Post Natal Car
  • Diet Selepas Bersalin: Pengalaman Ibu Malaysia
  • Kembali pulih sesudah bersalin
  • Kembali bekerja
  • Bersedih hati?


  • Penjagaan Kehamilan
  • Pemakanan Kehamilan
  • Bersalin & Kelahiran
  • Keadaan Perubatan
  • Penjagaan Selepas Bersalin
  • Asuhan
  • Suami Isteri
  • Kewangan
         


Diet Selepas Bersalin: Pengalaman Ibu Malaysia

Adakah diet dalam pantang tradisional yang diamalkan oleh ibu-ibu Malaysia benar-benar membantu?

Oleh Dr Tan Ay Eeng, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, dan Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

 

Banyak tenaga dan kekuatan tenaga simpanan dalam tubuh ibu telah digunakan selepas bersalin. Oleh demikian, diet seseorang ibu selepas bersalin adalah penting untuk membantunya sembuh kembali dan pulih daripada kepenatan bersalin, dan juga untuk penghasilan susu ibu.

Diet Selepas Bersalin: Pengalaman Ibu Malaysia

Kebanyakan ibu-ibu Malaysia mematuhi peraturan berpantang tradisional turun temurun. Budaya berlainan mempunyai pilihan makanan berpantang mereka sendiri. Bacalah untuk mengetahui pendapat pakar tentang sesetengah diet ini.

Jamu (herba, akar dan rempah ubatan)

Pandangan tradisional: Jamu membantu memanaskan tubuh ibu, meningkatkan aras tenaga, menghilangkan lemak dan toksin berlebihan daripada tubuh, serta mengecutkan rahim.
Kata doktor: Buat masa ini, tiada kajian atau bukti terperinci yang membuktikan manfaat pengambilan Jamu selepas bersalin, tetapi para pakar bersetuju bahawa aroma Jamu sememangnya menenang dan menyamankan apabila disapu di seluruh tubuh. Bagi Jamu yang diambil secara oral, utamakan kualiti dan kebersihan Jamu bagi mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Halia

Pandangan tradisional: Halia dianggap makanan yang “memanaskan”; ia membantu menggalakkan peredaran darah, mencegah atau melegakan angin dan menguatkan sendi.
Kata doktor: Walaupun kajian menunjukkan bahawa halia mungkin boleh mengurangkan rasa loya dan muntah semasa hamil, namun tiada kajian yang telah menyokongnya sebagai makanan yang “memanaskan”. Anda boleh menggunakan halia sebagai rempah dalam makanan berpantang tetapi pengambilan berlebihan mungkin boleh mengakibatkan ibu melepaskan “angin”. Percayalah, angin ini bukan daripada sendi atau kepala ibu yang baru lepas bersalin dan tiada kaitan dengan sebarang sakit belakang atau sakit sendi di masa hadapan.

Ikan Haruan

Pandangan tradisional: Sup ikan daripada ikan haruan segar mempunyai ciri merawat yang menggalakkan penyembuhan luka dalaman, terutama sekali wanita yang telah menjalani pembedahan Caesarean.
Kata doktor: Kajian menunjukkan bahawa ikan haruan mengandungi asid amino dan asid lemak tertentu yang penting untuk penyembuhan kecederaan. Secara amnya, makanan berprotein tinggi (seperti ayam itik, daging tanpa lemak, ikan dan produk tenusu) boleh mempercepatkan penyembuhan luka atau kecederaan. Ibuibu baru perlu memastikan pengambilan pelbagai jenis makanan sumber protein untuk membantu mereka pulih dengan segera.

Herba Cina

Pandangan tradisional: Sup herba disediakan menggunakan herba Cina tradisional tertentu, seperti kurma merah, kei zhi (wolfberry) dan dong guai (angelica), yang dikatakan boleh membantu menyihatkan darah, merawat simptom selepas bersalin seperti discaj yang berpanjangan dan membaiki tahap tenaga.
Kata doktor: Tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa herba Cina akan memanfaatkan ibu selepas bersalin, tetapi kajian telah menunjukkan bahawa herba-herba ini bersifat antioksidan. Kesan sedemikan mungkin boleh membantu menggalakkan penyembuhan tisu dan menguatkan sistem imun. Namun demikian, janganlah mengambil herba sehingga keterlaluan kerana antioksidan seperti vitamin C dan E boleh diperolehi secara semulajadi daripada buah-buahan dan sayuran.

Sayuran Labu (seperti labu botol dan timun Jepun)

Pandangan tradisional: Membantu meningkatkan pengeluaran susu ibu.
Kata doktor: Tiada makanan khusus yang boleh meningkatkan pengeluaran susu ibu. Namun demikian, bagi memastikan pengeluaran susu yang berterusan, minumlah cecair yang mencukupi untuk mengganti semula cecair yang hilang daripada tubuh anda. Anda juga perlu makan dan rehat dengan sempurna supaya mempunyai tenaga untuk penghasilan susu yang optimum. Yang paling penting, teruskanlah penyusuan susu ibu.

Perhatian, Ibu-ibu Baru!

Tidak kiralah diet pantang mana yang anda ikuti semasa berpantang, pastikan anda makan diet yang berkhasiat dan seimbang bagi memastikan pengambilan nutrien yang optimum.

• Pentingkan diet yang mengandungi protein berkualiti daripada ikan, ayam itik, daging merah dan legum.
• Pastikan pengambilan kalsium yang mencukupi, daripada susu dan produk susu, terutamanya jika anda menyusu susu ibu.
• Tambah pengambilan makanan berserat ke dalam diet anda dengan mengambil lebih banyak buahbuahan dan sayuran segar bagi mengelakkan sembelit.
• Jika anda rasa anda menghadapi kesulitan untuk menyediakan makanan yang berkhasiat untuk diri sendiri, pertimbangkanlah untuk mengambil supplemen vitamin dan mineral dalam diet anda.
• Elakkan kafein, alkohol dan nikotin jika anda menyusu susu ibu.

 

Kembali Pulih Sesudah Bersalin

Pelajari cara untuk menjaga diri selepas bersalin agar pulih dengan segera

Oleh Profesor Madya Tan Ay Eeng, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi

Tahniah! Setelah menunggu selama sembilan bulan, kini si comel sudah berada dalam dakapan anda. Di samping sibuk memastikan bayi anda memulakan hidup dengan baik, anda harus juga menjaga diri sendiri setelah melalui pelbagai perubahan semasa mengandung, bersalin dan melahirkan anak. Walaupun telah selamat melahirkan anak, badan anda masih lagi melalui banyak perubahan untuk pulih dan menyiapkan anda untuk menghadapi cabaran yang baru iaitu menjaga bayi.

Dalam beberapa minggu pertama selepas bersalin, anda mungkin akan rasa tidak selesa serta sakit. Ini kerana badan anda berusaha kembali kepada keadaan asal seperti sebelum mengandung. Cuba perhatikan jika badan anda mempunyai simptomsimptom ini agar anda dapat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya. Buat sementara waktu ini, amalkan cara pemakanan yang sihat dan kekal aktif secara fizikal.

 

Jika boleh, jangan letakkan segala tanggungjawab kepada bidan atau ahli keluarga. Jika anda ingin melibatkan diri semula dalam perkara-perkara yang ditinggalkan semasa mengandung, maka anda perlu berdikari. Jangan bimbang; ketika dalam pemulihan, anda masih boleh bergembira dan bermesra dengan bayi anda. Lagipun, kegembiraan mendapat cahaya mata baru akan dapat melenyapkan segala kesusahan yang anda sedang lalui untuk pulih. Anda juga akan mendapati bahawa pemulihan yang baik selepas bersalin akan membantu anda mencapai kesihatan fizikal serta emosi yang berpanjangan.

 

Perubahan pada badan selepas bersalin

Badan anda akan mengalami pelbagai perubahan setelah bersalin. Namun, jangan terlalu bimbang kerana kesemua perubahan ini adalah normal. Berikut adalah beberapa perubahan yang mungkin akan terjadi pada diri anda:

  • Rahim anda akan mengecil kepada saiz yang asal. Oleh sebab itu, anda mungkin akan merasa sakit di bahagian bawah abdomen selama beberapa hari. Jangan risau kerana ini menunjukkan bahawa badan anda sedang kembali pulih.

  • Semasa 3-4 hari pertama selepas melahirkan anak, terdapat darah berwarna merah terang (juga dikenali sebagai lokia) yang akan keluar daripada faraj. Darah ini akan perlahan-lahan bertukar ke warna perang, dan kemudiannya kuning dalam masa 10-14 hari. Ini mungkin akan diikuti dengan haid anda.

  • Perubahan hormon akan berlaku untuk menyediakan payudara anda untuk penyusuan ibu. Penambahan pengaliran darah mungkin menyebabkan payudara bengkak, menjadi keras dan hangat.

 

Menjaga diri selepas bersalin

Ada kemungkinan besar badan anda akan merasa lemah, sakit dan mengeluarkan darah selepas bersalin. Untuk menjaga diri anda dengan baik, ikutilah panduan berikut:

  • Mandi dengan air suam untuk melegakan kesakitan dan mempercepatkan proses pemulihan. Sekiranya anda mempunyai jahitan, keringkan kawasan tersebut dengan betul selepas mandi.

  • Pastikan yang anda selalu baring untuk mengurangkan tekanan ke atas jahitan.

  • Pakai lampin wanita untuk menahan darah nifas. Elakkan pengunaan tampon kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan.

  • Kerap tukar lampin wanita anda agar anda dapat memerhatikan warna darah nifas. Sekiranya ada yang luar biasa, segeralah berjumpa doktor.

  • Jangan terlalu lasak, terutamanya jika anda baru selesai melalui pembedahan Caesarean. Minta pertolongan keluarga dan rakan-rakan untuk membuat kerja-kerja rumah semasa anda baru pulang ke rumah.
  • Minumlah lebih air dan makan makanan berserat tinggi (contohnya buahbuahan dan sayur-sayuran) untuk menyenangkan anda membuang air besar tanpa sebarang masalah. Sekiranya anda terasa hendak membuang air besar, segeralah berbuat demikian. Jangan terlalu memaksa atau menolak.

  • Elakkan dari memandu kenderaan sehingga sudah lebih 6-8 minggu.

  • Amalkan senaman pelvis untuk mempercepatkan proses pemulihan dan ini menolong merampingkan badan. Senaman anda haruslah dilakukan dengan perlahan dan secara beransur-ansur. Berhenti serta-merta sekiranya anda merasa sakit atau penat. Anda boleh melakukan senaman ini bermula daripada hari pertama selepas bersalin. Tetapi bagi wanita yang baru melalui pembedahan Caesarean, pastikan anda merujuk kepada doktor sebelum melakukan sebarang senaman. Anda juga tidak boleh melakukan senaman perut sehingga dibenarkan oleh doktor.

  • Jangan lupa menjalani pemeriksaan doktor dalam tempoh enam minggu selepas bersalin.

 

Rasa terkongkong?

Waktu berpantang boleh mencabar kesabaran dan ketenteraman ibu yang baru bersalin. Semasa berpantang atau pada minggu-minggu pertama selepas bersalin, anda tentunya akan mendapat banyak nasihat dan tunjuk ajar daripada nenek, emak, ibu mertua, makcik, saudara-mara dan kawan-kawan, terutamanya selepas bersalin anak sulong.

Mereka mungkin akan menasihatkan anda supaya “Jangan makan makanan yang ‘menyejukkan’ seperti nangka dan tembikai”, “Jangan membaca atau menonton TV” dan “Jangan minum air kosong selama 20 hari yang pertama, sebaliknya hanya minum wain beras (tanpa alkohol)”. Anda juga dinasihati untuk mengamalkan amalan berpantang seperti meminum sup herba dan tonik, berurut tradisional menggunakan batu panas (bertungku) atau membalut badan anda dengan pembalut herba yang ketat sambil berdiri di atas api.

Sebagai orang Asia, anda mungkin merasa ada perlunya untuk mengikuti adat-adat berpantang ini. Walaupun tidak ada asas saintifik untuk sesetengah kepercayaan ini, anda bolehlah mengikuti adat-adat ini selagi ia tidak memudaratkan kesihatan tubuh badan anda. Janganlah singkirkan makananmakanan yang penting dan bernutrien dari diet anda. Sesetengah dari amalan tradisional ini mungkin membahayakan anda, dengan itu praktikkan dengan betul, gunakan akal bestari dan amalkan dengan berhati-hati. Paling penting, anda seharusnya sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat dan memakan makanan yang pelbagai dan seimbang.

 

Kembali Bekerja

Sediakan diri dan bayi untuk perubahan rutin setelah kembali bekerja

Oleh Profesor Madya Dr Tan Ay Eeng, Pakar Perunding Obstektrik & Ginekologi

Semasa cuti bersalin, anda menghabiskan setiap saat menjaga bayi. Jadi, apabila sudah tiba masanya untuk kembali bekerja, hati anda mungkin terasa berat untuk meninggalkan bayi. Anda terpaksa menghadapi kerinduan terhadap bayi di samping segala tekanan di pejabat. Walau bagaimanapun, memandang keadaan hidup kebanyakan orang pada masa kini, anda memang perlu berusaha gigih untuk kembali bekerja setelah ketinggalan semasa cuti bersalin. Bersedialah untuk menukar rutin harian yang telah sedia ada di samping terpaksa meninggalkan bayi di bawah penjagaan orang lain selama lebih kurang 8 jam sehari. Anda mungkin mengerut dahi memikirkan semua ini; namun, ianya terpaksa dilakukan juga. Lambat laun anda akan mencapai suatu keseimbangan dan membiasakan diri sebagai seorang ibu yang bekerja.

Walaupun agak sukar untuk bekerja semula, namun anda perlu berusaha untuk menghadapinya sebaik mungkin. Memang sukar untuk menjadi seorang ibu yang bekerja. Anda pasti akan menghadapi pelbagai kesukaran namun jika anda telah bersiap sedia, anda serta bayi akan dengan segera dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan baru ini. Jika boleh, dapatkan pertolongan suami anda setakat mana yang dia mampu. Lagipun, dia mempunyai peranannya dalam kehidupan bayi juga! Ingatlah, kasih sayang bayi terhadap anda (dan anda terhadap bayi) tidak akan berubah sama sekali walaupun terpaksa melalui banyak perubahan apabila anda kembali bekerja .

 

“Jangan menangis sayang!”

Bayi anda memang secara semulajadinya rapat dengan anda. Dia mungkin akan berpaut pada anda jika diletakkan atau menangis dengan sekuat hati jika ditinggalkan dengan orang lain. Walau bagaimana rapat sekali pun bayi kepada anda, lambat laun dia akan mula berdikari. Tidak kira sama ada anda akan meninggalkan bayi bersama pengasuh, ibu bapa, mertua atau pusat asuhan kanak-kanak, berikut merupakan beberapa tip untuk dicuba bagi penjagaan bayi:

  • Mengenali antara satu sama lain.

    Cuba biasakan anak anda dengan pengasuhnya dua minggu sebelum anda mula menghantarnya ke sana. Dengan cara ini, bayi tidak akan terlalu sedih pada beberapa hari pertama dia ditinggalkan bersama pengasuh.

  • Jangan menganggap bayi terlalu kecil.

    Amalkan daripada sekarang untuk memberitahu bayi yang anda hendak keluar walaupun bayi masih terlalu kecil untuk memahaminya. Jangan curi-curi keluar untuk mengelakkan bayi daripada menangis.

  • Jangan tergesa-gesa.

    Jangan tergesagesa meninggalkan bayi bersama pengasuh walaupun anda telah lambat. Cuba luangkan masa dengan mendakap dan menyakinkannya yang anda akan kembali untuk mengambilnya.

  • Bergembira.

    Tunjukkan semua mainan kesukaan bayi anda kepada pengasuhnya. Anda juga boleh mengajar pengasuh cara bermain permainan yang digemari bayi.

  • Bawa sekali mainan yang dapat menenangkan bayi.

    Kebanyakan bayi mempunyai barang permainan yang paling digemari seperti patung mainan, selimut, bantal atau apa sahaja. Dia akan rasa tenang dan selamat apabila membawanya bersama ke mana-mana. Oleh itu, bawanya bersama apabila hendak meninggalkan bayi bersama pengasuh.

  • Kenali tabiat bayi.

    Pastikan pengasuh mengetahui segala tabiat istimewa bayi anda.

  • Perhatikan perkembangan bayi.

    Dalam beberapa minggu yang pertama anda kembali bekerja, perhatikan samada terdapat sebarang perubahan pada bayi anda. Jika dia sering nampak sedih, anda mungkin perlu memikirkan pilihan penjagaan yang lain baginya.
  Belajar meninggalkannya
Bukan sahaja bayi yang sukar untuk meninggalkan anda. Sebagai seorang ibu anda tidak dapat lari dari perasaan ingin selalu mendampinginya dan risau tak menentu apabila sedang bekerja. Anda mungkin rasa bersalah meninggalkannya bersama orang lain dan juga menganggap yang anda telah lari daripada tanggungjawab sebagai seorang ibu. Anda tidak perlu risau jika anda tahu bahawa bayi anda berada di tempat yang selamat. Ingatlah bahawa keyakinannya akan bertambah apabila dia berpeluang untuk melihat dunia luar tanpa anda disisinya. Ini turut akan memudahkan bayi dan anda apabila dia perlu ke sekolah tadika kelak.

 

Cara Menyusu Bayi bagi Ibu yang Bekerja

Susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi. Tetapi jika anda perlu menghabiskan 8 jam sehari bekerja di pejabat, bagaimanakah anda harus terus menyusu bayi dan menambah bekalan susu anda? Berikut terdapat tip-tip bagaimana anda dapat memastikan bayi terus dapat meminum susu anda walaupun anda bekerja di pejabat:

Sebelum kembali bekerja

  • Dapatkan nasihat. Berbincang dengan pakar pediatrik, pakar diet atau pakar pemakanan tentang cara untuk bekerja serta masih menyusu bayi. Ambil peluang ini untuk turut membincangkan sebarang kebimbangan atau masalah yang anda hadapi.

  • Belajar mengeluarkan susu. Belajar mengeluarkan susu dengan menggunakan tangan atau pam. Minta tunjuk ajar dari pakar penyusuan, jika anda masih kurang keyakinan.

  • Mulakan dari sekarang. Anda patut mencuba sekurang-kurangnya dua minggu sebelum mula bekerja. Lambat laun, anda akan mula rasa lebih yakin dan dapat melakukanna dengan cepat.

  • Menyediakan bayi anda. Luangkan masa untuk ‘melatih’ bayi menyesuaikan diri untuk meminum susu yang anda perah. Minta suami atau ahli keluarga terdekat untuk memberikan susu yang diperah kepada bayi sehari sekali. Anda patut menambah kekerapan tersebut secara perlahan lebih kurang dua minggu sebelum balik bekerja.

  • Menyediakan pengasuh. Jika boleh, minta pengasuh memberikan susu yang diperah dalam botol, sudu kecil atau cawan kecil.

Apabila telah mula bekerja

  • Beritahu rakan kerja. Anda dinasihatkan agar memberitahu ketua-ketua dan rakan kerja yang anda akan perlu memerah susu di pejabat. Beritahu mereka bilik mana yang akan digunakan. Ini akan memastikan anda tidak diganggu sewaktu melakukannya. privacy will help.

  • Kerap memerah susu. Untuk memastikan bekalan susu anda tidak berkurangan, anda perlu memerah susu sekerap yang boleh atau sekurang-kurangnya setiap 3 atau 4 jam. Cuba gunakan waktu makan tengah hari atau petang untuk memerah susu.

  • Simpan susu. Susu yang diperah ke dalam botol-botol harus disimpan dalam peti sejuk pejabat. Jangan lupa melabelkan botol-botol tersebut dengan masa dan tarikh. Anda juga boleh menyimpan botol-botol berisi susu di meja anda selama 8 jam tanpa bimbang susu menjadi rosak. Tetapi jangan lupa membawa botol-botol tersebut pulang ke rumah. Pastikan yang anda akan pulang terus ke rumah selepas kerja dan meletakkan susu di dalam peti sejuk secepat mungkin. Susu dalam peti sejuk perlu digunakan dalam masa 48 jam setelah disimpan.

  • Pakai pakaian yang sesuai. Jika anda terpaksa memerah susu di pejabat, pakaian yang paling sesuai adalah jenis yang berbutang di bahagian depan. Untuk mengelakkan dari kesan susu bocor pada baju, cuba alaskan baju dalam dengan ‘breast pads’.

  • Gunakan segala peluang yang ada untuk menyusu bayi. Jadikan menyusu bayi sebagai satu rutin harian sebelum dan selepas ke pejabat, dan sebelum tidur. Ini akan mengeratkan ikatan dengan bayi di samping membantu bekalan susu agar mencukupi dan kian bertambah.

 

Bersedih Hati?

Ramai wanita yang baru bergelar ibu mengalami perubahan
perasaan. Ketahuilah jika keadaan anda serius atau tidak.

Oleh Profesor Madya Dr Tan Ay Eeng, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dan
Dr Teoh Hsien- Jin, Pakar Psikologi Klinikal

 

Sebagai seorang yang baru bergelar ibu, rasa tertekan dan lesu akibat perubahan yang berlaku pada badan serta dibebani tanggungjawab baru untuk menjaga bayi adalah perkara yang biasa berlaku. Anda mungkin merasa keadaan kini menjadi tidak terkawal kerana sibuk dengan bayi yang sentiasa memerlukan perhatian, di samping merasa amat letih. Anda mungkin berasa seperti hidup anda yang dahulunya terurus dan terkawal kini sudah bercelaru. Sekelip mata, impian anda untuk mempunyai kehidupan keluarga yang bahagia serta aman damai kini nampaknya telah hilang sama sekali. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika perasaan anda menjadi tidak menentu.

Keadaan anda yang lesu serta mata yang merah mungkin menyebabkan anda tertanya kepada diri sendiri: Di manakah kesilapan saya? Elakkan diri anda dari menghentakkan kepala ke dinding (kecuali jika perbuatan tersebut akan melegakan keresahan dan tidak mencederakan anda!). Keadaan kelam kabut ini bukannya salah anda mahupun bayi anda.



Jangan bimbang, kerana anda sebenarnya masih belum ‘hilang akal’ atau ‘menjadi gila’. Percaya atau tidak, 80 peratus wanita yang baru bergelar ibu turut mengalami gangguan emosi selepas melahirkan anak.

Gangguan emosi yang sedang anda alami ini mungkin erjadi kerana anda cuba untuk membiasakan diri dengan keadaan kehidupan yang baru. Walaupun anda boleh bersedih sekali-sekala, namun anda masih perlu mengawal perasaan agar tidak memudaratkan diri sendiri serta bayi.

 

Mengatasi masalah kesedihan

Pernahkah anda mendengar tentang ‘baby blues’? Ia bukannya sejenis muzik atau, dalam kes ini, tajuk sebuah komik. Ia merupakan perasaan sedih yang tidak keterlaluan yang akan hilang dalam masa dua minggu dan tidak memerlukan rawatan perubatan.

Gejala-gejala:

  • Rasa kecewa tentang kelahiran
  • Keinginan untuk menangis tanpa sebarang sebab
  • Rasa mudah jengkel dan kurang sabar
  • Rasa cemas dan gelisah
  • Hilang selera makan

 

Walaupun mempunyai perasaan ‘blues’ dari semasa ke semasa adalah agak normal, namun anda tidak perlu menderita. Berikut adalah beberapa cara untuk menangani masalah ini:

  • Cari orang yang memahami keadaan anda dan luahkan perasaan kepada mereka.

  • Bertindak jujur terhadap diri sendiri. Anda tidak perlu melakukan semua kerja secara bersendirian. Oleh itu, mintalah bantuan jika diperlukan.

  • Dapatkan orang untuk membantu anda membuat kerja rumah.

  • Luangkan masa walaupun hanya 15 minit untuk membuat apa saja yang anda ingini semasa bayi sedang tidur.

  • Cuba catatkan segala emosi dan perasaan anda di dalam diari setiap hari.

  • Jangan marah pada diri sendiri jika hanya dapat menyiapkan sedikit tugas atau tidak dapat berbuat apa-apa pada sesuatu hari. Lakukan tugas anda sedikit demi sedikit dari segi kehidupan yang positif.

  • Berbincang dengan doktor tentang segala kebimbangan anda.

  • Jelaskan kepada suami dan keluarga terdekat tentang perasaan anda. Minta bantuan mereka untuk menggembirakan anda dari segi kehidupan yang positif.

 

Menguruskan ‘post-partum depression’

Kemuraman post-partum (‘post-partum depression’ atau PPD) adalah keadaan kesihatan yang lebih serius dan akan berlanjutan lebih lama berbanding dengan ‘baby blues’. Ia sebenarnya sejenis penyakit mental yang disebabkan oleh perubahan hormon yang menjejaskan fungsi badan. Oleh yang demikian, rawatan perubatan diperlukan untuk mengurangkan simptomsimptomnya. Oleh itu, berjumpalah dengan doktor untuk
mendapatkan maklumat mengenai PPD. Anda juga harus sedar bahawa anda tidak perlu merasa malu dan keseorangan dalam situasi ini.

PPD harus dikesan seawal mungkin agar lebih mudah dirawat. Berikut adalah gejala-gejalanya:

  • Perasaan bersalah yang sering menghantui.
  • Rasa hilang harapan dan sedih.

  • Berkeinginan untuk mencederakan diri sendiri atau bayi.

  • Perubahan emosi (mood swings) yang tidak menentu. Perasaan gembira dengan tiba-tiba boleh bertukar menjadi sedih.

  • Terlalu memberi perhatian atau kurang mengambil berat terhadap bayi.

  • Merasa tiada makna untuk meneruskan kehidupan.

  • Perubahan corak tidur serta selera makan.

  • Takut untuk tinggal bersendirian

Jika anda rasa anda menghidap ‘PPD’, maka anda harus:

  • Segera mendapatkan bantuan perubatan dan patuhi segala nasihat yang diberikan oleh doktor.

  • Berbincang tentang perasaan anda bersama keluarga terdekat serta kawan rapat.

  • Ketahui dengan lebih lanjut lagi tentang ‘PPD’ daripada doktor dan buku-buku perubatan

 

Suami: Bagaimana anda boleh membantu

Keadaan emosi isteri anda yang tidak menentu mungkin akan berlanjutan selama beberapa hari atau beberapa bulan. Oleh yang demikian, isteri anda amat memerlukan sokongan anda. Di sini terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk membantunya melalui masalah ini:

  • Jadi seorang pendengar yang baik. Anda tidak perlu memberi sebarang penyelesaian kerana beliau hanya memerlukan tempat mengadu.

  • Lupakan segala kata-kata kesat yang pernah dikeluarkannya. Perkara ini terjadi kerana terlalu mengikut perasaan dan enam bulan dari sekarang, beliau pasti tidak mengingatinya lagi.

  • Bantu isteri anda untuk mengurangkan bebannya mengikut kemampuan anda (kecuali memberi susu ibu!). Cuba dapatkan bantuan ahli keluarga yang lain.

  • Bawa isteri serta bayi anda keluar berjalan-jalan. Perubahan persekitaran akan membantu beliau mendapat ketenangan.

  • Bawa isteri anda segera berjumpa doktor jika simptomsimptom berlanjutan atau menjadi semakin teruk,.

  • Cuba menggembirakan beliau contohnya dengan menghadiahkan bunga, makanan kegemaran atau apa-apa sahaja yang digemarinya.

Home About Positive Parenting Experts Corporate Sponsor Secretariat Contact Us

COPYRIGHT © VersaComm SDN BHD, ALL RIGHT RESERVED. Web Design By Big O Solutions.

Terms Of Use   |   Privacy Policy