minggu dilahirkan, berat badan bayi anda akan meningkat. Dalam 3 bulan yang pertama, bayi anda akan bertambah berat badan sebanyak 4 hingga 7 auns (120-200 gram) setiap minggu.

Jika anda masih bimbang, anda boleh:

  • Makan dengan baik.

  • Minum banyak cecair seperti air kosong, susu atau jus buah-buahan.

  • Cuba rehat sebelum dan selepas penyusuan ibu.

  • Sebelum menyusu bayi, urutkan payudara anda.

  • Akhir sekali, lebih yakin pada diri anda!

  • Ingat! Apabila bayi anda menyusu dengan lebih kerap, anda akan menghasilkan lebih banyak susu!

Susu Ibu: Memberi Bayi Anda Yang Terbaik

Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

Susu ibu adalah makanan yang sempurna. Ia membekalkan tenaga dan nutrien dalam kadar yang tepat untuk bayi anda membesar. Jika si bayi menerima susu ibu yang mencukupi, dia tidak memerlukan makanan tambahan (ataupun air) sehingga berumur 6 bulan, apabila dia sudah bersedia mengambil makanan pejal. Walaupun selepas itu, teruskanlah memberinya susu ibu sehingga berumur 2 tahun. Susu ibu adalah makanan asas yang terbaik untuk bayi anda.

 

Kebaikan Penyusuan Ibu

Untuk Bayi

  • Susu ibu membekalkan bayi dengan tenaga, lemak, karbohidrat, protein, vitamin & mineral yang diperlukan sehingga dia diberikan makanan pejal.

  • Kolostrum, susu kekuningan yang dihasilkan pada permulaan penyusuan, adalah kaya dengan antibodi yang boleh melindungi bayi anda daripada dijangkiti penyakit.

  • Susu ibu juga mengandungi sel limfosit dan makrofaj yang mencegah pertumbuhan bakteria, serta bifidus untuk mengekalkan persekitaran sihat dalam usus bayi.

  • Asid lemak dalam susu ibu adalah penting untuk pertumbuhan mental dan sistem saraf bayi.

Untuk Anda

  • Anda boleh menggunakan sebanyak 500 kalori dalam sehari. Ini membantu anda mengurangkan berat badan berlebihan selepas bersalin.

  • Penyusuan ibu juga dapat membantu mengecutkan rahim anda supaya kembali pada saiz yang biasa.

Untuk anda dan bayi anda

  • Penyusuan membolehkan bayi anda merasakan keselesaan tubuh badan anda. Bagi anda, ini adalah masa yang tepat untuk menikmati kemesraan antara anda dengan bayi anda. Semasa menyusu bayi, usapnya dan bercakap kepadanya dengan nada yang perlahan dan lembut. Ini akan merupakan pengalaman yang istimewa yang boleh menjalinkan hubungan antara ibu dan bayi selamanya.

 

Tip-Tip Penyusuan Yang Berkesan

  1. Makan makanan yang pelbagai dan seimbang untuk membolehkan badan anda terus menghasilkan susu ibu.

  2. Berhenti membuat kerja dan cuba duduk dengan selesa selama beberapa minit bagi menenangkan diri anda sebelum menyusu. Anda akan dapat menyusu dengan lebih baik jika anda lebih bertenang.

  3. Berikan masa yang secukupnya untuk bayi menghisap susu.

  4. Dapatkan bantuan daripada suami, saudara-mara atau pembantu rumah untuk menguruskan kerja-kerja rumah supaya tidak diganggu semasa menyusu.

  5. Janganlah menolak buah dada ke dalam mulut si bayi, biarkan dia sendiri yang berbuat demikian.

  6. Pastikan mulut bayi menutup kawasan ‘areola’ (kawasan coklat sekitar puting) supaya dia tidak hanya menghisap puting.

  7. Apabila menyusu, selang-selikan payudara yang dihisap oleh bayi. Contohnya, semasa penyusuan pertama bayi mula menghisap susu dari payudara kanan sehingga kosong dan kemudian menghisap susu dari payudara kiri. Pada penyusuan yang berikutnya, anda sepatutnya bermula dengan payudara kiri dahulu dan kemudiannya mengulang proses yang sama.

  8. Susukan bayi mengikut keperluannya, lebih kerap anda menyusukannya, lebih banyak susu yang dihasilkan.

  9. Susukan bayi juga apabila anda menghidapi selsema kerana bayi tidak mungkin akan terdedah kepada jangkitan penyakit.

  10. Belajar memerah susu (dengan tangan atau peralatan) beberapa minggu sebelum mula bekerja dan mula memberi susu anda kepada bayi dengan menggunakan botol atau sudu.

  11. Apabila anda sudah mula bekerja, aturkan tempat dan masa peribadi untuk mengeluarkan susu beberapa kali sehari. Simpan susu anda di dalam botol dan kemudian di dalam beg. Minta kebenaran menggunakan peti sejuk di tempat kerja. Janganlah bimbang jika tiada peti sejuk di tempat kerja anda kerana susu ibu boleh disimpan sehingga 8 jam pada suhu bilik apabila ditutup dengan ketat di dalam botol.

  12. Jika anda mengalami masalah menghasilkan susu ibu atau menghadapi masalah semasa menyusu, janganlah rasa bersalah atau berputus asa. Anda cuma memerlukan sokongan dan nasihat. Berjumpalah dengan doktor atau jururawat laktasi.

 

Adakah Anak Yang Minum Susu Ibu Lebih Bijak?
Kajian jangka panjang di Cambridge telah menunjukkan bahawa 300 bayi pra-matang yang telah diberi susu ibu mempunyai IQ yang lebih tinggi pada umur 71/2 – 8 tahun berbanding dengan bayi cukup bulan yang tidak diberi susu ibu semasa bayi. Jika terdapat makanan untuk minda, maka susu ibu merupakan makanan tersebut.

 

ADAKAH BAYI MENDAPAT SUSU IBU YANG MENCUKUPI?

  1. Menyusu apabila diminta. Apabila bayi menangis, menyusulah jika anda fikir dia lapar. Secara amnya, bayi akan menyusu setiap 11/2 hingga 3 jam. Akan tetapi, ingatlah bahawa setiap bayi adalah berbeza.

  2. Lihat sambil mendengar semasa menyusu. Semasa menyusu, amatilah pergerakan rahang bayi dan cuba mendengar bunyi tegukan. Si bayi akan berhenti menghisap apabila kenyang.

  3. Periksa lampin bayi. Bayi sepatutnya membasahkan sekurang-kurangnya 6 lampin sehari dengan kencing yang kuning-pudar, bermula daripada hari yang ketiga atau keempat selepas lahir. Bayi juga akan menghasilkan peninjaan yang kuning dan lembut dengan kerap sepanjang hari. Janganlan bimbang kerana ini adalah hasil daripada susu ibu dan bukannya cirit-birit.

  4. Awasi corak tidur bayi. Apabila bayi disusu dengan baik, dia sepatutnya tidur dengan lena. Apabila dia terjaga, dia sepatutnya kelihatan sihat dan peka.

  5. Pertumbuhan stabil. Berat badan dan ketinggian bayi sepatutnya meningkat dengan stabil. Bayi boleh menyusu lebih pada waktu yang berbeza dalam sehari. Sebagai panduan, berat badan bayi akan menjadi dua kali ganda dalam masa 5 bulan dan tiga kali ganda dalam setahun.

 

TAHUKAH ANDA
susu ibu boleh disimpan dalam peti sejuk (di bawah peti sejuk beku) selama 3 hari (72 jam) dan dalam peti sejuk beku (-20°C) selama setahun?

 

 

Makanan Sempurna Bayi

Pemakanan Lengkap, Perlindungan Unggul

 

Susu ibu mengandungi campuran nutrien yang sempurna bagi memenuhi keperluan nutrisi bayi. Anda tidak perlu memberinya makanan lain ataupun air kosong. Perhatikan bayi anda membesar dalam tempoh enam bulan pertama kehidupannya.

Berubah mengikut keperluan bayi yang membesar Komposisi nutrien susu ibu sentiasa berubah untuk memenuhi keperluan bayi yang membesar.

• Cecair keemasan: Kolostrum
Dalam beberapa hari pertama selepas bayi dilahirkan, payudara anda akan menghasilkan kolostrum, sejenis cecair pekat yang berwarna kuning. Kolostrum kaya dengan karbohidrat, protein dan antibodi. Jumlah kolostrum yang dihasilkan mungkin sedikit tetapi ia sangat kaya dengan nutrien dan faktor imun yang akan melindungi bayi daripada jangkitan penyakit.

• Susu matang
Susu matang akan dihasilkan tiga atau empat hari selepas bersalin. Jumlahnya banyak dan kelihatan agak cair.

• Waktu penyusuan
Komposisi susu ibu turut berubah sewaktu bayi menyusu. Kandungan lemak meningkat pada penghujung sesuatu masa penyusuan. Susu akhir ini membuat bayi rasa kenyang dan berhenti menghisap. Ini adalah cara bayi belajar mengawal seleranya.

Menggalakkan penghadaman dan penyerapan nutrien dengan lebih baik

Beberapa bahan biologi di dalam susu ibu menyebabkan bayi dapat menyerap nutrien dengan berkesan:

  • Enzim penghadam lemak membantu penghadaman dan penyerapan lemak

  • Protein pengikat zat besi membantu bayi menyerap kebanyakan zat besi di dalam susu ibu

  • Kandungan laktosa yang tinggi meningkatkan penyerapan kalsium, magnesium, fosforus dan mineral yang lain

Melindungi bayi daripada penyakit
Kajian menunjukkan bayi yang disusukan secara eksklusif selama 6 bulan kurang dijangkiti penyakit dalam tempoh 12 bulan pertama usianya. Susu ibu mengandungi nutrien dan bahan-bahan yang melindungi bayi daripada penyakit berjangkit khususnya cirit-birit, selsema, bronkiolitis dan jangkitan telinga tengah.

Makanan untuk perkembangan otak
Susu ibu mengandungi asid lemak perlu seperti asid alfa-linolenik (ALA) dan asid linoleik (LA). Kedua-dua asid ini diperlukan untuk menghasilkan asid dokosaheksanoik (DHA) dan asid arakidonik (AA) yang penting untuk pembesaran dan pertumbuhan janin dan bayi, terutamanya untuk pertumbuhan otak dan perangsangan visual yang berkualiti. Perkembangan otak yang sempurna dalam tahun pertama usia bayi akan menyediakan asas kepada keupayaan pembelajarannya pada masa depan.

Mengurangkan kemungkinan mengalami alergi
Kebanyakan simptom alergik yang dikaitkan dengan pengambilan susu formula lazimnya berpunca daripada tindakbalas bertentangan imun bayi terhadap protein susu lembu. Bayi yang menyusu badan kurang mengalami simptom-simptom alergik seperti kolik, muntah, cirit-birit atau najis berdarah, penyerapan, ekzema, rinitis alergik dan asma bronkiol.

Pengikat kasih
Bayi perlu mendengar degupan jantung anda, merasai kehangatan tubuh anda dan berada rapat dengan anda. Kesemua ini adalah sama pentingnya dengan keperluannya terhadap makanan. Tiada aktiviti lain yang dapat memenuhi semua keperluan ini melainkan penyusuan susu ibu.

Katakan “Ya” Kepada Penyusuan Susu Ibu

Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan


 

Tahniah kerana anda telah memutuskan untuk menyusukan bayi anda. Sekarang adalah masanya untuk anda mengetahui tentang penyusuan susu ibu dan membuat perancangan yang diperlukan.

Mengetahui kesemua perkara mengenai penyusuan susu ibu adalah amat penting apabila anda memutuskan untuk menyusukan bayi anda. Artikel ini akan mengesyorkan laman web dan buku yang boleh dibaca serta membimbing anda dalam merancang segala keperluan dengan pasangan, keluarga dan petugas kesihatan anda.

Jelaskan fikiran anda
Penyusuan susu ibu lebih kepada
psikologi berbanding fizikal. Di sini disediakan beberapa tip persediaan yang dapat membantu anda:

  • Mengambil satu sikap yang positif serta yakin bahawa anda boleh dan akan berjaya.

  • Rancang tempoh anda akan menyusukan bayi anda.

  • Berbincang dengan suami anda dan jika boleh, menghadiri ceramah antenatal di mana cara penyusuan susu ibu akan diajar bersama-sama suami anda.

  • Pastikan diri anda dikelilingi dengan orang yang menyokong anda. Jangan berasa tawar hati dengan komen-komen yang negatif dari individu yang mungkin salah faham atau mempunyai tanggapan yang tidak benar mengenai penyusuan susu ibu.

Membuat perancangan
Maklumkan suami atau ahli keluarga mengenai keputusan anda untuk menyusukan bayi anda:

  • Pastikan mereka diberitahu supaya tidak memberikan air atau susu formula kepada bayi anda melainkan terdapat keperluan dari segi perubatan.

  • Bayi anda tidak diberikan puting kosong kerana dia mungkin akan keliru dan tidak mahu menyusu ibu lagi.

Pastikan anda memaklumkan petugas kesihatan anda supaya:

  • Mereka tahu bahawa anda akan menyusukan bayi anda secepat mungkin setelah melahirkan bayi anda.

  • Pihak hospital menempatkan bayi anda bersama anda untuk memudahkan anda menyusukan bayi ketika bayi lapar.

Untuk maklumat lanjut

  • Berbincang dengan doktor anda mengenai penyusuan susu ibu.

  • Berbual dengan ibu-ibu yang telah berjaya menyusukan anak-anak mereka.

  • Berbincang dengan kumpulan sokongan penyusuan susu ibu atau pakar penyusuan.

  • Baca mengenai penyusuan susu ibu.

 

Mitos mengenai Penyusuan Susu Ibu

Dapatkan maklumat yang betul mengenai penyusuan susu ibu supaya anda
dapat menentukan apakah yang terbaik untuk anda dan bayi.


Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

Penyusuan susu ibu merupakan topik hangat dan kebaikannya sering ditekankan di media. Namun begitu, mitos yang berleluasa mengenai penyusuan susu ibu. Salah tanggapan mengenai penyusuan susu ibu adalah berbahaya kerana ia mendorong anda membuat keputusan yang kurang wajar. Artikel ini memberi penjelasan yang sebenarnya kepada anda:

“Ramai wanita tidak menyusukan bayi dengan susu ibu dan anak mereka masih membesar dengan sihat!”

Ya, jika dilihat dari luaran sahaja…tetapi bayi yang tidak menyusu susu ibu sebenarnya lebih terdedah kepada penyakit dan alergi seperti ekzema, rinitis alergik dan asma. Sesetengah kajian menunjukkan bayi yang tidak diberikan susu ibu lebih berisiko untuk mendapat diabetes dan obesiti apabila membesar kelak.

“Payudara saya kecil. Rasanya mungkin tidak dapat menghasilkan susu yang mencukupi”

Saiz payudara ditentukan oleh tisu lemak, yang tidak berkaitan dengan penghasilan susu. Penghasilan susu bergantung kepada saiz kelenjar mamari di dalam payudara. Kelenjar mamari adalah serupa tanpa mengira saiz payudara anda.


“Tidak! Penyusuan susu ibu akan menyebabkan payudara saya kendur!”

Penyusuan susu ibu tidak menyebabkan payudara menjadi kendur; ianya disebabkan oleh faktor usia dan graviti. Malah, penyusuan susu ibu membantu anda untuk kembali kepada bentuk badan asal lebih cepat dengan membakar lemak yang tersimpan semasa hamil. Ia juga mengeluarkan hormon yang membantu mengecut dan mengembalikan rahim kepada saiz yang asal.

“Tidakkah penyusuan susu ibu menyakitkan?”

Tidak. Meskipun ada sebilangan ibu yang mungkin rasa sedikit bengkak pada peringkat awal, tetapi keadaan ini tidak berlanjutan. Jika anda masih rasa sakit, ini mungkin disebabkan mulut bayi tidak menghisap puting dan areola dengan betul. Belajarlah untuk membantu bayi menyusu dengan cara yang betul.

“Penyusuan susu ibu menyusahkan!”

Penyusuan susu ibu sebenarnya memudahkan anda. Anda tidak perlu membawa peralatan, tidak perlu risau tentang bekalan susu, penyimpanan dan penyediaan susu. Tambahan pula, penyusuan susu ibu boleh dilakukan bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan ia juga tidak melibatkan sebarang kos.

“Kenapa nak bersusah payah? Tambahan pula, saya akan kembali bekerja.”

Penyusuan ibu, walaupun beberapa minggu atau bulan, akan beri manfaat kepada bayi. Mula bekerja tidak bermaksud anda perlu menghentikan penyusuan susu ibu. Penjaga bayi boleh memberi susu ibu yang sudah diperah pada siang hari dan anda boleh menyusukannya sendiri pada waktu malam.

Hanya Kami Berdua

Mengeratkan hubungan dengan bayi menerusi penyusuan
susu ibu bagi memelihara jalinan mesra sehingga ke akhir hayat


Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

Penyusuan susu ibu bukan sekadar menyediakan pemakanan yang diperlukan oleh bayi baru lahir. Ia merupakan jalinan kasih sayang yang mengeratkan hubungan antara ibu dan bayi. Melalui penyusuan susu ibu, ibu dan bayi dapat menjalinkan hubungan yang erat, memuaskan dan berkekalan. Untuk menjadikan setiap saat anda bersama bayi lebih berharga, amalkanlah petua-petua berikut:

Tenang dan sunyi

Pastikan tiada gangguan semasa menyusukan bayi – jangan menonton TV, mendengar muzik yang kuat atau berbual dengan bising. Pastikan ahli keluarga anda faham kepentingan persekitaran yang sesuai semasa anda menyusukan bayi. Dapatkan bantuan mereka bagi memastikan keadaan tenang dan senyap ketika anda menyusukan bayi. Persekitaran yang ideal untuk menyusukan bayi ialah bilik yang sunyi dan malap. Jika ini sukar dilaksanakan, berikan tumpuan sepenuhnya kepada bayi sewaktu menyusu.

Utamakan keselesaan
Apabila menyusu, anda perlu pastikan keselesaan diri anda dan bayi. Pegang bayi supaya mukanya menghadapi payudara anda. Mulutnya diletak berhampiran puting dan kepala, leher serta bahagian belakang bayi dipastikan dalam kedudukan yang lurus dan selesa. Anda juga harus duduk tegak, gunakan bantal untuk menyokong bayi anda jika perlu.

Anda juga boleh berbaring secara mengiring di atas katil ketika menyusukan bayi. Posisi baring sangat berguna untuk penyusuan pada waktu malam, atau jika anda baru pulih daripada pembedahan ‘Caesarean’ atau komplikasi semasa bersalin.

Berinteraksilah dengan bayi
Ketika menyusukan bayi, anda boleh bercakap, bersenandung atau menyanyi dengan bayi anda. Kekalkan hubungan mata dan senyumlah selalu. Peluk, tepuk dan sentuh bayi anda. Puji bayi anda apabila dia menghisap dengan baik. Gerak isyarat yang penuh kasih sayang akan menjadikan bayi berasa lebih selamat.

Sikap adalah penting
Bayi anda akan tahu jika anda bimbang atau risau. Oleh itu, anda perlu bertenang ketika menyusukan bayi. Jangan menyusukan bayi apabila anda berasa marah atau selepas bertengkar dengan suami. Berikan masa yang secukupnya kepada diri anda sehingga reda perasaan marah sebelum menyusukan bayi.

IBU GEMBIRA, BAYI GEMBIRA
Untuk mengekalkan ikatan yang positif dengan bayi anda, terlebih dahulu anda perlu menjaga diri anda. Dapatkah anda berikan yang terbaik kepada bayi jika anda penat, tertekan atau bersedih?

Berehatlah dengan secukupnya, amalkan pemakanan yang sihat dan keraplah bersenam. Anda harus sedar bilakah anda memerlukan bantuan; jangan cuba lakukan kesemua perkara bersendirian. Bukanlah sesuatu yang luar biasa jika ibu baru mengalami kemurungan.

Beritahu kebimbangan anda kepada suami. Jika kemurungan ini berpanjangan dan menjadi lebih teruk, anda mungkin mengalami kemurungan postpartum. Anda perlu segera mendapatkan bantuan profesional.

Home About Positive Parenting Experts Corporate Sponsor Secretariat Contact Us

COPYRIGHT © VersaComm SDN BHD, ALL RIGHT RESERVED. Web Design By Big O Solutions.

Terms Of Use   |   Privacy Policy