Banyak peristiwa menggembira dan menyeronokkan, tetapi tidak
kurang juga peristiwa yang menyayat hati. Setiap detik dalam
zaman kanak-kanaknya lebih berharga jika anda melaluinya bersama.
Asuhan positif bukan bermakna memimpin tangannya sepanjang
masa. Dia lebih memerlukan kerjasama anda, bukan kawalan atau
pengawasan yang terlalu ketat. Walaupun anda bertanggungjawab
untuk melindunginya, anda perlu memberi ruang kepada anak anda
untuk ‘mengembangkan sayapnya’ dan menimba pengetahuan
melalui pengalaman sendiri.
PEMAKANAN YANG BETUL
Sejak dilahirkan sebagai bayi yang memerlukan dakapan anda
hingga dia membesar menjadi remaja yang berdikari, anak anda
sentiasa memerlukan pemakanan yang betul dalam setiap peringkat
pembangunannya.
Semasa bayi, berilah dia minum susu badan untuk membolehkannya
mendapat khasiat yang lengkap daripada susu ibu. Apabila dia
membesar, berikan pemakanan seimbang yang membekalkan karbohidrat
kompleks, vitamin, zat galian, serat, protein dan juga lemak
dalam jumlah yang betul supaya badan dan mindanya boleh aktif.
Ragam anak-anak, terutama semasa bayi hingga mencapai usia
pra-sekolah, memang mencabar kesabaran kita. Tabiat makan yang
pelik dan selera yang tidak menentu ada kalanya memeningkan
kepala. Usah terlalu risau memikirkan masalah ini. Anak anda
tidak akan mati kerana kebuluruan. Justeru itu, anda tidak perlu
mengancam dan memaksa. Sebaliknya, anda boleh memberikan galakan
dengan menunjukkan kasih sayang dan kesabaran. Anak anda akan
makan apabila dia lapar atau sudah bersedia. Bagaimanapun, jika
berat badannya turun dan kesihatannya terjejas, bawalah dia
berjumpa doktor.
Sebagai ibu, anda perlu menyediakan makanan yang berkhasiat
dan seimbang untuknya. Pilihan yang baik termasuk makanan yang
lengkap, segar, dan diperkaya atau diperkuatkan. Tetapkan masa
yang sesuai dalam jadual harian anak anda untuk memberikan makananmakanan
ini. Seperti memberinya segelas susu pada waktu pagi, dan segelas
lagi pada waktu petang. Atau, memberikan snek yang diperkayakan
dengan vitamin untuk menambah tenaga, dan buah-buahan segar
selepas makan malam.
Susu adalah sumber khasiat makanan yang baik untuk memberikan
tenaga, protein, vitamin, kalsium dan zat-zat galian lain. Justeru
itu, anak anda patut diberi minum susu sepanjang tahuntahun
pembesarannya yang penting.
Namun, ramai kanak-kanak di Malaysia berhenti minum susu apabila
berusia dua atau tiga tahun. Membiasakan anak-anak minum susu
dengan rumusan mudah hadam pada tahun-tahun formatif ini boleh
membantu memupuk kegemaran minum susu untuk masa yang lebih
lama.
Pengalaman melatih anak-anak mengamalkan pemakanan yang betul
adalah sebahagian daripada keseronokan melihat mereka membesar
dengan riang gembira, sihat, bertenaga dan sentiasa bersedia
untuk menerokai segala kemungkinan dalam kehidupan.
PERLINDUNGAN PENUH KASIH SAYANG
Anak kecil anda sentiasa terdedah kepada pelbagai bahaya, baik
di rumah atau di tempattempat awam. Asuhan positif bermakna
menggunakan kebijaksanaan anda untuk melindunginya dan mengajarnya
untuk menjaga diri dan berdikari.
Bayangkan diri anda sebagai anak kecil. Apakah bahaya yang
mungkin anda hadapi? Cegah bahaya yang boleh menyebabkan anak
anda terjatuh atau tergolek, dilanggar kereta, lemas, keracunan,
melecur dan terbakar, tercekik dan tersekat nafas. Jangan sekali-kali
mendera anak anda, walau apapun sebabnya.
Satu lagi ancaman ialah penyakit. Penyakitpenyakit seperti
hepatitis, batuk kering, polio dan sebagainya tidak mampu ditangkis
oleh sistem pelalian anak anda. Oleh itu, jangan lupa untuk
membawanya ke klinik mengikut jadual untuk mendapatkan suntikan
vaksin yang diperlukan.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa tugas ini bukan mudah,
lebih-lebih lagi untuk memujuk dan menenangkan anak-anak yang
sudah memahami erti suntikan. Pujukan lembut boleh membantunya
mengatasi ketakutan. Tangisan anak adalah masalah sampingan
yang amat kecil berbanding usaha anda untuk melindungi nyawanya.
Penyakit-penyakit biasa seperti batuk, selsema, sakit tekak,
cirit-birit dan sebagainya adalah sebahagian daripada proses
membesar. Walaupun penyakitpenyakit ini tidak merbahaya jika
dibandingkan dengan jangkitan virus dan bakteria lain, ia perlu
diuruskan dengan betul. Penyakit-penyakit biasa ini boleh membantutkan
pembangunan anak-anak dan mengganggu pembelajaran dan kehidupan
sosialnya. Ia juga boleh mendatangkan risiko komplikasi yang
boleh menjadi lebih serius lagi.
Pemakanan yang betul penting untuk menjaga kesihatan anak anda.
Sebagai contoh, vitamin A, C, E dan beta karotena (vitamin-vitamin
yang dipanggil ‘anti-oksidan’) dapat membantu menguatkan
daya pertahanan badan menentang penyakit-penyakit tertentu.
Buah-buahan, sayursayuran dan susu yang diperkuatkan adalah
antara sumber-sumber yang dapat membekalkan keperluan anti-oksidan
anak anda.
Suasana dan persekitaran juga tidak kurang pentingnya sama
ada di rumah, di tadika, atau di tempat lain. Selain daripada
itu, anak-anak perlu diasuh supaya menjaga kebersihan diri (seperti
mencuci tangan) dan mengamalkan tabiat yang baik untuk mencegah
jangkitan (seperti tidak berkongsi pinggan makanan, cawan dan
sudu garpu) di luar rumah.
BELAJAR DAN BERMAIN
Asuhan positif bermakna anda perlu melibatkan diri dalam pembelajaran
anak anda. Walaupun ini tidak bermakna anda perlu mempelajari
tiga ‘M’, anda boleh membantu anak anda mengenali
diri sendiri, termasuk mengenali identiti, keupayaan dan emosinya.
Enam tahun pertama dalam usia anak anda adalah masa untuk membentuk
asas pembelajaran formal. Gunakan masa ini dengan sepenuhnya.
Menerusi perbualan dengannya, anda dapat membantu anak anda
belajar bercakap. Tunjukkan gambar-gambar untuk mengajar dia
mengenali huruf tulisan. Belajar mengira lebih menyeronokkan
jika diselitkan dalam aktiviti bermain. Dengan asuhan positif
ini, anak anda lebih bersedia untuk memasuki dunia pendidikan
akademik dan intelektual, yang bermula dengan pendidikan pra-sekolah.
Jangan terkejut dengan apa yang dipelajari oleh anak anda dari-pada
contoh yang ditunjukkan oleh orang lain. Di rumah, kemesraan
dan contoh yang ditunjukkan oleh ibu bapa, adik beradik dan
saudara mara membantu anak-anak mempelajari tentang kasih sayang,
sikap saling hormat-menghormati, bertimbang rasa dan disiplin
diri.
Gaya hidup yang sihat boleh mempengaruhi kecenderungannya.
Anak-anak akan mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat dan gemar
bersukan dan melakukan kegiatan fizikal jika ia menjadi sebahagian
daripada gaya hidup keluarganya.
Anak anda sentiasa memerhati dan belajar daripada gerak-geri
dan tindak-tanduk anda. Justeru itu, tunjukkan contoh yang baik
dan berhati-hati apabila melakukan sesuatu.
BERKAWAN BERMULA DI RUMAH
Dalam asuhan positif, terdapat ‘M’ keempat yang
perlu dipelajari oleh anak anda. ‘M’ untuk ‘menjalin
hubungan’. Anak anda perlu belajar menjalin hubungan yang
sihat dengan orang dewasa dan rakan sebaya, bukan sahaja untuk
kepentingan sosial tetapi juga untuk kepentingan mental dan
emosional.
Tetapi untuk menjalin hubungan persahabatan, anak anda perlu
memiliki sifat-sifat yang disukai (seperti kesediaan berkongsi
mainan dan mengambil giliran), dan belajar bagaimana untuk berinteraksi
dengan orang lain. Sebagai ibu bapa, anda perlu memberikan segala
kesempatan untuk membantu anak anda menguasai kemahirankemahiran
ini.
Luangkan masa untuk bermain dengan anak anda, terutama sepanjang
usia tiga tahun pertamanya. Saat-saat ini penting kerana dia
memerlukan sebanyak mungkin perhatian anda untuk membantunya
meningkatkan keyakinan diri. Apabila umurnya meningkat, benarkan
dia bermain dengan kanak-kanak lain, dan sekalisekala, pelawa
kawan-kawannya datang ke rumah untuk bermain dengannya.
Selagi anak-anak bergelar kanak-kanak, selagi itulah mereka
memerlukan asuhan dan bimbangan positif kedua ibu bapa. Nasihat
dan tunjuk ajar ibu bapa dapat membantu mereka mengelakkan tersilap
laku dan tersalah bahasa yang boleh memalukan dalam pergualan
sosial. Ia juga dapat membantu anak anda menjaga maruah dan
harga diri apabila diketepikan oleh rakan-rakan sebaya. Puji
kejayaannya apabila dia mendapat kawan baru dan carikan jalan
untuk membolehkan anak anda diterima oleh kanak-kanak lain jika
dia mendapati sukar untuk melakukan sendiri.
Tetapi, sebaik-baiknya biarkan anak anda membuat kawan sendiri
dan belajar menahan kepedihan apabila disisihkan oleh rakan-rakan
sebaya. Jangan cuba membuatkan kawan untuknya atau campur tangan
terlalu awal apabila anak anda menghadapi masalah. Anda perlu
memainkan peranan yang lebih membina dengan mengajarnya dari
jauh. Dia lebih memerlukan asuhan positif dan sokongan moral
anda dalam usaha yang perlu dilakukan sendiri. Pada waktu-waktu
tertentu, dia perlukan anda sebagai seorang sahabat.
SELEPAS ZAMAN KANAK-KANAK
Asuhan positif bermakna berkongsi pengalaman dan bekerjasama
dengan anak anda untuk mencapai segala impiannya. Dari peringkat
asas yang dibina pada zaman kanak-kanak yang sihat dan riang
gembira, dia akan membesar dan menggunakan sepenuh keupayaannya
untuk menjadi manusia yang berguna.
Makanan seimbang yang anda berikan, kasih sayang yang anda
curahkan, ajaran yang anda sematkan, galakan yang anda bekalkan
dan peluang-peluang yang terbuka di hadapannya akan menguatkan
tekad dan menaikkan semangatnya untuk mendaki ke puncak yang
lebih tinggi. Dia akan berusaha untuk berjaya dalam bidang akademik,
mencapai kecemerlangan dalam sukan, menunjukkan bakat dalam
bidang muzik dan seni, mendapatkan pekerjaan yang menjamin masa
depan, berkahwin dan seterusnya membina keluarga yang bahagia.
Walau di mana dia berada, walau setinggi mana pangkat yang
disandangnya, dia tetap anak anda. Jangan terkejut jika suatu
hari nanti dia meminta nasihat anda tentang asuhan positif untuk
membantunya mengasuh anakanaknya pula. |