Complementary Feeding
  • Panduan Makanan Pelengkap
  • Menghindarkan Masalah Malpemakanan
  • Belajar Rasa-rasa Baru
  • Cari Susu Untuk Anak?
  • Makanan Pejal Pertama
  • Langkah Kecil Ke Arah Makan Sendiri
  • Pencetus Alahan Makanan
  • Makanan Bayi Segera Dan Mudah
  • Sejauh Manakah Pengetahuan Anda Tentang Makanan Pelengkap?
  • Gejala Tercekik
  • Jangan Terlalu Awal, Jangan Terlalu Lewat
  • Campurkan Makanan Untuk Anak Anda
  • Sebanyak Mana, Sekerap Mana
  • Pemberian Makanan Sesuai Untuk Bayi
  • Memulakan Makanan Pejal
  • Makanan Sempurna Bayi
  • Makan Bersama
  • Baik Untuk Dimakan!
  • Sejauh Mana Pengetahuan Anda Tentang Pemakanan?
  • Memberi Makan Anak Yang Sakit
  • Makanan Pertama, Rasa Pertama
  • Suapkan saya, mak!
  • Boleh saya dapatkan menu bayi sekarang?
  • Permulaan makanan
  • Perkenalkan bayi dengan hasil alam
  • Pengembaraan makan anak anda
  • Ada pertanyaan berhubung makanan pelengkap
  • Adakah bayi anda mengalami kekurangan zat makanan?


  • Penyusuan Ibu
  • Makanan Pelengkap
  • Kanak-kanak Bertatih & Prasekolah
  • Resipi
           


Mulakan Dari Kecil!

Pastikan anak anda mempunyai tabiat pemakanan yang sihat

Oleh Profesor Dr Norimah A Karim, Pakar Pemakanan

 

Pemakanan yang baik merupakan asas kepada kesihatan sepanjang hayat dan ia bermula semasa si manja anda masih bayi lagi. Makan secara sihat adalah penting untuk membekalkan tenaga, mencerdaskan minda dan mood si manja dalam aktiviti hariannya.

Mulakan Dari Kecil!

Apakah itu pemakanan yang sihat?

Makan secara sihat bermaksud mengambil diet yang pelbagai, seimbang dan dalam kuantiti yang sederhana. Diet yang seimbang ini membolehkan seseorang itu memperolehi nutrien atau zat makanan penting seperti karbohidrat, protein, vitamin dan mineral serta jenis lemak yang betul mengikut keperluan harian. Namun demikian, ia tidak semudah yang disangka. Status pemakanan kanak-kanak kecil terkini sememangnya sangat membimbangkan kerana ramai yang didapati kekurangan zat.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan III yang telah dijalankan ke atas 22,032 kanak-kanak Malaysia berusia antara 0-18 tahun, 13.2% daripada kanak-kanak yang dikaji kekurangan berat badan dan 15.8% pula terbantut. Kedua-dua keadaan ini paling lazim di kalangan kanak-kanak prasekolah.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam tahun 2008, sebanyak 25% kanak-kanak sekolah rendah didapati berlebihan berat badan dan obes!

Mengapa ia berlaku?

Malpemakanan boleh berpunca daripada beberapa sebab. Antara sebab yang penting termasuk diet dan tabiat makan yang tidak baik, biasanya kerana ibu bapa kurang pengetahuan dan kesedaran tentang pemakanan kanak-kanak. Kanak-kanak tidak dilahirkan dengan kebolehan memilih diet yang lebih sihat, jadi ibu bapa merupakan punca mereka berbuat demikian.

Ramai ibu bapa gagal menyediakan hidangan yang pelbagai jenis dan seimbang, dan mereka juga jarang memastikan anak mereka makan secara kerap serta mengikut waktu. Kajian UKM 2008 turut menunjukkan bahawa hampir 30% kanak-kanak sekolah rendah didapati tidak bersarapan pagi. Ini agak mengejutkan kerana sarapan pagi adalah waktu makan yang paling penting.

Membentuk tabiat makan secara sihat

Kanak-kanak boleh dipupuk dengan mudah semasa kecil, terutama sekali antara usia 2-7 tahun. Mereka akan membentuk cita rasa terhadap makanan yang mereka suka dan lebih kerap dimakan. Sebagai contoh, kekerapan memberi buah-buahan sebagai snek akan membantu mereka gemar makan buah-buahan berbanding snek tidak sihat seperti biskut manis atau kuih-muih.

Tambahan lagi, kanak-kanak memang mengikut konsep “bapa borek anak rintik”, jadi ibu bapa perlu berusaha menjadi model peranan yang baik. Tiada gunanya menyuruh anak anda makan buah-buahan dan sayur-sayuran apabila anda sendiri menggemari karipap atau pisang goreng!

Sesuaikan dengan jadual anda

Kebanyakan ibu bapa yang bekerja sepenuh masa akan merasa beban menyediakan hidangan harian. Tidak semua hidangan perlu disediakan dari mula; anda boleh gunakan apa jua cara bagi menyediakan hidangan yang ringkas dan cepat.

Cuba sediakan hidangan dalam kuantiti besar dan bekukan dalam sajian-sajian kecil secara berasingan untuk dihidang kemudian. Bagi menjimatkan masa, anda boleh menyediakan ramuan-ramuan tertentu pada malam sebelumnya.

Makan secara sihat tidak boleh dicapai dalam sehari, dan kanak-kanak perlukan masa untuk menerima tabiat yang sihat ini. Beri dan gantikan snek dan makanan tidak sihat dengan alternatif yang lebih sihat.

Mulakan tabiat makan secara sihat di dalam anak anda daripada kecil!

Latih anak anda untuk makan secara sihat!
  • Masak di rumah. Pada lazimnya, hidangan yang dimasak di rumah adalah lebih berkhasiat untuk seisi keluarga dan merupakan cara terbaik untuk memupuk selera yang sihat dalam kalangan kanak-kanak. Hidangan yang disediakan di restoran sering mengandungi lebih banyak lemak, garam dan gula.
  • Libatkan anak anda. Kanak-kanak suka membeli-belah untuk barangan rumah, memilih makanan untuk bekalan snek mereka, dan ada juga yang suka menyediakan hidangan keluarga mereka. Gunakan peluang ini untuk mengajar anak anda tentang nilai-nilai pemakanan makanan berbeza, dan membaca label makanan! (untuk kanak-kanak lebih besar)
  • Pastikan sentiasa sediakan snek yang berkhasiat. Snek seperti buah-buahan, yogurt atau minuman yogurt, roti bun dan minuman sihat seperti susu dan jus buah segar perlu sentiasa ada di rumah anda. Ini adalah supaya anak-anak anda akan biasa makan snek yang berkhasiat dan bukannya kerepek kentang, biskut atau minuman berkarbonat.

Panduan Makanan Pelengkap

Makanan pelengkap akan membantu memenuhi keperluan pemakanan bayi apabila susu ibu sudah tidak lagi mencukupi.

Oleh Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

 

Feeding your sick child

Perkembangan setiap kanak-kanak, dari zaman bayi ke zaman dewasa, sangat bergantung kepada pemakanan yang baik. Tempoh dari lahir hingga ke usia 2 tahun merupakan fasa yang paling kritikal di dalam kehidupan seorang kanak-kanak dan pemakanan yang baik sangat penting untuk menyokong tumbesaran serta perkembangan yang optimum.

Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa penyusuan ibu dan amalan makanan pelengkap yang kurang baik dan juga penyakit berjangkit merupakan punca-punca utama malnutrisi dan tumbesaran yang tidak baik dalam tempoh dua tahun pertama kehidupan kanak-kanak. Bagi mencegah daripada berlakunya keadaan yang tidak diingini ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan satu set garis panduan dan saranan tentang makanan pelengkap khusus untuk kanak-kanak yang pernah diberi susu ibu. Garis panduan ini juga boleh digunakan untuk kanak-kanak yang tidak pernah diberi susu ibu.

 

  • Susui bayi anda secara eksklusif sehingga usia 6 bulan, dan perkenalkan makanan pelengkap selepas usia 6 bulan sebagai tambahan kepada penyusuan ibu. Penyusuan susu ibu secara eksklusif semasa 6 bulan pertama akan melindungi bayi daripada jangkitan gastrousus dan meningkatkan perkembangan motor mereka. Namun demikian, selepas 6 bulan, susu ibu sudah tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan nutrien bayi dan sudah tiba masanya untuk memperkenalkan makanan pelengkap kepadanya.
  • Susui bayi anda secara mengikut permintaan sehingga usia 2 tahun atau selanjutnya. Susu ibu boleh mencegah dehidrasi dan membekalkan mikronutrien untuk melawan jangkitan. Bayi di bawah usia 6 bulan yang disusui ibu sepenuhnya akan memperolehi semua keperluan tenaga mereka daripada susu ibu. Manakala bayi antara usia 12–23 bulan yang disusui ibu serta telah memulakan makanan pelengkap, hanya akan menerima 35 -40% keperluan tenaganya daripada susu ibu.
  • Amalkan penyusuan responsif yang bukan sahaja mementingkan makanan yang diberi malahan bagaimana, di mana, bila dan siapa yang memberi makanan kepada anak anda. Bayi perlu disuap manakala kanak-kanak yang lebih besar pula boleh dibantu makan sendiri. Bersabar dan galakkan anak anda makan tanpa paksaan. Jika anak anda menolak makanan yang biasa, cuba pula kombinasi-kombinasi makanan lain.
  • Amalkan kebersihan. Sentiasa cuci tangan sebelum menyediakan makanan dan juga sebelum makan. Gunakan perkakas, cawan dan pinggan mangkuk yang bersih. Jangan guna bekas minuman yang sukar dicuci. Akhir sekali, simpan makanan di tempat yang sesuai dan bersih, contohnya seperti bekas kedap udara, peti sejuk atau kabinet dapur.
  • Mula memberi makanan dalam kuantiti kecil apabila bayi anda berusia 6 bulan dan tingkatkan kuantiti yang diberi apabila dia semakin besar. Sebagai tambahan kepada susu ibu, bayi anda perlu mendapatkan tenaga daripada makanan pelengkap setiap hari: bayi berumur 6-8 bulan memerlukan pengambilan lebih kurang 200 kkal, bayi berusia 9-11 bulan memerlukan 300 kkal, dan keperluan seorang bayi yang berusia 12 -24 bulan meningkat kepada 550 kkal. Peningkatan kalori secara beransur-ansur boleh dicapai dengan memberi makanan tambahan seperti bubur nasi dan sayur-sayuran pada setiap waktu makan. Nota: 100 kkal adalah sekurang-kurangnya 1 cawan bubur nasi kosong, 1 keping roti atau 1 pisang sederhana.
  • Tingkatkan kelikatan dan kepelbagaian makanan si manja anda secara beransur-ansur apabila dia membesar. Bayi berusia 6 bulan boleh diberi makanan dilumat atau separa pejal. Pada usia 8 bulan, bayi sudah boleh memakan “finger food” atau snek. Kebanyakan kanak-kanak sudah boleh makan makanan yang dimakan keluarga pada usia 12 bulan. Elakkan makanan yang boleh mengakibatkan mereka tercekik seperti kacang, lobak merah mentah, buah anggur, rambutan dan makanan berbentuk aneh.
  • Tingkatkan secara beransur-ansur kekerapan bayi anda makan. Bayi berusia 6-8 bulan boleh diberi makan sebanyak 2-3 kali sehari. Kemudian, antara usia 9-11 bulan, tingkatkan kekerapannya kepada 3-4 kali sehari, dan apabila berusia 12-24 bulan pula boleh diberi snek berkhasiat tambahan sebanyak sekali atau dua kali sehari.
  • Beri anak anda pelbagai makanan yang tinggi nutrien. Makanan seperti daging, ayam, telur atau ikan perlu dimakan setiap hari atau sekerap mungkin. Diet vegetarian semata-mata tidak sesuai untuk kanak-kanak pada usia yang muda ini melainkan mereka turut diberi suplemen nutrien tambahan. Beri anak anda sayur-sayuran seperti lobak merah, bayam atau brokoli dan buah-buahan kaya vitamin A seperti betik, mangga atau tembikai setiap hari. Elakkan minuman yang bernutrien rendah seperti teh, kopi atau minuman bergula seperti sirup atau minuman ringan berkarbonat.
  • Ada kalanya, anda dan bayi anda mungkin perlu mengambil suplemen vitamin dan mineral atau produk makan yang diperkuat. Ibu yang menyusu badan mungkin perlu melengkapi diet mereka dengan suplemen dan produk diperkuat untuk kesihatan diri sendiri dan juga untuk membekalkan nutrien-nutrien tertentu di dalam susu mereka. Ingatlah bahawa anda perlu merujuk kepada doktor, pakar pemakanan, pegawai dietetik atau para profesional kesihatan lain sebelum mengambil suplemen nutrien.
  • Jika bayi anda jatuh sakit, tingkatkan pengambilan cecair dan penyusuan ibu sekerap mungkin. Galakkan anak anda makan makanan yang lembut dan menyelerakan. Apabila kembali sihat, berikannya makan dan susu ibu yang lebih banyak daripada biasa serta sekerap mungkin. Kanak-kanak memerlukan pengambilan nutrien yang lebih banyak untuk menggantikan kehilangan nutrien semasa sakit.

Pengambilan makanan pelengkap semasa dua tahun pertama kehidupan kanak-kanak adalah kritikal bagi memastikan perkembangan fizikal dan kognitif yang baik. Ikutilah saranan-saranan yang diberikan tentang makanan pelengkap ini untuk memastikan keperluan pemakanan si manja anda dipenuhi.

Cari Susu Untuk Anak?

Jangan sampai sukar buat pilihan!

Oleh Profesor Dr Norimah A Karim, Pakar Pemakanan

 

Anda boleh jadi juling apabila melihat semua pilihan produk yang ada untuk memenuhi keperluan pemakanan anak anda. Susu sahaja sudah boleh membuatkan anda keliru. Yang manakah patut dibeli, susu penuh krim atau susu tanpa lemak? Adakah susu beperisa sesuai untuk kanak-kanak kecil? Bagaimana pula dengan susu sejat dan susu pekat manis ... adakah ketiga-tiganya selamat untuk diambil? Memang ada banyak jenis rumusan susu yang diperkayakan dengan pelbagai nutrien. Yang manakah terbaik untuk anak anda?

Cari Susu Untuk Anak?

Penuh krim atau tanpa lemak – yang manakah lebih baik?

Susu penuh krim. Susu penuh krim dipungut terus daripada ternakan tenusu. Tiada sebarang ramuan yang ditambah atau diasingkan daripadanya dan telah diproses untuk membunuh sebarang mikroorganisma merbahaya supaya selamat diminum. Susu penuh krim disarankan untuk kanak-kanak membesar kerana ia mengandungi sekurang-kurangnya 3.5% lemak, yang amat penting untuk tumbesaran dan perkembangan.

Susu Tanpa Lemak. Susu jenis ini telah diproses untuk membuang kebanyakan kandungan lemaknya. Ini menyebabkan kekurangan paras vitamin larut lemak, terutama sekali vitamin A. Maka ia tidak disarankan untuk kanak-kanak kerana paras lemak yang rendah bermakna kandungan kalori yang kurang. Namun demikian, kanakkanak yang berlebihan berat badan atau dengan masalah kesihatan lain boleh mengambil susu rendah lemak. Rujuk kepada doktor anda sebelum menukar susu anak anda.

Rumusan susu yang diperkayakan

Rumusan susu biasanya dalam bentuk tepung dan diperkaya dengan pelbagai nutrien seperti vitamin A, B dan E, kalsium, zink, zat besi dan magnesium. Sesetengah susu juga diperkaya dengan asid lemak DHA dan AA, yang boleh membantu mempertingkat perkembangan otak kanak-kanak kecil, sementara ada susu lain yang diperkaya dengan pre- dan pro-biotik bagi menggalakkan kehadiran bakteria sihat di dalam usus. Secara amnya, terdapat tiga jenis rumusan susu atau susu membesar yang utama:

Milk Formulas

Walaupun sesetengah rumusan berharga lebih mahal daripada yang lain, namun semua rumusan susu perlu memenuhi piawaian pemakanan yang ketat. Oleh demikian, kebanyakan susu mengandungi nutrien yang sama, tidak kira jenamanya.

Bolehkah anak anda minum yang ini?

  • Susu berperisa sememangnya kegemaran kanak-kanak kecil kerana merupakan susu yang ditambah perisa coklat, vanila atau strawberi supaya rasanya lebih sedap. Namun, ia mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak yang muda kerana kandungan gulanya tinggi dan rendah lemak. Susu berperisa sesuai diminum sekali-sekala oleh kanak-kanak yang lebih tua kerana mengandungi nutrien dan merupakan pilihan yang lebih sihat berbanding minuman berkarbonat dan bergula.
  • Susu sejat adalah susu yang berkepekatan sangat tinggi dalam pemprosesan dan perlu dicairkan bagi mengurangkan kepekatan protein dan mineralnya. Ia juga mengandungi lemak yang tidak boleh diserap baik oleh kanak-kanak, berbanding jenis susu lain.
  • Susu pekat manis boleh disimpan lebih lama kerana telah diawet. Diawet dengan gula, ia mengandungi kandungan gula yang amat tinggi (sekurang-kurangnya 40-45%). Maka ia kurang sesuai untuk diberi kepada kanak-kanak.

Secara amnya, kebanyakan susu mempunyai semua nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan kanakkanak kecil. Perkembangan otak dan juga kesihatan serta tumbesaran optimum tidak bergantung sepenuhnya pada susu. Ia adalah kombinasi diet yang seimbang dan pelbagai. Pilih susu yang anda rasa paling sesuai untuk anak anda dan pertimbangkan kandungan gula, lemak serta belanjawan anda! Anda tidak perlu berbelanja banyak untuk mendapat pemakanan terbaik untuk anak anda.

Belajar Rasa-rasa Baru

Satu panduan ringkas tentang jenis dan cara memperkenalkan makanan pelengkap kepada bayi anda.

Oleh Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

 

Susu badan sahaja sudah tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan pemakanan yang semakin meningkat apabila bayi berusia 6 bulan. Pada masa ini, bayi anda memerlukan makanan pelengkap (makanan lain sebagai tambahan kepada susu badan anda), supaya dia boleh terus mendapat tenaga dan nutrien mencukupi bagi menyokong tumbesaran dan perkembangannya.

Belajar Rasa-rasa Baru

Umur 6 bulan merupakan masa yang baik untuk memperkenalkan makanan pelengkap kerana pada usia ini, sistem penghadaman bayi sudah bersedia untuk menerima makanan separa pejal. Tanda-tanda fizikal yang menunjukkan bayi anda sudah bersedia untuk makanan pelengkap termasuk:

  • Telah tumbuh gigi susu, di mana gigi pertamanya telah muncul pada usia lebih kurang 6 bulan, dan pada umur 9 bulan biasanya empat gigi depan atas serta empat gigi bawah sudahpun tumbuh.
  • Sudah boleh gigit, kunyah dan memamah makanan.
  • Boleh mengawal lidah dengan lebih baik.
  • Gemar memasukkan benda ke dalam mulut.
  • Rasa lapar sejurus selepas menyusu.

Apa yang perlu diberi?

Oleh kerana bayi anda belum pernah mencuba makanan selain daripada susu badan anda, maka ada baiknya jika anda memperkenalkan makanan baru secara perlahan-lahan, supaya bayi boleh membiasakan diri dengan rasa dan tekstur makanan yang baru. Pastikan makanan yang diberi adalah berkhasiat dan membekalkan tenaga serta nutrien yang mencukupi kepada bayi anda.

Dos

  • Perkenalkan satu makanan baru pada satu-satu masa. Berikan bayi anda beberapa hari untuk membiasakan diri dengan makanan tersebut sebelum memperkenalkan makanan lain. Ini memberi peluang kepadanya untuk mengenali rasa setiap makanan dan juga memudahkan anda mengesan sebarang alahan.
  • Gunakan sudu untuk memperkenalkan makanan baru dalam kuantiti sedikit sebelum menyusu.
  • Bayi mungkin akan menerima makanan baru dengan lebih baik jika dicampurkan dengan susu badan.
  • Mulakan dengan bijirin beras yang diperkaya dengan zat besi. Ini akan memberikan zat besi tambahan kepada bayi di saat ianya rendah.
  • Pelbagaikan makanan yang diberi setiap hari bagi memenuhi keperluan nutriennya setelah dia biasa dengan pelbagai jenis makanan. (Ini mungkin hanya akan berlaku kepada bayi berusia 9-10 bulan)
  • Tingkatkan pengambilan makanan pelengkap dan kekerapan penyusuan secara beransur-ansur, contohnya menyusu 2-3 kali sehari pada 6-8 bulan dan tingkatkan kepada 3-4 kali sehari pada 9-12 bulan.
  • Pada usia setahun, anak anda seharusnya sudah boleh makan bersama keluarga.

Don'ts

  • Jangan tambah garam atau perasa masin lain sebelum usia 1 tahun.
  • Jangan tambah gula atau minyak sekiranya tidak perlu.
  • Jangan beri makanan yang boleh menyebabkan bayi tercekik, seperti kacang, bijian atau keseluruhan buah anggur.

Ibu-ibu, jangan lupa untuk....

  • Teruskan menyusu badan sekerap dahulu dan selama yang bayi anda ingini.
  • Amalkan penyediaan, pengendalian dan penyimpanan makanan yang selamat dan bersih bagi mengurangkan risiko pencemaran yang boleh mengakibatkan cirit-birit.
Belajar Rasa-rasa Baru

Makanan Pejal Pertama Bayi

Memperkenalkan makanan pejal adalah langkah pertama dalam usaha membiasakan bayi mengambil makanan yang betul.

Oleh Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

 

Makanan Pejal Pertama Bayi

Susu ibu membekalkan segala nutrien yang penting dalam jumlah yang sesuai sehingga bayi anda berusia enam bulan. Apabila si manja terus membesar dan menjadi lebih aktif, dia memerlukan lebih banyak nutrien dan susu ibu sahaja tidak lagi mencukupi untuk menyokong tumbesaran optimum serta menjamin kesihatannya. Inilah masa yang terbaik untuk mula memberikan makanan pelengkap, iaitu proses menambah makanan pejal ke dalam diet bayi anda yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada susu.

Masa paling sesuai untuk memberi makanan pejal

Bayi biasanya bersedia untuk mengambil makanan pejal apabila usianya mencecah enam bulan. Peralihan daripada diet susu ibu sepenuhnya kepada diet yang ditambah makanan pejal, merupakan tempoh genting dalam hayat bayi. Kelewatan memberi makanan pelengkap boleh menyebabkan kekurangan zat makanan, dan mungkin menjejaskan pertumbuhan serta perkembangan bayi, baik dari segi mental mahupun fizikal. Sebaliknya pula, pemberian makanan pejal terlalu awal juga tidak digalakkan kerana sistem penghadaman si manja masih belum cukup matang dan memerlukan masa untuk bersedia.

Adakah si manja bersedia untuk mengambil makanan pejal?

Tanda berikut menunjukkan si manja bersedia untuk mengambil makanan pejal:

  • Si manja menangis mahu menyusu lagi walaupun baru sahaja menyusu.
  • Meragam dan tidak sabar menunggu masa untuk penyusuan seterusnya.
  • Lebih aktif – meniarap dan bergolek atas lantai, cuba mengangkat dada untuk duduk.
  • Mula bangun malam untuk menyusu.
  • Memasukkan objek ke dalam mulut dan cuba mengunyah.
  • ‘Mengunyah’ walaupun tiada apa-apa di dalam mulutnya.

 

Dalam usia empat bulan, selera makannya mungkin bertambah; tetapi jangan sangka ini adalah tanda si manja memerlukan makanan pelengkap. Ramai bayi melalui fasa tumbesaran mendadak, menyebabkan mereka lebih cepat lapar daripada biasa!

Memberi makanan pelengkap

Apabila si manja menunjukkan tanda di atas, anda boleh memberikan makanan pelengkap, bermula dengan makanan yang lembut, tawar dan licin. Ramai ibu gemar memberi bijirin nasi yang dicampurkan dengan susu ibu. Ini membantu membiasakan bayi dengan tekstur makanan baru yang mempunyai rasa biasa. Selepas itu, anda boleh memperkenalkan makanan lecek atau puri yang lain seperti pisang, mangga, keledek, lobak merah dan labu. Apabila memperkenalkan makanan pejal kepada bayi, jangan tambah garam, atau gula.

AWAS!

Perkenalkan satu jenis makanan pada satu masa. Jangan campur pelbagai jenis makanan yang berlainan. Ini memudahkan anda mengenalpasti sama ada si manja alah kepada mana-mana jenis makanan.

 

Kepelbagaian adalah rencah kehidupan!

Apabila si manja anda bertambah besar, tekstur makanan yang anda berikan hendaklah dipelbagaikan, daripada makanan lecek kepada tekstur yang lebih kasar dan akhirnya bentuk cincang, seperti daging atau sayur cincang. Dengan memperkenalkan rasa dan tekstur baru, anda juga membantu si manja membina kemahiran mengunyah dan menelan.

Semakin bayi membesar, adalah juga penting untuk anda merangkumkan pelbagai jenis makanan yang berlainan ke dalam diet si manja, termasuk daging merah, ayam dan ikan, serta pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran, produk susu, bijirin, nasi, pasta dan kentang. Apabila si manja mencapai umur satu tahun, anda boleh mulai memberikannya hidangan keluarga. Ini juga membantu memberi banyak pilihan dan mengelakkan anak menjadi cerewet makan apabila besar!

Teruskan pemberian susu

Meskipun si manja sudah mula mengambil makanan pejal, susu tetap menjadi sebahagian penting daripada dietnya. Ini adalah cara yang paling cepat dan paling mudah untuk memastikan anak anda mendapat segala nutrien yang diperlukan, terutama sekali apabila mereka baru sahaja mula mengambil makanan pejal. Di samping itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan penyusuan ibu sehingga kanak-kanak berusia dua tahun untuk membolehkan mereka mendapat manfaat maksimum daripada susu ibu.

Memperkenalkan makanan pelengkap bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan tergesa-gesa. Malah, banyak masa dan usaha diperlukan dalam tempoh peralihan ini. Paling penting, jangan mudah menyerah kalah jika si manja menolak atau meluahkan makanan pejal yang anda suapkan ke dalam mulutnya. Teruskan mencuba sehingga si manja anda dapat membiasakan diri dengan tekstur dan rasa makanan yang pelbagai.

 

Langkah Kecil Ke Arah Penyuapan Sendiri

Galakkan si manja anda menggunakan sudu garpu apabila menyuap sendiri!

Oleh Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

 

Semasa enam bulan pertamanya, susu ibu merupakan satu-satunya makanan yang si manja anda perlukan. Pemberian makanan pelengkap, iaitu memberi makanan lain sebagai tambahan kepada susu ibu, merupakan peralihan yang biasanya bermula apabila si manja anda mencapai usia enam bulan. Ini sebenarnya merupakan masa belajar yang begitu menyeronokkan bagi si manja anda kerana sifat ingin tahu dan keinginannya untuk merasa, menyentuh dan memeriksa segalagalanya. Tambahan lagi, bayi akan lebih terangsang apabila dapat menggunakan sudu dan garpu untuk menyuap diri sendiri!

Langkah Kecil Ke Arah Penyuapan Sendiri

Bilakah masanya untuk mula memberi makanan pejal?

Secara amnya, usia disyorkan untuk memulakan makanan pejal adalah pada usia 6 bulan. Namun demikian, usia hanyalah salah satu daripada faktornya; kemahiran motor dan peringkat perkembangan seseorang kanak-kanak juga menentukan kesediaan mereka untuk menerima makanan pejal. Bayi perlu boleh menegakkan kepalanya dan tidak lagi menolak makanan dengan lidah sehingga mengakibatkan makanan keluar daripada mulut mereka.

Petanda lain yang menunjukkan si manja anda telah bersedia untuk makanan pejal termasuk:

  • Boleh duduk secara stabil.
  • Memasukkan objek di dalam mulutnya.
  • Telah mula mengunyah.
  • Memegang payu dara atau botol semasa menyusu.

Makan sendiri...

Apabila si manja anda berusia lebih kurang 9 bulan, dia biasanya telah mempunyai koordinasi yang diperlukan untuk mengambil makanan menggunakan jari telunjuk dan ibu jarinya – pegangan sepit (pincer grasp). Pada peringkat ini, bayi sepatutnya telah biasa dengan makanan seperti bijirin nasi dan daging atau sayuran puri. Anda boleh terus menggalakkannya dengan memberi finger food seperti potongan kecil betik atau pisang yang boleh dipegang dengan jarinya dan dimakan sendiri. Anda juga boleh memberikannya sudu bayi supaya dia dapat belajar memegang atau bermain dengan sudu walaupun belum pandai menyuap dirinya.

Berikut merupakan beberapa tip yang boleh membantu anda memperkenal dan menggalakkan si manja anda menggunakan sudu dan garpu:

  • Perhatikan petandanya. Jika si manja anda boleh memegang makanan menggunakan jari telunjuk dan ibu jarinya, maka dia mungkin sudah bersedia untuk menggunakan sudu. Ramai kanak-kanak mula menunjukkan minat untuk menyuap sendiri sekitar usia 9 dan 14 bulan.
  • Melekitnya! Berikan makanan yang separa melekit seperti keledek lecek yang tidak mudah jatuh daripada sudu. Ini meningkatkan kejayaan si manja anda untuk menyuap sendiri. Makanan yang mudah jatuh daripada sudu mungkin menyebabkan bayi putus asa.
  • Puji usaha si manja anda. Bina keyakinan si manja anda dengan memuji percubaannya menggunakan sudu. Gunakan komen yang boleh menggalakkan kemajuan si manja anda seperti, “Wah! Pandainya anak mama menggunakan sudu.”
  • Jangan paksa. Jangan paksa si manja anda jika dia masih belum bersedia. Ketepikan sudu dan cuba semula dalam beberapa minggu lagi.
  • Jadilah teladan yang baik. Bayi sering memerhatikan bagaimana anda menggunakan perkakas makan anda. Oleh itu, gunakannya secara betul.
  • Jangan marah jika tempat menjadi kotor. Adalah menjadi kebiasaan jika tempat makan menjadi amat kotor apabila anak anda belajar menyuap diri. Letakkan lapik lantai di bawah kerusi tinggi bayi untuk mengurangkan kerja kebersihan. Gunakan alas dada bayi agar bajunya tidak kotor.

Gunakan perkakas makan yang betul!
  • Dapatkan sudu khusus untuk kanakkanak bertatih yang mempunyai pemegang pendek serta senang dipegang, pinggan berpinggir getah yang tidak mudah bergerak dan alas dada bayi yang sesuai.
  • Perkenalkan cawan sedut yang diisi air atau susu apabila si manja anda menghampiri usia setahun. Apabila bayi memegang cawan dengan kedua-dua belah tangannya, ia akan menggalakkan perkembangan kemahiran motor dan juga penyuapan sendiri.
  • Perkakas yang mudah digunakan akan menggalakkan kejayaan penyuapan sendiri.
  • Perkakas makan yang digunakan perlulah bebas plumbum, bebas PVC dan bebas BPA.


Membenarkan si manja anda menyuap sendiri memerlukan kesabaran dan masa. Menggunakan perkakas makan seperti pinggan, sudu dan cawan merupakan suatu proses pembelajaran dan koordinasi’ dan kemahiran motor bayi anda akan bertambah baik dengan peningkatan usianya. Pastikan si manja anda tidak bersendirian semasa makan kerana takut tercekik. Jangan paksa dia makan dan cuba perkenalkan makanan dan tekstur baru dalam kuantiti yang kecil. Bersabar, berkreatif dan nikmatilah setiap saat si manja anda melalui proses ini!

 

 

Pencetus Alahan Makanan

Pengenalan makanan pelengkap secara prihatin adalah penting bagi membantu ibu bapa mencegah dan mengurangkan tindak balas alahan makanan pada anak mereka.

Oleh Profesor Madya Dr Amir Hamzah Abdul Latiff, Pakar Imunologi Pediatrik, dan Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

Kanak-kanak kecil, terutama yang di bawah usia empat tahun, cenderung mendapat alahan (alergi) makanan. Seramai 5-8% kanak-kanak di bawah usia tiga tahun berkemungkinan mempunyai alahan makanan. Sesetengah punca alahan yang lazim dalam kanak-kanak dan bayi adalah susu, telur (terutamanya putih telur), kacang soya, gandum, kacang tanah dan kacang lain (seperti walnut, gajus), ikan serta makanan laut. Ibu bapa harus ingat dan berwaspada apabila mula memberi makanan pelengkap, dan perlu mengawasi kemunculan gejala setiap kali memperkenalkan makanan baru kepada anak mereka.

Pencetus Alahan Makanan

Gejala yang timbul daripada alahan makanan adalah kurang menyenangkan dan boleh timbul dalam masa beberapa minit hingga dua jam selepas dimakan atau terdedah melalui sentuhan atau bau. Ini termasuk ruam, nafas berbunyi, bengkak bibir dan lidah, bersin, muntah serta sakit abdomen. Dalam kes yang lebih teruk, kejutan anafilaktik boleh berlaku dan mengakibatkan kematian.

Prinsip Makanan

Sama ada anda memilih untuk membeli makanan bayi komersial atau memasaknya di rumah, jadikan kepelbagaian sebagai prinsip utama. Kepelbagaian makanan – kebanyakannya harus segar dan dimasak di rumah – dapat memastikan si manja mendapat segala nutrien, vitamin dan mineral yang diperlukan untuk membesar dan menjadi bijak pandai.

Apakah Risiko Anak Anda?

Biasanya, alahan boleh diwarisi tetapi mungkin menyebabkan tindak balas yang berbeza.

• Jika KEDUA-DUA ibu bapa mempunyai masalah alahan: 40 -60%
• Jika SEORANG daripada ibu bapa mempunyai masalah alahan: 20-40%
• Jika KEDUA-DUA ibu bapa tidak mempunyai masalah alahan: 5-15%

Mengurangkan Risiko

Alahan berpunca daripada alergen, yang boleh disedut, disuntik, dimakan atau disentuh. Ini mencetus sistem imun untuk mengeluarkan antibodi yang dikenali sebagai immunoglobin E, yang memainkan peranan penting dalam memulakan “tindak balas alahan”. Terdapat langkah berjaga-jaga tertentu yang boleh anda ambil untuk mengurangkan risiko anak anda mendapat alahan pada peringkat awal hidup mereka.

• Penyusuan badan secara eksklusif selama enam bulan. Menyusu badan secara eksklusif sehingga bayi berusia enam bulan akan dapat mengurangkan risiko untuk dermatitis atopik dan alahan susu dalam dua tahun pertama hidupnya. Cara mekanisma susu badan mengurangkan risiko kepada bayi adalah kompleks dan mungkin melibatkan sistem imun mereka ‘bertukar’ menjadi profil yang kurang penyandaran kepada alahan, seperti pembentukan antibodi immunoglobulin IgG4 dan bukannya IgE.

• Use of hypoallergenic formulas when not breastfeeding. Hypoallergenic formulas consist of milk proteins that have been broken down into smaller proteins. Studies have revealed that these formulas may prevent the development of allergies, especially in children with a high risk of developing allergic diseases.

• Penggunaan rumusan hipoalergenik apabila tidak menyusu badan. Rumusan hipoalergenik mengandungi protein susu yang telah dipecah menjadi protein yang lebih kecil. Kajian menunjukkan bahawa rumusan ini mungkin dapat mencegah perkembangan alahan, khususnya dalam kanak-kanak yang berisiko tinggi mendapat penyakit alahan.

• Perkenalkan makanan baru satu demi satu. Dengan memperkenalkan satu sahaja makanan baru setiap minggu, anda boleh mengenalpasti jenis makanan yang mungkin akan mencetus tindak balas alahan anak anda. Mulakan dengan makanan yang paling kurang alergenik seperti bijirin beras. Makanan yang lebih alergenik seperti kacang, makanan laut dan telur boleh diperkenalkan selepas kanak-kanak memasuki usia setahun.

Mengurus Alahan – Sekarang dan Seterusnya

Jika anda mengesyaki anak anda mempunyai alahan makanan, simpan satu rekod mengenai makanan yang dia makan dan tindak balas yang berlaku. Diagnosis yang tepat adalah penting untuk menentukan jenis alahan makanan bagi mencegah situasi pembatasan diet. Dapatkan nasihat doktor anda sebelum mengambil sebarang langkah untuk merawat anak anda.

Apabila kanak-kanak semakin membesar dan sistem imun telah berkembang, anak anda mungkin tidak lagi akan alah terhadap sesetengah makanan seperti dahulu. Jika demikian, anda boleh mencuba semula makanan tersebut di kemudian hari, tetapi ingatlah bahawa ada juga alahan yang akan berterusan seumur hidup.

 

Makanan Bayi Segera Dan Mudah

Bagi ibu bapa zaman sekarang yang senantiasa sibuk, makanan segera komersial untuk bayi nampak ideal, tetapi jangan terburu membeli.

Oleh Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

 

Makanan bayi komersial adalah makanan sedia dimakan yang disediakan khusus untuk bayi berumur antara 6 bulan hingga 2 tahun. Dalam bentuk jus mahupun puri, dengan pelbagai rasa, warna dan tekstur, ia disesuaikan dengan keupayaan dan pengalaman makan pada peringkat awal si manja. Anda mungkin melihatnya sebagai jalan penyelesaian yang mudah, lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang sibuk. Tetapi, jangan jadikan sebagai satu makanan kebiasaan untuk bayi anda.

Prinsip Makanan

Sama ada anda memilih untuk membeli makanan bayi komersial atau memasaknya di rumah, jadikan kepelbagaian sebagai prinsip utama. Kepelbagaian makanan – kebanyakannya harus segar dan dimasak di rumah – dapat memastikan si manja mendapat segala nutrien, vitamin dan mineral yang diperlukan untuk membesar dan menjadi bijak pandai.

Tahukah Anda?

Kebanyakan makanan bayi dalam botol yang sedia dimakan dikategorikan mengikut tahap perkembangan bayi.
• Tahap 1: Untuk bayi (berumur 6 bulan) yang baru mula mengambil makanan pejal. Teksturnya dalam bentuk puri dan biasanya terdiri daripada satu jenis makanan sahaja (cth: pisang, mangga atau sos epal).
• Tahap 2: Untuk bayi (berumur 7-9 bulan) yang sudah berpengalaman mengambil makanan pejal. Teksturnya lebih pekat kerana makanan adalah dilecek dan biasanya mengandungi dua jenis bahan seperti buah pic + mangga, buah pir + avokado atau lobak merah + ubi keledek.
• Tahap 3: Untuk bayi (berumur 9 bulan). Teksturnya lebih pekat, dengan ketulan makanan. Ia biasanya mengandungi pelbagai ramuan makanan seperti daging, sayur-sayuran dan buah-buahan.

 

Baca dengan Betul

Banyak makanan bayi komersial membuat tuntutan mengandungi segala nutrien yang diperlukan oleh bayi anda. Walau apa pun tuntutan pengeluarnya, baca kesemua maklumat yang tercetak pada label untuk mengetahui dengan jelas kandungan makanan yang akan diberikan kepada si manja. Beberapa petua berikut boleh membantu anda:

• Jauhi produk yang mengandungi gula, dekstrosa, sukrosa atau garam. Bahan perasa seperti garam boleh merosakkan buah pinggang bayi anda yang masih belum matang.

• Jika air disenaraikan paling dahulu dalam senarai ramuan, ini bermakna sebahagian besar produk adalah air. Maka, ia tidak begitu berkhasiat..

• Sentiasa pastikan tarikh luput, terutama sekali jika membeli pada harga diskaun.

• Semak arahan penyimpanan. Selepas dibuka, makanan bayi komersial biasanya boleh disimpan selama 24 jam dalam peti sejuk atau selama sebulan dalam ruangan sejuk beku, jika tidak dicemari air liur bayi atau sisa makanan.

• Lihat jika terdapat maklumat tambahan mengenai kandungan mineral dan vitamin.

• Sekiranya bayi mempunyai alahan, pastikan tiada ramuan yang kerap menimbulkan alahan seperti susu, telur, ikan, gandum, kacang atau kacang soya.

Ingat!

Makanan bayi komersial selalunya dipekatkan dengan kanji dan ini bermakna kurang ramuan lain yang berkhasiat. Rasa dan teksturnya juga kerap serupa. Pemberian terlalu banyak makanan komersial mengurangkan peluang si manja untuk mencuba pelbagai jenis rasa, warna dan tekstur makanan. Ini boleh menjadikan bayi susah menerima makanan yang anda hidangkan apabila dia beralih kepada makanan pejal yang lain.

Hadkan pemberian makanan pelengkap komersial kepada waktu-waktu yang memerlukan kesenangan seperti semasa percutian. Ingatlah, makanan segar dan berkhasiat yang dimasak di rumah hendaklah sentiasa diutamakan dan sepatutnya membentuk sebahagian besar diet si manja.

 

Sejauh Manakah Pengetahuan Anda Tentang Makanan Pelengkap?

Anda rasa si manja anda sudah bersedia untuk makan makanan pepejal. Tetapi, adakah dia benar-benar sudah bersedia? Uji diri anda!

Oleh Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan.

1. Makanan pelengkap diperlukan apabila susu ibu tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan pemakanan bayi.
Benar    Salah

2. Sebaik-baiknya, mulakan pemberian makanan pelengkap seawal mungkin supaya bayi boleh membiasakan diri dengannya sejak kecil.
Benar    Salah

3. Makanan pertama yang terbaik untuk si manja adalah makanan bertekstur lembut seperti bubur nasi dan bijirin bayi yang sedia untuk dimakan.
Benar    Salah

4. Jika si manja tidak mahu mencuba atau enggan makan makanan pelengkap sewaktu pertama kali disuapkan, ini menunjukkan bahawa bayi cerewet makan.
Benar    Salah

5. Makanan bayi selalunya tawar. Anda boleh menambah sedikit garam sebagai perasa.
Benar    Salah

Jawapan:

1. Benar.. Menambah makanan pelengkap kepada diet yang eksklusif susu ibu memang penting apabila si manja mencapai usia 6 bulan atau lebih. Si manja akan menjadi lebih aktif apabila dia membesar dan usianya meningkat. Ini juga merupakan peringkat tumbesaran pantas. Maka, susu ibu semata-mata tidak cukup untuk memenuhi keperluan pemakanan si manja. Makanan pelengkap membantu mengisi keperluan pemakanan si manja yang tidak dapat dibekalkan oleh susu ibu, untuk memastikan dia membesar dengan sempurna. Teruskan memberi susu ibu sehingga si manja berusia 2 tahun, walaupun anda sudah memberikan makanan pelengkap.

2. Salah.. Memberi si manja makanan pelengkap terlalu awal bukanlah amalan yang baik. Si manja mungkin belum bersedia dari segi fizikal untuk menerima makanan pejal atau separa pejal, dan ini boleh meningkatkan kemungkinan si manja tercekik. Selain itu, makanan pelengkap mungkin akan membuat si manja menolak susu ibu, menyebabkan kekurangan bekalan tenaga dan nutrien dalam dietnya. Kanak-kanak juga boleh mengalami cirit-birit dan penyakit lain disebabkan sistem penghadamannya masih belum matang. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan supaya pemberian makanan pelengkap dimulakan apabila si manja berusia 6 bulan.

3. Benar.. Pada peringkat awal pemberian makanan pelengkap, sebaik-baiknya berikan si manja makanan yang bertekstur lembut seperti makanan lenyek atau tapis. Bubur nasi dan bijirin bayi sedia untuk dimakan adalah contoh terbaik makanan yang boleh diberikan kepada si manja yang baru mula makan makanan pelengkap. Sebaliknya, makanan pejal seperti ketulan buah-buahan boleh menyebabkan bayi tercekik kerana kemahiran otot mulut masih belum cukup matang. Tukar tekstur makanan si manja secara beransur-ansur mengikut peningkatan usianya.

4. Salah.. Si manja bukan cerewet makan. Mungkin dia masih belum dapat menyesuaikan diri dengan tekstur atau rasa baru kerana sudah biasa dengan susu ibu. Mulakan dengan memberi 1-2 sudu teh, dua kali sehari. Jika dia menolak, jangan putus asa. Cuba lagi kemudian dan akhirnya dia akan menerima makanan baru tersebut. Secara beransur-ansur, tambah jumlahnya dan pelbagaikan jenis makanan yang diberikan kepada si manja. Paling penting, jadikan waktu makan saat yang menyeronokkan agar si manja dapat menikmati makanannya dengan gembira.

5. Salah.. Ibu mana yang tidak mahu anaknya menikmati makanan yang enak! Namun, sebaik-baiknya elakkan daripada menambah garam ke dalam makanan si manja kerana buah pinggangnya masih belum matang dan tidak mampu untuk memproses lebihan garam di dalam makanan. Dalam jangka panjang, garam boleh memudaratkan buah pinggang si manja. Kanak-kanak berumur lebih 1 tahun boleh mengambil makanan yang ditambah sedikit garam. Walau bagaimanapun, jangan tambah terlalu banyak garam ke dalam makanan anak anda, tidak kira berapa usianya.

Gejala Tercekik

Pelajari bagaimana anda boleh elakkan si manja daripada tercekik makanan.

Oleh Profesor Madya Dr Norimah A Karim, Pakar Pemakanan.

 

Melihat bayi anda tercekik makanan boleh menjadi pengalaman yang sungguh menakutkan. Ramai orang tidak sedar bahawa puncanya ialah tekstur makanan.

Untuk mengelakkan bayi anda daripada tercekik makanan, anda perlu pastikan si manja benar-benar sudah bersedia dari segi kemahiran pergerakan mulut dan juga kawalan tangan dan badan. Ini akan menentukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan makanan pejal dengan tekstur yang berlainan, dan bagaimana untuk memberi makanan tersebut.

Untuk mendapatkan gambaran lebih jelas, sila rujuk jadual di bawah. Ia menunjukkan tekstur yang disyorkan dan contoh makanan untuk umur tertentu serta kemahiran pergerakan mulut untuk mengendalikan tekstur tertentu.

*Nota: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan makanan tambahan dimulakan pada usia 6 bulan ke atas.

Jangan Terlalu Awal, Jangan Terlalu Lewat
Mulakan pemberian makanan pelengkap pada masa yang sesuai.

Oleh Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan.

 

Pemberian makanan pelengkap ditakrifkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pemberian makanan lain sebagai tambahan kepada susu ibu. Contoh makanan lain yang dikatakan makanan pelengkap ini termasuk bijirin, puri buah atau bubur sayuran.

Mengapa perlu makanan pelengkap?
Makanan pelengkap penting atas sebab pemakanan dan tumbesaran. Dari segi pemakanan, susu ibu sahaja tidak lagi dapat menampung keperluan pemakanan si manja mulai usia kira-kira 6 bulan. Dari segi tumbesaran, bayi telah membina keupayaan untuk mengunyah dan mula menunjukkan minat terhadap makanan selain daripada susu sematamata. Justeru, adalah penting untuk memberikan makanan pelengkap kerana usia ini merupakan masa yang paling sesuai untuk menyemaikan tabiat makan yang baik.

Bilakah pemberian makanan pelengkap patut dimulakan?

Adalah sukar untuk menentukan dengan tepat masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan makanan pelengkap kerana setiap kanak-kanak mempunyai keperluan yang unik. Walau bagaimanapun, WHO mencadangkan supaya bayi diberi susu ibu sepenuhnya selama enam bulan sebelum diperkenalkan kepada makanan pelengkap. Pada usia ini juga, sistem penghadaman mereka sudah cukup matang untuk menghadamkan pelbagai makanan.

Tanda yang menunjukkan si manja sudah bersedia untuk mula mengambil makanan pelengkap termasuk:

  • • Boleh mengawal lidah dengan lebih baik. Lidah bayi lazimnya menolak benda pejal dari mulut dan refleks ini biasanya akan hilang dengan sendiri apabila mencapai usia 4 hingga 6 bulan.
  • • Boleh menutup bibir selepas sudu disuap ke dalam mulut dan mengaup makanan apabila sudu dikeluarkan daripada mulut.
  • • Boleh menggerakkan mulut ke atas ke bawah (keupayaan awal untuk mengunyah).
  • • Walaupun lebih kerap menyusu tetapi cepat lapar.

Peringatan: Perkembangan seseorang bayi tidak semestinya sepadan dengan usia kronologinya. Perkembangan dan kemahiran untuk makan sesetengah bayi mungkin terlewat, disebabkan bayi lahir tidak cukup bulan (pramatang), kurang berat badan semasa lahir, kelengahan saraf-otot atau sebab lain. Dapatkan nasihat doktor jika si manja anda sukar untuk makan.

Terus menyusukan si manja anda

Sungguhpun makanan pelengkap merapatkan jurang antara keperluan pemakanan si manja dengan jumlah yang dibekalkan oleh susu ibu, ini tidak bermakna pemberian susu ibu patut dihentikan. Sebaliknya, ibu digalakkan menyusukan si manja sehingga berusia 2 tahun atau lebih, supaya si manja mendapat makanan optimum, dan menjamin kesihatan optimum pada masa akan datang.

Bahaya memulakan pemberian makanan pelengkap terlalu awal atau terlalu lewat
Mula Terlalu Awal
Mula Terlalu Lewat
  • • Menggantikan susu ibu, menyebabkan kekurangan tenaga dan kekurangan pengambilan nutrien, dan juga mengurangkan penghasilan susu ibu.

  • • Membawa risiko penyakit cirit-birit dan penyakit lain kerana makanan pelengkap mungkin tidak sebersih susu ibu.

  • • Kemungkinan mendapat alahan makanan disebabkan usus belum matang.

  • • Si manja tidak mendapat makanan tambahan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan tenaga dan nutrien yang semakin bertambah, menyebabkan tumbesaran terbantut dan kekurangan mikronutrien.

  • • Perkembangan motor secara optimum seperti menghisap dan mengunyah mungkin terjejas, dan sukar menerima rasa dan tekstur baru.


Campurkan Makanan Untuk Anak Anda
Memberi anak anda campuran makanan pelengkap yang baik
akan memberikannya permulaan kehidupan yang baik!

Oleh Profesor Madya Dr Norimah A Karim, Pakar Pemakanan.

 

Dalam isu-isu lepas, kami menyentuh tentang prinsip pemberian makanan pelengkap dan juga sebanyak mana serta sekerap mana si manja anda perlu diberi makan. Untuk isu pertama Panduan Pemakanan istimewa ini, kami akan fokus terhadap makanan pelengkap di mana kita akan mendalami tentang kebaikan memberi anak anda makanan pelengkap yang baik.

Seperti mana yang anda mungkin telah tahu, makanan pelengkap diperlukan semasa anak anda sedang membesar dan apabila menjadi lebih aktif (pada masa ini susu ibu sahaja sudah tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluannya). Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengesyorkan bahawa makanan pelengkap patut mula diberikan pada usia enam bulan ke atas.

Anda boleh bermula untuk mencampurkan makanan untuk anak anda sebaik sahaja anak anda selesa dengan penambahan makanan pelengkap dalam diet mereka.

 

Mengapakah ia penting untuk memberikan si manja campuran makanan pelengkap?

  1. Dia memerlukan diet yang pelbagai. Satu campuran makanan pelengkap yang baik boleh membekalkan semua nutrien yang dia perlukan. Berikan anak anda makanan yang kaya dengan tenaga, protein dan mikronutrien (terutamanya zat besi, zink, kalsium, vitamin A, vitamin C dan folat).
  2. Dia memerlukan kepelbagaian dalam bentuk rasa, warna dan tekstur yang berlainan. Ini memastikan anak anda terus mempunyai minat dengan makanannya. Ini adalah benar kerana bayi kecil juga boleh menjadi bosan jika diberikan makanan yang sama sahaja pada setiap hari. Jangan bimbang jika anak anda enggan mencuba sesuatu yang baru pada hari ini, dia mungkin akan mencubanya semula esok.

Apakah suatu campuran yang baik?
Kunci ke arah makan secara baik pada usia ini adalah dengan memastikan si manja anda mendapat pelbagai jenis makanan-makanan seperti berikut:

Makanan asas
Ia merupakan sebahagian utama daripada diet anak anda dan kerap dimakan dan dalam kuantiti tertentu. Ia turut membekalkan sebahagian besar daripada keperluan tenaga dan nutrien anak anda. Walau bagaimanapun, makanan asas sahaja tidak akan dapat memenuhi keperluan keseluruhan pemakanannya. Dia memerlukan pelbagai jenis makanan yang lain.

Apa yang baik: Bubur nasi, kentang lenyek, pasta, ubi keledek.

Kekacang dan bijian minyak
Makanan ini merupakan sumber protein yang baik untuk anak anda. Bijian minyak dan sesetengah kekacang (kacang tanah, kacang soya, dsb) sememangnya kaya dengan lemak dan mengandungi tenaga yang banyak.

Apa yang baik: Kacang kuda, lentil, dhal.

Sayuran dan buah-buahan berwarna hijau tua dan kuning jingga
Galakkan anak anda untuk makan makanan ini daripada muda lagi kerana semuanya merupakan sumber yang kaya dengan folat, zat besi, vitamin A dan C. Lebih gelap warna daun atau lebih terang warna kuning jingganya, lebih banyak vitamin A yang terkandung di dalamnya.

Apa yang baik: Bayam, sawi, brokoli, kailan, lobak merah, mangga, ubi keledek, betik, oren.

Makanan daripada sumber haiwan
Makanan ini boleh menjadi sumber protein, zat besi, zink dan vitamin A yang baik. Makanan yang mengandungi tulang (contohnya, ikan kecil, ikan dalam tin atau ikan bilis) merupakan sumber kalsium yang baik.

Apa yang baik: Ikan, daging tanpa lemak, ayam itik, yogurt.

 

Menghadapi Selsema Dan Sakit Tekak

 

Memang lazim kanak-kanak dalam usia pra sekolah jatuh sakit beberapa kali setahun. Dari aspek positif, serangan penyakitpenyakit ini merangsangkan tubuh badan mereka untuk membina antibodi dan daya ketahanan perlindungan imun semulajadi untuk menentang jangkitan yang sama pada masa hadapan.

Bagaimanapun, anda masih perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, khususnya jangkitan penyakit biasa seperti selsema dan sakit tekak. Kebanyakan daripada penyakit penyakit ini boleh dirawat di rumah. Walaubagaimanapun jika keadaan anakanak anda bertambah buruk, mereka memerlukan rawatan doktor.


Selsema
Anak-anak dalam usia pra-sekolah mudah mendapat jangkitan saluran pernafasan, yang biasanya dipanggil selsema. Walaupun orang dewasa juga boleh mendapat selsema, kanak-kanak lebih kerap mendapat jangkitan penyakit ini dan boleh menjadi lebih serius. Kanak-kanak mungkin mengalaminya lima hingga lapan kali setahun (atau lebih) sehingga mereka dapat membina antibodi dan daya pertahanan sistem imun yang secukupnya untuk menentang jangkitan penyakit selsema berulang; pada biasanya menjelang usia enam tahun.

Virus selsema yang berlainan membawa gejala-gejala yang berbeza. Gejala penyakit biasanya termasuk demam, pening kepala, batuk, sakit tekak, hidung berair dan sengal otot. Demam mungkin berlarutan sehingga tiga hari, hidung berair dan sakit tekak sehingga sepuluh hari dan batuk sehingga tiga minggu.

Sejak kecil kita telah diasuh supaya jangan bermain dalam hujan, kerana takut mendapat selsema. Tanggapan ini tidak tepat, kerana kanak-kanak tidak mendapat demam selsema kerana berdiri dalam hujan, bernafas dalam udara sejuk atau kekurangan tidur (walaupun ini boleh merendahkan pertahanan badan dan meningkatan kecenderungan menghadapi jangkitan). Sebaliknya, virus selsema biasanya disebarkan melalui sentuhan tangan, bersin dan batuk.

Justeru, jangkitan selsema boleh dikurangkan jika tadika atau nurseri menjaga kebersihan dan mengenakan peraturan kesihatan yang ketat dengan tidak membenarkan kanak-kanak yang sakit datang ke sekolah. Sebagai ibu-bapa, kita perlu mengasuh anakanak kita supaya kerap mencuci tangan. Di samping itu, jangan galakkan mereka berkongsi cawan, gelas, sudu, garpu atau pinggan, kertas tisu dan tuala dengan rakan-rakan sekelas mereka.

Apabila anak anda dijangkiti selsema, pastikan dia mendapat rehat secukupnya dan biarkan sistem imun bertindak melawan jangkitan, kerana sehingga kini masih tiada sebarang rawatan atau ubat yang dapat mempercepatkan pemulihan. Bawalah dia berjumpa doktor jika selsema berlarutan lebih seminggu atau jika anak anda hilang selera makan, muntah-muntah, sakit perut, sentiasa rengsa, sering mengantuk, sakit kepala teruk, sering menangis, sukar menelan, sakit tekak, sukar bernafas atau sakit telinga.

Sakit Tekak
Sakit tekak yang berpunca daripada bakteria Streptokokus biasanya menyebabkan kesakitan apabila menelan, demam, sakit kepala, sakit perut, tonsil dan kelenjar limfa bengkak. Bahagian belakang tekak akan menjadi merah dan bertompok-tompok putih.

Anda boleh membantu anak-anak anda mengelakkan penyakit sakit tekak dengan mengasuh mereka supaya tidak berkongsi sudu, garpu, tisu, sapu tangan atau tuala dengan kanak-kanak lain. Bagaimanapun, kanak-kanak yang mendapat sakit tekak perlu dirawat dengan betul, kerana mereka boleh menghadapi risiko komplikasi demam reumatik, keadaan yang berbahaya dan boleh menyebabkan penyakit jantung reumatik.

Pengesahan diagnosis penyakit sakit tekak dilakukan dengan mengambil cecair dari belakang tekak dengan secebis kapas steril. Rawatan untuk sakit tekak biasanya menggunakan penisilin atau antibiotik lain. Anda boleh menghantar anak anda ke tadika semula selepas dia mengambil ubat selama sekurang-kurangnya dua puluh empat jam dan tidak demam lagi.

Pemberian Makanan Sesuai Untuk Bayi
Apabila bayi berusia lebih daripada 6 bulan, dia sudah sedia untuk makan makanan pepejal.

Oleh Profesor Madya Dr Norimah A Karim, Pakar Pemakanan

 

Dalam keluaran terdahulu, kami menyentuh tentang tiga asas makanan pelengkap, iaitu keperluan pemakanan (makanan seharusnya mempunyai nilai pemakanan yang sama dengan susu ibu), jadual pemberian (peringkat bila bayi patut menerima makanan pelengkap) dan kecukupan (yang bergantung kepada pelbagai makanan di rumah dan amalan pemberian makanan oleh ibu bapa atau penjaga).

Selain tiga asas ini, anda juga seharusnya memastikan bayi anda diberi makan mengikut prinsip panduan ini:

 

Cara menyediakan dan menyimpan yang selamat
Makanan pelengkap hendaklah disediakan dan diberikan dengan cara bersih dan selamat untuk mengelakkan pencemaran dan keracunan makanan. Amalkan cara yang betul untuk kebersihan dan pengendalian. Basuh tangan anda setiap kali sebelum menyiapkan makanan. Gunakan peralatan bersih untuk menyediakan, simpan makanan dengan selamat dan suap makanan sebaik sahaja disediakan. Bila perlu, susu ibu boleh disimpan dalam bekas bersih dan diletakkan dalam peti sejuk selama 24-48 jam; dalam iklim negara kita, ia boleh disimpan sehingga 8 jam tanpa penyimpanan peti sejuk.

Menu Bayi

Berikut senarai campuran makanan pelengkap yang baik untuk diberi kepada bayi anda bagi memastikan dia mendapat cukup tenaga, protein dan mikronutrien untuk membesar dengan sihat dan pintar. Campuran makanan pelengkap susu ibu ini boleh membentuk diet yang lengkap untuk bayi.

Pagi: Bubur bijirin
Tengah hari: Bubur nasi + kekacang + betik
Malam: Nasi + ikan + sayuran berdaun hijau
Snek (2): Pisang; roti

Jumlah Makanan
Berikan makanan pelengkap sedikit demi sedikit dan tambah kuantitinya bila bayi anda membesar. Anda boleh mulakan dengan 1 atau 2 sudu kecil makanan, dua kali sehari, dan tingkatkan jumlah dan kepelbagaiannya secara beransur-ansur. Pada usia 9 bulan, bayi anda boleh makan beberapa sudu penuh (atau setengah cawan) campuran makanan keluarga setiap kali waktu makan. Penyusuan susu ibu hendaklah diteruskan hingga si manja berusia dua tahun atau lebih.

Jenis Makanan
Makanan pertama bayi biasanya ialah bubur nasi dan bijirin (beras) segera. Tambah sedikit daging, ayam, ikan atau telur dan juga buah-buahan dan sayuran kaya vitamin A dan C setiap hari.

Pada usia 6 bulan, bayi boleh makan makanan separuh pejal yang ditapis, dihancurkan atau dilecek. Bila umurnya mencecah 8 bulan, si manja boleh diberi makanan kudapan (snek yang boleh dimakan oleh kanak-kanak sahaja) dan pada usia 12 bulan, kebanyakan kanak-kanak boleh mengambil makanan yang sama dengan anda (tetapi ingat mereka memerlukan makanan yang kaya dengan nutrien).

Jangan tambah gula atau garam dalam makanan bayi. Gunakan bawang dan sayuran untuk menambah perisa, dan masak makanan dengan cara mudah dan tidak pedas. Ingatlah, makanan yang disediakan di rumah adalah yang terbaik untuk bayi (dan anda!).

Adakah bayi memerlukan produk makanan
tambahan atau diperkuatkan?

Jika anda rasa bayi anda memerlukan makanan pelengkap yang diperkuat atau tambahan vitamin dan mineral, dapatkan nasihat pakar pediatrik terlebih dahulu. Sesetengah ibu yang menyusukan bayi mungkin memerlukannya untuk kesihatan mereka sendiri dan untuk memastikan jumlah nutrien tertentu yang secukupnya dalam susu badan mereka.

 

Memulakan Makanan Pejal
Memperkenalkan makanan pelengkap bila bayi berusia enam bulan

Oleh Profesor Madya Dr Norimah A Karim, Pakar Pemakanan

 

Lazimnya, bayi bergantung sepenuhnya kepada susu ibu sepanjang enam bulan pertama hayatnya. Si manja membesar dengan sihat dan mendapat segala nutrien yang diperlukan dalam jumlah yang tepat untuk memenuhi keperluan pemakanannya. Bagaimanapun, pada usia enam bulan, susu ibu semata-mata tidak lagi mencukupi. Inilah masanya untuk memperkenalkan makanan pelengkap ke dalam pemakanan bayi. Sambil meneruskan penyusuan ibu, anda boleh memberinya makanan lain sebagai pelengkap.

3 Asas Makanan Pelengkap
Pengetahuan tentang asas makanan pelengkap yang baik amat penting untuk memastikan si manja anda mendapat khasiat makanan yang betul dengan secukupnya.

1. Keperluan Pemakanan. Makanan pelengkap seharusnya memberikan nilai pemakanan yang sekurang-kurangnya sama dengan susu ibu. Berilah si manja pelbagai makanan dalam jumlah

secukupnya. Pengenalan makanan pelengkap bergantung pada umur dan perkembangan fisiologikal bayi. Makanan pertama sentiasa bijirin, dengan bubur nasi sebagai permulaan. Ini boleh diikuti dengan puri sayuran dan buah-buahan. Daging, ikan atau telur putih boleh diperkenalkan setelah bayi mencapai 6-8 bulan. Bayi seharusnya diberi makan buah-buahan dan sayuran yang kaya dengan vitamin A dan C setiap hari. Pastikan juga kandungan lemak dalam dietnya mencukupi. Hadkan jumlah minuman jus untuk mengelakkan si manja menolak lebih banyak makanan yang kaya dengan nutrien.

2. Jadual. Bayi memerlukan makanan pelengkap dari usia 6 bulan hingga 18-24 bulan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan agar bayi diberi makanan pelengkap 2-3 kali sehari antara 6-8 bulan, dan 3-4 kali sehari antara 9-24 bulan, dengan tambahan snek 1-2 kali sehari. Pada usia 12 bulan, bayi boleh mula makan makanan keluarga.

3. Jumlah Secukupnya. Jumlah makanan pelengkap yang secukupnya bergantung kepada kepelbagaian makanan yang terdapat dalam rumah dan tabiat makan ibu bapa atau penjaga. Tugas memberi bayi makan memerlukan banyak kesabaran dan rangsangan, dan anda seharusnya sentiasa menyedari isyarat kelaparan si manja dan menggalakkannya untuk makan.

Makanan Yang Sesuai Untuk Bayi
Makanan pelengkap yang baik mesti dapat membekalkan tenaga dan nutrien secukupnya dan sesuai dengan peringkat tumbesaran bayi. Berikut antara makanan yang boleh anda berikan kepada si manja:

Bubur nasi, bijirin lain dan makanan berkanji
Biasanya, makanan pertama bayi pada usia 6 bulan ialah bubur nasi dan bijirin bayi yang kaya dengan zat besi. Bila usianya meningkat (lebih kurang 11 bulan), anda boleh beri si manja nasi lembut dan mi yang dilenyek.

Buah-buah dan sayuran
Mulakan dengan jus buah-buahan yang dicairkan dan sayuran yang dimasak hingga hancur. Bila bayi berusia antara 6-8 bulan, berikan buah-buahan lembut yang dilenyek atau dicincang halus, dan kacang pis dan sayuran berdaun hijau yang dimasak hingga lembut lalu dilenyek atau disaring. Antara 8-12 bulan, si manja sudah boleh mengambil potongan kecil buah-buahan lembut dan sayuran cincang yang mudah dikunyah untuk membolehkan bayi merasai tekstur yang berlainan.

Makanan kaya protein
Ikan bilis adalah antara makanan yang kaya dengan protein. Anda boleh beri si manja ikan bilis yang dipanggang dan ditumbuk halus atau kuning telur dan kacang pis yang dimasak dan disaring. Daging ayam dan isi ikan yang dicincang dan dilenyek boleh diberikan bila bayi berumur 6-8 bulan, dan selepas itu, anda boleh mencuba daging cincang atau keju lembut. Dalam keluaran yang akan datang, kami akan menghuraikan prinsip yang perlu dipatuhi bila memilih makanan pelengkap supaya si manja mendapat khasiat yang diperlukan dengan secukupnya untuk membesar dengan sihat.

Berhati-hati!

Amalan yang tidak wajar seperti memaksa bayi makan mungkin mengakibatkan makan secara berlebihan sedangkan memberikan hanya satu jenis makanan boleh menyebabkan kekurangan pengambilan nutrisi. Jadi, pastikan anda memberi si manja makan dengan sabar dan perlahan lahan, galakkan (bukan paksa) anak anda makan, dan cuba makanan dengan kombinasi, rasa dan tekstur yang berlainan. Ingatlah, waktu makan adalah masa untuk si manja belajar dan kesempatan untuk anda mencurahkan kasih sayang. Jadi, bercakaplah dengan si manja bila anda memberinya makan dan jadikan waktu makan masa yang menyeronokkan.

 

Makanan Sempurna Bayi

Pemakanan Lengkap, Perlindungan Unggul

 

Susu ibu mengandungi campuran nutrien yang sempurna bagi memenuhi keperluan nutrisi bayi. Pakar pediatrik dan pakar pemakanan di seluruh dunia menyarankan agar para ibu mencuba dan mengambil segala langkah yang boleh untuk memastikan bayi mereka hanya mengambil susu badan (tanpa makanan atau minuman lain) dalam 6 bulan pertama hayat mereka. Sememangnya ini sukar dilakukan kerana tekanan keperluan gaya hidup dan pekerjaan anda. Namun, ini adalah perkara terbaik yang boleh anda lakukan bagi membina asas yang kukuh untuk kesihatan mereka sekarang dan juga pada masa akan datang.

Berubah Mengikut Keperluan Bayi yang Membesar
Komposisi nutrien susu ibu sentiasa berubah untuk memenuhi keperluan bayi yang membesar.

 

  • Cecair keemasan: Kolostrum
    Dalam beberapa hari pertama selepas bayi dilahirkan, payudara anda akan menghasilkan kolostrum, sejenis cecair pekat yang berwarna kuning. Kolostrum kaya dengan karbohidrat, protein dan antibodi. Jumlah kolostrum yang dihasilkan mungkin sedikit tetapi ia sangat kaya dengan nutrien dan faktor imun yang akan melindungi bayi daripada jangkitan penyakit.

  • Susu matang
    Susu matang akan dihasilkan tiga atau empat hari selepas bersalin. Jumlahnya banyak dan kelihatan agak cair.

  • Waktu penyusuan
    Komposisi susu ibu turut berubah sewaktu bayi menyusu. Kandungan lemak meningkat pada penghujung sesuatu masa penyusuan. Susu akhir ini membuat bayi rasa kenyang dan berhenti menyusu. Ini adalah cara bayi belajar mengawal seleranya.

Menggalakkan Penghadaman dan Penyerapan Nutrien dengan Lebih Baik
Beberapa bahan biologi di dalam susu ibu menyebabkan bayi dapat menyerap nutrien dengan berkesan:

  • Enzim penghadam lemak membantu penghadaman dan penyerapan lemak

  • Protein pengikat zat besi membantu bayi menyerap kebanyakan zat besi di dalam susu ibu

  • Kandungan laktosa yang tinggi meningkatkan penyerapan kalsium, magnesium, fosforus dan mineral yang lain melindungi bayi daripada penyakit berjangkit khususnya cirit-birit, selsema, bronkiolitis dan jangkitan telinga tengah.

Makanan untuk Perkembangan Otak
Susu ibu mengandungi asid lemak perlu seperti asid alfa-linolenik (ALA) dan asid linoleik (LA). Kedua-dua asid ini diperlukan untuk menghasilkan asid dokosaheksanoik (DHA) dan asid arakidonik (AA) yang penting untuk pembesaran dan pertumbuhan janin dan bayi, terutamanya untuk pertumbuhan otak dan perangsangan penglihatan yang berkualiti. Perkembangan otak yang sempurna dalam tahun pertama usia bayi akan menyediakan asas kepada keupayaan pembelajarannya pada masa depan.

Mengurangkan Kemungkinan Mengalami Alergi
Kebanyakan simptom alergi yang dikaitkan dengan pengambilan susu formula lazimnya berpunca daripada tindakbalas bertentangan imun bayi terhadap protein susu lembu. Bayi yang menyusu badan kurang mengalami simptom-simptom alergik seperti kolik, muntah, cirit-birit atau najis berdarah, penyerapan, ekzema, rinitis alergik dan asma atau lelah.

Pengikat Kasih
Bayi perlu mendengar degupan jantung anda, merasai kehangatan tubuh anda dan berada rapat dengan anda. Kesemua ini adalah sama pentingnya dengan keperluannya terhadap makanan. Tiada aktiviti lain yang dapat memenuhi semua keperluan ini melainkan penyusuan susu ibu.

Makan Bersama

Makan sekeluarga memainkan peranan penting untuk mengeratkan hubungan
kekeluargaan tetapi kini jarang diamalkan. Ada beberapa sebab anda
harus meneruskan amalan ini bersama keluarga anda.

Oleh Prof Madya Dr Norimah A. Karim, Pakar Pemakanan

 

Makan malam bersama keluarga bukan sahaja bertujuan mendapatkan khasiat pemakanan yang baik; inilah masa paling sesuai bagi seisi keluarga untuk meluangkan masa kualiti bersama. Amalan ini akan membina keluarga bahagia selain memupuk amalan pemakanan sihat di kalangan anak-anak anda.

Walaupun makan malam bersama amat penting, semakin banyak keluarga kesuntukan masa untuk melakukannya, terutamanya ibu bapa yang bekerja. Tambahan lagi, kita secara tidak sedar lupa untuk mengajar anak cara yang betul untuk

makan dan sebaliknya terlalu memberi tumpuan kepada makanan berkhasiat yang harus dimakan. Malah hanya sewaktu makan bersama barulah anda boleh mengajar anak anda tentang pemakanan sihat dan juga

Mengajak Ahli Keluarga Makan Bersama
Anda ingin menggalakkan keluarga anda makan bersama? Cuba beberapa cadangan berikut:

• Jadi teladan yang baik - Perkara paling penting yang harus diingat ialah anak anda mencontohi tingkah laku anda. Jika anda makan cepat, terlalu memilih makanan atau tidak kisah apa yang berlaku di meja makan, anak anda akan mencontohi sikap anda terhadap makanan.

• Menyampaikan mesej yang betul - Menunjukkan sikap yang baik terhadap makanan akan menanamkan amalan pemakanan yang baik di kalangan anak anda. Jangan asyik menyatakan bahawa anda sedang berdiet dan tidak mahu makan; anda tidak mahu anak anda menjadi seperti ini apabila dia meningkat dewasa.

• Beri tunjuk ajar kepada anak anda - Makan dan juga hidangkan saiz sajian yang sederhana untuk memberi anak anda gambaran yang baik tentang cara pemakanan yang betul. Pastikan anda mengamalkan sikap positif terhadap makan dan makanan; dengan cara ini, anak anda akan mempelajari tentang amalan dan khasiat pemakanan yang betul dan akan menganggapnya sebagai sesuatu yang penting dan perlu dalam kehidupannya.

• Ketepikan segala gangguan - Pastikan anda memanfaatkan sepenuhnya masa yang diluangkan bersama, yang seharusnya bersifat dinamik dan ceria. Padamkan televisyen dan telefon bimbit anda jika perlu.

• Libatkan anak anda - Ajak anak anda membantu menyiapkan makanan, menyusun meja, menghidangkan makanan dan mengemas meja selepas makan. Dengan cara ini anak anda rasa bertanggungjawab, dan berbangga dengan bantuan yang diberikannya.

 
Mengapa Makan Bersama Membawa Manfaat

• Khasiat Pemakan Yang Lebih Baik
Kanak-kanak yang kerap makan bersama keluarga lebih cenderung untuk makan buah-buahan sebagai snek dan juga mendapatkan khasiat penting lain daripada sayur-sayuran, bijian dan makanan yang kaya dengan kalsium.

• Kurang Meragam
Remaja yang menghabiskan lebih banyak masa makan bersama keluarga didapati kurang melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak disenangi.

• Mengeratkan Hubungan Keluarga
Waktu makan selalunya singkat kerana anda terpaksa mengejar masa menghabiskan tugasa, menghadiri mesyuarat dan pelbagai lagi perkara. Kalau begini caranya, anak anda pasti tidak suka makan bersama. Apabila makan bersama keluarga, pastikan seisi keluarga duduk bersama untuk memanfaatkan sepenuhnya masa yang diluangkan.

• Bergembira Bersama
Pastikan perbualan menyentuh perkara yang menceriakan, untuk memastikan semua orang gembira.

 
Satu kajian Harvard yang diterbitkan dalam Archives of Paediatrics & Adolescent Medicine (2000) mendapati bahawa ahli keluarga yang kerap makan bersama menunjukkan pengambilan khasiat yang lebih baik dan menghadapi risiko yang lebih rendah tidak dapat mengawal berat badan serta penyalahgunaan dadah. Selain itu, ahli keluarga yang makan bersama setiap hari mengambil kandungan nutrien yang lebih tinggi seperti kalsium, serat, besi, vitamin B6 dan B12, C dan E serta mengambil lemak keseluruhan yang lebih rendah, justeru mengekalkan gaya hidup yang sihat.
 

Baik Untuk Dimakan!

Sarapan merupakan salah satu daripada sajian terpenting bagi anak anda.
Pakar pemakanan menyarankan semangkuk bijirin yang diperkuat untuk sarapannya.
Tetapi adakah bijirin benar-benar baik untuk anak anda?
Mari ketahui dengan lebih lanjut.

Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

 

Kajian yang telah dijalankan menunjukkan pentingnya kanakkanak mengambil sarapan. Satu cara paling baik untuk memastikan sarapan yang sihat untuk anak anda ialah dengan menghidangkan semangkuk bijirin yang diperkaya dengan zat makanan. Bijirin kerap disyorkan sebagai sarapan anak anda kerana khasiat pemakanan yang terbukti, seperti:

  • Ia dengan nutrien yang penting untuk diet anak anda.
  • Membekalkan kalsium, zat besi, zink, vitamin A, vitamin C dan vitamin B yang diperlukan oleh badan anak anda.
  • Bijirin sarapan merupakan sumber bijirin penuh untuk kanak-kanak berumur 2 hingga 18 tahun, dan membawa kebaikan untuk kesihatan.


Pilih Bijirin Yang Betul
Isunya ialah pemilihan bijirin yang sesuai untuk anak anda. Dengan begitu banyak pilihan yang terdapat di rak pasar raya, anda pasti mudah keliru dan terpedaya! Lebih-lebih lagi bila membaca pelbagai tuntutan pada label setiap jenama.

Seperkara yang perlu diingat bila memilih bijirin ialah jangan biarkan anak anda membuat pilihan atau keputusan terakhir. Syarikat bijirin sudah bijak mengiklankan jenama mereka menerusi televisyen dengan menggunakan watak kartun untuk menarik perhatian kanak-kanak. Sudah tentulah anak anda akan memilih jenama yang mereka minati kerana khasiat dan kebaikan bijirin bukanlah perkara yang penting bagi mereka. Di samping itu, anak anda juga mungkin memilih bijirin yang paling lazat, yang biasanya paling manis dan mengandungi paling banyak gula. Satu cara yang baik untuk menambah khasiat ialah dengan menambah buah-buahan seperti pisang atau epal ke dalam bijirin tanpa gula untuk melazatkannya dan memberikan pelbagai rasa.

Tahap kandungan gula dalam jenama bijirin yang berlainan adalah berbeza. Sebenarnya, berapa banyakkah gula yang terdapat dalam bijirin anda? Ingatlah: lima gram gula adalah bersamaan dengan satu sudu teh. Jadi, pilih bijirin yang mengandungi kurang daripada lima gram gula tetapi diperkaya dengan vitamin dan zat galian.

Jangan percaya seratus peratus tuntutan yang dibuat oleh pengilang bijirin. Label pemakanan di kotak bijirin merupakan sumber maklumat kesihatan yang paling penting. Belajar untuk membaca label pemakanan supaya anda boleh memahami kandungannya. Juga, pastikan jumlah serat makanan yang terkandung di dalam bijirin sarapan yang dipilih.

Akhir sekali, perkara yang perlu diingati bila memilih bijirin yang lebih sihat untuk anak anda ialah: tanya diri anda sama ada ANDA SENDIRI akan memakannya. Jika jawapannya tidak, besar kemungkinan anak anda juga tidak mahu memakannya.

 
 
 

Sejauh Mana Pengetahuan Anda Tentang Pemakanan?

Si manja anda sudah mula makan makanan pepejal dan anda patut tahu tentang asas
pemakanannya. Pelajari beberapa perkara baru dan tangkis kepercayaan karut
dengan kuiz yang boleh menambah pengetahuan ini!

Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

 

QUIZ
1. Kanak-kanak boleh makan makanan yang bergula kerana mereka memerlukan tenaga.
Betul Salah
   
2. Kanak-kanak patut minum susu tanpa lemak kerana susu penuh krim mengandungi terlalu banyak lemak.
Betul Salah
   
3. Jus buah-buahan boleh menjadi sebahagian daripada diet kanak-kanak.
Betul Salah
   
4. Pengambilan snek akan menyebabkan kanak-kanak tidak berselera semasa waktu makan utama.
Betul Salah
   
5. Saya patut beri anak saya makanan yang disukainya sahaja.
Betul Salah
   
6. Kanak-kanak yang tidak cukup makan akan kekurangan zat makanan.
Betul Salah
   
7. Anak saya lebih kecil daripada kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Ada sesuatu yang tidak kena.
Betul Salah
   
8. Mengambil suplemen multivitamin adalah baik untuk kanak-kanak.
Betul Salah
BERAPA MARKAH ANDA?
0 – 4 Simpan buku resipi dan baca buku mengenai pemakanan kanak-kanak. Anda perlu belajar dari peringkat asas!
5 – 6 Anda mempunyai pengetahuan asas yang baik. Banyakkan membaca untuk menambah pengetahuan.
7 – 8 Si manja berada dalam jagaan yang baik! Sekaranglah masanya untuk anda mengamalkan apa yang anda ketahui.

ADAKAH JAWAPAN ANDA BETUL?

1 Salah.
Makanan dan minuman yang bergula mempunyai kalori tinggi dan kurang nutrien. Pengambilan gul berlebihan boleh menyebabkan lebihan berat badan dan kerosakan gigi. Anda tidak seharusnya menghalang sama sekali anak anda mengambil makanan bergula (ini akan menyebabkan mereka lebih tertarik kepadanya). Sebaik-baiknya, hadkan pengambilan.

2 Salah.
Susu tanpa lemak atau rendah lemak tidak digalakkan untuk kanakkanak. Mereka memerlukan tenaga untuk membesar dan boleh mendapatkannya daripada susu penuh krim, yang juga mengandungi lemak penting.

3 Betul.
Jus buah-buahan memang berkhasiat, tetapi bukan satu kemestian dalam diet anak anda dan tidak boleh menggantikan buah-buahan segar. Apabila memberi jus buah-buahan, hadkan jumlahnya kerana terlalu banyak boleh mengakibatkan pengambilan kalori berlebihan dan lebihan berat badan. Berikanlah anak anda jus segar (tanpa ditambah gula) kerana jus yang dibeli dari kedai biasanya ditambah gula dan bahan aditif lain.

4 Salah.
Perut si manja kecil dan hanya boleh makan sedikit. Snek sihat, jika dimakan bersama minuman berkhasiat seperti susu, jus buah-buahan atau susu kacang soya, boleh menambah pengambilan nutrien anak anda. Waktu makan snek sangat penting. Ini kerana pengambilan snek terlalu hampir waktu makan boleh menjejaskan selera anak anda. Sebagai panduan, berikan snek sekurang-kurangnya 1½ jam atau lebih sebelum waktu makan utama.

5 Salah.
Memberi makanan kegemarannya boleh menarik si manja untuk makan, tetapi dengan cara ini anda tidak dapat mempelbagaikan dietnya (lebihlebih lagi jika dia hanya suka makan biskut!). Sebagai panduan, beri anak anda pelbagai makanan yang seimbang bersama dengan makanan kegemarannya setiap kali tiba waktu makan.

6 Betul.
Tetapi ingatlah… ‘cukup’ bagi anda mungkin terlalu banyak untuk perut si manja yang kecil. Anda perlu bersikap realistik dan memberikan pelbagai jenis makanan pada waktu makan dan untuk snek. Anda boleh memantau berat badan si manja pada selang waktu yang tetap. Selagi si manja membesar, anda tidak perlu terlalu risau.

7 Salah.
Setiap kanak-kanak membesar pada kadar yang berlainan. Anda tidak perlu bimbang selagi anak anda aktif, membesar dan berat badannya bertambah. Tetapi jika berat badannya turun dan nampak pucat dan lesu, bawalah dia berjumpa doktor.

8 Salah.
Diet yang seimbang setiap hari dapat membekalkan vitamin dan mineral dalam kombinasi dan jumlah yang sewajarnya. Oleh itu, anda tidak perlu memberikan suplemen melainkan jika disyorkan oleh pakar pemakanan, pakar diet atau doktor perubatan.

Memberi Makan Anak Yang Sakit

Jatuh sakit adalah lazim di zaman kanak-kanak. Menyediakan makanan
yang berkhasiat boleh membantu anak anda sembuh sepenuhnya.

Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

 

Memberi makan kepada kanak-kanak bukanlah mudah. Ia bertambah sukar apabila kanak-kanak sakit perut, selsema atau demam. Anak anda akan berasa tidak selesa, sengsara dan cepat marah, dan dia akan hilang selera makannya. Walaupun makanan berkhasiat dapat menyembuhnya dengan cepat, jangan dipaksa untuk makan. Tidak mengapa sekiranya dia makan kurang daripada kebiasaan. Yang pentingnya pastikan anak anda mendapat cecair secukupnya dan makan makanan yang ringan setiap hari.

Minum
Cecair amat diperlukan ketika sakit. Lebih-lebih lagi jika anak anda mengalami cirit-birit atau muntah-muntah kerana ini boleh menyebabkannya dehidrasi dan kehilangan garam yang penting dari badan.

 
Anda boleh tahu sekiranya kekurangan cecair apabila dia tidak membuang air kecil lebih dari 6 jam, bibirnya kering dan dia keletihan. Untuk mengelak daripada berlaku dehidrasi, berikannya:
  • Air masak atau air kosong
  • Jus buah -buahan (yang dicairkan)
  • Air glukosa atau madu
  • Air barli
  • Sup jernih
  • Cecair dalam bentuk larutan garam rehidrasi (ORS), yang disediakan mengikut arahan.
 

Pastikan anak anda minum sekurang-kurangnya 1.5 liter cecair sehari. Anda boleh membenarkannya minum menggunakan straw – si kecil akan berasa seronok. Ini juga dapat mengelak tumpahan dan mengurangkan masa anda untuk membersihnya.

Apabila anak anda semakin sihat dan tidak lagi muntahmuntah atau cirit-birit, anda boleh memberikannya makanan berbentuk cecair yang berkhasiat seperti sup atau bubur.

Makan
Kanak-kanak cuba mengelak makanan yang tidak disukainya semasa sihat, apatah lagi ketika sakit! Berikan anak anda makanan kebiasaan yang disukainya ketika sakit. Jangan cuba memperkenalkan makanan baru sewaktu anak sakit. Hidangkan makanan berkhasiat dalam jumlah yang sedikit dan mudah dimakan. Pilih makanan yang mudah ditelan seperti berikut:

 
  • Roti
  • Biskut
  • Bijirin sarapan pagi
  • Telur
  • Mi sup
  • Bubur
 
WAKTU PENYEMBUHAN

Anak anda adalah orang yang terbaik untuk memberitahu anda samada dia sudah bersedia untuk makan makanan pejal. Kurang selera makan bermaksud dia masih belum bersedia, jadi jangan memaksanya. Selera makannya akan bertambah baik apabila dia mula sembuh. Pada waktu itu, berikan anak anda makanan yang berkhasiat untuk membantunya mendapat semula tenaga dan mempercepatkan masa untuk sembuh sepenuhnya.

Elakkan makanan yang bergoreng dan berminyak kerana ia sukar untuk dihadam. Pilih makanan atau minuman berasaskan susu seperti kastard, aiskrim atau susu kocak. Anda juga boleh menghidangkan sup, mi atau bubur berserta sedikit daging, sayur-sayuran atau ikan sebagai khasiat tambahan untuk anak anda. Anda boleh memberikannya supplemen multivitamin dan mineral sekiranya dia tidak mahu makan selama beberapa hari, tetapi dapatkan nasihat dari doktor anda terlebih dahulu.

 

Makanan Pertama, Rasa Pertama

Pada usia 6 bulan, anak anda sudah bersedia untuk makanan
pejal. Artikel ini menunjukkan bagaimana anda boleh memulakannya
di samping meneruskan penyusunan susu ibu.

- Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan


Makan merupakan pengalaman baru untuk bayi berusia 6 bulan. Oleh kerana sudah biasa dengan susu dan gerakan lidah yang khusus untuk menyusu, secara semulajadinya lidah bayi anda akan menolak keluar sebarang makanan yang disuap ke dalam mulutnya. Menyuap makanan pejal dari sudu dan menelannya adalah kemahiran yang perlu dipelajari secara perlahan-lahan. Bayi anda perlu menguasai kemahiran ini mulai usia 6 bulan kerana pada usia ini, susu ibu sahaja sudah tidak memadai untuk memenuhi keperluan pemakanannya yang meningkat.

Artikel ini memberikan panduan langkah demi langkah bagaimana anda boleh memberikan bayi anda makanan pejal buat kali pertama. Mulakan dengan makanan separuh pejal seperti puri, dan diikuti dengan makanan yang semakin pejal pada bulanbulan berikutnya.

 

Berikannya makanan pejal pada waktu pagi atau tengah hari dan tingkatkan kekerapan secara berperingkat. Ingat jangan paksa bayi anda makan. Biarkannya belajar dengan caranya sendiri:

  1. Sediakan makanan bayi, tuala kecil dan cawan di tempat yang mudah diambilnya. Buat kesemua persediaan sebelum anda mula memberi makan kepada bayi.

  2. Bersembang dengan bayi anda tentang apa yang akan dialaminya. Malah, apabila bayi sudah biasa dengan rutin tersebut, dia pasti menantikan waktu makan apabila mendengar anda seringkali mengulangi perkara yang berkaitan dengan makan dan makanan.

  3. Mulakan waktu makan dengan menyediakan beberapa sudu penuh makanan pejal sahaja. Oleh kerana baru belajar, bayi hanya akan makan sedikit makanan pejal sahaja. Sekiranya bayi lapar, anda boleh menambah dengan memberikannya susu ibu. Bagaimanapun, jangan berikan susu ibu sebelum makanan pejal kerana bayi akan rasa kenyang dan tidak berminat untuk mencuba makanan baru.

  4. Ambil sedikit makanan dan letakkan di bibir bayi anda supaya dia boleh merasanya. Reaksi pertamanya terhadap makanan pejal mungkin kombinasi terkejut dan tidak mahu. Elakkan dari menyuap masuk sudu ke dalam mulutnya, kerana bayi anda baru belajar makan. Selepas beberapa percubaan, bayi anda akan mula menikmati proses memakan dan akan mula membuka mulutnya dengan luas ketika diberi makan.

  5. Bayi anda sedang membiasakan diri dengan makanan pejal dan tidak boleh makan begitu banyak. Selepas memberi satu atau dua sudu makanan, sambung dengan penyusuan susu ibu. Anda boleh meningkatkan jumlah makanan pejal selepas bayi biasa dengannya.

 

MEMBERI MAKAN KEPADA KANAK-KANAK CEREWET

Setiap bayi adalah berbeza dan sesetengah ibubapa mungkin mendapati tugas memperkenalkan makanan pejal kepada bayi adalah suatu yang sukar dan sesetengahnya pula mendapati ianya agak mudah. Sekiranya bayi anda menolak makanan yang diperkenalkan, di sini ada beberapa cara yang boleh anda lakukan:

  • Bayi anda sedang mempelajari rasa baru, jadi bersabarlah dan berikannya masa untuk membiasakan diri. Tambahan pula, dia hanya biasa dengan susu ibu, jadi janganlah risau sekiranya dia enggan makan makanan pejal. Jangan putus asa. Terus mencuba.

  • Sentiasa perkenalkan satu makanan baru sahaja pada sesuatu masa. Berikan makanan yang sama untuk selang masa 4 hari sebelum memperkenalkan makanan baru. Ini akan memberikan masa untuk bayi menyesuaikan diri dan anda akan dapat mengenali tindak balas alergi sekiranya ia berlaku.

  • Jangan cuba untuk mencampur adukkan makanan yang disukai dengan yang tidak disukainya. Ini mungkin menyebabkan bayi tidak suka kedua-duanya.

  • Berikannya pelbagai jenis makanan. Lebih banyak variasi, lebih baik keperluan pemakanan dapat dipenuhi. Sekiranya dia tidak suka sesuatu makanan, cuba masak dengan cara berbeza. Dengan itu, dia tidak kekurangan khasiat yang terdapat dalam makanan tertentu. Sebagai contoh, sediakan makanan dalam bentuk sup berbanding dalam bentuk puri.

Suapkan Saya, Mak!

Adalah penting untuk mengamalkan cara yang betul apabila memberi
anak makanan pelengkap untuk memastikan tahap pemakanannya


Anda cuba menenangkan si manja dengan patung kegemarannya, tetapi dia asyik cuba menggigit barang mainan itu. Adakah si manja lapar lagi? Dia baru sahaja diberi susu ibu.

Ada kemungkinan bayi lapar lagi, kerana pada umur enam bulan, susu ibu sahaja tidak mencukupi untuknya. Bayi anda sudah bersedia untuk makanan pelengkap, iaitu makanan pejal dan separa pejal yang diberi bersama dengan susu ibu semasa peringkat cerai susu.

 

Mula berikan makanan pelengkap kepada si manja apabila dia mencecah umur 4-6 bulan. Makanan ini akan membekalkan anak anda tenaga dan nutrien untuk membesar dan berkembang.

Makanan pelengkap yang diperkenalkan pada peringkat ini memberi kesan ke atas tabiat makan si manja apabila dia membesar. Bayi harus diberi pelbagai jenis makanan supaya dapat menikmati bermacam-macam rasa sedap.

Ikuti garis panduan berikut apabila menyediakan dan memberi makanan pelengkap kepada bayi:

  • Perkenalkan makanan baru satu demi satu dan dalam kuantiti kecil (sebanyak satu atau dua sudu sahaja).
  • Jangan tambah garam, gula atau minyak kepada makanan.
  • Jangan paksa anak untuk menerima makanan yang baru; cuba memberinya sekali lagi kemudian.
  • Tunggu 3-5 hari sebelum cuba memperkenalkan satu lagi makanan yang baru. Ini boleh membantu anda mengenalpasti sebarang alahan yang mungkin timbul.
  • Sementary memperkenalkan jenis makanan yang baru, terus mmberikan makanan-makanan yang telah diperkenalkan dahulu.
  • Dari umur 6-8 bulan, mula memberi kombinasi beberapa jenis makanan.
  • Secra beransur-ansur, tingkatkan jumlah makanan yang diberi apabila bayi lebih besar.
  • Jadikan daging, ayam-itik, ikan atau telur sebahagian daripada diet bayi setiap hari, atau sekerap mungkin.
  • Suap bayi dengan perlahan dan sabar; jangan memaksa bayi makan.
  • Beri makanan yang sesuai dengan umur bayi. Jangan beri kacang atau bijian yang boleh menyebabkan bayi tercekik.
  • Berbual dan berpandangan dengan bayi semasa menyuapnya.
  • Terus memberi susu ibu dan campurkannya dengan makanan lain sekiranya sesuai.

Jika si manja anda dijagai oleh pembantu rumah, pengasuh, ibubapa atau mertua anda, mereka juga
harus diberitahu tentang garis panduan ini.

MAKANAN PERTAMA

Bubur, bubur dan bubur! Adakah anda sudah penat memikirkan apa untuk disediakan bagi bayi? Gunakan senarai di bawah sebagai panduan:

  • Mencecah 6 bulan: Beri si manja rasa sedikit selepas susu ibu
-
Bijirin sedia-makan yang telah diperkayakan dengan zat besi
-
Bubur nasi, oat atau barli
-
Buah-buahan lecek seperti pisang, betik, epal, pear (berikan satu demi satu)
-

Jus buah (cair) yang sudah ditapis (pastikan anda memberi jus satu jenis buah sahaja setiap kali; jangan campur dengan jus buah lain)

  • 6-8 bulan: Beri 2-3 kali sehari
-
Bubur nasi dengan sayur lecek, tauhu, ikan bilis yang dikisar halus atau kuning telur yang telah dilecek
-
Buah-buahan yang dilecek atau dicincang halus
-
Sayur, seperti lobak, kacang pis, tomato dan sayuran berdaun hijau, yang lembut atau dilecek
-
Hati, daging ayam atau ikan yang dicincang atau dilecek (berikan satu jenis makanan sahaja pada satu masa; jangan campur dengan jenis yang lain; dan jangan lupa berhati-hati dengan tulang ikan!)

  • 8-12 bulan: Beri 3-4 kali sehari sebelum memberi susu ibu
-
Buah-buahan lembut yang dipotong menjadi kepingan kecil
-
Jus buah yang sudah ditapis
-
Sayur yang dicincang, termasuk sayur berdaun hijau
-
Bubur nasi dengan daging dan ikan yang dicincang lumat atau halus

  • 12 bulan ke atas: Beri 1-2 kali, dengan snek berkhasiat
-
Nasi yang dimasak hingga lembut atau dilecek; dan mi yang dipotong menjadi kepingan-kepingan kecil (termasuk koay teow, mihun dan mi).
-
Bijirin gandum dan roti lembut (pastikan bayi tiada alahan)
-
Putih telur yang dimasak (pastikan bayi tiada alahan)
-
Buah-buahan lembut yang dipotong menjadi kepingan kecil
-
Jus buah yang sudah ditapis
-
Sayur yang dicincang, termasuk sayur berdaun hijau

  • Apabila si manja sakit
-
Beri susu ibu lebih kerap
-
Beri makanan kegemaran bayi yang sedap dan dimasak lembut
-
Galakkan bayi untuk makan lebih banyak sehingga berat badannya kembali seperti biasa

BOLEHKAH SAYA MEMBERI MAKANAN KOMERSIL?

Jika anda bekerja, sibuk dengan tugas di rumah atau terpaksa pergi ke tempat jauh, makanan bayi komersil merupakan alternatif yang mudah.

Makanan komersil yang paling biasa ialah bijirin sedia-makan, seperti bijirin nasi, oat atau barli, serta bijirin semua-dalam-satu yang mengandungi sayur atau buahbuahan. Anda juga boleh membeli
buah dan sayur-sayuran yang sedia dipuri, dan jus buah komersil.

Periksa label pada bungkusan untuk memastikan ia tidak mengandungi bahan tambahan, perisa dan
pewarna tiruan, atau garam dan gula tambahan. Apabila membeli jus buah, pilih jus 100% yang tidak dicampur gula.

Walaupun senang disediakan, makanan komersil kurang kepelbagaian dan tidak akan memperkenalkan si manja kepada rasa tempatan yang sedap. Teruskan memberi bayi makanan pelengkap yang dimasak sendiri, sekerap mungkin. Bukankah kata orang, masakan ibu terbaik sekali?

Boleh Saya Dapatkan Menu Bayi Sekarang?

Memperkenalkan bayi makanan pelengkap

Oleh Prof Madya Dr Norimah A Karim, Pakar Pemakanan


Pada masa kini, proses mula memberi makanan pejal kepada si bayi lebih dikenali sebagai ‘makanan pelengkap’, di sebalik ‘menceraikan’ bayi daripada susu, sebab ibu masih digalakkan untuk meneruskan penyusuan susu ibu sehingga berumur 2 tahun selepas bayi diberi makan makanan pelengkap. Ini memudahkan bayi mengharungi masa peralihan dan mendapat kebaikan daripada susu ibu dengan lebih lama.

Tiada siapa yang boleh menetapkan masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan makanan pelengkap kepada bayi. Setiap bayi adalah unik.

 

Sesetengah bayi telah bersedia untuk menerima makanan pelengkap sebelum berusia empat bulan; dan ada juga yang perlu ditangguhkan dua bulan lagi iaitu ketika berusia enam bulan. Walau bagaimanapun, makanan pelengkap adalah baik jika mula diberi apabila bayi mencecah usia 6 bulan. Penangguhan hanya akan menyebabkan bayi sukar untuk menyesuaikan diri dengan makanan baru. Tambahan pula, sewaktu bayi membesar, keperluan pemakanannya akan meningkat dan susu ibu tidak mampu memenuhi keperluan ini.

Jika bayi anda menangis selepas diberi susu beberapa kali, ini mungkin menunjukkan dia masih lapar. Antara tanda lain yang menunjukkan bayi sudah bersedia untuk diberi makanan pelengkap adalah:

  • Bayi boleh menyokong kepalanya
  • Bayi boleh duduk, dengan sokongan tangan anda atau belakang kerusi.
  • Bayi melakukan pergerakan mengunyah sewaktu makanan tiada dalam mulutnya.
  • Bayi gemar memasukkan tangan dan permainan ke mulutnya
  • Bayi kerap diberi makan namun beratnya masih belum bertambah, atau kadar pertambahan
    beratnya semakin berkurangan

Makanan Pertama Bayi

Di Malaysia, bubur nasi merupakan ‘makanan permulaan’ bayi. Ia adalah pilihan yang baik untuk memulakan makanan pelengkap, kerana nasi jarang sekali menyebabkan alergi atau alahan berbanding dengan bijirin seperti gandum. Anda boleh mula memperkenalkan buah-buahan dan sayursayuran dengan memberinya dalam bentuk puri. Dengan cara ini, bayi anda akan mengenali rasa yang berbeza dan membiasakan dirinya memakan pelbagai jenis makanan. Adalah sangat baik sekiranya anda membiasakan bayi anda kepada sayur-sayuran sebelum memperkenalkan buahbuahan kepadanya. Ini adalah kerana bayi mungkin menolak sayur-sayuran kerana rasanya yang kurang enak berbanding dengan rasa buah yang manis secara semulajadi.

Makanan yang boleh dicuba. Bubur nasi dan barli; kacang dan kekacang; ubi kentang; buah-buahan segar; sayur-sayuran segar.


Cara menyediakan makanan puri:

1.
Potong buah-buahan atau sayur-sayuran dalam bentuk dadu.
 

2.
Kukus buah-buahan atau sayur-sayuran hingga lembut (langkah ini boleh ditinggalkan sekiranya menggunakan buah-buahan yang lembut seperti pisang atau betik).

3.
Gunakan pengisar makanan, pelecek atau parut untuk menghancurkan makanan.
 
4.
Tambahkan air atau susu ibu untuk mencairkannya.


Apabila anda mula memperkenalkan makanan pelengkap kepada bayi, berilah dalam jumlah yang sedikit sahaja kerana ini adalah mencukupi baginya. Pada peringkat awal tujuan memberi bayi makan adalah untuk membiasakan bayi kepada cara makan yang baru, maka anda tidak perlu menyediakan makanan dalam jumlah yang banyak.

Mulakan dengan memberi bayi susu ibu dan sebelum bayi terlalu kenyang, sendawakan bayi, dan kemudian dudukkan dia. Letakkan sedikit makanan di hujung sudu plastik yang bersih dan halakan kepada bibir bayi. Biarkan bayi menghisapnya. Jika bayi dapat membawa makanan ke bahagian belakang mulut dan seterusnya menelan, teruskan dengan memberikan dua atau tiga sudu lagi makanan tersebut.

Anda boleh cuba memberi bayi cecair seperti sup sayur yang telah ditapis bersama air barli. Jika anda ingin memberi bayi anda jus buahbuahan, cubalah sediakan jus dan gunakan penapis untuk membuang hampas buah. Sama ada anda memberinya dalam bentuk jus atau sup, jangan sesekali menambah gula atau garam. Biarkan bayi menggemari keaslian rasa makanan tersebut.

  Perangkap Madu

Menurut cerita orang tua, pemberian madu yang telah dicairkan boleh menjadikan bayi berperwatakan “manis”. Namun begitu ia juga akan mendedahkan bayi kepada risiko kesihatan. Pertama, dengan menambah manisan kepada makanan, bukan sahaja ia tidak sesuai, malah ia juga menggalakkan penyakit gusi dan gigi (sewaktu gigi mula tumbuh).Yang kedua, madu kadang kala mengandungi spora daripada kuman yang boleh menganggu saluran penghadaman. Yang ketiga, dengan menambahkan manisan pada makanan, ini akan menyebabkan bayi suka kepada makanan manis dan boleh mengakibatkan pemakanan yang kurang baik, kerosakan pada gusi dan gigi serta obesiti di masa hadapan.


Keselamatan Makanan Bayi


Mungkin bayi anda telah biasa dengan makanan pejal dengan baik, namun dia tidak bersedia lagi untuk makan di gerai. Untuk melindungi sistem bayi yang sensitif, pastikan makanan yang diberikan kepadanya adalah bersih, berkhasiat dan disediakan dengan cara yang betul.

  • Basuh beras, buah-buahan dan sayur-sayuran dengan bersih semasa penyediaan. Ini adalah penting terutamanya jika makanan ini diberi secara mentah.
  • Jangan beri bayi daging, ikan, makanan laut atau telur yang mentah atau separuh masak.
  • Asingkan mangkuk dan sudu khas untuk bayi anda. Dengan ini, makanan bayi tidak akan dicemari oleh makanan ahli keluarga yang lain
  • Beri bayi makanan dalam bentuk cecair sehingga usianya enam bulan. Ketulan makanan, walaupun kecil tetap boleh menyebabkan bayi tercekik atau rasa tersekat.
  • Jangan beri bayi makanan yang telah terkena mulut anda. Jika makanan itu terlalu panas, biarkan ia sejuk dengan sendirinya, jangan meniup makanan tersebut dan jangan masukkan makanan ke dalam mulut anda untuk menyejukkannya!
  • Elakkan daripada memberi bayi makanan yang terproses. Jika anda pergi bercuti dan perlu membawa makanan komersial, pastikan ia mengandungi 100% bahan asli dan tidak mengandungi gula atau garam.
  • Jika anda memberi bayi makanan komersial daripada bekasnya, buang makanan yang tidak habis dimakan. Makanan ini mungkin telah dicemari sejurus terkena sudu.
  • Jangan beri bayi telur sebelum usianya mencecah enam bulan, dan pada mulanya, hanya memberi kuning telur yang dimasak rebus dan dihancurkan.
  • Walaupun sayur-sayuran adalah baik, sesetengah sayuran adalah tidak sesuai untuk bayi sebelum berusia setahun. Ini termasuk bayam, lobak, ubi bit dan buah-buahan masam seperti nanas dan limau masam.

Permulaan Makanan

Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan


Memperkenalkan makanan baru kepada bayi selain daripada susu ibu boleh menjadi sesuatu yang sukar. Terlebih dahulu, pastikan anda tahu apa yang perlu dilakukan:


Peralatan Bayi (sudah pasti anda tahu!)


 

 

Penghancur

 

Alas Dada

 
Sudu dan garpu plastik yang tidak
bertoksik, saiz kanak-kanak

 

Mangkuk
Lebih selamat jika menggunakan perkakas yang sukar pecah dan tidak toksik untuk bayi. Anda
perlukan mangkuk cetek tepi yang miring.
 
Penapis
Sekali lagi, asingkan satu set hanya untuk menyediakan makanan bayi kerana mungkin
tertinggal perasa makanan lain pada penapis tersebut.


 



Mesin Kisar
Jika anda mampu, dapatkan mesin kisar yang baru atau asingkan satu set hanya untuk menyediakan makanan bayi. Makanan mudah melekat pada mata pisau mesin pengisar walaupun anda telah membasuhnya dengan teliti, dan anda tidak mahu makanan bayi anda
bercampur dengan cili yang telah anda kisar untuk membuat sambal minggu lepas!
 

Kerusi Tinggi
Mana-mana kerusi boleh digunakan, tetapi kerusi yang tinggi dapat meletakkan bayi pada ketinggian yang selesa ketika anda menyuapkan bayi anda, serta bayi anda tidak
boleh memanjat atau jatuh dengan mudah.

Lapik plastik dan surat khabar lama

Susun perkakasan ini di atas lantai mengelilingi kerusi bayi anda. Jika anda fikir ia tidak perlu, anda tentu tidak pernah membiar bayi menyuap sendiri.



Perbendaharaan Kata

Bagaimanakah anda dapat tahu kaedah yang perlu digunakan untuk menyediakan makanan bayi? Di sini terdapat senarai kaedahkaedah penyediaan serta bahan-bahan makanan yang bersesuaian.




Kaedah
 

Apakah ini?
 

Makanan permulaan yang disarankan


Merebus
 

 


  Memanaskan cecair (biasanya air) dengan makanan yang pejal di dalamnya
  • Merebus sayur-sayuran (contohnya lobak, bayam, seleri) untuk menyediakan air rebusan sayur yang kemudian akan ditambah ke dalam bubur nasi
  • Tidak digalakkan untuk sayur-sayuran yang hendak dimakan, memandangkan ada khasiat yang sudah larut di dalam rebusan

Mengukus
 

 


  Memanaskan bekas yang bertingkat, di mana bahagian bawah mengandungi air
  • Buah-buahan dan sayur-sayuran yang lebih keras, contohnya labu dan epal

 



Melenyek
 

 


  “Menghancurkan” makanan yang lembut menggunakan garpu atau penghancur sehingga menjadi pes yang lembut
  • Pisang, labu, ubi kentang atau ubi keledek, kacang, lobak, bunga kubis yang dikukus

Jika teksturnya terlalu padat pada permulaan, tambahkan sedikit perahan susu ibu apabila anda menghancurkan makanan itu.


Menyediakan puri
 

 


  Mengguna mesin pengisar untuk mengisar makanan menjadi pes lembut yang berair
  • Epal, labu, kubis bunga yang dikukus

Tambahkan air panas atau perahan susu ibu untuk menjadikan tekstur lebih berair.



Menyediakan jus
 

 


  Mengeluarkan jus dari buah-buahan dan sayur-sayuran dengan mengisar bersama air, kemudian menapis keluar serat dan hanya meninggalkan cecai
  • Oren, epal, tembikai





Perkenalkan Bayi dengan Hasil Alam

Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan
Buah-buahan dan sayur-sayuran penuh dengan nutrien,
warna, rasa dan tekstur. Di sini kami tunjukkan bagaimana
menjadikannya salah satu bahagian penting di peringkat
penyediaan makanan tambahan untuk bayi.

 

Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran boleh menukar hidangan biasa kepada hidangan yang hebat dengan kepelbagaian warna dan teksturnya. Ia juga padat dengan vitamin dan mineral yang bayi perlukan terutamanya apabila menjelang usia 6 bulan. Kini bayi memerlukan nutrien tambahan selain daripada apa yang diperolehinya daripada susu ibu.

Makanan tambahan yang merangkumi pelbagai jenis buahbuahan dan sayur-sayuran akan membantu perkembangan rasa si bayi bermula dari peringkat awal lagi.

 

Jika boleh, guna pelbagai jenis buah dan sayuran yang segar. Mula dengan kuantiti yang sedikit dan perkenalkan satu jenis sahaja dalam sesuatu masa. Berikan buah atau sayuran yang sama selama 3 hingga 5 hari supaya si bayi dapat menyesuaikan diri dengan rasa baru sebelum memperkenalkan rasa yang lain. Pada masa ini juga anda boleh mengetahui toleransi si bayi terhadap makanan tersebut di samping mengenalpasti sebarang alahan sekiranya berlaku.

 

 

Buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan sebahagian daripada diet sihat yang merangkumi kesemua kumpulan makanan. Untuk membantu si bayi memupuk amalan makanan sihat dan seimbang serta membiasakan diri kepada pelbagai jenis rasa makanan, anda perlu memberi penekanan kepada pelbagai makanan dari setiap kumpulan secara seimbang. Kesemuanya dapat membekalkan pelbagai jenis vitamin dan nutrien dalam jumlah yang berlainan. Anda tidak boleh hidangkan sejenis makanan sahaja tanpa yang lain.

 

Petua Penyediaan Buah dan Sayuran
  1. Elakkan membeli buahan atau sayuran yang telah lebam dan berkedut.

  2. Gunakan sayuran dan buah sebaik sahaja selepas dibeli.

  3. Buang segala kesan racun serangga atau bahan kimia lain dengan membasuh buah sebersihnya, lebih-lebih lagi buah yang kulitnya hendak dimakan.

  4. Potong buah dan sayuran hanya apabila anda ingin memakannya. Jika buah dipotong dan disimpan untuk masa yang lama, ia boleh kehilangan vitamin.

  5. Jangan rendam sayuran yang telah dipotong di dalam air kerana ia akan kehilangan vitamin.

  6. Stimkan sayuran dan buah menggunakan pengukus supaya anda dapat mengekalkan vitamin yang biasanya hilang jika dimasak cara biasa.

  7. Masak buah dan sayuran yang berkulit lembut bersama kulitnya sekali. Ini akan mengekalkan vitamin dan membekalkan serat.

 

 

Pengembaraan Makan Bayi Anda

Untuk menggalakkan tabiat makan yang baik, jadikan waktu
makan suatu pengalaman yang ceria dan seronok untuk bayi anda.


Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

Bagi ibu bapa, makanan pelengkap adalah untuk memastikan bayi mendapat pemakanan yang cukup supaya dapat membesar dengan baik. Untuk bayi anda, ia merupakan suatu pengembaraan yang menarik untuk mencuba rasa, tekstur dan bau yangbaru (apatah lagi melihat tindakbalas ibubapa yang mengagumkan apabila dia mencampak makanan ke lantai!). Teruskan usaha anda untuk memperkenalkan pelbagai jenis makanan yang seimbang bagi bayi anda supaya bayi bersedia untuk makan bersama ahli keluarga di meja makan kelak:
1.

Kotoran dan tekanan
Anda harus realistik – jangan harapkan bayi anda makan tanpa bersepah. Tambahan pula, kemahiran motor dan kemahiran mengunyah masih belum berkembang
sepenuhnya. Lapiklah lantai dengan surat khabar atau cadar lama. Cadar itu boleh
dicuci dan digunakan semula pada waktu makan yang lain.

2.

Sudu dan jari
Galakkan bayi anda makan dengan sudu. Walau agaimanapun, jika bayi tidak berminat, biarkan dia makan dengan jari. Tidak mengapa jika bayi anda ingin mengambil makanan dengan jari asalkan jarinya bersih. Anda juga boleh memberikan makanan yang mudah dipegang dengan jari apabila bayi berumur 8 bulan ke atas sebagai tambahan kepada sajian buburnya.




3.

Pinggan, mangkuk dan sudu yang berwarna-warni
Sudu plastik yang tidak mudah pecah dan berwarna-warni
lebih menarik di mata bayi anda. Jadi gunakanlah mangkuk,
pinggan, sudu dan cawan yang menarik dan khusus untuk
kanak-kanak supaya waktu makan bayi anda lebih menarik.

 



4.

Hidangkan makanan secara kreatif
Makanan yang sama boleh membosankan bayi anda. Sediakan makanan dalam gaya yang berbeza-beza: anda boleh emotong
roti, buah-buahan atau sayur-sayuran dalam bentuk dan saiz yang berbeza-beza, atau menyediakan buah-buahan dalam bentuk jus.




5.

Kerusi tinggi
Gunakan kerusi bayi dengan rim di sekeliling dulang agar makanan tidak
jatuh ke lantai. Ia juga harus mempunyai tali pengikat atau palang untuk
mengelakkan bayi daripada tergelincir jatuh.


6.

Bertenang sepanjang masa
Jika bayi tidak suka makanannya, jangan bimbang dan jangan
memaksanya. Bayi akan mengambil masa untuk belajar makan, jadi cubalah bersabar. Jangan harapkan bayi anda
boleh makan seperti kanak-kanak yang besar.


 

SEMUA ATAS LANTAI, TIADA DALAM PERUT
Anda mungkin tertanya-tanya adakah bayi anda mendapat makanan yang mencukupi sedangkan kebanyakan makanan bersepah di atas lantai. Sebenarnya, anda tidak perlu risau jika bayi anda masih menyusu badan kerana susu ibu dapat membekalkan kebanyakan khasiat yang diperlukan oleh bayi. Walau bagaimanapun, anda mesti cuba memastikan bayi anda makan makanan yang disediakan – sambil bayi menyuap diri sendiri, anda juga boleh menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.

Ada Pertanyaan Berhubung Makanan Pelengkap?

Prof Madya Dr Poh Bee Koon, pakar pemakanan dan
Penyunting Pemakanan Positive Parenting, akan menjawab persoalan
anda berkaitan makanan pelengkap.

 

“Mengapakah makanan bayi tidak wajar ditambah garam? Pada umur berapakah seorang bayi boleh makan makanan yang ditambah garam? Adakah garam boleh membantutkan tumbesaran bayi atau membawa kesan sampingan lain?””

PM Dr Poh: Buah pinggang bayi belum cukup matang untuk memproses garam yang berlebihan daripada makanan.

 

Pengambilan garam yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dalam jangka masa panjang. Garam merupakan nutrien penting yang diperlukan oleh badan dan ia boleh didapati dalam kuantiti yang mencukupi di dalam susu ibu, nasi dan kebanyakan makanan bayi. Oleh itu, jangan tambah garam, kicap atau bahan perisa buatan ke dalam makanan bayi.


Kanak-kanak yang berumur 1 tahun ke atas boleh mengambil makanan yang ditambah garam, tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Cuba kurangkan garam dalam makanan anak-anak (dan ahli keluarga yang lain) secara beransur-ansur. Lamakelamaan, anda akan mendapati semua makanan anda sudah cukup rasa tanpa perlu menambah garam. Jika tidak, gunakan perisa semulajadi seperti jus limau, herba dan rempah ratus.

 

“Bayi saya yang berumur tujuh bulan mula minum susu formula semenjak umurnya 2 bulan. Sekarang, saya memberinya bijirin bayi selain susu formula. Akan tetapi, berat badannya hanya 6.5 kg, agak rendah untuk usianya. Sila bantu saya.”

PM Dr Poh: Berat badan bayi meningkat dua kali ganda daripada berat lahir apabila umurnya mencecah 5 bulan. Jika berat anak anda adalah 2.5 kg ketika dilahirkan, 6.5 kg adalah berat yang normal ketika dia mencapai umur 7 bulan. Setiap bayi mengalami kadar pertumbuhan yang berbeza dan jika tubuhnya agak kecil, ini bukanlah bermakna dia tidak sihat. Dapatkan nasihat pakar pediatrik anda mengenai kadar pertumbuhan anak anda.

Dari usia 6 bulan, bayi perlu diberi makanan lain selain susu ibu atau formula. Mulakan dengan bijirin bayi berasaskan beras dan buahbuahan, atau puri sayuran. Pada umur 7 bulan, bayi boleh disuapkan bubur nasi yang dicampur sayuran seperti lobak merah atau bayam yang dicincang halus. Pada usia 8 bulan, makanan bayi boleh ditambah cebisan ikan yang telah dibuang tulangnya. Untuk maklumat lanjut, anda boleh dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan, pakar diet atau pakar pediatrik.

 

“Bayi saya kini berumur 9 bulan dan hanya menyusu susu ibu. Sekarang saya memperkenalkan makanan pejal namun dia enggan makan. Dia hanya mahu menyusu badan. Adakah ini perkara biasa? Adakah dia mendapat nutrien secukupnya dari susu ibu, memandangkan umurnya hampir mencecah 1 tahun?"

PM Dr Poh: Susu ibu sahaja tidak dapat memenuhi keperluan nutrien yang diperlukan oleh bayi yang berumur 9 bulan. Dia perlu diberi makanan pelengkap bermula dari umur 6 bulan lagi.

Berikan bayi anda semangkuk makanan dan biar dia menyuap sendiri. Pada masa yang sama, gunakan sudu untuk menyuapnya. Berikan makanan yang lebih pejal selain daripada bubur, bijirin dan sayuran lecek. Pastikan makanan mudah digigit, dikunyah dan ditelan. Berikan makanan yang boleh dipegang dengan jari seperti ikan tanpa tulang, nuget ayam (tanpa perasa, garam dan bahan pengawet tambahan) dan buah-buahan lembut atau sayuran yang dipotong kecil. Perhatikan bayi ketika dia makan, walaupun dia mampu makan dengan sendiri.

Bayi akan makan sedikit sahaja kerana saiz perutnya yang kecil. Jangan rasa kecewa jika dia berhenti selepas makan dua atau tiga suap. Apabila bayi lapar, berikan makanan terlebih dahulu dan bukannya susu. Asalkan bayi membesar dengan sihat dan aktif, anda tidak perlu bimbang.

Jadikan waktu makan sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan bagi bayi. Apabila bayi berasa seronok ketika waktu makan, dia akan lebih berminat untuk mencuba makanan baru. Jika boleh, teruskan penyusuan susu ibu sehingga bayi anda mencapai umur 2 tahun atau lebih.

Adakah Bayi Anda Mengalami Kekurangan Zat Makanan?

Amalan pemakanan yang tidak sihat boleh menyebabkan bayi anda
kekurangan nutrien yang diperlukannya untuk membesar.

Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

 

Dalam 6 bulan pertama usianya, bayi anda hanya memerlukan susu ibu. Apabila bayi membesar dan menjadi lebih aktif, pemberian susu ibu sahaja tidak lagi mencukupi. Si bayi memerlukan makanan pelengkap untuk memenuhi keperluan pemakanannya selain daripada yang dibekalkan dalam susu ibu. Jika anda gagal berbuat demikian, bayi anda tidak akan mendapat pemakanan yang seimbang. Oleh itu, tanyalah diri anda sama ada anda telah menyediakan makanan pelengkap yang sesuai untuk bayi anda:

  1. Adakah anda mula memberi makanan pelengkap ketika bayi anda berumur 6 bulan?

    Kegagalan untuk memulakan makanan pelengkap ketika anak anda berumur 6 bulan akan menyebabkan bayi anda tidak mendapat tenaga dan nutrien yang mencukupi. Bayi anda mungkin mengalami tumbesaran yang lambat atau berhenti membesar. Risiko untuk mengalami kekurangan pemakanan dan mikronutrien juga akan meningkat.

  2. Adakah anda masih menyusukan bayi anda selepas memperkenalkan makanan pelengkap kepadanya?

    Susu ibu masih merupakan sebahagian yang penting diet bayi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan supaya ibu terus menyusukan bayi di samping memberikan makanan pelengkap sehingga bayi berumur dua tahun atau lebih.

  3. Adakah anda beransuransur meningkatkan jumlah makanan pelengkap untuk bayi anda?

    Berikan makanan pelengkap kepada bayi anda 3 kali sehari ketika bayi berumur 6 hingga 12 bulan, 5 kali sehari ketika bayi berumur 12 hingga 24 bulan. Ini termasuklah snek yang berkhasiat sekali atau dua kali sehari selain daripada susu ibu. Di samping meningkatkan kekerapan pemberian makanan, anda juga perlu meningkatkan jumlah makanan apabila anak anda semakin membesar.

  4. Adakah anda menyediakan makanan yang kaya dengan khasiat untuk bayi pada setiap hari?

    Walaupun bayi anda yang aktif memerlukan tenaga daripada makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, bijirin dan kentang lecek, dia juga memerlukan makanan yang kaya dengan nutrien seperti daging, ayam itik, ikan dan telur; kacang, kacang pis, kacang dal dan produk tenusu; serta buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.

  5. Adakah anda mempelbagaikan makanan yang diberikan kepada bayi anda?

    Apabila bayi anda berumur 6 bulan, perkenalkan makanan baru secara berperingkat (satu jenis pada sesuatu masa, dengan tempoh sekurangkurangnya empat hari sebelum memperkenalkan makanan baru). Ini adalah untuk memberi masa kepada bayi anda membiasakan diri dengan makanan itu dan membantu anda mengenalpasti sebarang tindakbalas alahan. Jenis makanan yang diberikan kepada bayi perlu dipelbagaikan apabila dia semakin membesar. Kepelbagaian jenis makanan akan memastikan bayi anda memenuhi keperluan nutriennya. Jika anak anda tidak suka makanan tertentu, cuba masak makanan tersebut dengan cara lain. Dengan demikian, anak anda tidak akan kekurangan nutrien penting daripada makanan tersebut.

 

GEJALA PETANDA KEKURANGAN ZAT MAKANAN
Adakah berat bayi anda tidak berubah atau semakin menyusut? Adakah bayi anda mudah sakit? Adakah bayi kelihatan pucat, kurang aktif dan kurang responsif terhadap persekitarannya? Jika anda dapat mengesan sebarang petanda ini, sila berjumpa dengan doktor. Beliau boleh mengenalpastrint.gif" onclick="a017()" value="Print this page">
Home About Positive Parenting Experts Corporate Sponsor Secretariat Contact Us

COPYRIGHT © VersaComm SDN BHD, ALL RIGHT RESERVED. Web Design By Big O Solutions.

Terms Of Use   |   Privacy Policy